Oligochitosan bantu tingkatkan 50% hasil pertanian
Kamaruddin Hussin (dua dari kanan) menjelaskan sesuatu mengenai produk Oligochitosan kepada Maznah Hamid (depan, dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob (kanan) sewaktu Majlis Pelancaran Produk Oligochitosan di Pertubuhan Peladang Kawasan Setiajaya MADA, Tambun Tulang, Perlis, semalam.
ARAU 2 Mac – Agensi Nuklear Malaysia memperkenalkan ‘vitamin’ pokok, dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia dikenali sebagai Oligochitosan yang mampu meningkatkan hasil pertanian sehingga 50 peratus.
Produk yang dihasilkan menerusi teknologi radiasi terhadap kulit udang yang kaya dengan chitosan itu terbukti berjaya menerusi kajian terhadap para pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Utan Aji di sini.
Menurut Pengarah Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Kamaruddin Hashim, kajian selama dua musim itu mendapati pengeluaran padi meningkat sehingga 50 peratus.
Katanya, kajian yang sama di Jabatan Pertanian Sungai Burung, Selangor, selama dua musim dan Felcra Bhd. (Felcra) Seberang Perai, Pulau Pinang (empat musim) membuahkan kejayaan yang serupa.
“Oligochitosan yang diekstrak dari chitosan berfungsi dengan meningkatkan hormon penggalak pertumbuhan akar dan bunga selain lebih tahan serangan penyakit.
“Kita juga menguji penggunaan vitamin ini terhadap tanaman lain seperti pokok buah tin, gaharu, cili dan orkid serta terbukti, hasilnya turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran produk Oligochitosan bagi kegunaan padi dengan kerjasama MADA dan Pertubuhan Peladang Perlis semalam.
Kamaruddin dalam pada itu memberitahu pihaknya bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan hasil pertanian termasuk mempelam harumanis yang menjadi ikon hasil pertanian negeri ini.
Kata beliau, Oligochitosan yang dijual pada harga RM40 seliter boleh digunakan dengan cara semburan pada pokok namun penggunaannya juga adalah berbeza mengikut jenis tanaman.
Beliau turut menyasarkan untuk mengeksport Oligochitosan yang akan diubah kepada bentuk serbuk malah beberapa buah negara telah menyatakan persetujuan untuk membeli produk tersebut.
Sementara itu, Maznah memberitahu, pihaknya akan membantu memasarkan produk berkenaan kepada agensi-agensi pertanian di seluruh negara termasuk MADA.