Benih orkid terbaik di Ayer Hitam

MOHAMED Ismail Jaafar kini menanam 10,000 pohon orkid daripada lapan jenis terpilih di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang.


KLUANG 7 Dis. – Penggemar orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, dekat sini.

Projek pertanian itu yang telah mengadakan ekspo baru-baru ini, memberikan peluang kepada pengunjung melihat kegiatan 30 usahawan yang mengusahakan pelbagai tanaman dan ternakan.

Antara yang menarik dikunjungi adalah tanaman orkid.

Di kawasan seluas 4,000 hektar itu, terdapat 10 pengusaha tanaman orkid yang menanam pelbagai jenis orkid bermutu.

Salah seorang pengusaha orkid terkenal di situ Mohamed Ismail Jaafar, 46, berkata, di kebun orkid yang diusahakannya, pelbagai spesies orkid dipamerkan.

“Dengan keluasan itu saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih dengan 10,000 pohon orkid.

”Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kata Mohamed Ismail, projek yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri itu, memberi peluang kepadanya menjadi usahawan berwibawa.

Katanya, ternyata segala usaha yang lakukan selama dua tahun dalam projek berkenaan mampu memberi pulangan yang cukup lumayan.

Hakikat itu, katanya, dapat dibuktikan dengan 8,000 pohon orkid yang telah matang, dan dia kini mampu peroleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

“Apa yang saya hendak kongsi bersama pengunjung adalah mereka boleh melihat teknologi yang kami gunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.

“Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh bumiputera,” katanya.

Mengenai benih orkid, Mohamed Ismail berkata, benih berkualiti itu diperoleh dari Thailand.

Katanya, antara spesies orkid yang dimiliki ialah dendrubium, mokara, aramthera, vanda dan banyak lagi.

Sehubungan ini, katanya, mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai orkid boleh menghubunginya di talian 019 7107271.

Naim mewah berkebun kubis

Naim Adam dibantu isterinya, Junaidah Gausion menyusun kubis sebelum bermulanya Pesta Kubis 2009 di Kundasang, Ranau, Sabah, baru-baru ini. -UTUSAN/GHAZALI BASRI


RANAU 9 Dis. – Satu ketika dulu mungkin tiada siapa yang mengenali Naim Adam – anak seorang petani yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apatah lagi dengan hanya menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan tiga, tiada apa yang boleh diharapkan daripadanya.

Namun dengan pengorbanan dan usaha gigihnya, siapa sangka anak petani yang tidak mempunyai ijazah atau diploma itu kini mampu meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.

Betullah seperti apa yang menjadi sabda Rasulullah SAW bahawa sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan.

Menyedari hakikat itulah, Naim yang kini berusia 46 tahun mengambil tindakan nekad untuk berbakti kepada tanah bermula sejak umur 15 tahun.

Lelaki yang dilahirkan lima hari sebelum tarikh pembentukan negara Malaysia di Kampung Kaulan itu mula berkecimpung dalam bidang pertanian sejak remaja lagi.

Malah, tidak hairanlah beliau hanya mampu menamatkan zaman persekolahannya sehingga tingkatan tiga sahaja kerana memilih kerjaya sebagai petani.

Menurut Naim, minat mendalam dalam bidang pertanian itu juga mendapat dorongan daripada kedua ibu bapanya yang juga merupakan petani.

Katanya, selepas mengambil keputusan berhenti sekolah untuk menanam sayur, dia telah berazam menjadi petani moden yang mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.

“Saya sebenarnya banyak belajar daripada kedua ibu bapa saya mengenai teknik dan cara menanam sayur di tanah tinggi malah kerja ini juga sudah sebati dengan hidup saya.

“Selain itu, kejayaan saya hari ini juga adalah hasil bantuan daripada isteri dan anak-anak selain bantuan modal dan nasihat yang disediakan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini sayuran utama yang ditanamnya ialah kubis yang amat sesuai dengan suhu dan cuaca tanah tinggi pergunungan di Ranau, Sabah.

Selain itu katanya, dia juga telah mempelbagaikan lagi penanaman dengan menanam lada besar, sawi dan kuchai.

Menurutnya, dalam usaha mengembangkan lagi penanaman sayur dia juga telah membuat pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Pada masa ini katanya, dia boleh berbangga kerana mempunyai 10 pekerja sendiri selain mempunyai jentera pembajak.

Katanya, hasil sayur-sayuran khususnya kubis dijual di gerai-gerai sayur di pekan Ranau dan Kundasang serta kepada pemborong luar.

“Hampir setiap minggu pemborong akan datang dan saya juga dapat menjual sekurang-kurangnya satu tan,” katanya.

Katanya, harga borong bagi kubis adalah antara RM1 dan RM1.20 bagi setiap kilogram.

Dalam pada itu katanya, beliau amat berpuas hati dengan usahanya selama ini dan berharap kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk anak-anaknya dan generasi muda menceburi pertanian.

“Walaupun saya tidak mempunyai kelulusan tinggi, saya dapat pendapatan yang baik, jadi anak-anak saya yang belajar hingga ke universiti harus lebih berjaya daripada saya,” katanya.

Katanya, hasil usahanya bukan sahaja dapat memberikannya rumah yang selesa, malah dapat menyara ketiga-tiga anaknya melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Tambahnya, meskipun telah berjaya, dia mempunyai perancangan untuk membuka ladang sayur yang lebih luas pada masa akan datang.

Katanya, pada masa ini dia telah mengenal pasti beberapa kawasan lagi yang akan dimajukan dengan tanaman sayur.

Sementara itu isterinya Nancy@Junaidah Gausion, 44, berkata, kesabaran dan sikap tidak berputus asa mereka sekeluarga merupakan faktor utama kejayaan tersebut.

Minuman berasaskan herba ISOmedic

mas cotek sejenis herba yang mudah ditanam di negara ini dan kaya dengan nilai kesihatan.


HERBA adalah anugerah alam yang merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Di negara barat seperti Amerika dan Eropah, hari ini penghasilan ubat-ubatannya lebih 70 peratus adalah berasaskan pada herba setelah melihat potensi herba ke arah rawatan yang lebih selamat dan berkesan.

Walaupun di negara mereka terdapat musim pada setiap tahun tetapi pembangunan ke arah herba giat dilaksanakan, sehingga terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi melaksanakan penanaman secara berterusan disebabkan masalah musim yang terdapat di negara mereka.

Berbeza di Asia khususnya di Malaysia, tumbuhan-tumbuhan herba boleh tumbuh dengan mudah secara melata dan sebahagian besarnya tidak perlu melakukan penanaman kerana herba-herba ini boleh tumbuh dan hidup secara sendiri.

Kita seharusnya mengambil peluang dan ruang dengan menggunakan khazanah anugerah alam ini untuk meningkatkan ekonomi negara.

Jadi kesedaran, pengetahuan serta minat perlu dipupuk dan dibimbing supaya akan munculnya wira-wira perniagaan yang berasas dari herba dengan meneroka dan menjadikan herba ini sebagai satu perniagaan.

Pembangunan herba di Malaysia perlu dipandang serius terutama dari golongan pihak profesional dan ahli korporat yang berpotensi.

Penggabungan di antara pengamal perubatan secara tradisional dan golongan profesional seharusnya bergerak secara seiring sekiranya industri ini ingin dimartabatkan pada satu tahap yang lebih tinggi.

Jika ingin merealisasikan herba sebagai satu khazanah tanpa had atau nilai yang tinggi, pembangunannya perlu mempunyai strategi yang lebih berkesan.

Pembangunan yang dilakukan tanpa strategi akan menerima nasib yang sama seperti herba-herba lain yang dibangunkan tetapi tidak mencapai ke sesuatu matlamat yang disasarkan.

Sebagai contoh, pegaga, misai kucing dan kacip Fatimah, di mana pada satu peringkat mendapat fokus yang meluas dan akhirnya menjadi sunyi.

Syarikat tunjang

Berbeza dengan tongkat ali dengan adanya syarikat tunjang (anchor company), ia boleh berdiri lebih lama dan dikenali meluas sehingga ke luar negara.

Justeru, pembangunan herba seharusnya memikirkan selain potensi yang terdapat pada herba tersebut tetapi perlu juga memikirkan sasaran pasaran dan bentuk penghasilan produk siap.

Pembangunan herba tidak boleh hanya sekadar penghasilan produk siap dalam bentuk tradisional seperti teh, minyak, kopi dan kapsul sahaja.

Kita seharusnya memikirkan bentuk penghasilan yang lebih global bagi menembusi pasaran bukan sahaja untuk pasaran domestik malah untuk pasaran antarabangsa.

Seperti di Thailand pengeluar minum yang berjenama Red Bull, yang mana pengusahanya adalah orang yang pertama terkaya di negara tersebut dan mantan Perdana Menteri.

Melihat dari sudut potensi ini, melalui Syarikat Delto Medicama Plantation yang diketuai oleh Nasnan Jajuli dan dibantu dari pelbagai agensi serta universiti, produk minuman kesihatan dikenali sebagai ISOmedic dihasilkan.

Kajian dengan mengambil kira apakah yang terdapat dalam kandungan isotonik berjenama tinggi dan menjadikan bahan-bahan tersebut sebagai asas kepada pembuatan ISOmedic.

ISOmedic ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan ekstrak tujuh spesies mas cotek yang mana khasiatnya telah dilakukan analisis mendalam.

Kajian yang dilakukan mendapati khasiat yang terdapat pada tumbuhan tersebut sememangnya antara keperluan tubuh badan manusia.

Minuman ini menggunakan kelebihan khasiat yang terkandung dalam ekstrak mas cotek dan ditambah dengan penggunaan bahan-bahan lain sebagai asas seperti produk-produk isotonik yang lain.

Bagi menjamin bekalan bahan mentah ini mencukupi, projek ini melibatkan 35 orang penanam yang ditempatkan di Tanjung Karang bagi fasa pertama dan pembiayaan dilakukan oleh AgroBank Selangor.

Penghasilan isomedic adalah kerjasama a Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di mana khasiat yang ketara adalah menurunkan tekanan darah tinggi atau meningkatkan tekanan darah rendah dalam tempoh tidak sampai satu jam selepas pengambilan sebotol isomedic.

Selain berfungsi sebagai pemberi sumber tenaga, isomedic mampu untuk menyeimbangkan keperluan badan.

Keberkesanan bagi mengatasi masalah denggi, beberapa pihak hospital telah menjalani ujian terhadap pesakit-pesakit denggi.

Begitu juga testimoni akan dilakukan pada atlet tinju dan berbasikal, bagi tujuan adakah isomedic ini berkemampuan meningkatkan tenaga kearah itu.

Hasil kajian telah menunjukkan bahawa mas cotek ini mempunyai lima komponen aktif yang berguna untuk tubuh manusia.

Komponen tersebut adalah flavonoids, tannins, triterpenoids, proanthocyanins dan phenols.

Meneroka pasaran halal dunia

Mohd. Hazrul Nizam Zainal Abidin dari Harun Puyuh Enterprise mempromosikan keenakan burung puyuh goreng, segar dari ladang.


Usahawan 1

Pakcik Harun Baba, pengusaha penternakan burung puyuh sejak 25 tahun lalu, mempunyai dua ladang ternakan puyuh seluas hampir 10 hektar di sekitar Linggi Negeri Sembilan.

Dalam satu-satu musim penternakan dianggar sebanyak 10,000 hingga 50,000 ekor puyuh diternak untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging burung itu.

Atas nama mempelbagaikan produk berasaskan daging burung puyuh ini, beliau memperkenalkan menu-menu daging puyuh yang menarik, iaitu Puyuh Goreng, Puyuh Goreng Tepung, Puyuh Madu Berempah sehingga Telur Puyuh Goreng Tepung.

“Berbanding daging ayam, daging burung puyuh mengandungi khasiat pemakanan yang lebih tinggi di samping kandungan kalorinya yang rendah.

“Masakannya juga boleh dipelbagaikan seperti memasak daging ayam, tanpa ramai yang ketahui burung puyuh sebenarnya boleh menjadi ubat kepada sesetengah penyakit, terutamanya lelah atau asma,” katanya.

Di samping itu, kata Harun, amalan makan daging puyuh boleh meningkatkan dan menjadi sumber tenaga kepada badan.

Beliau yang mengembangkan perniagaan berasaskan penternakan dan memasarkan daging burung puyuh ini benar-benar ingin pergi lebih jauh dalam sektor ini.

Beliau percaya burung puyuh mampu menjadi alternatif kepada sumber makanan berasaskan ternakan dan untuk itu beliau sedia menyahut apa juga cabarannya.

Usahawan 2

Anda amat mengenali sejenis sapuan pada roti yang berasaskan coklat, iaitu jenama N ini. N satu-satunya produk seumpama itu yang pasarannya cukup meluas di negara ini.

Ramai yang menggemarinya kerana teksturnya yang lembut, lazat dan kanak-kanak begitu menggemarinya.

Namun N adalah produk import dari luar yang berjaya menembusi pasaran umat Islam di negara ini kerana mempunyai standard halal yang dibenarkan.

Namun bagi pengusaha seperti Hishamuddin Shaharom, beliau melihat akan keperluan produk seperti ini perlu dikeluarkan di peringkat tempatan.

“Saya bukan bertujuan menjadi pesaing kepada produk N itu tetapi sekadar memberi alternatif yang lebih baik untuk dipilih oleh para pengguna,” katanya yang memperkenalkan Coco V sejak Ogos lalu.

Malah tidak sahaja kekuatannya bergantung kepada keluaran tempatan kerana kilang memprosesnya beroperasi di Pulau Indah, Kelang namun yang lebih utama, jenama Coco V (V untuk Victory) adalah 100 peratus halal.

“Dengan harga yang lebih kompetitif murah berbanding N, Coco V tidak sahaja setaraf dan setanding kualitinya dengan N tetapi sebagai umat Islam adalah menjadi satu kefarduan mendapatkan sumber makanan yang halal. Coco V adalah salah satunya,” ujar Hishamuddin.

Usahawan 3

Pernah kita digemparkan baru-baru ini dengan siaran berita mengenai kisah buah betik yang diberikan baja dari najis mughallazah atau lebih tepat najis babi dari sebuah ladang komersial di negeri P.

Walaupun betik adalah buah yang sangat halal dimakan tetapi jika dari aspek pembajaannya begitu ‘kotor’ adakah kita sanggup ‘menikmati’ buah tersebut dan menjadi darah daging dalam tubuh kita?

Si pengusaha mungkin tidak ada niat untuk menyakiti hati umat Islam kerana selagi penggunaan baja ‘asli’ itu memberikan kesan yang cukup baik terhadap peningkatan kualiti buah, soal halal haram bukannya menjadi kepentingannya lagi.

Justeru, soal halal haram dari aspek pembajaan atau sebarang bahan penyubur tanah, penggalak bunga dan buah sehinggalah semburan racun serangga perlulah diambil kira. Apatah lagi dari bidang pertanian menjanjikan pelbagai sumber makanan utama manusia.

Maka syarikat seperti Inspirasi RN Enterprise dari Alor Setar, Kedah mengambil tanggungjawab ini dengan mengeluarkan rangkaian baja yang halal dari perspektif Islam.

Ini termasuklah BIOST (Bio Indah Organic soil Treatment), Bokashi E-M (Baja Organik Bermikrob), Biost-Repella (Baja Siraman & Semburan Daun dengan Pengelak Serangga dan Biost Hormone (Baja Penggalak Akar).

Pengurus syarikat, Muzammil Mohammad berkata, pada asasnya baja-baja keluaran syarikat itu adalah dari hampas tebu yang diproses untuk dijadikan baja untuk apa juga jenis tanaman.

“Baja-baja yang kami keluarkan juga adalah bebas dari penggunaan sebarang bahan kimia yang kadang kala memberi kesan sampingan kepada kesihatan dan sistem ketahanan badan sama ada dari aspek penggunaan sehinggalah pemakanan,” katanya.

Menurut beliau, pengeluaran baja yang tidak sahaja halal dan berkualiti wajar mendapat sambutan di kalangan umat Islam bagi memastikan sumber makanan dari hasil tanaman mereka adalah benar-benar suci dan bersih.

“Kami ingin memberi sumbangan yang terbaik kepada umat Islam di samping semua itu dihasilkan berdasarkan pengalaman pengasas pengeluar baja ini, Mohamad Bin Azoddin yang sejak tahun 1974 pernah bertugas di Jabatan Pertanian,” katanya.

Usahawan 4

UBAT batuk juga sering dicemari dengan pelbagai isu, terutamanya penggunaan alkohol sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaannya. Walaupun untuk tujuan rawatan dan kesihatan, ia bukanlah alasan untuk alkohol diterima dalam Islam.

Namun yang pasti tanpa penggunaan alkohol kita masih mempunyai pelbagai bahan lain yang tidak sahaja halal malah lebih berkesan dalam merawat batuk.

Ini terutamanya penggunaan herba dan tumbuhan-tumbuhan eksotik yang Allah kurniakan kepada manusia untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Syarikat Seikhlas Budi dari Simpang, Taiping, Perak misalnya menawarkan sejenis kaedah rawatan batuk menggunakan kaedah sapu dan aromaterapi kepada mereka yang mengalami masalah batuk.

Kaedah ini dikenali sebagai Aromatherapy plus yang berasaskan tumbuhan Tee Tree dan Lavender.

“Dari umur bayi seawal dua bulan yang mengalami batuk, ubat batuk keluaran syarikat kami ini mampu untuk melegakan kerengsaan dan tidak selesa akibat batuk.

“Dengan kaedah ini, terutamanya kepada bayi itu sendiri kita dapat mengurangkan kesan daripada penggunaan ubat cecair yang kadang kala memberi kesan sampingan,” kata Pegawai Pemasarannya, Zulkefley Abdul Ghani.

Menurutnya, ubat yang mudah dibawa ke mana sahaja ini adalah alternatif apabila pesakit mengalami batuk tanpa mengira masa dan tempat.

“Tidak ada sebarang kesan sampingan seperti mengantuk dan sebagainya, malah bau harum Lavender mampu memberikan kelegaan yang lebih kepada pesakit,” katanya.

Keempat-empat pengusaha di atas adalah antara sebahagian pengusaha yang mengambil bahagian dalam Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IISTHAL 2009) selama dua hari di Pusat Konvensyen Sunway, Subang, Selangor baru-baru ini.

Mereka bukan sahaja mempamerkan produk-produk keluaran untuk tujuan pengenalan atau promosi tetapi menawarkan lebih banyak produk-produk halal yang boleh menjadi pilihan kepada umat Islam.

Semua ini menunjukkan kesungguhan yang tidak sahaja untuk meraih keuntungan tetapi yang lebih penting bagi memastikan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia menjadi satu realiti.

Walaupun kita mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai pihak luar bagi merealisasikan matlamat itu namun penyertaan dari anak-anak tempatan tentunya adalah lebih dialu-alukan.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab berkata, untuk kebanyakan negara, industri halal adalah sektor perniagaan yang paling pantas berkembang.

Malaysia sendiri bertuah kerana mempunyai kerajaan yang telah sekian lama komited dalam membangunkan industri halal sama ada di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

“Ia melalui sentiasa bekerjasama dan melebarkan jaringan bagi memastikan perkembangan yang cerah dalam industri ini terutama antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya semasa merasmikan persidangan itu.

Sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan yang bertemakan ‘Memperkukuh Industri Halal Malaysia dan Meneroka Peluang-peluang di dalamnya’ itu.

Ia dianjurkan oleh Global Islamic Tourism Conference & Exhibition (GITC), Khaaz International, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Pusat Pelancongan Islam.

Menurut Mirza, kini terdapat 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia namun malangnya negara-negara bukan Islam yang lebih mengambil untung dan manfaat dari industri halal ini.

“Bagi mengatasi ini jalan penyelesaiannya adalah mudah, iaitu seluruh negara Islam mestilah secara bersama membangunkan industri ini yang mempunyai perspektif yang sangat luas itu.

“Dengan kata lain, tidak semata-mata bergantung kepada memenuhi keperluan permintaan daging mahupun industri pertanian dan pemakanan tetapi juga segala jenis perkhidmatan yang berasaskan Islam,” katanya.

Kulit kayu manis jadi hiasan

GERAI Keningau antara gerai yang mendapat sambutan pengunjung kerana keunikan kulit kayu manis asli yang dipamerkan di pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 16 Dis. – Kulit kayu manis biasa digunakan bagi menambah rasa sesuatu masakan menjadi lebih sedap dan berbau menyelerakan.

Tanpa kulit kayu manis, sesuatu masakan itu tidak sempurna khususnya bagi masakan berkuah seperti kari dan sup.

Biasanya kulit kayu manis dipotong kecil dan dijadikan serbuk untuk dijual di semua kedai runcit, pasar raya dan pasar.

Jarang-jarang kita mendengar kulit kayu manis dijadikan sebagai perhiasan melainkan digunakan untuk menjadi perencah makanan.

Namun bagi penduduk Keningau di Sabah, kulit kayu manis tidak hanya digunakan untuk menambah rasa masakan tetapi juga dijadikan sebagai perhiasan di rumah.

Perhiasan daripada pokok kulit kayu manis itu menjadi tumpuan orang ramai sewaktu mengunjungi gerai Keningau pada pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang berakhir hujung minggu lalu.

Orang ramai yang melihat perhiasan itu bagaikan tidak percaya kulit kayu manis boleh dijadikan sebagai barang hiasan.

Mungkin ramai yang tidak terfikir kulit kayu manis berasal daripada sebatang pokok yang mampu mencapai ketinggian 30 kaki.

Pokok tersebut cukup sesuai ditanam di Tenom, Sabah kerana kesuburan tanahnya dan tidak hairanlah negeri itu menjadi pengeksport utama kulit kayu manis.

Pokok kulit kayu manis mudah ditanam di Tenom kerana suhu yang sederhana dan tidak terlalu panas.

Faktor suhu sederhana akan memudahkan lagi pertumbuhan pokok kulit kayu manis.

Kebiasaannya pokok kulit kayu manis yang telah matang boleh ditebang setelah berusia setahun.

Selepas ditebang, kulit kayu manis dari pokok tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum diproses untuk dijadikan kepingan kecil dan serbuk sebelum dibungkus untuk dijual.

Batang pokok yang tidak digunakan itu pula boleh dijadikan perhiasan kerana ia mampu mengeluarkan bau aroma yang wangi.

Bagi Warisan Sumbin, 54, yang mengusahakan perusahaan kulit kayu manis milik keluarganya berkata, bagi penduduk di Keningau, pokok kulit kayu manis amat sesuai untuk dijadikan hiasan di ruang tamu rumah.

”Sudah menjadi kelaziman masyarakat di Tenom, pokok kulit kayu manis tidak hanya digunakan sebagai bahan masakan tetapi juga sebagai perhiasan.

”Kulit kayu manis jika dijadikan perhiasan ia boleh mengeluarkan aroma yang cukup wangi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, pokok kayu manis kini menjadi kegilaan masyarakat bukan sahaja di Tenom tetapi juga di Sabah untuk dijadikan sebagai perhiasan kerana boleh mengeluarkan bau aroma yang cukup wangi.

Selain digunakan untuk menyedapkan sesuatu masakan, kulit kayu manis sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri untuk mengubat selesema dan melancarkan pengaliran darah.

Menyedari keunikan kulit kayu manis yang boleh dijadikan sebagai hiasan rumah, Warisan yang merupakan anak jati Tenom berhasrat untuk mengkomersialkan pokok itu untuk dijadikan barang hiasan.

Menurut ibu kepada 10 orang anak ini, beliau menjadikan kulit kayu manis ini sebagai mata pencariannya selepas menyedari tidak ramai yang tahu mengenai kelebihan pokok itu.

”Selepas kematian suami, saya perlu berusaha dalam meningkatkan ekonomi keluarga saya.

”Dengan menjual kulit kayu manis ini di sekitar Tenom, sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak bersekolah,” katanya.

Atas kesungguhan Warisan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah telah memberikan bantuan kepadanya untuk mengembangkan perusahaan yang dijalankannya.

Atimas popularkan produk berasaskan ikan

Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger ikan sehari selain lima produk lain dengan tenaga lima orang pekerja.

BERMULA dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin menghadapi pelbagai jenis masalah.

“Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

“Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger daripada ikan keli.

“Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini,” kata Siti Hanim semasa ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

“Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan,” katanya.

Justeru pasangan ini berfikir untuk mengubah bahan asas burger daripada ikan keli kepada ikan laut.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan, Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

“Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan,” katanya.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, beliau membesarkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi analisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50 ribu.

Buat masa ini, jelas Siti Hanim, beliau berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi bagi memenuhi pesanan pelanggan dari China dan Afrika bagi produk burger ikan.

Bagi memenuhi pasaran China yang memerlukan lebih 9,000 karton atau empat kontena burger menjelang awal tahun depan, Ami Ludin perlu memastikan bekalan mencukupi.

Justeru beliau akan membesarkan operasi kilangnya dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan dari Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran.

Selain itu kehadiran agen-agen di sekitar Lembah Kelang menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

“Kami mempunyai agen-agen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain menggunakan agen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus daripada premis kami,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim berkata, beliau bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk yang bakal dihasilkan adalah sosej ikan, nuget ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut.

Beliau juga akan menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http:atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di 016-229 2592.

Among pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah

KAMBING Boer yang kian popular di kalangan penternak kambing turut diternak oleh Azizuzanadi Zainuddin. – Gambar hiasan


KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.

“Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri,” kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.

Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, baka kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.

“Kambing Australia ini baru saya dapat, mungkin ternakan ini tak biasa lagi dengan kandang ini, sebab itu diam sahaja,” kata Among berseloroh.

Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac tahun lalu. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).

Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan. Di lantai bawah itu juga. dia membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk. Tinja kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.

Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

Pendidikan tinggi

Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.

Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.

Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, dia memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.

Tamat belajar di sekolah pondok, dia kembali ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.

Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

Semua boleh

Tamat belajar di UiTM, dia melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tamat pengajian peringkat ijazah, dia tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman bekerja di negara asing.

Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management. Azizuzanadi mengikuti pengajian ketiga-tiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.

Tamat pengajian ijazah sarjana, beliau tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.

“Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya iTU. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan,” keluh Among.

Usahawan tani

Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.

“Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya,” jelasnya.

Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.

“Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.

“Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya,” jelas Among.

Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan.

Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.

“Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar.

“Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambing-kambing ini,” kata Among dengan menambah kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.

Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.

Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biri-biri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.

Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pak ciknya.

Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.

Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.

“Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.

Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.

Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Ternakannya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.

Di antara kesibukan di kandang kambing, dia juga menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kira-kira 200 meter dari kandang kambingnya.

“Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, hari raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.

“Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.

“Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti hands-on, kita mesti tahu selok-belok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh,” katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.

Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.

Pelan lima tahun

Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai sebagai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.

Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.

Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.

“Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.

“Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.

“Kita juga boleh buat jualan secara online (Internet) bagi mereka yang tidak boleh datang ke Pelangai. Pelan saya ini mungkin dapat dibuat dalam masa lima tahun ini tetapi kalau ada pembantu dan komitmen daripada penternak lain, ia mungkin boleh dibuat lebih cepat lagi,” kata Among.

Dodol Ideris 13 perisa

Ideris Zainuddin memperkenalkan dodol 13 perisa dari kilangnya pada Karnival Pasar Tani Melaka, baru-baru ini


MELAKA 28 Dis. – Dodol adalah makanan tradisi yang kerap dihidangkan pada setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Permintaan kuih istimewa itu meningkat setiap kali menjelang perayaan tersebut kerana ia dianggap satu kemestian bagi masyarakat Melayu.

Bagaimanapun ramai penggemar dodol tidak mahu membuatnya sendiri kerana ia melibatkan kerja yang rumit kerana terpaksa mengambil masa lama dan memenatkan.

Justeru tidak ramai usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dodol, malah jumlah penyertaan mereka itu boleh dibilang dengan jari.

Namun bagi Ideris Zainuddin, 48, atau lebih dikenali sebagai Deris, dodol menjadi punca rezekinya.

Makanan tersebut dihasilkan dengan 13 jenis perisa tetapi masih mengekalkan cita rasa tradisi yang diwarisi sejak dahulu.

Biarpun memasak dodol melibatkan kerja yang mengambil masa agak lama dan cukup memenatkan tetapi bagi Ideris ia menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan.

Dodol Ideris dihasilkan dengan perisa seperti strawberi, cappucino, kismis, wajik sirat, kurma, pandan, jagung, mangga, durian, coklat, asli, nanas dan nangka.

Menurut Ideris, dodol keluarannya dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibuatnya sendiri.

”Saya bermula dengan membuat dodol berperisa asli tetapi lama kelamaan timbul idea untuk meningkatkan pengeluaran dengan menambah perisa lain.

”Bagi saya tidak salah untuk mencuba dodol dengan perisa-perisa lain dan hasil R&D yang saya jalankan sendiri dengan bantuan beberapa pihak, akhirnya ia menjadi kenyataan.

”Bayangkan daripada berperisa asli saya sudah mampu menambah pelbagai perisa dan kesemua perisa tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bagi analisis kandungan pemakanan, beliau menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Ideris berkata, perniagaan yang diusahakannya mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kini perniagaan Ideris semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Ideris memulakan perniagaan dodol dengan satu kawah yang diusahakan di belakang rumah sambil dibantu oleh ahli keluarganya.

Tetapi kini, beliau memiliki sebuah kilang yang terletak di Solok Bakar Batu, Lorong Hj. Zainudin, Kampung Kandang, dekat sini.

Kilang tersebut mempunyai tujuh buah mesin mengacau dodol dan setiap sebuah berharga RM6,500.

Katanya, setakat ini beliau mempunyai 46 pekerja yang terdiri daripada suri rumah dan anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kini Ideris mampu tersenyum atas usahanya yang berjaya menghasilkan 600 kilogram dodol 13 perisa setiap hari berbanding 420 kilogram sebelum ini.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat sebarang tempahan, boleh berhubung dengan Idris di talian 06-2695084.

'Sekuntum Roselle Sejuta Khasiat'

FAKHARIAH Ishak (kanan) menunjukkan cara mengeluarkan biji dari kuntum roselle di gerainya di Mersing.


MERSING 16 Jun – Adakah anda penggemar makanan tambahan untuk memperbaiki tahap kesihatan? Jika itu yang diinginkan, anda mungkin boleh mencuba produk daripada tanaman roselle yang dikeluarkan oleh ACF Food (M) Sdn. Bhd. (ACF Food).

Pengurus ACF Food, Fakhariah Ishak, 44, berkata, kuntuman roselle mampu bertindak sebagai antiseptik dan tonik yang baik untuk kesihatan seseorang.

“Ia juga pernah dijadikan penyembuh secara tradisi untuk batuk, demam, kanser, kegagalan fungsi jantung dan hipertensi,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, tanaman roselle mula menarik perhatian pengusaha makanan dan minuman serta produk farmaseutikal kerana ia mempunyai kebarangkalian untuk dieksploit sebagai produk makanan asli dan pewarna bagi menggantikan pewarna sintetik.

Pemilik ladang roselle seluas 4 hektar di Kampung Seri Pantai itu mula mengusahakan tanaman berkenaan sejak enam bulan lalu secara kecil-kecilan.

Hasil kuntuman segar dan muda tanaman tersebut akan dihantar ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Rengit untuk dieksport ke Australia.

“Kami mengutip hasilnya pada setiap minggu, dua atau tiga kali dengan dibantu oleh lima pekerja di ladang ini,” katanya.

Dengan moto ‘Sekuntum Roselle Sejuta Khasiat’, Fakhariah memberitahu, tanah paling sesuai untuk tanaman roselle adalah jenis pasir kuning yang tidak memerlukan air banyak.

“Penjagaan pokok roselle mudah. Ia boleh juga disiram sekali atau dua kali sehari,” kata anak kelahiran Batu Pahat itu.

Beliau berkata, produk keluaran ACF Food yang menggunakan jenama Eylia Roselle terdiri daripada jus, teh dan halwa roselle.

‘Sekuntum Roselle Sejuta Khasiat’

FAKHARIAH Ishak (kanan) menunjukkan cara mengeluarkan biji dari kuntum roselle di gerainya di Mersing.


MERSING 16 Jun – Adakah anda penggemar makanan tambahan untuk memperbaiki tahap kesihatan? Jika itu yang diinginkan, anda mungkin boleh mencuba produk daripada tanaman roselle yang dikeluarkan oleh ACF Food (M) Sdn. Bhd. (ACF Food).

Pengurus ACF Food, Fakhariah Ishak, 44, berkata, kuntuman roselle mampu bertindak sebagai antiseptik dan tonik yang baik untuk kesihatan seseorang.

“Ia juga pernah dijadikan penyembuh secara tradisi untuk batuk, demam, kanser, kegagalan fungsi jantung dan hipertensi,” katanya semasa ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, tanaman roselle mula menarik perhatian pengusaha makanan dan minuman serta produk farmaseutikal kerana ia mempunyai kebarangkalian untuk dieksploit sebagai produk makanan asli dan pewarna bagi menggantikan pewarna sintetik.

Pemilik ladang roselle seluas 4 hektar di Kampung Seri Pantai itu mula mengusahakan tanaman berkenaan sejak enam bulan lalu secara kecil-kecilan.

Hasil kuntuman segar dan muda tanaman tersebut akan dihantar ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Rengit untuk dieksport ke Australia.

“Kami mengutip hasilnya pada setiap minggu, dua atau tiga kali dengan dibantu oleh lima pekerja di ladang ini,” katanya.

Dengan moto ‘Sekuntum Roselle Sejuta Khasiat’, Fakhariah memberitahu, tanah paling sesuai untuk tanaman roselle adalah jenis pasir kuning yang tidak memerlukan air banyak.

“Penjagaan pokok roselle mudah. Ia boleh juga disiram sekali atau dua kali sehari,” kata anak kelahiran Batu Pahat itu.

Beliau berkata, produk keluaran ACF Food yang menggunakan jenama Eylia Roselle terdiri daripada jus, teh dan halwa roselle.