Melihat gaya santai dan keperluan dibawa, anda mungkin membayangkan mereka ingin berkelah atau menghadiri program hari keluarga.
Destinasi yang dituju, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, memang popular sebagai destinasi perkelahan pada hujung minggu.
Air terjun Sungai Gabai antara lokasi menarik pilihan warga kota beriadah bersama keluarga.
Namun bukan kawasan air terjun menjadi pilihan, sebaliknya mereka memilih lokasi indah di kawasan lembah di Kebun Cili Off Kem Mapetra Batu 23, Sungai Lui.
Itu antara aktiviti bermanfaat pada hujung minggu diaturkan sekumpulan peminat alam maya ke dunia realiti.
Menerusi laman Facebook: Kebun Bandar Jom Tanam Sendiri dan Persatuan 1 Malaysia Fertigation Group, satu program khas dianjurkan.
Acara yang dikenali sebagai ‘Program Jom Ke Ladang Geng Kebun Bandar’, ia usaha melestarikan alam dan mengeratkan hubungan antara ahli.
Pertemuan diatur di kebun cili dan rock melon seluas 0.7 hektar milik usahawan tani muda, Saipul Nizam Ibrahim, 34, yang mendapat jolokan ‘tuan tanah’.
Inisiatif menyatukan kumpulan alam maya itu dipengerusikan jawatankuasa pelaksana, Rozila Ibrahim.
Pengisian program menepati matlamat penganjuran bagi melestarikan tanaman di rumah untuk membangunkan potensi pertanian sebagai perniagaan dan sumber pendapatan. Ia turut berkongsi ilmu mengenai tut, mol dan herba.
Turut hadir, Penolong Pegawai Pertanian IADA Barat Laut, Kuala Selangor, Nur Wahidah Hambali.
Di ruang kecil, Nur Wahidah menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) pembuatan baja organik MOL.
Sebelum menutup tirai, satu demonstrasi khas tuaian rock melon diadakan, malah pemilik kebun turut menjual tanaman itu pada harga berpatutan.
Saipul Nizam berkata, dia bertuah terpilih menyertai ‘Program Jom Ke Ladang Geng Kebun Bandar’.
Katanya, program itu memberi peluang mengetengahkan bidang pertanian secara fertigasi melalui sistem pengairan titisan.
“Membuka sebuah kebun tidak semestinya di kawasan yang besar, memadai di ruang terhad.
“Walaupun duduk di persekitaran rumah teres, teknik penanaman fertigasi boleh dijalankan,” katanya.
Katanya, keperluan asas untuk penanaman sayuran secara fertigasi memadai dengan hanya lima hingga 10 polibeg.
“Yang penting, mesti ada alat pengepam akuarium dan alat pengatur masa,” katanya.
Pernah berkhidmat di bidang perhotelan kira-kira lapan tahun lalu, Saipul Nizam terjun ke bidang pertanian pada 2012.
Ketika itu dia hanya menanam 200 polibeg rock melon di tepi rumah.
“Pada mulanya saya hanya menyertai rangkaian media sosial dan dari situ saya mencari seorang mentor untuk mengusahakan projek pertanian fertigasi,” katanya.
Menerusi laman maya, kumpulan itu berkongsi pelbagai pengalaman dalam bidang pertanian.
“Hasilnya, saya kini menumpukan perhatian kepada penanaman cili dan rock melon.
“Kini, saya menyertai projek ladang kontrak bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Separuh daripadanya dijual kepada FAMA dan bakinya dijual kepada pengguna,” katanya.