Tiga petani gigih manfaatkan peranan FAMA

Penanam tembikai bersama pegawai FAMA pada majlis menandatangani kontrak pembelian hasil ladang di Kampung Bendang Luas, Tumpat, kelmarin.


TUMPAT 3 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri memeterai perjanjian pemasaran hasil tembikai di bawah Ladang Kontrak dengan tiga penanam di Kampung Bendang Luas di sini, kelmarin.

Mohd. Roslan Mohd. Nor dari Jajahan Tumpat, Che Ali Hussin dari Kota Bharu dan Tan Hin dari Pasir Mas merupakan antara sebilangan petani yang gigih dan cuba meneroka pengeluaran secara komersial dengan memanfaatkan peranan FAMA.

Dengan cara ini, mereka tidak lagi perlu memikirkan soal pasaran kerana sudah ada jaminan berhubung perkara itu.

Sebaliknya tumpuan hanya perlu diberi untuk mengeluarkan hasil yang baik dan petani terlibat sudah boleh mencongak berapa perolehan hasil penat lelah mereka kelak.

Pada masa yang sama, mereka dapat terus dibantu bagi meningkatkan hasil yang berterusan, menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik (GAP).

Perjanjian tersebut melibatkan pasaran pengeluaran bagi tahun ini yang ditandatangani antara Timbalan Pengarah FAMA Negeri Kelantan merangkap Pengurus Operasi FAMA Jajahan Kota Bharu, Fauzi Muhammad dengan penanam terlibat.

Hadir sama pada majlis itu, Penasihat High Input Projek (HIP) Ladang Kontrak, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mariam Lebam.

Pengarah FAMA negeri, Mamat Yunos yang turut menyaksikan perjanjian itu berkata, pihaknya menjangkakan dapat memasarkan kira-kira 400 tan tembikai pada musim penanaman kali ini.

Katanya, dengan harga 50 sen sekilogram, jumlah jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM200,000 dengan setiap petani masing-masing mampu mendapat hasil sehingga RM6,000 sebulan.

”Ini berdasarkan sebahagian daripada tanaman yang dimulakan pada Januari lalu itu akan mengeluarkan hasil berterusan sehingga Jun ini,” katanya.

Menurut Mamat, perjanjian yang diadakan itu juga selaras dengan matlamat kerajaan Pusat untuk membantu meningkatkan pendapatan petani sehingga RM2,000 sebulan.

Katanya, di bawah pemantauan agensi terlibat termasuk FAMA, Jabatan Pertanian dan Mardi, penanam terlibat mengusahakan kira-kira 17 hektar di tempat yang berasingan.

Tapak ladang tembikai terlibat katanya, termasuk 8.4 hektar di Kampung Bendang Luas, Tumpat, 2.8 hektar di Kampung Banggol Lepah, Ketereh dan enam hektar lagi di Pasir Mas.

Beliau yakin dengan keadaan cuaca yang baik, penanam terlibat mampu mengeluarkan tembikai Gred A pada musim ini.

Sementara itu, Mohd. Roslan Mohd. Nor, 41, berkata, dia lega kerana melalui perjanjian dengan FAMA memastikan pasaran buah tembikai yang bakal dikeluarkan musim ini terjamin.

Dia menjangka mengeluarkan kira-kira 230 tan dengan meraih pendapatan kira-kira RM160,000.

”Pendapatan itu berkurangan kerana tahun ini harga lantai bagi buah tembikai turun kepada 50 sen sekilogram berbanding 80 sen sekilogram tahun lalu, itu satu yang lumrah,” ujarnya.

Namun baginya pendapatan itu lumayan berbanding semasa beliau memulakan projek tanaman itu di kawasan seluas 0.8 hektar di Kampung Beris Lalang, Bachok pada tahun 2006.

Dia kemudiannya memperluaskan tanaman ke Tumpat melibatkan kawasan seluas 8.4 hektar dan menggunakan 25 orang pekerja untuk mencantum benih tembikai.

Bagi menjaga semasa pokok tembikai sedang membesar katanya, dia mempunyai tiga orang pekerja sepenuh masa.

Menurutnya, dia yakin mampu mendapat hasil yang memuaskan kerana terdapat kerjasama dengan FAMA, MARDI dan Jabatan Pertanian yang sentiasa memantau kerja-kerja yang dilakukannya.

”Berpunca dari kejayaan yang dicapai, saya akan meneroka kawasan tanaman baru di Kuala Krai dan kerja-kerja pembersihan kawasan dilakukan tidak lama lagi,” kata ayah kepada empat orang anak itu.

Che Ali Hussin, 62, menyifatkan dia masih belum terlewat untuk memulakan projek tanaman tembikai bagi meningkatkan pendapatannya.

Pengusaha tanaman cili kulai itu berkata, walaupun bakal menghadapi masalah yang berbeza, tetapi dia yakin dapat mengatasinya dari pengalaman yang diperoleh sebelum ini.

Justeru katanya, apabila seorang jirannya menawarkan tanahnya untuk sewaan menanam tembikai, dia teruja untuk menerimanya.

Bersama dua orang rakannya, Sanudin Yusof, 45, dan Mohd. Kamaludin Hussin, 45, mereka memulakan tanaman tembikai secara bersepadu di kawasan itu untuk pertama kalinya musim ini.

Nanas jana ekonomi keluarga

Kerja-kerja menanam semula nanas.


SEJAK kecil, dia telah terlibat dalam aktiviti pertanian. Minat itu bukan sekadar memenuhi masa lapang tetapi untuk menambah pendapatan.Baginya, pertanian adalah sumber ekonomi keluarga. Ia untuk meneruskan kelangsungan hidup lantaran kesempitan yang membelenggu mereka.

Didorong oleh semangat dan keazaman apabila menyaksikan kegigihan dan ketekunan orang tuanya berbudi kepada tanah dengan menanam nanas hingga menjadi punca rezeki keluarga, Johaini Sarju, 35, nekad untuk mengubah nasib keluarga yang hidup dalam kesusahan.

Baginya pertanian, satu kerja mulia berbudi kepada tanah dan memilih nanas sebagai tanaman utama kerana kesesuaian tanah dan faktor mudah mendapat pasaran di situ.

Justeru, tidak timbul rasa segan meskipun terpaksa membanting tulang empat kerat setiap hari asalkan keperluan ekonomi keluarga dipenuhi.

Seawal usia 16 tahun, Johaini sudah mula membantu ayahnya menanam nanas di kebun mereka di Kampung Semerah Darat, Semerah, Batu Pahat dan terus menjadi petani selepas tamat Tingkatan 5 tanpa rasa ragu dan malu.

Malah, dia tidak pernah terfikir untuk merantau mencari pekerjaan seperti rakan-rakan lain kerana yakin dengan bertani mampu mendatangkan pendapatan tetap dan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh -sungguh.

Johaini bertekad untuk berjaya sebagai petani dan peraih nanas suatu hari nanti. Baginya sesuatu yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti akan mendatangkan pulangan yang baik.

Bermula dengan menanam nanas di kebun sendiri dan sejak tiga tahun lalu dia menyewa tanah penduduk kampung yang terbiar.

Dia berjaya menanam sehingga 300,000 pokok nanas baka Moris di tanah seluas 12 hektar di sekitar kawasan Semerah.

Kini kawasan tanaman nanas miliknya melebihi 40 hektar iaitu dengan menyewa tanah-tanah terbiar di sekitar kawasan tempat tinggalnya.

Pengalaman ibu bapanya menanam nanas sejak lebih 20 tahun lalu menjadi aset penting untuk dia menjadi petani berjaya.

Tambahan pula, Johaini sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Azlina Enndi, 31.

Kini dia boleh berbangga kerana hasil kegigihan dengan dibantu 16 pekerja, Johaini merupakan pembekal tetap nanas ke Kuala Lumpur setiap hari kecuali hari Jumaat dengan membekalkan kira-kira 10,000 biji nanas setiap hari.

Menurutnya, selain nanas jenis Moris dan Josephine yang berbuah besar dan manis, dia juga menanam nanas merah yang sering digunakan masyarakat Cina untuk majlis keraian.

Johaini juga menanam nanas gajah iaitu nanas dari baka Moris yang mampu mencapai berat sehingga tiga kilogram sebiji dan mendapat sambutan yang menggalakkan di pasaran tempatan.

Johaini mengakui, hasil yang diperolehnya cukup untuk menampung kos operasi seperti membayar gaji pekerja, lori dan sewa tanah.

Kehidupan mereka sekeluarga bertambah baik serta mampu hidup selesa dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Lebih membanggakan, Johaini yang dibantu adiknya Roslinda Sarju sedang berusaha menghasilkan produk hiliran berasaskan nanas seperti jem dan jus nanas.

Kini Johaini melangkah lebih jauh apabila dilantik sebagai pembekal nanas bagi daerah Batu Pahat menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pada satu majlis penyerahan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk kepada usahawan Industri Asas Tani (IAT) yang terpilih oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, baru-baru ini.

Sementara itu, Noraini memberitahu kawasan seluas sehektar telah dikenal pasti dalam kawasan Parlimen Parit Sulong untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan produk-produk pengusaha industri asas tani.

Pusat tersebut juga berfungsi sebagai pengumpulan produk Mini Halal Hub.

Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan secepat mungkin.

”Saya berharap agar Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Noh Omar menimbangkan perkara ini kerana di kawasan Parlimen Parit Sulong terlalu ramai petani yang mengusahakan produk berasaskan pertanian serta berpotensi untuk dimajukan ke peringkat yang lebih jauh lagi,” ujarnya.

Baru-baru ini Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama kementerian terbabit telah mengadakan Bengkel Pembungkusan, Pelabelan dan Penjenamaan kepada usahawan terbabit.

Bengkel tersebut menurut Noraini, bagi memastikan kesemua usahawan industri asas tani yang berada di kawasan Parlimen Parit Sulong mengeluarkan produk yang berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan untuk ke pasaran luar.

Melalui bengkel berkenaan 34 pengusaha industri berkenaan telah mengambil bahagian dan kesemua mereka telah menerima surat kelulusan geran pemadanan dan pembungkusan, pelabelan serta penjenamaan produk bernilai antara RM7,000 hingga RM12,000 seorang.

Penyerahan surat kelulusan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk usahawan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Hashim Abdullah.

Ia melibatkan kos pembangunan yang dibiayai kementerian sebanyak RM222,032 dan merupakan 80 peratus daripada kos pembangunan untuk usahawan asas tani di Parlimen Parit Sulong.

Mengulas kesungguhan Johaini mengusahakan tanaman nanas Noraini berkata, ia patut dijadikan teladan kepada anak-anak muda masa kini yang menganggap pertanian itu tidak menguntungkan dan lebih suka bekerja makan gaji.

”Saya lihat kegigihan dan ketekunan juga kesungguhan Johaini merupakan satu kekuatan untuk kesemua usahawan juga petani bahawa pertanian itu satu perniagaan yang telah lama dipraktikkan dan seharusnya menjadi contoh kepada semua,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan telah memberi pelbagai peluang dan bantuan untuk semua usahawan asas tani agar dapat mengeluarkan produk yang berkualiti bagi meningkatkan pengeluaran dan diterima di peringkat yang lebih tinggi dan menepati slogan, ‘Rakyat Diutamakan dan Pencapaian Didahulukan’.

Jana potensi usahawan tani

Hashim Abdullah melihat produk yang dipamerkan oleh para pengusaha industri asas tani di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 4 Mac – Pembungkusan yang menarik selain label dan jenama yang mudah diingati merupakan antara aspek penting dalam pemasaran sesuatu produk.

Justeru, ramai usahawan yang berjaya memiliki atau menghasilkan produk yang ‘dekat’ di hati pengguna selain promosi yang kerap disiarkan di media cetak dan elektronik.

Namun, satu lagi isu yang sering membelenggu usahawan baru adalah soal modal yang tidak mencukupi.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa berusaha membantu golongan berkenaan. Terbaru, seramai 34 usahawan tani di kawasan Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat menerima surat kelulusan geran pemadanan pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan produk.

Menerusi geran tersebut, mereka menerima pembiayaan sebanyak 80 peratus pembangunan produk daripada kementerian berkenaan. Geran itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Hashim Abdullah pada satu majlis di sini baru-baru ini.

Hashim berkata, geran tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan produk usahawan tani yang berada pada tahap 1 dan 2 yang memperoleh jualan tahunan kurang RM100,000 bagi menjana pasaran yang lebih luas dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Antara kriteria untuk menerima geran itu adalah setiap pengusaha mesti diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau Enterprise yang diperbadankan di bawah Ordinan Perniagaan 1956 dan mempunyai lesen perniagaan atau premis yang sah.

Mereka juga mesti menghadiri Bengkel Pembungkusan, Pelabelan dan Penjenamaan yang dianjurkan oleh kementerian dengan jayanya.

Hashim berkata, keutamaan diberikan kepada usahawan tani yang mengusahakan produk terpilih dan berpotensi menjadi tumpuan pasaran serta telah menunjukkan prestasi perniagaan yang baik sekurang-kurangnya setahun dan tidak diisytiharkan muflis.

“Produk mereka mestilah berpotensi berkembang ke tahap yang lebih tinggi sekiranya ditingkatkan keupayaan produk, memiliki ruang pasaran yang tetap dan pernah atau sedang menerima bantuan atau bimbingan daripada jabatan atau agensi di bawah kementerian,” katanya.

Katanya, pembiayaan di bawah skim geran pemadanan membabitkan perkhidmatan rundingan dan pembangunan reka bentuk, perkhidmatan percetakan pembungkus produk atau pelekat (sticker), pembangunan jenama dan identiti produk termasuk pendaftaran trade mark (TM) serta lain-lain kos seperti pengujian dan fotografi.

“Para usahawan tani juga perlu sedar tuntutan pasaran iaitu tanda dan logo halal yang menjadi trend pemasaran pada masa ini.

“Apabila sesuatu produk itu ada tanda halal, secara automatik ia akan mendapat perhatian kerana ia pastinya produk yang bersih dan selamat sebab itu, untuk pasaran luar ia amat penting sebagai jaminan kualiti sesuatu produk,” katanya.

Ternak tilapia teknologi tinggi

Ikan tilapia yang telah sedia dituai dan dipasarkan.


Ketika menerima jemputan daripada syarikat Norway untuk membuat liputan mengenai projek ikan tilapia ke Tasik Temenggor, Perak, terdetik pertanyaan mengapa ikan itu yang jadi pilihan bukannya ikan air tawar lain yang lebih komersial.

Apa istimewanya ikan tilapia yang diternak di sangkar di Tasik Temenggor dan mengapa mereka memilih tasik berkenaan.

Memang pelbagai persoalan bermain di fikiran semasa dalam perjalanan untuk berkumpul di Petaling Jaya, Selangor sebelum memulakan perjalanan ke Gerik, Perak.

Di Petaling Jaya, rakan media diraikan dengan hidangan ikan tilapia yang diternak di Tasik Temenggor.

Melihat kepada saiz selebar pinggan dengan berat lebih satu kilogram (kg) menyebabkan hati semakin terdetik untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya sementelah rasanya yang enak.

Ia bermula dengan taklimat Pengerusi Eksekutif CHH Aquatics, Sia Beng Kwee yang bertanggungjawab memasarkan dan mengedarkan ikan tilapia ke seluruh negara.

Beng Kwee berkata, ikan tilapia di Tasik Temenggor diternak oleh sebuah syarikat Norway, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak.

“Kini ikan tilapia keluaran Trapia telah mula masuk ke pasaran restoran dan rangkaian pasar raya besar seluruh negara.

“Pembeli kini prihatin dengan kesihatan memilih produk yang bermutu, selamat dan sihat,” katanya yang mempromosikan Trapia Malaysia.

Menjamah ikan tilapia yang dihidang dengan pelbagai menu yang menyelerakan amat mengujakan untuk melihat sendiri kaedah ternakan yang digunakan.

Perjalanan ke Gerik memakan masa hampir lima jam menyebabkan kami sampai ke sana menjelang waktu maghrib.

Esok seawal lapan pagi, selepas sarapan, kami diberi taklimat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GenoMar AS, Mortem Hayum mengenai Trapia Malaysia.

GenoMar AS merupakan syarikat induk yang diasaskan di Oslo, Norway pada 1996 dan kini menjadi salah sebuah syarikat sains akuakultur terkemuka yang memberikan penekanan kepada ternakan tilapia.

“Syarikat kami terlibat dengan semua kitaran bermula dengan pemilihan pembiakbakaan menerusi penetasan, pembesaran sehingga kepada pengesahan asal usul,” jelas beliau.

Dalam pembiakbakaan, GenoMar membangunkan generasi baru ikan tilapia secara berterusan bagi meningkatkan tumbesaran, rintangan terhadap penyakit, meningkatkan kadar pertukaran makanan dan meningkatkan pengeluaran filet.

Mortem berkata, GenoMar menggunakan penanda genetik (DNA berasaskan satelit mikro) bagi mengekalkan maklumat genetik dan mengoptimumkan kaedah pemilihan dan mengelakkan pembiakan dalaman.

“Bagaimanapun GenoMar tidak terlibat dalam manipulasi genetik,” tegas beliau.

Sistem pembiakan ikan tilapia yang diternak hanya berdasarkan kepada pemilihan pembiakbakaan serta bantuan penanda genetik bagi maklumat genetik dan jejak sejarah keluarga.

GenoMar juga jelas Hayum, sentiasa meningkatkan jaminan kualiti seperti jadual pemakanan, manual dan kaedah mengendalikan kolam, rawatan air serta kaedah pemberian makanan.

“Baru-baru ini GenoMar telah melabur dalam kemudahan ujian kolam di Filipina dan kemudahan penyelidikan lain di Singapura.

“Kemudahan berkenaan digunakan sebagai menanda aras peningkatan gen, pembangunan kaedah pemakanan dan beberapa ujian berkaitan dengan Amalan Pertanian Baik,” katanya.

Di Hainan, selatan China, GenoMar mempunyai sebuah ladang penetasan yang boleh mengeluarkan sehingga 280 juta benih tilapia setahun.

Ladang penetasan berkenaan membekalkan benih tilapia berkualiti bagi industri akuakultur di selatan China.

Di negara ini, Mortem berkata, GenoMar beroperasi di ladang tilapia bersepadu di Tasik Temenggor yang boleh mengeluarkan sehingga 20,000 tan traceable tilapia atau Trapia.

Trapia Malaysia diasaskan pada tahun 2007 bagi membangunkan dan melaksanakan polisi syarikat bermula daripada telur ikan sehingga ke pinggan hidangan.

Objektif Trapia Malaysia adalah untuk menjadi pengeluar ikan tilapia yang berkualiti tinggi, selamat, berterusan dan pelbagai dengan mengawal mendokumenkan dan mengesahkan semua langkah dalam rantaian.

Trapia merupakan hasil gabungan perkataan traceable dan tilapia di mana punca dan identitinya boleh disahkan menggunakan teknologi DNA.

Trapia dihasilkan menggunakan GenoMar Supreme Tilapia fingerlings atau anak ikan sehingga membesar ke saiz sesuai untuk dipasarkan.

Setiap fingerlings yang digunakan ditandakan, boleh dikesan dan disahkan dengan mudah.

Syarikat yang beribu pejabat di Ipoh, Perak diberikan hak untuk membuka ladang ternakan ikan mesra alam di kawasan hutan hujan tropika di Tasik Temenggor.

Persekitaran yang unik membolehkan Trapia menghasilkan produk yang selamat, berkualiti dan sihat bagi memenuhi piawaian akuakultur antarabangsa.

Trapia merupakan syarikat pertama di dunia melaksanasistem pengecaman DNA menggunakan Genopass.

“Ini merupakan teknik pengesanan yang boleh dipercayai oleh pengguna,” katanya.

Kerajaan Malaysia memberikan lesen kepada Trapia Malaysia bagi mengeluarkan sehingga 20,000 tan ikan tilapia setahun di sana.

Di sekitar pekan Gerik terdapat kemudahan termasuk kolam penetasan, kolam nurseri dan kolam pembesaran ikan tilapia.

“Bagi peringkat permulaan di Tasik Temenggor rerdapat 20 buah kolam pembesaran dengan diameter 20 meter (m) dan kedalaman 6 m,” katanya.

Bagaimanapun Trapia Malaysia tidak berkompromi mengenai alam sekitar bagi memastikan kawasan Tasik Temenggor bebas daripada pencemaran air akibat ternakan ikan sangkar.

Selain itu GenoMar juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan bagi penyediaan tempat penyimpanan dan menghasilkan fillet.

Kemudahan berkenaan akan beroperasi menjelang pertengahan tahun ini dan dijangka berupaya memproses sehingga 10,000 tan bahan mentah setahun.

Menerusi anak syarikatnya, Genopass Pte. Ltd. di Singapura, GenoMar terlibat menyediakan industri ternakan ikan dengan sistem pengesanan pelbagai yang menggunakan teknologi DNA untuk menentukan asal-usul ikan dan produk ikan.