Halimah terkenal dengan kek coklat

Halimah Ibrahim tekun menyediakan kek coklat yang ditempah pelanggan.


MINAT memasak sememangnya wujud di dalam hati sejak sekian lama tetapi tidak tahu di manakah silapnya, dia tidak meneroka dengan lebih mendalam untuk memuaskan keinginan hati.

Tetapi hari ini setelah menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, Halimah Ibrahim, 49, akhirnya berjaya merealisasikan impian yang telah dipendam begitu lama.

Segala-galanya bermula setelah Halimah meletakkan jawatan sebagai juru teknik di salah sebuah syarikat swasta di ibu negara kira-kira tiga tahun lalu.

Dengan alasan ingin memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga, setelah anak-anak meningkat dewasa dan ingin memanfaatkan masa yang terluang. Akhirnya Halimah nekad untuk menghadiri kursus yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian di dalam bidang makanan iaitu pembuatan roti dan pastri, pembuatan kuih tradisional dan pembuatan kek.

Dari situ Halimah mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh ketika berkursus tetapi lebih memberi tumpuan kepada pembuatan kek coklat.

Walaupun diusahakan secara kecil-kecilan, kek coklat Halimah cukup terkenal di kalangan rakan-rakan serta sahabat-handai.

”Saya tidak mempunyai kedai dan hanya mengusahakan dari rumah.

”Walaupun dibuat secara kecil-kecilan, permintaan untuk kek coklat pasti ada setiap minggu dan untuk itu saya akan pastikan stok kek coklat sentiasa ada untuk memenuhi permintaan pelanggan.

”Asalnya pelanggan-pelanggan saya hanyalah terdiri daripada kenalan serta sahabat handai tetapi akhirnya ia ‘merebak’ daripada mulut ke mulut dan Alhamdulillah kek coklat saya sudahpun sampai ke seluruh Malaysia,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Ditanya kenapa hanya mengusahakan kek coklat sedangkan beliau tahu membuat roti serta kuih tradisional, jelas anak kelahiran Gurun, Kedah ini, beliau tidak mampu membuatnya seorang diri. Sekiranya beliau turut membuat roti dan kuih tradisional, takut ia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Bukan itu sahaja, tambah beliau, dengan keadaannya yang menghidap penyakit kencing manis, beliau tidak berupaya melakukan sesuatu kerja itu dalam tempoh masa yang lama kerana beliau cepat penat.

Namun begitu, dengan mendapat sokongan padu daripada suami serta anak-anak tersayang, Halimah tetap meneruskan perniagaannya apabila tiba hujung minggu.

”Setiap minggu pasti ada tempahan dan sekurang-kurangnya saya perlu menyediakan 14 biji kek dalam seminggu.

”Itu belum termasuk sekiranya ada pelanggan yang mahukan segera seperti untuk hidangan pada majis tahlil, menjamu tetamu yang datang ke rumah dan sebagainya.

”Setakat ini saya hanya memberi tumpuan kepada tempahan kek coklat manakala untuk kuih tradisional pula akan dibuat pada hujung minggu sekiranya ada tempahan,” katanya.

Untuk kuih tradisional, Halimah menyediakan kuih talam pelbagai jenis seperti talam cendol, talam keladi, talam kacang, talam jagung, juga talam sagu dan tidak ketinggalan karipap dan popia.

Walaupun telah menghadiri kursus, Halimah menjelaskan bahawa kemahiran memasak turut dipelajari daripada ibu mertuanya sendiri.

Ini kerana ibu mertuanya pernah mengusahakan kantin serta membuka restoran.

Tidak hairanlah sekiranya jika satu hari nanti Halimah akan membesarkan perniagaannya kerana beliau sememangnya dikelilingi oleh ipar-duai yang turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Bagi mereka yang ingin merasa kelazatan kek coklat Halimah bolehlah menghubungi beliau di talian 017-2488165.

Tetapi, pelanggan perlu mengambilnya sendiri kerana Halimah tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran kecuali di sekitar bandar Shah Alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s