Keistimewaan Muruku SalHas

SALMAH (kiri) bersama pekerjanya menyediakan beberapa produk makanan ringan di kilangnya.


KEPALA BATAS 31 Mac – Peluang menyertai kursus mengenai hal ehwal ekonomi wanita di Jepun telah membakar semangat Salmah Hashim, 63, untuk menjadi seorang usahawan.

Beliau menuntut ilmu dan berguru di negara matahari terbit itu selama tiga minggu mendalami ilmu keusahawanan dan prospek ekonomi wanita.

Hasilnya, apabila pulang ke tanah air, pesara guru Kursus Asas Fardu Ain (KAFA) itu mula menceburi industri makanan iaitu maruku dan beberapa jenis kudapan lain.

Menurut Salmah, hasil idea dan resipi rahsianya juga, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan usaha menghasilkan beberapa jenis makanan seperti muruku, simpul kasih, kuih siput dan kerepek bawang.

Kini, hasil ketekunan dan usaha gigih ibu tunggal ini, lahirlah produk muruku SalHas yang mendapat tempat di banyak kedai runcit dan kiosk makanan di seluruh negara.

“Saya mencipta resipi sendiri sebagai ramuan menghasilkan muruku dan makanan lain yang selari dengan selera rakyat Malaysia.

“Ramai pelanggan mengakui adunan bahan yang saya hasilkan cukup istimewa sehingga mudah mendapat tempat bukan sahaja di seluruh negara malah menjangkaui seberang Tambak Johor iaitu Singapura,” katanya ketika ditemui di kilangnya di sini baru-baru ini.

Selepas hampir 20 tahun beroperasi di rumahnya di Kampung Aman dekat sini, Salmah semakin selesa beroperasi di kilang baru di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena.

Premis kilang yang diduduki sejak tiga bulan lalu itu dilengkapi dapur dan ruang penyediaan yang luas selain kemudahan surau, tandas dan bilik air yang sempurna.

Dibantu lapan pekerja yang kebanyakannya juga ibu tunggal, Salmah mengakui tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan pelanggan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Ada kalanya saya terpaksa mendapatkan pekerja sambilan untuk menyiapkan semua tempahan agar tidak mengecewakan pelanggan dari Johor, Kelantan, Terengganu dan Sarawak serta Medan, Indonesia.

“Selain itu saya juga sering menyertai pameran dan ekspo pertanian untuk memasarkan produk termasuk mencari peluang ke pasar raya besar di negara ini,” ujarnya.

Keistimewaan kerepek dan muruku hasil resipi Salmah bukan sahaja bergantung kepada rasanya tetapi juga tahan lama sehingga mampu mencecah enam bulan ke setahun jika disimpan dengan betul.

pekerja membungkus pelbagai produk makanan ringan di kilang milik Salmah.


Ditanya tentang cabaran, Salmah mengakui kenaikan harga barang mentah sedikit sebanyak menggugat perniagaan kerana ia 100 peratus bergantung kepada bahan-bahan seperti tepung dan rempah.

Selain itu, kesukaran memasarkan hasil keluaran kilangnya juga membuatkan beliau terpaksa bekerja lebih keras untuk mencari peluang pemasaran dengan dibantu beberapa agensi kerajaan.

Antara agensi yang banyak membantu beliau adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Jelas Salmah, beliau sangat terhutang budi kepada Perda dan FAMA yang banyak membantu dalam aspek pemasaran produk keluarannya itu.

Perda juga ujarnya, membantu melalui aspek pembungkusan produk yang menepati kehendak pelanggan dan lebih mudah untuk disimpan.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memberi bantuan peralatan seperti mesin bancuhan dan mesin menggoreng kerepek.

Harapan Salmah kini adalah produk keluarannya mampu menjadi pilihan utama di rak-rak pasar raya besar serta boleh diterima oleh pengguna di seluruh pelosok dunia.

Mereka yang berminat mendapatkan muruku dan kerepek keluaran Salmah bolehlah berkunjung ke kilangnya di PPK Pokok Sena di sini ataupun menghubungi beliau di talian 04-5753558 atau 016-4358509.

Harumanis berimej baru melalui pelekat khas

Sebahagian daripada pengunjung tertarik dengan mempelam Harumanis selepas majlis pelancaran Jualan Musim 2010 di Ladang Bukit Bintang, Kangar, semalam.


KANGAR 1 April – Musim mempelam Harumanis kini bermula di Perlis, lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini yang lazimnya bermula pada penghujung April atau Mei.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, tahun ini juga mempelam berkenaan diberi imej baru melalui pelekat khas bagi memastikan buah yang dijual di pasaran mempunyai kualiti yang disahkan oleh Jabatan Pertanian.

“Malah, tahun ini juga mempelam harumanis sebanyak tiga tan metrik telah dihantar ke Jepun untuk melalui standard spesifikasi pengeksportan dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Beliau berucap merasmikan pelancaran Jualan Mempelam Harumanis Musim 2010 di Pusat Pertanian Bukit Bintang I, Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri, Ghazali Zakaria.

Bagaimanapun Md. Isa berkata, musim kali ini turut menyaksikan penyusutan pengeluaran kira-kira 50 peratus di Pusat Pertanian Bukit Bintang I berbanding tahun lalu.

“Tahun ini kita hanya dapat mengeluarkan sebanyak 55 tan mempelam harumanis di pusat berkenaan berbanding 100 tan pada tahun lalu berikutan ketidaktentuan cuaca,” katanya.

Namun, beliau berkata, penghasilan mempelam harumanis di kawasan lain terutama oleh penduduk kampung dijangka dapat memenuhi permintaan orang ramai terutama pelancong luar.

“Mempelam daripada penduduk kampung ini terutama di Jalan Ulu Pauh dan Jalan Simpang Empat dipantau oleh Jabatan Pertanian agar mematuhi amalan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, Perlis menyasarkan pengeluaran mempelam harumanis berjumlah 2,000 tan metrik menjelang 2015.

“Jangkaan ini adalah hasil tanaman pokok mempelam berkenaan berjumlah 15,000 batang bermula tahun ini melalui kempen 1 rumah 5 pokok dalam kalangan penduduk negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, program Desa Harumanis iaitu tanaman mempelam berkenaan di beberapa kampung melalui pemantauan Jabatan Pertanian dijangka dapat merancakkan pengeluaran mempelam tersebut.

Sementara itu, Ghazali berkata, harga mempelam harumanis masih dikekalkan seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu melalui lima gred yang ditetapkan.

Bagi gred super harganya ialah RM10 sekilogram, Gred A (RM8), Gred B (RM7), Gred C (RM6) dan harga bagi Sub Gred ialah RM5 sekilogram.