Produk Iraherbs semakin dikenali

ANUAR Bakar kini memiliki ladang mulberi seluas 1.6 hektar di Tupah, Kedah.


KEPALA BATAS 29 Julai – Berpegang kepada prinsip ‘setiap orang perlu ada angan-angan’, Anuar Bakar berazam untuk menjadi seorang usahawan.

Menurutnya, melalui angan-angan, seseorang itu akan mula menggerakkan usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan.

Atas sebab itulah, Pengarah Urusan Iraherbs Industries & Marketing (Iraherbs) itu mengikuti kursus keusahawanan sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Biarpun tidak terus menceburi bidang keusahawanan selepas itu, ilmu yang ditimba digunakan sepenuhnya apabila beliau berhenti kerja daripada Telekom Malaysia pada 1997.

Sejak saat itulah munculnya produk berasaskan tumbuhan mulberi yang berasal dari negara China seperti teh hijau mulberi, krim pelbagai guna dan minyak wangi pelbagai guna.

Anuar berkata, selama 13 tahun, beliau berniaga secara tradisi dengan pembungkusan cara lama dan dipasarkan di kedai-kedai dan tepi-tepi jalan.

“Kini kami melangkah ke depan dengan menggunakan teknologi moden dan meluaskan pasaran produk tersebut menerusi jualan di laman sesawang.

“Ia ternyata bukan sahaja menjimatkan kos operasi tetapi memudahkan pelanggan untuk membuat pesanan dengan menekan butang di laman web Iraherbs dan tidak perlu ke premis jualan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Perniagaan Paya Keladi sini.

Tambahnya, kaedah pemasaran yang diamalkan adalah menggunakan sistem musyarakah iaitu pemasaran berjemaah dengan mewujudkan laman sesawang untuk setiap pembeli atau dipanggil rakan niaga.

Melalui cara itu jelasnya, setiap pelanggan yang membeli produk Iraherbs dan mendaftar sebagai rakan niaga akan menerima satu laman web untuk mempromosikan produk tersebut dan akan menerima komisen jualan.

“Menerusi laman web http://www.iraherbs2u.com, para pelanggan akan mengetahui maklumat lanjut mengenai produk yang ditawarkan selain membuat pesanan produk.

“Di sinilah pendapatan rakan niaga mampu dijana kerana mereka yang aktif boleh mempromosikan laman tersebut melalui laman komuniti Facebook, e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujarnya.

Jelas Anuar, biarpun baru sahaja diperkenalkan dua bulan lalu namun rakan niaga Iraherbs kini mencecah sehingga lebih 2,000 orang termasuk dari Brunei dan Indonesia.

Malah beliau menyasarkan satu juta rakan niaga sehingga hujung tahun ini agar ekonomi bumiputera dapat dibantu dan dipertingkatkan.

Ditanya keistimewaan yang ada pada produk tersebut, Anuar menjelaskan, mulberi mengandungi sehingga 27 kali kalsium berbanding susu.

“Ia juga mengandungi kandungan antioksida yang tinggi selain krim mulberi mampu membakar lemak di lapisan kulit.

“Selain itu, akar mulberi juga digunakan dalam minyak wangi Iraherbs yang mengandungi wangian lavender, kasturi, cempaka dan bunga-bungaan,” katanya.

Dengan bantuan yang diberi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Iraherbs kini memiliki kilang sendiri di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.

Selain itu mereka juga mempunyai ladang mulberi seluas 1.6 hektar di Tupah, Kedah, selain akan membuka ladang baru seluas satu hektar di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dekat sini.

Dengan usaha yang dijalankan itu, Anuar yakin hasratnya untuk melahirkan lebih ramai jutawan Muslim pasti menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Baling jadi pengeluar terbesar ikan tilapia merah

IBRAHIM Ahmad (kiri) menunjukkan ikan tilapia merah yang diternak di kolam ikan di Kampung Banggol Asam Jawa, Baling.


BALING 29 Julai – Daerah Baling akan menjadi pengeluar terbesar ikan tilapia merah apabila 22 buah kolam ternakan ikan tersebut di Kampung Banggol Asam Jawa mengeluarkan hasilnya.

Kolam yang diusahakan secara berkelompok oleh lapan penduduk kampung berkenaan kini menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah itu melalui program e-Kasih yang bertujuan membantu membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini.

Lebih menggembirakan, ikan jenis itu kini mendapat permintaan cukup tinggi, bukan sahaja di pasaran tempatan malah antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat dan Denmark.

Pengusaha bersama projek berkenaan, Ibrahim Ahmad, 44, berkata, pihaknya yakin kolam berkenaan mampu mengeluarkan 10 tan metrik ikan tilapia merah setiap minggu dan jumlahnya akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Kita yakin jumlah pengeluaran boleh ditingkatkan kerana kesesuaian pembesaran ikan dan pemakanan secara sistematik,” katanya.

Ibrahim ditemui semasa memberi taklimat mengenai projek tersebut kepada Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hadzir Md. Zin yang melawat kolam ternakan ikan tersebut di sini.

Projek tersebut mendapat pembiayaan RM120,000 daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan, JPM Negeri Kedah.

Penternak ikan berpengalaman yang berkelulusan ijazah pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengambil peluang mengusahakan kolam berkenaan yang sebelum ini terbiar begitu sahaja.

Kata Ibrahim, kawasan kolam seluas kira-kira 4.856 hektar itu menggunakan induk tempatan yang dibiak dan dibesarkan di dalam kolam dengan menyebabkan pengeluaran benih dapat ditingkatkan dalam tempoh masa singkat.

Menurutnya, kejayaan menternak ikan tilapia merah bukan sahaja menjana pendapatan penduduk malah akan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan yang menimbulkan masalah sebelum ini.

Katanya, sebanyak 600 kilogram pelet makanan ikan terpaksa digunakan sehari untuk memberi makan ikan di kolam tersebut.

Tambahnya, ikan tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum dapat dikeluarkan dari kolam untuk dipasarkan.

“Buat masa ini kami tumpukan kepada pasaran tempatan kerana jumlah pengeluaran sekarang masih belum mencukupi untuk dieksport walaupun mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Selain itu, kata Ibrahim, permintaan tinggi untuk ikan tilapia merah bukan sahaja untuk dijadikan makanan malah bagi mendapatkan sisik dan lendirnya.

Menurutnya, sisik tilapia sesuai untuk menghasilkan kolagen manakala lendir untuk tujuan pembuatan kosmetik.

Dalam pada itu, kata Hadzir, konsep ternakan ikan tilapia merah merupakan salah satu usaha yang disebut “projek juara” yang menyaksikan penternak berdaya maju dalam menambah pendapatan.

“Projek ternakan ikan berkenaan adalah antara projek yang mampu menjana pendapatan bagi penduduk miskin.

“Ia boleh dikembangkan ke tahap antarabangsa jika pengusahanya mampu mengeluarkan hasil dengan banyak,” katanya.

Jaminan pasaran dan teknikal, katanya, akan menjadikan projek tersebut berjaya sekali gus mampu menjadikan daerah ini sebagai pengeluar terbesar ikan tilapia merah.

Potensi tambah pendapatan

HAMZAH Zainuddin (kanan) melihat kualiti batang pokok kenaf selepas turut sama menuai pokok yang telah matang di Kampung Tepong Merchong, Nenasi, Pekan, semalam.


PEKAN 1 Ogos – Kementerian Perusahaan, Komoditi dan Perladangan bercadang membuka tiga kilang memproses pokok kenaf di tiga negeri di Pantai Timur tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, cadangan itu dibuat memandangkan potensi tanaman pokok tersebut yang boleh dikomersialkan dan memberi pendapatan tambahan kepada petani.

Katanya, secara tidak langsung projek tanaman itu akan menjadi salah satu komoditi penting negara pada masa depan bagi menggantikan tembakau yang kini diusahakan secara kecil-kecilan.

“Kementerian merancang membina kilang tersebut di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi memproses kenaf.

“Salah sebuah kilang tersebut mungkin didirikan di Pekan kerana didapati para peserta di sini bersemangat dan berjaya mengeluarkan hasil tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemberian insentif dan penuaian kenaf di Kampung Tepong Merchong, Nenasi di sini hari ini.

Hamzah memberitahu, bagi melihat potensi pokok tersebut mengeluarkan hasil berkualiti, kementerian bercadang mewujudkan pusat kajian pembangunan pokok kenaf.

Katanya, setakat ini pihaknya mengadakan kajian dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mencari dan menghasilkan benih berkualiti untuk dibekalkan kepada peserta.

Tambahnya, ini kerana pokok itu mempunyai potensi dan boleh dikembangkan khususnya dalam penghasilan fiber berkualiti untuk pasaran luar negara.

“Kita mempunyai Pusat Pembangunan Fiber di Banting yang bukan sahaja mengkaji kenaf malah tanaman lain yang mempunyai potensi pengeluaran fiber berkualiti.

“Permintaan terhadap fiber oleh syarikat multinasional cukup tinggi dalam pengeluaran barangan elektronik mereka dan dikatakan harga dijual juga lebih tinggi berbanding tanaman lain,” jelasnya.

Katanya, keyakinan kerajaan mewujudkan komoditi baru itu dibuat berikutan permintaan terhadap pokok tersebut daripada syarikat elektronik dan multinasional di negara ini.

“Ia adalah sumber baru pendapatan petani kerana mereka boleh menerima pendapatan lebih tinggi berbanding tanaman komoditi lain seperti tembakau,” katanya.

Kegigihan bantu Ku Hanisrahayu jadi usahawan berjaya

KU HANISRAHAYU Ku Yaakub menunjukkan kuih yang siap untuk dipasarkan di Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang, Kubang Pasu, baru-baru ini.


KUBANG PASU 2 Ogos – Seorang usahawan, Ku Hanisrahayu Ku Yaakub membuktikan kebenaran pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Wanita berumur 36 tahun dari Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang di sini kini boleh berbangga dengan pencapaiannya selepas hampir 15 tahun menjalankan perniagaan bakeri dan kuih tradisional.

Kisah kejayaan ibu kepada empat anak berusia tiga tahun hingga 15 tahun itu bermula pada 1996 apabila dia berusaha mencari jalan untuk menambah pendapatan keluarga.

Memandangkan sejak kecil dia sering menolong ibunya, Wan Azizah Megat Ahmad, 58, membuat pelbagai kuih tradisional, Ku Hanisrahayu atau lebih dikenali dengan panggilan Anis melihat peluang untuk berbuat demikian dengan menceburi bidang tersebut.

Dengan sokongan suaminya, Ahmizan Ahmad, 38, pasangan berkenaan mula berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil kuih tradisional yang dihasilkan oleh seorang kenalan mereka untuk dijual di pasar malam di sekitar Jitra.

Tidak lama selepas itu, dia mengambil keputusan untuk mempelajari sendiri teknik-teknik membuat kuih bagi memenuhi permintaan pelanggan setelah kenalannya itu berhenti daripada menghasilkan kuih tradisional tersebut.

Pada 1999, Ku Hanisrahayu mula mengorak langkah yang lebih jauh apabila dia bertekad meluaskan lagi perniagaannya supaya tidak bergantung pada jualan kuih-muih tradisional semata-mata.

Bagi merealisasikan hasratnya itu, dia mengikuti kursus asas pemprosesan kek dan biskut di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Kuala Lumpur.

“Selepas itu jika ada iklan yang menawarkan kursus berkaitan bidang ini, saya akan menyertainya bagi menambahkan kemahiran dan pengetahuan yang ada.

“Syukur usaha itu berbaloi kerana perusahaan bakeri seperti membuat kek, roti dan biskut kini menjadi perniagaan utama kami,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Belukar Gelong Rambai, Tunjang di sini baru-baru ini.

Ku Hanisrahayu yang merupakan usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata, dia bertuah kerana mempunyai seorang suami yang memahami dan sentiasa memberi sokongan padu terhadap usahanya itu.

Malah katanya, dia juga bersyukur kerana mendapat pelbagai bantuan dan sokongan daripada agensi kerajaan khususnya menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurutnya, perniagaan MNA Abadi Enterprise yang ditubuhkannya turut mengekalkan jualan pelbagai kuih-muih tradisional sama ada yang dihasilkan sendiri atau orang lain terutama penduduk kampung.

“Sehingga hari ini, pasaran perniagaan kami semakin meluas dengan menerima pelbagai tempahan termasuk daripada sekolah-sekolah di sekitar Kedah dan Perlis.

“Apabila tiba musim cuti sekolah atau perayaan, permintaan pasaran meningkat dengan ketara,” katanya yang pernah meraih Anugerah Usahawan Cemerlang 2009 RISDA Kedah.

Ku Hanisrahayu memberitahu, dia sendiri tidak menyangka kini mampu meraih pendapatan bersih antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan hasil penat lelah membangunkan perniagaannya itu.

Sambil merendah diri, usahawan berjaya itu berkata, kejayaan yang dikecapi bukan datang dengan mudah sebaliknya pelbagai pahit getir terpaksa dilalui.

“Semasa hendak memulakan perniagaan dulu, saya terpaksa berhutang untuk membeli ketuhar dan mengumpul modal sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, berkat kegigihan dan sokongan semua pihak, perniagaan MNA Abadi Enterprise berada pada tahap sekarang. Tetapi masih banyak yang perlu kami pelajari,” katanya yang mempunyai enam pekerja tetap.

MNA Abadi Enterprise merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menambah bilangan mesin bagi meningkatkan pengeluaran dan membuka cawangan bagi memudahkan lagi urusan pemasaran serta jualan produk.

Mereka yang ingin merasai keenakan produk keluaran MNA Abadi Enterprise boleh menghubungi Anis di talian 012-4253901 atau Mizan (012-4933901).

MAHA 2010 Terengganu tarik ramai pengunjung

Orang ramai mengunjungi khemah-khemah pameran dan jualan di MAHA 2010 di Dataran Shahbandar, semalam.


KUALA TERENGGANU 6 Ogos – Penduduk Kuala Terengganu mula membanjiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 Terengganu di Dataran Shahbandar di sini yang bermula hari ini.

Mereka juga mengunjungi pelbagai hasil pertanian, hortikultur dan agro pelancongan yang sinonim dengan Terengganu di pameran mini yang berlangsung sehingga 9 Ogos ini.

Selain itu, kira-kira 100 gerai pameran yang disertai wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pelbagai usahawan turut mengambil tempat pada MAHA 2010 Trengganu ini.

Seorang pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi di sini, Wan Shahayah Wan Ahmad, 20, berkata, gerai pameran yang terdapat di sini amat menarik dan berlainan daripada pameran atau karnival lain.

“Saya amat tertarik dengan pelbagai minuman buah-buahan yang dapat membantu kesihatan selain produk minuman daripada sarang burung,” katanya ketika ditemui.

Seorang surirumah, Tengku Khatijah Tengku Long, 40, berkata, tiga anaknya berusia tujuh hingga sembilan tahun amat tertarik dengan pameran pertanian di situ.

“Kami pada mulanya datang ke Dataran Shahbandar bawa anak- anak berjalan-jalan dan tidak sangka pameran ini diadakan.

“Sebelum ini, mereka tidak pernah lihat lembu besar dan kambing jamnapari kerana biasanya mereka hanya lihat lembu dan kambing biasa di kampung,” katanya yang tinggal di Batu Burok di sini.

Seorang lagi pelajar, Rubiah Omar, 20, berkata, dia masih belum melawat semua pameran tetapi mendapati banyak maklumat terbaru mengenai bidang pertanian.

“Saya hendak mengikuti bidang pertanian nanti dan pameran ini memberikan saya maklumat berhubung bidang ini,” katanya.

FRIM terokai khasiat herba

Antara kemudahan yang ditawarkan oleh HTC FRIM di Kepong.


Sekiranya kita mengenali Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai sinonim dengan kayu semata-mata, itu adalah andaian yang tidak tepat.

Menyedari betapa pentingnya khazanah rimba bukan setakat kayu kayan sahaja, FRIM mengorak langkah ke hadapan dengan memfokuskan kanta penyelidikan kepada pokok yang tidak diketahui kepentingannya tetapi terbukti sangat penting iaitu herba.

Herba sebenarnya tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan penyelidikan institusi terbabit.

Malah tumpuan diperhebatkan lagi sejajar dengan matlamat FRIM mahu membantu usahawan herba di negara ini menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

Apatah lagi, semakin ramai usahawan berkecimpung dengan industri herba dan tumbuhan renek setelah menyedari akan khasiatnya yang boleh dikomersialkan.

Tambahan pula, pengguna kini lebih tertumpu kepada produk semula jadi dalam penjagaan kesihatan, sekali gus membuka pasaran yang lebih luas.

Peluang FRIM untuk memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan pengurusan tanaman herba diperkukuhkan lagi dengan pelantikan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod sebagai naib presiden Plant Resources of South East Asia (PROSEA).

“Sesetengah negara di peringkat Asia Tenggara mempunyai kajian mengenai botani tetapi tidak memiliki keupayaan menjalankan penyelidikan mengenai khasiat tanaman herba,” ujar Abd. Latif.

Beliau berkata, pengusaha tempatan mempunyai kesungguhan untuk meneroka khasiat herba tetapi kewujudan beberapa masalah seperti, kemasukan produk luar tanpa kawalan, menjadikan hasil tempatan tidak menonjol.

Pada pandangan beliau, hasrat kerajaan untuk menggalakkan penerokaan khasiat herba tepat pada masanya.

Menurut beliau lagi, FRIM adalah antara institusi yang menyahut seruan tersebut dengan menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan pada tahun 1995 untuk mengukuhkan penyelidikan dalam bidang herba, sekali gus membantu pengusaha tempatan membangunkan produk herba mereka.

Dr. Abd. Latif menegaskan bahawa banyak kajian khasiat herba perlu dikemaskinikan, antaranya ialah mengenal pasti kandungan atau sebatian aktif sesuatu herba.

Profail herba atau kandungan sebenarnya perlu ditentukan secara saintifik, memandangkan setiap tumbuhan ubatan mempunyai penandanya tersendiri.

Beliau berpendapat, FRIM mampu ‘menggali’ lebih banyak kerahsiaan herba dan khasiat yang belum diketahui umum untuk dijadikan ubatan atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan.

Sebagai contoh, mungkin ramai tidak percaya bahawa golongan wanita juga banyak menggunakan tongkat ali. Ini kerana tongkat ali didakwa mempunyai khasiat seperti meningkatkan daya imuniti semulajadi badan serta menguatkan daya tahan melawan penyakit yang mampu mencecah penyakit kanser.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh pengusaha tempatan ialah hasilan mereka tidak mendapat hak eksklusif atau tidak dipatenkan.

Kebanyakan penyelidik Barat yang mengetahui khasiat sesuatu herba serta menjangka popularitinya, akan mempatenkan produk atau proses penghasilannya.

Sebagai contoh, penyelidik Barat telah lama mengetahui khasiat tongkat ali serta mendapat hak sepenuhnya untuk membuat, mengguna dan menjual produk tongkat ali.

Dengan itu, FRIM tampil dengan kemudahan yang diperlukan untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dalam pembangunan produ. Antaranya, menentukan bahagian pokok tongkat ali yang paling berkhasiat yang mana ia hanya boleh diketahui dengan menjalankan analisis di makmal.

Satu lagi penemuan yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana sesuatu produk menunjukkan keberkesanan yang tinggi apabila digunakan bersama produk lain.

Sekadar contoh, tongkat ali lebih berkesan jika digunakan bersama ubi jaga. Bermakna sesuatu produk lebih berkesan jika pasangannya lebih serasi, selain menggunakannya pada dos yang sesuai.

Contoh lain termasuk misai kucing yang digabungkan dengan pokok hempedu bumi untuk menghasilkan minuman herba asli bagi rawatan darah tinggi dan kencing manis.

Koleksi ekstrak herba

Menurut Dr. Abd. Latif lagi, FRIM kini membuat perjanjian dengan dua syarikat penanaman herba untuk membekalkan sampel tumbuhan ubatan secara berterusan dalam menjalankan kajian membangunkan serta memantau produk berkaitan berdasarkan kepada beberapa perkara iaitu berapa lamakah tarikh lupus produk berkenaan kandungan mikrob di dalamnya.

Antara produk yang dikeluarkan di FRIM berupa produk kosmetik, nutraseutical dan functional food yang terbukti keberkesanannya, berkualiti dan selamat digunakan.

Sementara itu menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, pihaknya mengkaji khasiat sekurang-kurangnya 15 herba setahun sejak 1995.

FRIM ketika ini mempunyai lebih dari 700 koleksi ekstrak herba yang telah dikaji dan 15 daripadanya diberi tumpuan khusus.

Sehingga kini FRIM telah mengeluarkan sebanyak 30 produk hasil dari penyelidikannya di mana 15 produk ini telah dikomersialkan dalam industri herba tempatan melalui proses perlesenan.

Usaha tersebut ujar beliau semakin diperhebatkan dengan penubuhan Herbal Technology Centre (HTC) yang akan memainkan peranan dalam menawarkan perkhidmatan untuk industri pemprosesan herba.

Taraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) yang dimiliki oleh HTC membolehkan industri herba mendaftarkan produk yang dihasilkan melalui amalan ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kilang GMP amat diperlukan untuk menentusahkan tahap keselamatan dan kualiti produk yang dihasilkan.