Potensi rebung madu

Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa.

Melentur buluh biarlah daripada rebung’ adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

“Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap,” katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

“Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah,” katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

“Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.

“Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar,” katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

“Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat,” katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

“Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram,” katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

“Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan,” katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

“Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.

“Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet,” katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

“Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

“Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri,” katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

“Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on,” katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: nanbamboo@yahoo.com

IPMB teras penyelidikan UMS

Makanan ternakan ikan berkualiti dihasilkan UMS.


Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara pusat kecemerlangan yang menjadi teras kepada bidang penyelidikan di universiti terbabit.

Institut ini telah merangka beberapa strategi untuk mencapai sasaran-sasaran dan objektif-objektifnya.

Antara yang menjadi teras utama adalah untuk mencari satu pendekatan baru berasaskan ilmu pengetahuan untuk permodenan (akuakultur dengan perspektif penyelesaian masalah bagi memenuhi keperluan keusahawanan, kebolehpasaran, kebajikan masyarakat dan kepentingan negara.

Sasaran strategi program akuakultur institut ini didefinisikan sebagai aktiviti penyelidikan dan inovasi bidang akuakultur untuk pengeluaran makanan laut secara mampan.

Ia amat bersesuaian dengan tema keseluruhan institut iaitu Pemuliharaan dan Pembangunan Mampan Sumber Marin.

Ia dihasilkan untuk menyediakan kepentingan istimewa kepada penyelidikan berinovasi agar dapat mencapai matlamat pengeluaran makanan laut secara mampan dari segi ekonomi dan juga mesra alam.

Institut ini telah menghasilkan makanan buatan atau makanan akuakultur (aqua feed) yang berkualiti tinggi khusus untuk ikan kerapu dan berjaya menghasilkan kit-kit diagnostik untuk pengesanan penyakit-penyakit ikan.

Produk- produk ini telah pun sedia untuk dikomersialkan.

Dua bidang utama yang dibangunkan di IPMB iaitu akuakultur dan sains marin berjalan seiring dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Pendekatan saling melengkapi ini adalah terbukti daripada jenis bidang-bidang penyelidikan yang berikut:

lOseanografi fizikal – Kajian profil kedalaman laut, corak arus, keadaan ombak, kejadian hidrodinamik yang berkaitan dengan monsun, pasang-surut air adalah penting untuk melengkapi kajian tentang pengkulturan ikan dalam sangkar serta perladangan rumpai laut.

Profil kedalaman laut, corak arus, keadaan ombak, kejadian hidrodinamik yang berkaitan dengan monsun, pasang surut membawa keluar sisa buangan ikan dari sangkar.

lOseanografi fizikal- Untuk juga melalui kajian kualiti mendapan dinamik tenaga di zon intertidal, dan tebing laut. melengkapi kajian ekosistem marin seperti memperbaiki (istilah ni saya tak pasti apa maksud kamu) habitat untuk tumbesaran yang berkaitan dengan pembinaan semula stok induk:

lOseanografi kimia – Analisis kimia air seperti gas-gas terlarut, nutrien, dan logam berat adalah penting untuk menentukan mutu sumber air untuk pusat-pusat penetasan mahupun untuk penternakan ikan dan udang

lOseanografi biologi – Kajian fenomena air pasang merah atau red tide laut merah dapat membantu mengurangkan kerugian di kalangan penternak-penternak ikan sangkar dengan menyampaikan maklumat terkini dan amaran-amaran awal.

Memantau kejadian-kejadian seperti kelimpahan obor-obor ataupun kehadiran yang luar biasa organisma lain (fitoplankton atau invertebrat). Memerhatikan tentang kesan pengkulturan tumbesaran di laut terhadap fauna bentik (bahagian dasar).

UMS hasilkan kerapu hibrid

Analisis air untuk menentukan kualiti ternakan antara aspek penting yang perlu diambil kira.


Bidang akuakultur semakin penting sejajar dengan matlamat meningkatkan sumber makanan negara menerusi pertanian dan perikanan.

Lebih menarik ia telah dikenal pasti menjadi sektor pengeluaran makanan yang paling pesat berkembang dengan kadar pertumbuhan 10 peratus setahun.

Peningkatan dalam permintaan makanan laut serta hasil tangkapan perikanan yang semakin berkurangan telah mendorong penerokaan bidang ini.

Justeru, banyak pihak tampil menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran ikan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Antara agensi yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan akuakultur ialah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan akuakultur di institut tersebut bermula sejak tahun 1995, yang ketika itu hanya dikenali sebagai Unit Penyelidikan Marin Borneo sejurus selepas penubuhan UMS.

Pada bulan Jun 2000, unit tersebut dinaik taraf menjadi sebuah pusat kecemerlangan dan dikenali sebagai IPMB.

Akuakultur merupakan bidang keutamaan IPMB. Ia didorong oleh permintaan makanan laut yang meningkat dan kepentingannya kepada ekonomi negara seperti yang terkandung dalam Dasar Pertanian Negara.

Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) institut terbabit, Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh, antara sumbangan terpenting IPMB kepada industri akuakultur negara ialah penyelidikan dan penghasilan ikan kerapu hibrid.

”Ikan kerapu menjadi keutamaan kerana kepentingan ekonomi dan terdapat jurang antara bekalan dan permintaan,”katanya..

Kata beliau, pengurusan induk adalah aspek yang paling penting dalam kajian penghibridan ikan kerapu.

Induk daripada dua spesies iaitu kerapu harimau dan kerapu gergasi dipelihara sehingga matang.

Bagaimanapun, pembiakan aruhan melalui penggunaan hormon HCG atau human chorionic gonadotropin juga dijalankan untuk mematangkan telur.

Hormon pada dos 500 IU/kg diberikan kepada induk betina melalui suntikan interperitoneal pada dasar sirip pektoral ikan.

Telur ikan kerapu harimau yang telah matang kemudian dikutip melalui kaedah pelurutan perut ikan.

Telur yang terkumpul di dalam mangkuk plastik kemudian disenyawakan dengan sperma daripada kerapu gergasi yang telah dikumpul lebih awal menggunakan alat pengumpul sperma yang khas.

Perkembangan telur yang tersenyawa akan dipantau sehinggalah menetas.

Larva ikan yang baru menetas akan dipelihara dengan teliti dengan memberikan makanan hidup seperti rotifer bermula dari hari ke-2 selepas menetas sehingga hari ke-20.

Artemia kemudian diberikan sehingga usia 45 hari selepas menetas dan diikuti dengan pemberian makanan rumusan (aqua feed) apabila telah mencapai peringkat juvenil.

Pemberian makanan rumusan seawal mungkin adalah penting untuk melatih anak-anak ikan untuk menerima makanan rumusan berbanding ikan baja khususnya apabila kelak dilepaskan ke dalam kolam-kolam atau sangkar-sangkar ternakan.

Hasil kacukan merupakan sasaran penyelidikan intensif untuk sebarang tanda-tanda heterosis (atau vigor hasil kacukan) iaitu keupayaan hasil kacukan untuk mengatasi sifat-sifat tertentu induk ikan.

Parameter yang menjadi tumpuan istimewa adalah tumbesaran, fleksibiliti pengadaptasian, kemandirian dan kematangan awal yang boleh membawa kelebihan dalam bidang akuakultur.

Bagaimanapun, disebabkan oleh mekanisme-mekanisme genetik yang kompleks dan interaksi rumit antara alam persekitaran dan gen-gen, satu kajian lanjutan diperlukan untuk menjawab persoalan mengenai kelebihan praktikal pengacukan ikan kerapu.

Kajian mengenai ciri-ciri morfologi menunjukkan bahawa hasil kacukan ini mempunyai sifat keturunan yang paling rapat dalam generasi pertama.

Namun, hasil kacukan tidak menunjukkan keseragaman antara satu sama lain.

Penanda molekular dihasilkan untuk penggunaan dalam kajian kepelbagaian populasi mengenai genotip induk ikan dan hasil kacukannya.

Hasil kacukan akan ditapis berdasarkan ujian-ujian kecergasan dan pembentukkan hubungan di antara ciri-ciri yang dikehendaki yang diwakili oleh fenotip dan penanda molekular yang mewakili genotip.

Pendekatan kajian yang dijalankan termasuklah pemencilan turutan DNA yang unik tanpa mengorbankan spesimen.

DNA diekstrak dari cebisan sirip, diperbanyakkan dengan menggunakan primer PCR multipleks diikuti dengan pengklonan dan PCR turutan amplikon.

Penanda turutan telah disimpan ke dalam GenBank.