Awas syarikat perdaya petani

SIK 20 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menasihatkan pemilik tanah supaya tidak mudah terpedaya terhadap tawaran daripada syarikat-syarikat tertentu yang menawarkan khidmat pemasaran hasil pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana kebanyakan pemilik tanah begitu ghairah untuk mengusahakan tanaman tertentu apabila ada syarikat yang berjanji untuk membeli hasil tanaman mereka.

“Apabila pemilik tanah terbabit mengusahakan tanah mereka dengan tanaman tertentu, akhirnya mereka gagal untuk memasarkan hasil tanaman selepas syarikat yang membuat tawaran dan janji kepada mereka menghilangkan diri.

“Apabila syarikat terbabit menghilangkan diri, pengusaha terpaksa menanggung beban kerana hasil tanaman tidak dapat dipasarkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan Dengan Petani-Petani Daerah Sik di Ladang Anggur Tasik Beris dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badaruddin Amirudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajuddin Abdullah.

Kata Noh, pemilik tanah atau petani terbabit perlu mendapat nasihat dan berbincang dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian sebelum melaksanakan projek pertanian berskala besar bagi memudahkan urusan pemasaran.

Tambahnya, kaedah pertanian secara kontrak yang dijalankan oleh FAMA adalah antara kaedah yang digalakkan oleh kementerian dalam memasarkan hasil pertanian.

Noh berkata, kerajaan tidak mahu petani atau pemilik tanah tergesa-gesa mengusahakan tanaman selepas diberikan tawaran oleh syarikat tertentu yang hanya mahu mengambil kesempatan.

“Kena berhati-hati dengan syarikat tertentu yang menawarkan khidmat pemasaran kerana mereka ada muslihat tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, kementerian terbabit meminta semua Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) mewujudkan laman blog masing-masing dalam memudahkan penyebaran maklumat dengan aktiviti pertanian.

Noh menambah, dengan adanya blog ini, MPPP terbabit boleh juga memasarkan hasil pertanian khususnya menjadikan kawasan Parlimen terbabit dikenali sebagai pengeluar hasil pertanian.

Malah katanya, secara tidak langsung ahli MPPP dan petani dapat memberikan idea dalam meningkatkan lagi hasil pertanian.

‘Kita minta semua MPPP di seluruh negara wujudkan laman blog ini untuk memasarkan hasil dan sumber pertanian di kawasan masing-masing,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s