![]() |
Rosnah Shamsudin membuat demonstrasi mengupas kulit dan empulur nanas menggunakan “Mesin Nanas 3 dalam 1” ciptaannya di Universiti Putra Malaysia, semalam.
|
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Pengusaha jem, kuih-muih dan makanan berasaskan nanas kini mampu menjimatkan masa memproses nanas berikutan penciptaan mesin memproses nanas ‘3 dalam 1’ oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mesin ciptaan penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr. Rosnah Shamsudin mempunyai tiga fungsi utama iaitu mengupas kulit, membuang empulur serta memotong buah nanas.
Menurut Rosnah, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB), hampir kesemua usahawan berkaitan nanas seperti pengusaha jem, kuih-muih dan nanas dalam tin masih memproses nanas secara manual.
“Jika mesin ini dikomersialkan, saya yakin ia mampu menjimatkan kos buruh untuk mengupas buah nanas,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Promosi Hasil Penyelidikan UPM 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Salleh dan Ketua Unit Aturan Pasaran dan Promosi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Shafril Izham Mohd. Aminudin.
Mesin Nanas ‘3 dalam 1’ disasarkan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) seperti penjual buah nanas segar, pengusaha nanas dalam tin serta usahawan tat, sos, jem dan jus nanas.
Rosnah memberitahu, komponen mesin tersebut diperbuat daripada besi tahan karat yang mampu memanjangkan hayat mesin.
“Ia juga selamat, bersih dan boleh digunakan di rumah serta mampu dimiliki kerana 100 peratus buatan tempatan,” ujarnya.
Katanya, kelebihan mesin tersebut ialah ia dapat meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pengusaha selain jaminan kos pembelian yang murah.
nama saya muhammad irsyad,saya dari pekanbaru,riau,indonesia. saya ingin menayakan bagaimana cara pembeliannya….terimakasih