GenKimo baja teknologi hijau

Dr. Ramli Mohd. Noor bangga dengan kejayaannya menghasilkan GenKimo di Serdang, baru-baru ini.


Penggunaan pelbagai jenis racun dalam pertanian menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Justeru penggunaannya perlu dihadkan dan digantikan dengan pelbagai mikroorganisma bermanfaat (IMO).

Selain menggantikan racun serangga, IMO boleh digunakan dalam proses penapaian sisa tanaman industri bagi makanan ternakan.

Hasil daripada silaj berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi makanan ternakan tetapi juga sebagai baja sekali gus menghalau serangga dan mengurangkan bau busuk.

Justeru penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO.

Mendapat pendidikan di Jepun, Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd Noor menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan.

Bermula sebagai kajian sampingan, akhirnya Ramli berjaya menghasilkan silaj makanan ternakan menggunakan IMO tempatan.

Produk yang dinamakan GenKimo dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

“GenKimo merupakan sejenis produk probiotik yang mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel.

“Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Produk GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.

Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran tumbuhan dan ketahanan terhadap penyakit.

penapaian nutrien asli

“GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian.

“Silaj merupakan proses bagi menyimpan makanan ternakan dalam tempoh tertentu,” katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.

Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga dalam silaj.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.

Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

“Kajian di ladang-ladang ternakan ruminan yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya,” katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman pula menggunakan konsep persekitaran hutan yang subur dengan mengumpulkan mikrob berguna dari sana.

Ramli berkata, aktiviti mikrob di hutan yang subur menghasilkan enzim dan asid amino yang baik untuk pereputan dan penghadaman serta meningkatkan bilangan mikrob berguna.

“Mikrob berguna ini amat baik untuk menghalang dan merencatkan bakteria jahat,” katanya.

GenKimo-1 untuk tanaman amat sesuai bagi menggalakkan percambahan, tumbesaran, penghasilan dan keranuman produk tanaman.

Selain itu produk ini juga dapat meningkatkan keupayaan proses fotosintesis tanaman serta menukar bahan organik kepada baja dengan cepat.

Produk berkenaan juga berupaya menambah daya ketahanan tumbuhan terhadap serangan serangga dan penyakit serta mampu memulih dan menambah baik keadaan fizikal, kimia dan biologi tanah.

Ramli berkata, GenKimo-bio pula merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

“Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik.

“Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan,” katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.

“GenKimo-composeed juga mampu merangsang pertumbuhan yang baik serta meningkatkan daya ketahanan penyakit.

“Menyegarkan tanah dan memperbaiki agregat tanah,” katanya.

Produk berkenaan mampu dikomersialkan memandangkan ia memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara seperti di Pingat Emas semasa BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s