![]() |
Sahari Jalal memberi makan denak kepada ternakan burung puyuhnya di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.
|
KOTA TINGGI 29 Jan. – Pertanian merupakan antara sektor yang menarik untuk diterokai kerana ia bukan sahaja memberikan kepuasan kepada pengusaha malah turut memberikan pulangan lumayan.
Umum mengetahui bahawa sektor pertanian merupakan antara sektor terpenting dalam memacu ekonomi sesebuah negara kerana ia berkait rapat dengan sumber bekalan makanan.
Kesan daripada pertambahan penduduk, permintaan terhadap bekalan makanan di negara ini semakin meningkat dan ia memerlukan lebih banyak pengeluaran bahan mentah untuk menampung keperluan semasa.
Walaupun sektor pertanian sering diperlekehkan, namun tidak kurang juga yang berminat untuk menyertai sektor itu bagi menjadikannya sebagai kerjaya.
Penternakan burung puyuh mungkin tidak sehebat penternakan lembu atau kambing tetapi ia tetap menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap haiwan itu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga menjangkaui bekalan yang ada.
Seorang pengusaha ternakan burung puyuh, Sahari Jalal, 59 berkata, ternakan puyuh merupakan bidang yang menarik dan menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaannya yang tinggi.
“Permintaan di sekitar Kota Tinggi sahaja menjangkau sehingga 2,000 ekor dalam tempoh 20 hari dan ia semakin meningkat pada setiap bulan.
“Permintaan yang tinggi memaksa para pengusaha untuk menambah bilangan ternakan mereka dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Air Tawar 5, dekat sini baru-baru ini.
Sahari yang lebih dikenali dengan nama Wak Rojak berkata, ternakan puyuh sama seperti ternakan ayam di mana ia terbahagi kepada dua jenis iaitu puyuh daging dan puyuh telur.
Tambahnya, ramai pengusaha memilih untuk menternak burung puyuh daging kerana permintaan terhadap daging adalah lebih tinggi berbanding telur.
Katanya lagi, baka-baka burung puyuh itu diperolehi daripada Pokok Sena, Kedah dan bekalan itu akan diambil setiap 20 hari sekali bagi membolehkan bekalan puyuh tidak terputus.
“Selepas mendapat bekalan, kita akan memberikan suntikan vitamin bersama ubat selesema bagi mengelakkan burung puyuh berkenaan terkena penyakit dan selepas itu diberi minum glukos.
“Burung-burung ini akan diasingkan mengikut usia dan akan diberikan bekalan haba yang cukup bagi mengelakkannya mati kesejukan. Biasanya dalam tempoh 10 hari pertama burung-burung ini tidak boleh diganggu bagi membolehkannya membesar dengan sempurna,” katanya.
Menurut beliau, dalam tempoh seminggu pertama, pemerhatian serius diperlukan bagi mengelakkan jangkitan kulat kerana pada peringkat awal, haiwan tersebut begitu terdedah kepada jangkitan kulat terutamanya di bahagian kaki.
Dia menjelaskan, jangkitan kulat itu juga berkait rapat dengan kekurangan bekalan haba.
Sahari berkata, meskipun tidak sampai setahun menceburi perniagaan itu, permintaan terhadap burung puyuh di daerah itu sangat menggalakkan dan semakin bertambah pada setiap bulan.
Katanya, ada di antara pelanggan ingin mendapatkan burung puyuh hidup dan ada yang ingin yang telah siap diproses.
“Setiap proses dilakukan sendiri, bermula daripada penternakan, penyembelihan, pembungkusan sehingga pengedaran kerana saya hanya menjalankan peniagaan berskala kecil,” katanya.