Potensi industri bioteknologi

PADA ketika ini, negara telahpun memasuki fasa kedua dalam membangunkan industri bioteknologinya. Justeru, ia sepatutnya telah meninggalkan fasa merangkakrangkak untuk mengenalinya, sebaliknya perlu berkembang ke peringkat yang lebih jauh iaitu mengkomersialkannya.

Malangnya, tidak ramai antara kita yang maklum dan sedar mengenai potensinya sedangkan di peringkat global, bioteknologi telah menjadi satu industri yang besar dan berpengaruh. Nilai urusniaga bioteknologi dunia kini telah mencapai lebih RM2 trilion dengan penglibatan lebih 5,000 buah syarikat. Kebanyakannya menguasai pasaran penjagaan kesihatan, kosmetik, pertanian dan sebagainya.

Sebagai contoh tiada siapa yang sangka minuman Coca-Cola adalah hasil resipi bioteknologi. Begitu juga penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Demikianlah hebatnya kuasa bioteknologi yang jika Malaysia tidak mempedulikannya, sudah pasti ia akan ketinggalan jauh dan rugi besar. Ini kerana industri bioteknologi kini telah dianggap sebagai bidang masa depan meninggalkan cara-cara konvensional yang menjadi amalan ketika ini.

Sebelum 1970-an, istilah bioteknologi, kebanyakannya digunakan dalam industri pemprosesan makanan dan pertanian. Sejak 1970-an, ia mulai digunakan oleh badan saintifik Barat untuk merujuk kepada teknik berasaskan makmal yang dibangunkan dalam penyelidikan biologi, seperti penggabungan semula DNA atau proses berasaskan pengkulturan tisu. Malah istilah ini boleh digunakan dalam erti lebih meluas bagi menggambarkan keseluruhan kaedah silam atau moden, bagi memanipulasi organik untuk memenuhi kehendak manusia.

Justeru, bagaimana pula senarionya di Malaysia kini. Potensinya telah dihidu dan hanya dikembangkan sejak kira-kira lima tahun lalu melalui inisiatif penubuhan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) yang kini dilihat sebagai tunjang membangunkan bioteknologi Malaysia.

Ia merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan milik penuh Kementerian Kewangan. Perkembangan bioteknologi Malaysia sejak ia ditubuhkan agak memberangsangkan.

Di bawahnya, kini terdapat lebih 150 syarikat bioteknologi tempatan berstatus BioNexus yang telah menjana urusniaga lebih RM500 juta baik di peringkat tempatan mahupun global. Apa yang membanggakan kebanyakan syarikat ini yang banyak memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan penjagaan kesihatan turut mendapat suntikan pelaburan, kerjasama serta keyakinan syarikat antarabangsa.

Syarikat berstatus BioNexus adalah syarikat-syarikat bioteknologi yang telah dikenal pasti oleh BiotecCorp. sebagai berdaya maju. Justeru, ia diberi sokongan di segi pelaburan, bantuan modal, penyelidikan dan sebagainya.

Sesungguhnya Malaysia memang serius dalam membangunkan bioteknologinya. Terbaru, usaha untuk menjadikan kawasan Iskandar Johor sebagai gerbang utama bioteknologi negara telah menjadi kenyataan. Pemilihannya sebagai lokasi pembangunan bioteknologi memang sesuai, lebih-lebih lagi ia sangat berhampiran dengan Singapura yang telah agak jauh meninggalkan kita dalam bidang tersebut.

Sebahagian daripada Iskandar Malaysia sebagai gerbang bioteknologi negara akan dibangunkan oleh Bio-Xcell yang merupakan syarikat BiotechCorp sendiri. Kini, usaha-usaha untuk menjadikan kawasan itu berekosistem bioteknologi sedang giat dijalankan.

Persoalan yang melingkari Malaysia dalam soal pembangunan bioteknologi ialah masih di segi penerimaan dan pemahaman rakyat mengenainya. Walaupun ia kini telah memasuki fasa komersial, tidak dinafikan banyak lagi ruang dan potensi yang boleh dibangunkan. Paling utama ialah penglibatan rakyat dan sejauh mana mereka mampu memanfaatkan potensinya.

Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa usaha, kempen dan pendidikan mengenainya masih belum cukup. Dalam bidang pertanian misalnya, sejauh manakah institusi desa (kecuali syarikat-syarikat pertanian dan perladangan besar yang telah mempunyai pasukan penyelidikan bioteknologi tersendiri) benar-benar faham untuk menerimanya.

Selain amalan cara konvensional, tahukah mereka usaha pertanian mereka akan memberikan pendapatan berlipat ganda jika memanfaatkan teknologi itu. Seperti semua maklum, usaha pertanian yang dihasilkan melalui teknologi bioteknologi terbukti menjamin penghasilan yang tinggi, tanaman yang tahan penyakit dan mesra alam.

Bagaimanapun di peringkat desa, siapakah yang mahu memulakan usaha memajukan teknologi bioteknologi tersebut? Adakah modal insan di desa benar-benar mampu dan berkualiti dalam memenuhi kehendak itu?

Naib Presiden Kanan, Bahagian Strategi dan Perancangan BiotechCorp. Mohd. Yazid Abd. Hamis berkata, jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut adalah percaturan dan strategi yang kini dilaksanakan pihaknya bagi memastikan institusi desa terpikat dengan potensi bioteknologi.

Perkara paling asas untuk memajukan bioteknologi dalam sektor pertanian di desa ialah sikap warga desa itu sendiri dan kesediaan modal insan yang ada padanya.

”Sebenarnya menyebarluaskan penggunaan teknologi itu tidak memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam bidang sains tetapi kesediaan warga desa menerima dan melaksanakannya. Warga desa juga perlu bersedia untuk sepakat memanfaatkan setiap potensi yang ada, misalnya memaksimumkan penggunaan tanah,” katanya.

Sebagai contoh mudah bagaimana sesebuah kampung boleh maju dalam penghasilan pisang dengan menggunakan benih yang dihasilkan secara tisu kultur yang dihasilkan oleh syarikat BioNexus.

Selain meningkatkan pendapatan melalui penjualan hasil pertanian yang bermutu tinggi, penduduk desa mampu menjadi penyumbang bermakna dalam memastikan keselamatan bahan makanan negara.

”Menjadi harapan kita, mereka ini pada akhirnya bukan sahaja pengguna teknologi penghasilan benih, malah pada akhirnya mampu membangunkan teknologi itu sendiri. Tidak mustahil, mereka turut akan menjadi pengedar teknologi benih dengan mengambil alih peranan syarikat-syarikat BioNexus berkenaan.

”Senario yang sebegini bukanlah asing di negara-negara yang maju dalam bidang pertanian seperti Jepun, Taiwan dan Thailand yang berjaya menghasilkan produk-produk pertanian yang mengagumkan,” katanya dalam satu pertemuan pada Konvokesyen Bio Antarabangsa di Chicago, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Apa yang dinyatakan oleh Mohd. Yazid tidak bermakna institusi desa negara langsung tidak mengamalkan teknologi bioteknologi dalam penghasilan pertanian. Ia telahpun dilaksanakan oleh agensi-agensi berkenaan tetapi apa yang beliau maksudkan ialah pelaksanaannya yang lebih menyeluruh selaras dengan perkembangan memberangsangkan teknologi itu sendiri.

Malaysia sendiri memang kaya dengan kepelbagaian bio. Kelebihan ini sudah pasti memberikan kelebihan yang bukan sedikit buat Malaysia, bukan sahaja dalam bidang pertanian, malah dalam bidang penjagaan kesihatan sendiri.

Cabaran baru industri gaharu

Hasil pati minyak gaharu yang diperoleh bernilai ribuan ringgit.


SEBAGAI seorang petani, penternak, mahupun apa jua bidang yang diusahakan, ilmu yang berkaitan apa yang dilakukan adalah amat penting bagi memastikan kejayaan sentiasa berada di sisi kita.

Tanpa ilmu yang cukup para pengusaha boleh diibarat belayar tanpa arah tuju dan apa yang pasti hasil yang diperolehi pastinya tidak seperti yang diimpikan.

Begitulah fenomena yang sedang berlaku di dalam perusahaan tanaman karas atau lebih dikenali sebagai gaharu.

Justeru, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mengadakan sebuah seminar untuk memberi gambaran menyeluruh industri tersebut.

Ia sekali gus memberikan peluang pengusaha karas untuk memperbaiki segala kelemahan, kekurangan serta masalah yang sering dihadapi dalam perusahaan tersebut.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan serta maklumat yang lebih tepat daripada segi kajian saintifik serta aplikasi sains di dalam industri tersebut.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu di mulakan dengan sesi pembentangan kertas kerja oleh ahli akademik, jabatan kerajaan serta pengusaha yang telah berjaya.

Seramai 24 pembentang berjaya menarik perhatian peserta dengan tajuk-tajuk menarik.

Antara tajuk yang dibentangkan adalah Pengurusan Sumber dan Taburan Karas, Status dan Pembangunan Industri Gaharu Serantau dan pelbagai lagi memberi pendedahan terhadap industri tersebut.

Menurut pengarah seminar tersebut, Dr. Hazandy Abdul Hamid, ia bertujuan mengumpul para pengusaha sama ada daripada orang perseorangan mahupun syarikat ke arah satu sesi perkongsian maklumat.

“Sebelum ini tiada satu usaha dilakukan bagi mengumpulkan mereka untuk duduk semeja berbincang berkenaan hala tuju industri ini.

“Justeru peluang sebegini memberikan kita (penyelidik) ruang untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi pengusaha,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah kanan ekofisiologi dan pembaik biak pokok berkata, ia sedikit sebanyak dapat mendedahkan teknik-teknik yang betul secara ilmiah kepada pengusaha gaharu.

Tambahan pula kini negara sedang menuju ke arah negara maju di mana bidang bioteknologi semakin berkembang.

Justeru para pengusaha gaharu tidak lagi boleh berada pada takuk lama, di mereka juga perlu berubah ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, seminar tersebut bertujuan membuka minda pengusaha agar berfikir di luar kotak.

Ia bermakna setiap pengusaha gaharu perlu mempelbagaikan hasil serta produk mereka bagi memastikan kelestarian produk tersebut berkekalan sekali gus mampu membawa mereka ke arena global.

Setiap daripada golongan ini (pengusaha, penyelidik dan pengguna) sebenarnya adalah saling memerlukan.

Justeru setiap daripada mereka perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menghasilkan teknik yang benar-benar boleh digunapakai.

Jelas Hazandy, seminar tersebut berjaya membincangkan pelbagai permasalahan yang wujud didalam industri tersebut secara ilmiah.

Selain seminar, terdapat juga gerai-gerai pengusaha gaharu dibuka bagi mempamerkan barangan serta produk gaharu masing-masing.

Seminar selama tiga hari tersebut berjaya mengumpul maklumat penting daripada pengusaha serta ahli akademik berkaitan untuk meningkatkan taraf industri gaharu di negara ini.