![]() |
IBRAHIM Ahmad (kiri) menunjukkan ikan tilapia merah yang diternak di kolam ikan di Kampung Banggol Asam Jawa, Baling.
|
BALING 29 Julai – Daerah Baling akan menjadi pengeluar terbesar ikan tilapia merah apabila 22 buah kolam ternakan ikan tersebut di Kampung Banggol Asam Jawa mengeluarkan hasilnya.
Kolam yang diusahakan secara berkelompok oleh lapan penduduk kampung berkenaan kini menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah itu melalui program e-Kasih yang bertujuan membantu membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini.
Lebih menggembirakan, ikan jenis itu kini mendapat permintaan cukup tinggi, bukan sahaja di pasaran tempatan malah antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat dan Denmark.
Pengusaha bersama projek berkenaan, Ibrahim Ahmad, 44, berkata, pihaknya yakin kolam berkenaan mampu mengeluarkan 10 tan metrik ikan tilapia merah setiap minggu dan jumlahnya akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Kita yakin jumlah pengeluaran boleh ditingkatkan kerana kesesuaian pembesaran ikan dan pemakanan secara sistematik,” katanya.
Ibrahim ditemui semasa memberi taklimat mengenai projek tersebut kepada Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hadzir Md. Zin yang melawat kolam ternakan ikan tersebut di sini.
Projek tersebut mendapat pembiayaan RM120,000 daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan, JPM Negeri Kedah.
Penternak ikan berpengalaman yang berkelulusan ijazah pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengambil peluang mengusahakan kolam berkenaan yang sebelum ini terbiar begitu sahaja.
Kata Ibrahim, kawasan kolam seluas kira-kira 4.856 hektar itu menggunakan induk tempatan yang dibiak dan dibesarkan di dalam kolam dengan menyebabkan pengeluaran benih dapat ditingkatkan dalam tempoh masa singkat.
Menurutnya, kejayaan menternak ikan tilapia merah bukan sahaja menjana pendapatan penduduk malah akan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang menimbulkan masalah sebelum ini.
Katanya, sebanyak 600 kilogram pelet makanan ikan terpaksa digunakan sehari untuk memberi makan ikan di kolam tersebut.
Tambahnya, ikan tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum dapat dikeluarkan dari kolam untuk dipasarkan.
“Buat masa ini kami tumpukan kepada pasaran tempatan kerana jumlah pengeluaran sekarang masih belum mencukupi untuk dieksport walaupun mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Selain itu, kata Ibrahim, permintaan tinggi untuk ikan tilapia merah bukan sahaja untuk dijadikan makanan malah bagi mendapatkan sisik dan lendirnya.
Menurutnya, sisik tilapia sesuai untuk menghasilkan kolagen manakala lendir untuk tujuan pembuatan kosmetik.
Dalam pada itu, kata Hadzir, konsep ternakan ikan tilapia merah merupakan salah satu usaha yang disebut “projek juara” yang menyaksikan penternak berdaya maju dalam menambah pendapatan.
“Projek ternakan ikan berkenaan adalah antara projek yang mampu menjana pendapatan bagi penduduk miskin.
“Ia boleh dikembangkan ke tahap antarabangsa jika pengusahanya mampu mengeluarkan hasil dengan banyak,” katanya.
Jaminan pasaran dan teknikal, katanya, akan menjadikan projek tersebut berjaya sekali gus mampu menjadikan daerah ini sebagai pengeluar terbesar ikan tilapia merah.