Kulit kayu manis jadi hiasan

GERAI Keningau antara gerai yang mendapat sambutan pengunjung kerana keunikan kulit kayu manis asli yang dipamerkan di pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 16 Dis. – Kulit kayu manis biasa digunakan bagi menambah rasa sesuatu masakan menjadi lebih sedap dan berbau menyelerakan.

Tanpa kulit kayu manis, sesuatu masakan itu tidak sempurna khususnya bagi masakan berkuah seperti kari dan sup.

Biasanya kulit kayu manis dipotong kecil dan dijadikan serbuk untuk dijual di semua kedai runcit, pasar raya dan pasar.

Jarang-jarang kita mendengar kulit kayu manis dijadikan sebagai perhiasan melainkan digunakan untuk menjadi perencah makanan.

Namun bagi penduduk Keningau di Sabah, kulit kayu manis tidak hanya digunakan untuk menambah rasa masakan tetapi juga dijadikan sebagai perhiasan di rumah.

Perhiasan daripada pokok kulit kayu manis itu menjadi tumpuan orang ramai sewaktu mengunjungi gerai Keningau pada pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang berakhir hujung minggu lalu.

Orang ramai yang melihat perhiasan itu bagaikan tidak percaya kulit kayu manis boleh dijadikan sebagai barang hiasan.

Mungkin ramai yang tidak terfikir kulit kayu manis berasal daripada sebatang pokok yang mampu mencapai ketinggian 30 kaki.

Pokok tersebut cukup sesuai ditanam di Tenom, Sabah kerana kesuburan tanahnya dan tidak hairanlah negeri itu menjadi pengeksport utama kulit kayu manis.

Pokok kulit kayu manis mudah ditanam di Tenom kerana suhu yang sederhana dan tidak terlalu panas.

Faktor suhu sederhana akan memudahkan lagi pertumbuhan pokok kulit kayu manis.

Kebiasaannya pokok kulit kayu manis yang telah matang boleh ditebang setelah berusia setahun.

Selepas ditebang, kulit kayu manis dari pokok tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum diproses untuk dijadikan kepingan kecil dan serbuk sebelum dibungkus untuk dijual.

Batang pokok yang tidak digunakan itu pula boleh dijadikan perhiasan kerana ia mampu mengeluarkan bau aroma yang wangi.

Bagi Warisan Sumbin, 54, yang mengusahakan perusahaan kulit kayu manis milik keluarganya berkata, bagi penduduk di Keningau, pokok kulit kayu manis amat sesuai untuk dijadikan hiasan di ruang tamu rumah.

”Sudah menjadi kelaziman masyarakat di Tenom, pokok kulit kayu manis tidak hanya digunakan sebagai bahan masakan tetapi juga sebagai perhiasan.

”Kulit kayu manis jika dijadikan perhiasan ia boleh mengeluarkan aroma yang cukup wangi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, pokok kayu manis kini menjadi kegilaan masyarakat bukan sahaja di Tenom tetapi juga di Sabah untuk dijadikan sebagai perhiasan kerana boleh mengeluarkan bau aroma yang cukup wangi.

Selain digunakan untuk menyedapkan sesuatu masakan, kulit kayu manis sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri untuk mengubat selesema dan melancarkan pengaliran darah.

Menyedari keunikan kulit kayu manis yang boleh dijadikan sebagai hiasan rumah, Warisan yang merupakan anak jati Tenom berhasrat untuk mengkomersialkan pokok itu untuk dijadikan barang hiasan.

Menurut ibu kepada 10 orang anak ini, beliau menjadikan kulit kayu manis ini sebagai mata pencariannya selepas menyedari tidak ramai yang tahu mengenai kelebihan pokok itu.

”Selepas kematian suami, saya perlu berusaha dalam meningkatkan ekonomi keluarga saya.

”Dengan menjual kulit kayu manis ini di sekitar Tenom, sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak bersekolah,” katanya.

Atas kesungguhan Warisan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah telah memberikan bantuan kepadanya untuk mengembangkan perusahaan yang dijalankannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s