Kursus ternakan untuk OKU

KUALA TERENGGANU 7 Jun – Mereka tidak boleh melihat, namun ia bukan alasan untuk tidak meneruskan kehidupan.

Golongan cacat penglihatan juga mahu hidup seperti insan biasa dengan kemampuan untuk menyara kehidupan mereka sendiri dan keluarga.

Berdasarkan semangat itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kursus ternakan ikan air tawar untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (Pertis) Terengganu.

Kursus yang buat pertama kali diadakan bakal memberi manfaat serta menjadi peluang untuk menambah pendapatan warga orang kurang upaya (OKU) pada masa depan.

Sektor pertanian dan perikanan dipilih kerana ia merupakan industri yang sedang berkembang dan antara penyumbang besar kepada pendapatan negara.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika, UMT, Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, kursus itu diadakan untuk memberi kemahiran melibatkan diri dalam ternakan ikan air tawar terutamanya ikan keli.

”Program ini akan menggalakkan mereka bekerja sendiri dan mencetuskan minat untuk menceburi sektor akuakultur sebagai satu pekerjaan menjana pendapatan kelak,” katanya.

Beliau berkata, kursus itu memberi kemahiran ternakan ikan air tawar termasuk belajar menguruskan kesihatan ikan, makanan ikan dan pengurusan kualiti air ternakan tersebut.

”Kemudian mereka juga akan dibantu dengan pendedahan cara pemasaran efektif.

”Kita juga akan memantau mengenai bagaimana mereka menguruskan ternakan selepas kursus ini,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan memantau kira-kira 50 peratus proses penternakan ikan keli yang akan dilakukan oleh peserta nanti termasuk dari segi kesihatan ikan dan pengurusan ternakan.

”Kita akan membantu dalam mengatasi penyakit ikan jika berlaku jangkitan ke atas ternakan mereka,” jelasnya.

Seramai 30 anggota Pertis dipilih termasuk 10 ahli keluarga terdekat mereka yang normal untuk menyertai kursus berkenaan.

Antara yang dipelajari dalam kursus itu, katanya, adalah cara melurut ikan, menjaga air dan suhu air tangki ternakan selain pembenihan ikan.

”Dalam kursus ini, kita akan membuang sengat ikan keli dahulu kerana para peserta tidak dapat melihat.

”Kita juga akan mengajar mereka bagaimana dan bila hendak memberi makan ikan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertis, Mohamed Ismail, 56 berkata, pihaknya mengambil inisiatif dan bertemu dengan UMT dalam membantu golongan sepertinya menceburi bidang penternakan dalam menjana pendapatan.

”Golongan OKU sebelum ini amat terhad dalam mencari pekerjaan dan kami sememangnya memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, buat peringkat awal, beliau bersama peserta lain merancang untuk melakukan ternakan ikan keli itu di sekitar rumah mereka.

”Mula-mula kami ingin melakukan ternakan ikan di sekeliling rumah. Dengan ini, ahli keluarga lain juga akan dapat membantu dalam menjaga dan menguruskannya.

”Mungkin dalam perancangan masa panjang, satu pusat akan dibuka dalam melakukan ternakan secara berpusat,” tambahnya.

Beliau menambah, kebanyakan peserta yang menghadiri kursus berkenaan tinggal di kawasan perumahan OKU, Taman Rahmat, Pulau Kerengga di Marang.

”Selain itu, ada juga yang tinggal di Seberang Takir dan Kampung Telaga Batin di Kuala Terengganu.

”Kesemuanya berumur 40 tahun ke atas dan mereka berminat untuk mengusahakan ternakan ini,” katanya.

Cipta agen jerapan sisa

PULAU PINANG 8 Jun – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan agen jerapan sisa buangan pertanian menggunakan tandan kelapa sawit kosong bagi merawat air tercemar dengan kos serendah RM4.

Produk dikenali sebagai Lignozorp itu dibangunkan sejak dua tahun lalu diketuai oleh Prof. Madya Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dengan dibantu dua pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Prof. Madya Wan Saime Wan Ngah dan Prof. Wan Rosli Wan Daud serta dua pelajar ijazah lanjutan, Norliyana Mohd. Salleh dan Mohd. Firdaus Bawadi.

Menurut Mohamad Nasir, Lignozorp dihasilkan daripada tandan kelapa sawit kosong yang diekstrak menjadi lignin dan ia sangat sesuai digunakan bagi menjerap logam berat bagi perawatan air buangan yang dihasilkan daripada kitaran sisa pertanian.

Katanya, melalui kaedah jerapan yang dihasilkan itu, air tercemar oleh sisa toksik seperti plumbum, kuprum dan kromium dapat digunakan semula selain hidupan air boleh hidup di dalamnya.

”Keistimewaan Lignozorp terletak pada kos penghasilannya yang sangat rendah serta kemampuannya menjerap logam berat dalam air sisa pertanian yang menjadi punca kepada pencemaran alam sekitar.

”Selain memberi kesan terhadap kesihatan, pencemaran logam berat dalam air melalui aktiviti perindustrian misalnya, merkuri, kuprum dan plumbum menjadi perhatian para penyelidik sejak sekian lama. Ini disebabkan sifatnya yang toksik kepada hidupan akuatik, manusia dan alam sekitar.

”Dihasilkan dengan kos serendah RM4 per kilogram (kg) menggunakan tanda kelapa sawit kosong berbanding produk komersial yang mencecah sehingga RM900 per kg, produk ini juga mampu mengatasi masalah berkaitan pembuangan sisa pertanian khususnya di kilang sawit,” kata Mohamad Nasir pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Selain murah, Mohamad Nasir berkata, hasil ujian yang dijalankan dengan pencerap komersial yang berada dalam pasaran menunjukkan Lignozorp terbukti mampu mengurangkan nilai keperluan oksigen kimia (COD) dan keperluan oksigen biologi (BOD) dalam air buangan, menjadikan ia satu produk yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.

Menurut beliau, produk tersebut dibangunkan melalui pembiayaan geran penyelidikan USM berjumlah RM18,570 dan telah dipatenkan pada 31 Disember 2009.

Mengulas prospek pasaran Lignozorp, Mohamad Nasir berkata, ia boleh dipasarkan menjelang tahun depan sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang sudi bekerjasama dengan USM dalam membangunkan kilang bagi menghasilkannya dalam skala lebih besar.