PULAU PINANG 8 Jun – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan agen jerapan sisa buangan pertanian menggunakan tandan kelapa sawit kosong bagi merawat air tercemar dengan kos serendah RM4.
Produk dikenali sebagai Lignozorp itu dibangunkan sejak dua tahun lalu diketuai oleh Prof. Madya Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dengan dibantu dua pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Prof. Madya Wan Saime Wan Ngah dan Prof. Wan Rosli Wan Daud serta dua pelajar ijazah lanjutan, Norliyana Mohd. Salleh dan Mohd. Firdaus Bawadi.
Menurut Mohamad Nasir, Lignozorp dihasilkan daripada tandan kelapa sawit kosong yang diekstrak menjadi lignin dan ia sangat sesuai digunakan bagi menjerap logam berat bagi perawatan air buangan yang dihasilkan daripada kitaran sisa pertanian.
Katanya, melalui kaedah jerapan yang dihasilkan itu, air tercemar oleh sisa toksik seperti plumbum, kuprum dan kromium dapat digunakan semula selain hidupan air boleh hidup di dalamnya.
”Keistimewaan Lignozorp terletak pada kos penghasilannya yang sangat rendah serta kemampuannya menjerap logam berat dalam air sisa pertanian yang menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar.
”Selain memberi kesan terhadap kesihatan, pencemaran logam berat dalam air melalui aktiviti perindustrian misalnya, merkuri, kuprum dan plumbum menjadi perhatian para penyelidik sejak sekian lama. Ini disebabkan sifatnya yang toksik kepada hidupan akuatik, manusia dan alam sekitar.
”Dihasilkan dengan kos serendah RM4 per kilogram (kg) menggunakan tanda kelapa sawit kosong berbanding produk komersial yang mencecah sehingga RM900 per kg, produk ini juga mampu mengatasi masalah berkaitan pembuangan sisa pertanian khususnya di kilang sawit,” kata Mohamad Nasir pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Selain murah, Mohamad Nasir berkata, hasil ujian yang dijalankan dengan pencerap komersial yang berada dalam pasaran menunjukkan Lignozorp terbukti mampu mengurangkan nilai keperluan oksigen kimia (COD) dan keperluan oksigen biologi (BOD) dalam air buangan, menjadikan ia satu produk yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.
Menurut beliau, produk tersebut dibangunkan melalui pembiayaan geran penyelidikan USM berjumlah RM18,570 dan telah dipatenkan pada 31 Disember 2009.
Mengulas prospek pasaran Lignozorp, Mohamad Nasir berkata, ia boleh dipasarkan menjelang tahun depan sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang sudi bekerjasama dengan USM dalam membangunkan kilang bagi menghasilkannya dalam skala lebih besar.