Rusa lubuk emas Mohamad

DENGAN mengenakan jeans dan kemeja lusuh di samping topi ala koboi yang tidak pernah lekang di kepalanya, Mohamed Akbar, 50, pastinya kelihatan seperti lelaki biasa di kalangan individu yang baru pertama kali terserempak atau bersua dengannya.

Namun, siapa sangka di sebalik penampilan biasa lelaki ini yang mudah mesra dengan sesiapa saja, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Mat antara penternak rusa bertaraf jutawan.

Boleh dikatakan, projek ternakan diusahakannya antara projek Bumiputera paling besar dan berjaya di negara ini.

Mohamad yang juga pemilik D’Paradise Deer Valley and Exotic Farm (D’Paradise) di Bukit Beruntung, Selangor berkata, penampilannya memang sebati dengan dirinya yang dibesarkan dalam kehidupan susah.

Ini terutama apabila mengenangkan kembali saat kecil bersama ibu bapa yang melakukan kerja pertanian dan memelihara lembu sebagai punca pendapatan.

Selepas menamatkan pelajaran di tingkatan lima, Mohamed mula belajar berdikari dengan bekerja sebagai tukang kasut.

“Jika iimbas semula kisah hidup ini, saya memang bukan berasal daripada keluarga senang, malah pendidikan yang saya terima juga tidak sampai ke menara gading.

“Sejak tamat persekolahan, pekerjaan pertama yang saya lakukan sendiri ialah menjadi tukang kasut dan faham-faham sajalah, hasil daripada kerja itu tidaklah lumayan,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia boleh berkecimpung dalam bidang penternakan rusa yang pastinya asing bagi rakyat di negara ini, Mohamad berkata, segala-galanya bermula 10 tahun lalu apabila dia mula membeli sebanyak 20 rusa baka Timorensis yang diimport dari Australia.

Pada waktu itu dia sudah empat tahun menjalankan penternakan lembu dan kambing sebaik berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1996.

Namun, Mohamed mendapati ternakan rusa yang baru cuba disertainya pada waktu itu menunjukkan peningkatan lebih memberangsangkan berbanding ternakan lembu dan kambing yang lebih rumit untuk diuruskan.

“Ketika saya berjinak-jinak dalam ternakan lembu dan kambing, memang boleh dikatakan ternakan yang saya usahakan itu berjaya, tetapi yang membuatkan saya berubah fikiran dan beralih kepada ternakan rusa adalah selepas mendapati rusa yang saya baru beli itu tidak memerlukan perbelanjaan besar.

“Penternakan rusa mampu menghasilkan kadar pulangan lebih cepat tanpa perlu menjual dagingnya seperti lembu atau kambing,” kata Mohamed.

Membuatkan dia lebih tertarik mengenai rusa adalah kerana tempoh matang haiwan berkenaan lebih cepat berbanding ternakan lain iaitu hanya dalam masa 18 bulan.

Katanya, dalam tempoh itu rusa betina mampu bunting manakala rusa jantan pula mula mengeluarkan tanduk atau lebih dikenali sebagai velvet, sekali gus membantu pengeluaran hasilnya.

“Ini yang ramai orang tidak tahu mengenai rusa. Kebanyakan orang menganggap rusa sebagai liar dan sukar diternak, tetapi haiwan ini sebenarnya lebih jinak dan sangat sukar mengamuk berbanding lembu atau kambing.

“Lebih istimewa lagi, tanduk yang tumbuh pada rusa jantan boleh dibuat ubat dan jika dijual, harganya saja boleh mencecah hingga RM1,000 sekilogram tanpa perlu mengorbankan rusa berkenaan,” katanya.

Selepas tujuh tahun melihat potensi ternakan itu, Mohamed nekad menjual semua ternakan lembu serta kambing yang diusahakannya dan beralih terus kepada penternakan rusa tanpa mahu menoleh ke belakang.

Sehingga kini dia mampu tersenyum bangga apabila baka rusa Timorensis yang dulunya berjumlah 20 ekor kini bertambah sehingga 1,500 ekor membabitkan 600 ekor induk betina dan 300 induk jantan.

Sementara itu, bakinya membabitkan 300 anak rusa Timorensis jantan dan 300 betina.

Selain baka itu, Mohamed mempunyai empat baka rusa berlainan membabitkan baka rusa tempatan dikenali sebagai Sambar sebanyak 70 ekor, Axis-axis iaitu baka rusa dari India (15), serta dua baka rusa dari Amerika Syarikat iaitu Fellow (10) dan Nilgai (13).

Dengan jumlah rusa melebihi 1,500 ekor, dia berkata, kadar pulangan daripada tanduk rusa yang dijual, termasuk daging, mampu mencecah hingga RM500,000 setahun.

Mohamed berkata, semua bahagian rusa sememangnya boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi penternak haiwan berkenaan. Selain tanduknya yang berharga, kulit serta tengkoraknya mempunyai nilai di pasaran.

“Dagingnya kalau dijual kebiasaannya mencecah hingga RM80 sekilogram, manakala kulitnya pula mencecah hingga RM500 sekilogram. Tengkorak kepalanya berharga kerana ia selalu dijual dengan kadar harga RM800 setiap satu sebagai perhiasan,” katanya.

Menurutnya, faktor kawasan menjadikan rusa mudah diternak serta dibiakkan berikutan tidak memerlukan kawasan besar.

Katanya, haiwan berkenaan boleh dibiakkan cukup sekadar dengan meletakkannya di kawasan untuk memudahkan bergerak, sekali gus menyenangkan kerja memberi makanan.

2 thoughts on “Rusa lubuk emas Mohamad

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s