Kordial mangga ke pasaran antarabangsa

Saparu Walli Mohamed di hadapan syarikatnya di Jejawi, Kangar, baru-baru ini.


KANGAR 9 April – Kira-kira lima tahun lalu, mempelam sala tidak mempunyai nilai di pasaran sehinggakan petani-petani mencampakkan buah itu ke dalam sungai. Ketika itu, mempelam berkenaan tidak dapat dipasarkan kerana penawaran yang terlalu tinggi sedangkan penggunaannya terhad khususnya dimakan segar.

Rentetan peristiwa itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mencari idea untuk mempelbagaikan produk daripada mempelam jenis tersebut.

Ketika itulah, Saparu Walli Mohamed yang telah mengusahakan sebuah kilang minuman herba ditawarkan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap mempelam itu agar mempunyai nilai komersial.

Setelah tiga bulan R&D dijalankan, tercipta kordial mangga yang menggunakan seratus peratus isi mempelam sala Perlis.

Kini setelah tiga tahun beroperasi, kordial mangga itu menjadi kebanggaan rakyat negeri ini kerana bukan sahaja ia mendapat permintaan tinggi di dalam negara malah telah menembusi pasaran antarabangsa seperti di Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Brunei dan Singapura adalah negara yang terawal berminat dengan produk ini malah kami telah memasarkannya sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kilang memproses minuman itu di Kawasan Industri Mara, Jejawi, Kangar, baru-baru ini.

Saparu yang merupakan Pengarah Urusan Frutania Industry berkata, kilangnya menghasilkan sehingga 2,000 botol kordial mangga sehari dengan harga RM6.50 seliter.

“Kordial ini turut dijual di beberapa pasar raya besar di negara ini dan Singapura,” katanya yang turut meraih pendapatan kira-kira RM40,000 sebulan hasil pasaran kordial itu di Singapura dan Brunei.

Istimewanya kordial mangga Perlis ini ialah ia menggunakan 100 peratus isi mangga sala sekali gus menjadikan ia minuman buah-buahan yang mempunyai perisa asli.

Saparu berkata, kordial mangga itu dipasarkan mengguna label Agromas iaitu hasil pemasaran daripada FAMA dan label Terinai bagi kerajaan negeri Perlis.

Kordial mangga itu juga telah memenangi pelbagai anugerah pada Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi kategori minuman.

Ini termasuk tempat pertama bagi kategori minuman kesihatan dan kecantikan pada tahun lalu dan tahun 2007 serta tempat ketiga pada tahun 2008.

Bagi mempelbagaikan produk, Frutania Industry telah menghasilkan produk menggunakan label dan pemasaran sendiri dengan memperkenalkan kordial mangga campuran lobak pada awal tahun ini.

Katanya, usaha memperkenalkan produk baru itu bertujuan meluaskan pasaran syarikat sebagai pengeluar minuman kesihatan tanpa terlalu bergantung kepada FAMA.

“Sehingga kini kerajaan, FAMA dan agensi lain telah banyak membantu Frutania dari segi fizikal dan kewangan dalam memajukan perniagaan kami, ” ujarnya.

Saparu memberitahu, produk syarikatnya semakin mendapat sambutan ekoran pengguna kini mula beralih kepada minuman berteraskan kesihatan seperti kordial buah-buahan yang bebas bahan pengawet dan perasa tiruan.

Oleh kerana kordial mangga yang dikeluarkan syarikatnya menggunakan isi mangga 100 peratus maka ia bukan sahaja enak diminum malah turut menyumbang kepada kebaikan kesihatan seperti menambah tenaga, ketahanan badan, antikanser, melancarkan sistem pencernaan dan meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan.

Mengimbau kembali detik menceburi bidang perniagaan ini, Saparu berkata, beliau bermula sebagai usahawan industri kecil dan sederhana sejak tujuh tahun lalu apabila menghasilkan produk herba seperti buah pegaga dan minuman kesihatan dengan modal RM50,000.

“Namun apabila kami mula memasarkan produk kordial mangga sejak tiga tahun lalu, keuntungan syarikat mula meningkat,” katanya.

Beliau berkata, Frutania Industry bakal memiliki sebuah kilang baru yang berkeluasan kira-kira dua hektar menjelang akhir tahun ini bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap produk berteraskan herba.

Kilang berkenaan yang akan didirikan di Kuala Perlis turut dilengkapi kemudahan dan mesin pemprosesan yang canggih dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s