Uniknya ternakan kambing Boer

Abdul Aziz Jamaludin (kiri) bersama kakitangannya memberi penerangan kepada pelatih mengenai kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’ di Serting, semalam. – utusan/Abd. Razak Aid


JEMPOL 8 Mac – Sebut sahaja mengenai kambing, ada di kalangan kita yang menggemari keenakan dan kelazatannya baik ia dipanggang mahupun digulai mengikut cita rasa masingmasing.

Tidak kurang pula yang menganggap daging kambing merupakan salah satu faktor menyebabkan berlakunya komplikasi penyakit termasuklah darah tinggi berikutan kadar kolestrol yang tinggi.

Berikutan itu tidak ramai di kalangan penternak di negara ini yang bergiat secara aktif dalam penternakan kambing apatah lagi kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’.

Bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan, Subur Sejahtera Sdn. Bhd. menghasilkan baka berkenaan yang dilihat satu usaha bagi memastikan bekalan import daging kambing dapat dikurangkan.

Menurut Pengarah Urusannya, Abdul Aziz Jamaludin, syarikat yang mula ditubuhkan sejak 2003 ini bukan sahaja menghasilkan jenis baka kambing bermutu tinggi malah mempunyai saiz yang besar.

“Apa yang dapat kita lihat kambing jenis ‘Cross Boer’ dan ‘Full Blood Boer’ ini merupakan kacukan beberapa baka kambing yang dipilih dan disesuaikan dengan keadaan iklim negara ini.

“Ia bukan sahaja kurang hamis berbanding dengan kambing biasa malah jika dilihat saiznya lebih besar,” katanya.

Kata beliau, sehingga kini sebanyak 1,393 ekor masih diternak oleh syarikat dan jumlahnya dijangka terus bertambah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ditanya mengenai aspek penjagaan kedua-dua jenis kambing berkenaan, Abdul Aziz mengakui agak sukar untuk menjaga kambing berkenaan memandangkan ia memerlukan perhatian dan pemeriksaan yang lebih kerap.

Katanya, pernah terjadi 800 ekor kambing kedua-dua jenis baka ini mati akibat serangan penyakit menyebabkan syarikatnya terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Itu merupakan pengalaman pahit syarikat kami dan sejak dari itulah kita telah menjalankan pelbagai cara termasuk perbincangan dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Pada masa sama, bagi memastikan baka-baka ini mendapat makanan yang sesuai kita juga telah menanam rumput jenis Guinea, Stylo dan Nipea.

“Malah melalui pengalaman itu juga pihak syarikat juga bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing berkenaan malah memberi mereka penerangan pengetahuan mengenai cara penjagaannya,” katanya.

Ditanya mengenai kebolehupayaan baka ini dipasarkan di peringkat tempatan, Abdul Aziz sehingga kini berkata, permintaan terhadap kedua-dua baka kambing ini amat memberangsangkan mengikut gred.

Katanya, sehingga kini permintaan di negeri ini terus meningkat terutamanya di beberapa kawasan Felda selain orang perseorangan untuk menjalankan industri penternakan.

“Setiap baka jantan gred ‘Full Blood Boer’ dijual antara harga RM1,000 hingga RM1,500 manakala baka betina dijual antara RM600 hingga RM1,200 seekor.

“Pada masa sama, kita juga bercadang untuk memberikan khidmat nasihat kepada pembeli yang mana kita bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing kepada orang ramai malah mendidik cara dan bagaimana untuk menternak,” katanya.

Bio Green 2020 revolusi baja

Bio Green mampu meningkatkan hasil tanaman antara 30 hingga 50 peratus.


Pertanian adalah perniagaan. Slogan ini sememangnya ada kebenarannya kerana bidang pertanian pasti menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Malaysia mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi justeru permintaan terhadap produk makanan juga adalah amat tinggi.

Hal demikian memaksa negara mengimport sumber makanan seperti beras, buah-buahan, ikan dan daging dari negara luar.

Namun, jika setiap warga negara ini mempunyai kesedaran untuk menghasilkan produk makanan sendiri mungkin kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan.

Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik minat rakyat untuk menceburi bidang pertanian.

Jika usaha demikian berjaya maka ia pasti dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan meningkatkan kadar ekonomi serta taraf hidup rakyat.

Seruan kerajaan tersebut segera disambut oleh rakyat, maka pelbagai projek pertanian dilaksanakan namun malangnya hasil yang diperolehi tidak begitu memuaskan.

Maka banyak projek yang terpaksa ditutup berikutan petani terpaksa menanggung kerugian dan modal pusingan yang tidak mencukupi kerana hasil yang diperolehi tidak menguntungkan.

Menyedari hakikat tersebut, syarikat Agro Marin Sdn. Bhd. hadir dengan idea dan produk yang mampu membuatkan mana-mana petani tersenyum lebar melihat hasil mereka.

Dikenali sebagai Bio Green 2020, produk ini merupakan sebatian baja cecair yang diperkaya dengan bahan organik seperti aloe vera, asid humik, asid amino dan ektrak rumpai laut.

Menurut Pengurus Besar Agro Marin, Sharifuddin Abu Samah, Bio Green berfungsi seperti baja yang sedia ada di pasaran tetapi ia memiliki kelebihan berlipat kali ganda berbanding baja biasa.

“Bio Green 2020 dirumus khas sebagai baja seimbang yang lengkap dengan unsur-unsur makro dan mikro (makanan- makanan lengkap bagi tumbuhan).

“Ia juga terbukti sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti padi, tanaman landskap, buah-buahan, sayur-sayuran, rumput Turf, kelapa sawit, getah, koko, tembakau dan tanaman suhu sederhana seperti epal, strawberi serta ceri,” katanya.

Melalui formula gabungan bahan- bahan ‘chelated’, Bio Green memastikan kesediaan nutrien kepada tanaman secara maksimum tanpa pembaziran.

Ia juga boleh digunakan untuk sistem titis dan fertigasi yang sesuai untuk tanah berpasir dan tanah bermasalah.

Dirumus dari sumber bahan bergred tinggi (AR Grade) menjadikannya baja cecair yang unik, bermutu tinggi di pasaran.

Cara untuk mengendalikannya juga amat mudah, hanya perlu dicampurkan air dengan kadar sukatan yang betul kemudian disemburkan kepada bahagian tertentu tumbuhan.

“Contohnya jika kita menanam sayur- sayuran, hanya perlu disembur pada daun manakala untuk pokok buah-buahan disembur terus kepada buah.

“Jika pada pokok yang mengeluarkan hasil daripada batang seperti getah hanya sembur pada pangkalnya,” ujar Sharifudin.

Apa yang lebih menarik produk ini boleh disembur bersama-sama racun serangga tanpa ada tindak balas akibat percampuran kedua-dua bahan tersebut.

Kini para petani boleh tersenyum lebar dan tidur lena kerana kos pembajaan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bio Green juga mampu meningkatkan hasil tanaman antara 30 dan 50 peratus dan konsisten pada setiap musim.

Jika petani menggunakan baja biasa (baja biji) ia akan memakan masa untuk diserap dan kadang kala nutrien yang dibekalkan tidak dapat diserap sepenuhnya oleh tanaman.

Berbanding baja ini, ia boleh diserap dalam masa tiga hingga empat jam sahaja berbanding baja bijian yang memakan masa berhari-hari.

Jelas Sharifudin, baja bijian biasanya memiliki 25 peratus sahaja nutrien atau baja dan selebihnya adalah bahan pengikat yang terdiri daripada tanah liat atau bahan lain.

Bio Green juga menggalakkan pengeluaran bunga dan pembesaran buah di samping menjadikan daun berkilat, bunga lambat gugur dan warna kelopak bunga lebih terang.

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat Agro Marin Sdn. Bhd. di talian 03-60920716 atau boleh layari blog syarikat tersebut di http://biogreen2020.blogspot.com.

Sisa arang batu hasilkan baja berkualiti

Muhammad Syahren Adzahar menunjukkan baja yang dihasilkan daripada sisa arang batu serta pingat yang dimenangi hasil inovasinya.


Tanah yang kurang subur memerlukan bahan perapi untuk membantu meningkatkan kesuburan.

Penghasilan baja organik daripada pelbagai bahan sisa pertanian memerlukan bahan mentah yang banyak untuk menghasilkannya.

Manakala penggunaan baja kimia pula akan menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

Bagaimanapun kini terdapat kaedah menghasilkan asid nitro humik (NHA) menggunakan kaedah kitar semula HNO3 yang dijalankan oleh penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Kajian yang dijalankan oleh Pegawai Penyelidik, Program Pengurusan Air dan Tanah, Pusat Penyelidikan Strategik, Muhammad Syahren Adzahar berjaya menghasilkan menghasilkan NHA untuk digunakan dalam formula baja.

“Teknologi pengekstrakan NHA yang berjaya dihasilkan amat berkesan, konsisten, mesra alam dan boleh dihasilkan dalam skala besar menggunakan kaedah nitrifikasi arang batu jenis sub bitumin yang berkualiti rendah.

“Arang batu jenis ini tidak sesuai digunakan untuk penjanaan tenaga kerana kandungan karbon yang rendah kurang daripada 50 peratus selain membebaskan gas sulfur yang mencemarkan alam sekitar,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor.

Praktikal

Apa yang menarik proses pengekstrakannya tidak membebaskan sebarang sisa toksik kerana bahan HNO3 yang digunakan dapat dikitar semula tanpa memberikan kesan ketara dari segi peratus hasil ekstrak dan sifat NHA yang dihasilkan.

Oleh itu jelas Muhammad Syahren, kos melupuskan NHO3 yang tinggi serta pencemaran hasil proses pelupusan dapat diselesaikan dengan teknologi kitar semula bagi menghasilkan NHA.

Menyentuh mengenai kelebihan teknologi yang dihasilkan, Muhammad Syahren berkata, ia sangat efektif dan praktikal.

“Teknologi berkenaan amat praktikal kerana menggunakan bahan buangan arang batu bagi menghasilkan NHA yang berkualiti dan amat diperlukan dalam sektor pertanian,” katanya.

Hasil pengekstrakan NHA mencecah 80 peratus membuka ruang untuk menggantikan sumber asid humik sebagai bahan penting dalam menghasilkan baja.

Dari segi komersial, teknologi pengekstrakan berkenaan dapat memenuhi keperluan asid humik di negara ini sekali gus mengurangkan import baja negara terutama dari China, Australia dan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 20,000 liter setahun dalam bentuk cecair dan 30,000 tan dalam bentuk pepejal.

Muhammad Syahren berkata, produk booster tanaman berasaskan NHA berbeza dari baja cecair biasa kerana ia mensasarkan tahap kritikal pertumbuhan tanaman.

“Kajian yang dijalankan menunjukkan baja yang diformulasi daripada NHA dapat memberikan kesan terbaik dalam meningkatkan prestasinya,” katanya.

Secara amnya NHA boleh digunakan dalam menghasilkan formulasi baja foliar bagi memenuhi keperluan spesifik sesuatu tanaman seperti padi, cili dan tomato.

Bagi menguji formulasi baja NHA, satu percubaan tanaman padi secara kawalan dan komersial telah dijalankan secara meluas.

Hasilnya menunjukkan peningkatan hasil yang konsisten sebanyak satu tan sehektar bagi aplikasi enam liter di kawasan yang sama bagi dua kali semusim.

Semburan pertama dilakukan apabila muncul tanda pembungaan dan sekali lagi selepas 10 hari semburan pertama bagi mendapatkan aplikasi pembungaan pokok padi.

Dengan nisbah keuntungan 1:2.9 merupakan peningkatan hasil padi bagi peningkatan peratusan pengisian bijirin sebanyak 15 peratus kepada 75 peratus di tapak ujian petani.

Formulasi bagi tanaman cili pula, kata Muhammad Syahren meningkat 15 peratus bagi hasil kawalan 3.5 kg sepokok.

Kekerapan semburan bagi pokok cili adalah sebulan sekali setelah dipindahkan dari tapak semaian.

“Menggunakan baja formulasi NHA, petani dijangka mendapat nisbah keuntungan sebanyak 1:3 bagi jualan ladang RM3.00 bagi sekilogram cili,” katanya.

Muhammad Syahren berharap teknologi yang dihasilkan dan digunakan secara komersial mampu membantu negara mengurangkan nilai import.

“NHA diramal akan menjadi pengganti HA (asid humik) sebagai input dalam pengeluaran produk baja kerana ciri biokimianya yang sama seperti HA.

“HA telah digunakan dengan meluas sebagai ejen pengikat dalam formulasi baja cecair serta bahan penambah dalam sebatian baja,” katanya.

HA memang terkenal dengan fungsinya dalam meningkatkan kesuburan tanah, menggalakkan pengambilan nutrien tanaman, meningkatkan aktiviti biologi tanah dan keupayaan kapasiti memegang air oleh tanah.

Dianggarkan saiz potensi pasaran produk NHA booster (baja foliar) mencecah 17 juta liter setahun.

Manakala nilai potensi pasaran baja NHA dalam bentuk butiran (granular) pula mampu mencecah RM bilion melalui pasaran baja butiran di seluruh negara.

Baja yang telah dikomersilkan dengan kerjasama syarikat input pertanian terkenal CCM Fertilizers Sdn Bhd dalam membangunkan kilang perintis di Shah Alam, Selangor.

Buat masa ini syarikat berkenaan mengeluarkan formulasi bagi tanaman padi Gromax padi bagi mengatasi masalah padi hampa dan meningkatkan pengisian bijirin padi.

Muhammad Syahren berkata, sehingga kini sambutan bagi formulasi padi amat menggalakkan di kalangan petani.

Teknologi berkenaan bukan saja mendapat perhatian syarikat input pertanian di negara ini malah mendapat Pingat Emas semasa Pameran Brussels Eureka dan Brussels Innova Energy pada 2007 di Belgium bagi Kategori Pertanian Baja NHA.

Pada bulan November lalu, teknologi berkenaan sekali lagi mendapat perhatian apabila berjaya mendapat Pingat Emas dalam kategori Teknologi Pengekstrakan Kimia Industri semasa Pameran Idea Invention New Products di Nuremberg, Jerman.

S. Farzin usahawan cendawan tiram kelabu

S.Farzin Jafar sedang melihat bongkah cendawan di dalam bangsal yang diusahakannya di Kampung Sri Bukit Panjang, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 11 Mac – Walaupun bermula sebagai kontraktor binaan dan kerja-kerja besi, namun S. Farzin Jafar, 33, kini mampu bergelar usahawan tanaman cendawan tiram kelabu yang berjaya.

Walaupun bidang pertanian pada awalnya adalah sesuatu yang asing, namun beliau membuktikan minat mampu mengatasi segalanya.

Bagi S. Farzin dari Kampung Sri Bukit Panjang, di sini, usaha beliau bermula di dalam bilik di rumahnya dengan menyediakan 500 bongkah cendawan.

Beliau juga mengakui tidak mempunyai asas serta pengetahuan mengenai tanaman tersebut tetapi telah mempelajari tekniknya daripada seorang pengusaha cendawan yang berjaya di Kampung Parit Betak, Benut.

Menurutnya, daripada 500 bongkah awalnya, beliau kini mempunyai 18,000 ribu bongkah cendawan di dalam empat bangsal yang dibina dengan perbelanjaannya sendiri.

“Sebanyak RM30,000 telah dibelanjakan bagi membina bangsal atau rumah cendawan, membeli mesin pembancuh habuk, alat pengukusan, habuk kayu dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, terdapat lebih kurang 30,000 jenis cendawan di seluruh dunia dengan 5,000 daripadanya boleh dimakan.

Katanya, bagaimanapun di Malaysia, daripada 5,000 spesies yang ada, hanya 17 jenis sahaja yang boleh dimakan.

Jelas S. Farzin, melalui pembelajaran yang diikuti, beliau membuat sendiri bongkah cendawan yang diisi dengan habuk kayu getah serta dicampurkan dengan dedak gandum serta sedikit habuk kapur.

“Benih cendawan yang diperoleh daripada pembekal akan diletakkan selepas bongkah cendawan atau beg media dikukus selama lapan jam,” ujarnya.

Katanya, cendawan tiram kelabu yang diusahakan itu biasanya mengeluarkan hasil selepas 60 atau 70 hari ditanam dan akan tumbuh semula selepas dua atau tiga hari hasilnya dituai.

“Bagi sesuatu bangsal atau rumah cendawan, ia mampu menempatkan sebanyak 5,000 bongkah cendawan atau beg media yang disusun di atas rak,” ujarnya.

Mengenai pasaran cendawannya, beliau memberitahu, selain dipasarkan di daerah Pontian, beliau juga menghantarnya ke sebuah syarikat biotek di Kulai yang akan memasarkannya ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, matlamatnya ketika ini ialah untuk memperoleh kira-kira 100 kilogram cendawan tiram kelabu sehari dengan menambah dua lagi bangsal pada tahun ini.

Selain mengusahakan tanaman cendawan, S. Farzin juga kini bertindak sebagai mentor’ kepada mereka yang berminat untuk melibatkan diri dengan kegiatan yang menguntungkan itu.

“Saya kini mempunyai dua orang pengusaha cendawan yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.

Di samping itu, beliau turut menganjurkan kursus asas penanaman cendawan tiram kelabu.