![]() |
Penanam tembikai bersama pegawai FAMA pada majlis menandatangani kontrak pembelian hasil ladang di Kampung Bendang Luas, Tumpat, kelmarin.
|
TUMPAT 3 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri memeterai perjanjian pemasaran hasil tembikai di bawah Ladang Kontrak dengan tiga penanam di Kampung Bendang Luas di sini, kelmarin.
Mohd. Roslan Mohd. Nor dari Jajahan Tumpat, Che Ali Hussin dari Kota Bharu dan Tan Hin dari Pasir Mas merupakan antara sebilangan petani yang gigih dan cuba meneroka pengeluaran secara komersial dengan memanfaatkan peranan FAMA.
Dengan cara ini, mereka tidak lagi perlu memikirkan soal pasaran kerana sudah ada jaminan berhubung perkara itu.
Sebaliknya tumpuan hanya perlu diberi untuk mengeluarkan hasil yang baik dan petani terlibat sudah boleh mencongak berapa perolehan hasil penat lelah mereka kelak.
Pada masa yang sama, mereka dapat terus dibantu bagi meningkatkan hasil yang berterusan, menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP).
Perjanjian tersebut melibatkan pasaran pengeluaran bagi tahun ini yang ditandatangani antara Timbalan Pengarah FAMA Negeri Kelantan merangkap Pengurus Operasi FAMA Jajahan Kota Bharu, Fauzi Muhammad dengan penanam terlibat.
Hadir sama pada majlis itu, Penasihat High Input Projek (HIP) Ladang Kontrak, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mariam Lebam.
Pengarah FAMA negeri, Mamat Yunos yang turut menyaksikan perjanjian itu berkata, pihaknya menjangkakan dapat memasarkan kira-kira 400 tan tembikai pada musim penanaman kali ini.
Katanya, dengan harga 50 sen sekilogram, jumlah jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM200,000 dengan setiap petani masing-masing mampu mendapat hasil sehingga RM6,000 sebulan.
”Ini berdasarkan sebahagian daripada tanaman yang dimulakan pada Januari lalu itu akan mengeluarkan hasil berterusan sehingga Jun ini,” katanya.
Menurut Mamat, perjanjian yang diadakan itu juga selaras dengan matlamat kerajaan Pusat untuk membantu meningkatkan pendapatan petani sehingga RM2,000 sebulan.
Katanya, di bawah pemantauan agensi terlibat termasuk FAMA, Jabatan Pertanian dan Mardi, penanam terlibat mengusahakan kira-kira 17 hektar di tempat yang berasingan.
Tapak ladang tembikai terlibat katanya, termasuk 8.4 hektar di Kampung Bendang Luas, Tumpat, 2.8 hektar di Kampung Banggol Lepah, Ketereh dan enam hektar lagi di Pasir Mas.
Beliau yakin dengan keadaan cuaca yang baik, penanam terlibat mampu mengeluarkan tembikai Gred A pada musim ini.
Sementara itu, Mohd. Roslan Mohd. Nor, 41, berkata, dia lega kerana melalui perjanjian dengan FAMA memastikan pasaran buah tembikai yang bakal dikeluarkan musim ini terjamin.
Dia menjangka mengeluarkan kira-kira 230 tan dengan meraih pendapatan kira-kira RM160,000.
”Pendapatan itu berkurangan kerana tahun ini harga lantai bagi buah tembikai turun kepada 50 sen sekilogram berbanding 80 sen sekilogram tahun lalu, itu satu yang lumrah,” ujarnya.
Namun baginya pendapatan itu lumayan berbanding semasa beliau memulakan projek tanaman itu di kawasan seluas 0.8 hektar di Kampung Beris Lalang, Bachok pada tahun 2006.
Dia kemudiannya memperluaskan tanaman ke Tumpat melibatkan kawasan seluas 8.4 hektar dan menggunakan 25 orang pekerja untuk mencantum benih tembikai.
Bagi menjaga semasa pokok tembikai sedang membesar katanya, dia mempunyai tiga orang pekerja sepenuh masa.
Menurutnya, dia yakin mampu mendapat hasil yang memuaskan kerana terdapat kerjasama dengan FAMA, MARDI dan Jabatan Pertanian yang sentiasa memantau kerja-kerja yang dilakukannya.
”Berpunca dari kejayaan yang dicapai, saya akan meneroka kawasan tanaman baru di Kuala Krai dan kerja-kerja pembersihan kawasan dilakukan tidak lama lagi,” kata ayah kepada empat orang anak itu.
Che Ali Hussin, 62, menyifatkan dia masih belum terlewat untuk memulakan projek tanaman tembikai bagi meningkatkan pendapatannya.
Pengusaha tanaman cili kulai itu berkata, walaupun bakal menghadapi masalah yang berbeza, tetapi dia yakin dapat mengatasinya dari pengalaman yang diperoleh sebelum ini.
Justeru katanya, apabila seorang jirannya menawarkan tanahnya untuk sewaan menanam tembikai, dia teruja untuk menerimanya.
Bersama dua orang rakannya, Sanudin Yusof, 45, dan Mohd. Kamaludin Hussin, 45, mereka memulakan tanaman tembikai secara bersepadu di kawasan itu untuk pertama kalinya musim ini.