Baja semburan mesra alam

G.I. Grow baja semburan yang mempunyai elemen lengkap untuk semua jenis pokok.


Sejajar dengan kemajuan sektor pertanian negara yang semakin memberangsangkan, baja memainkan peranan penting dalam membantu menghasilkan produk berkualiti di samping meningkatkan produktiviti pertanian tempatan.

Baja yang bersesuaian dengan keadaan tanah memberi banyak faedah kepada golongan tani di negara ini.

Selain itu baja yang mesra alam juga diperlukan dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin kritikal hari ini.

Sebab itu D.I. Grow ditampilkan bukan sahaja untuk memberi pulangan yang lumayan kepada para petani malah ia mampu membuat para petani tersenyum puas.

Keberkesanan D.I. Grow dilihat bukan sahaja kerana ia mampu memberikan hasil di luar jangkaan malah ia juga mampu menyuburkan pokok serta tanaman yang seakan-akan ‘hidup segan, mati tidak mahu’.

Menurut Pengedar baja tersebut, Zahari Ismail, 47, D.I. Grow merupakan baja semburan yang dapat membantu para petani meningkatkan lagi hasil keluaran masing-masing.

”Hasil kajian dan penyelidikan telah membuktikan penggunaan baja semburan sangat berkesan untuk mencegah pengguguran putik dan bunga, memperbaiki kualiti bunga dan buah, memanjangkan masa penyimpanan buah dan bunga, menambah hasil pungutan serta pengurangan penyakit (meningkatkan daya tahan).

”Baja jenis semburan juga sesuai untuk sayur-sayuran, pokok buah-buahan, kelapa sawit, koko, padi, rumput, tumbuhan hiasan, benih dan lain-lain.

”Untuk itu, baja serbaguna G.I. Grow telah dihasilkan dan ia juga sesuai digunakan untuk pertanian sistem fertigasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, sejak berada di pasaran lima tahun lalu, G.I. Grow bukan sahaja baja semburan yang mempunyai elemen lengkap untuk semua jenis pokok malah bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya juga telah melalui proses penyelidikan dan dikaji terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

Mengandungi unsur asas baja makro (N:P:K) dan makro elemen iaitu untuk penyuburan pokok, daun, menggalakkan pertumbuhan akar, penyuburan bunga, putik dan buah, G.I. Grow juga merupakan baja semburan yang mesra alam, tanpa racun, tidak memberi kesan sampingan kepada tanah dan juga selamat.

Jika dilihat daripada sejarahnya, baja semburan telah mula digunakan di kalangan negara-negara maju sejak tahun 1953 lagi.

Malah menurut laporan kajian Profesor Donald Howard dari kumpulan Sains Tumbuhan dan Tanah, Pejabat Pengajian Sains, Tennessee, Amerika Syarikat (AS), baja semburan bukan saja menambah hasil pungutan tetapi juga meningkatkan keuntungan.

Merupakan produk 100 keluaran tempatan , G.I. Grow dilihat mampu memberikan hasil yang baik seperti isi yang berkualiti, saiz yang berbeza serta rasanya yang enak.

”Untuk produk baja D.I. Grow, kami menyediakan dua jenis iaitu D.I. Grow hijau (N21 P21 K21) untuk membesarkan tanaman dan melebarkan daun manakala D.I. Grow merah (N12 P25 K30) untuk melebihkan bunga dan melebatkan buah.

”Selain kedua-duanya mesra alam, D.I. Grow hijau sesuai digunakan pada peringkat pertumbuhan pokok dan tanaman manakala D.I. Grow merah pula sesuai digunakan pada peringkat pembungaan dan buah.

”Untuk itu ia bukan sahaja disasarkan untuk petani-petani atau peladang-peladang besar, malah ia juga sesuai untuk mereka yang menanam di kawasan yang kecil,” ujarnya.

Bagaimanapun bagi mereka yang menggunakan produk D.I. Grow, dinasihatkan agar goncang baja tersebut sebelum digunakan. Elakkan semburan apabila matahari terik. Masa yang paling berkesan untuk semburan ialah waktu senja. Ulangi semburan sekiranya hujan turun dalam masa enam jam selepas semburan.

Bagi mereka yang ingin mencuba baja D.I. Grow, boleh menghubungi 019-3325570 atau 03-89421141.

Hasil benih kelah terbaik

KETUA Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub melepaskan benih ikan kelah yang berjaya di hasilkan di PPA di Perlok sungai Kuala Serau, Lipis, Pahang.


IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.

Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.

Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.

Dikenali sebagai ‘King of the River’, kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.

Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah.

Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.

”Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju.

”Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.

Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.

Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.

Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor).

Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.

Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.

Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Ujar Mohamad Hatta, induk kelah yang diperoleh kini merupakan generasi kedua (F2) selepas kejayaan pertama pembenihan ikan tersebut.

Selain menghasilkan benih kelah PPA Perlok ini juga turut menghasilkan benih ikan lampam sungai, baung, keli dan patin.

PPA Perlok turut menerima tempahan daripada orang perseorangan mahu pun mana-mana syarikat untuk melakukan proses pembenihan ikan menurut permintaan.

Diwujudkan sejak tahun 1998, PPA Perlok secara rasminya dibuka pada tahun 2000 dan berkeluasan 110 ekar.

Kelebihan

Apa yang menjadi kelebihan kawasan PPA Perlok ini adalah kerana mudah untuk mendapatkan punca air semulajadi yang bersih.

Sehingga kini, PPA Perlok telah menghasilkan ribuan anak benih ikan air tawar untuk menampung keperluan ke seluruh negara.

Selain itu, anak benih ikan air tawar tersebut juga telah dilepaskan di sungai-sungai sekitar Pahang bagi tujuan meningkatkan sumber perikanan di negeri itu.

Dengan itu, ia mampu mengelakkan sumber ikan di sungai yang amat bernilai, pupus kerana pelbagai faktor antaranya masalah pencemaran, penggunaan tanpa kawalan atau pembiakan semula jadi yang tidak memberangsangkan.