Popular coklat Perlis

COKLAT produk Perlis diusahakan dua usahawan muda lepasan siswazah, Wan Shaharuni Wan Ali dan Nor Hanani Mokhter nyata membanggakan.

Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga berhasrat menjadikan usaha mereka itu sebagai salah satu tarikan pelancong ke negeri yang terkenal dengan pengeluaran mempelam harumanis.

Mereka mengusahakan produk itu hampir dua tahun lalu menggunakan jenama Chocolike yang kini semakin mendapat permintaan memberangsangkan termasuk di pasaran Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Chocolike dihasilkan menggunakan seratus peratus koko asli gred A iaitu mentega koko untuk coklat jenis pralin, truffle dan crunchy. Coklat lain seperti lolychoc pula dihasilkan dengan ramuan koko gred B atau koko kompaun yang dicampur dengan lemak sayur-sayuran.

Menurut Wan Shaharuni, 33, selain coklat susu, Chocolike mempunyai pelbagai jenis perisa seperti mentega kacang, kacang hazel, strawberi serta buah campuran.

“Kami kini mengkaji untuk menghasilkan coklat berperisa mangga terutama mangga keluaran Perlis,” katanya.

Menerusi syarikat Citra Jentayu Enterprise, Chocolike dipasarkan melalui ejen yang dilantik di seluruh negara selain individu yang menempah melalui laman web http://www.chocolike.com.my.

Akhir bulan ini, pengeluaran coklat berkenaan akan dilakukan sepenuhnya di bengkel lengkap dengan pelbagai mesin pemprosesan coklat di Pusat Perantis Bukit Temiang, Beseri dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

“Pengeluaran coklat ini dihasilkan menggunakan biji koko tempatan yang diperoleh daripada Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Coklat keluaran syarikat kami akan mendapat pemantauan yang rapi daripada pihak berkaitan terutama daripada segi pengiktirafan halal, kod bar dan pembungkusan.

“Kini, kami menggunakan kira-kira 150 kilogram bongkah coklat sebulan. Ia mencecah 250 kilogram sebulan apabila tiba musim perayaan namun apabila bermula operasi di pusat perantis itu, kami dijangka menggunakan 1,500 kilogram coklat sebulan,” katanya.

Menurut Nor Hanani, 31, pembabitan mereka dalam industri berkenaan setelah mengkaji kecenderungan penggemar coklat di negara ini terutama umat Islam yang kini mempunyai kesedaran tinggi mengenai produk coklat halal.

Kedua-dua usahawan berkenaan sebelum ini meletak jawatan sebagai eksekutif di syarikat automobil terkemuka semata-mata mengejar cita-cita menjadi usahawan coklat di Perlis.

Kata Nor Hanani, semuanya bermula pada akhir 2008 selepas dia dan Wan Shaharuni mengikuti kursus asas pembuatan coklat anjuran LKM selama empat hari di Bangi, Selangor.

“Selepas itu, kami mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan coklat melalui bantuan LKM yang menyediakan bahan mentah iaitu koko selain pemantauan agensi itu terhadap kualiti coklat.

“Selepas berpuas hati dengan maklum balas orang ramai, kami memulakan perniagaan ini dari rumah dengan modal sendiri,” katanya.

Usaha mereka turut mendapat perhatian daripada Jabatan Belia dan Sukan yang memberi sumbangan untuk membeli peralatan acuan coklat tahun lalu melalui dana usahawan muda.

Mereka juga menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menjalankan ujian makmal bagi mendapatkan fakta nutrisi dan pelekat.

One thought on “Popular coklat Perlis

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s