Otosil MARDI hasilkan makanan ternakan

Otosil memenangi Anugerah Inovasi Negara 2009 bagi kategori Industri.


Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.

Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import.

Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit.

Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini.

Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj.

Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian.

Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.

Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap.

Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

“Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual.

“Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos.

“Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,” kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang.

Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda.

Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan.

Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai.

Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan.

Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

“Atas alasan ini maka saya berfikir untuk mencipta sebuah mesin yang mampu menghasilkan silaj dengan cekap dan akhirnya Otosil dicipta,” jelasnya.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial.

Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.

Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000.

Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor.

Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi.

Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini.

Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

“Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara.

“Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia.

“Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,” katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik.

Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis.

Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s