AKUATROP bangunkan teknologi biakbaka kelah

NAIB canselor umt, prof. dr. aziz deraman (depan) tertarik dengan penyelidikan kelah yang dijalan di kampus induk universiti berkenaan.


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA ) yang ulung dalam penyelidikan mengenai marin dan akuakultur.

Selain pembangunan projek Akuaponik satu lagi tumpuan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) ialah penyelidikan kelah yang bermula pada 2007.

Ia sejajar dengan tumpuan dan bidang kekuatan universiti terbabit dalam penyelidikan pembiakkaan ikan kelah.

Kelah dipilih kerana ia merupakan spesies yang terancam, dan merupakan spesies ikan sungai semulajadi di Tasik Kenyir.

Malah, spesies berkenaan mempunyai potensi yang sangat tinggi pada aspek pelancongan, rekreasi, ternakan, industri ikan hiasan dan juga sumber protein manusia.

Kelah juga merupakan antara spesies yang bernilai tinggi seperti ikan kelisa dan arowana yang terkenal dalam aspek ikan hiasan.

Insitut yang diberi tanggungjawab dalam penyelidikan ialah Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) yang menjadi peneraju dalam penyelidikan dalam bidang akuakultur.

Menurut seorang penyelidik AKUATROP , Prof. Madya Dr. Abol Munafi Ambok Bolong, tujuan penyelidikan kelah itu ialah untuk program pemuliharaan dan pemeliharaan spesies.

“Habitat asal spesies ini telah diancam dan dilabelkan sebagai spesies terancam selain menghasilkan satu program teknologi pembiakbakaan dan pengurusan induk ikan kelah di Tasik Kenyir,” kata beliau.

Penyelidikan tersebut juga bertujuan menjalinkan kerjasama antara pihak tempatan dan UMT dalam menjalankan program pemuliharaan dan pemeliharaan kelah di Tasik Kenyir. Lebih penting untuk membangunkan ternakan ikan kelah dalam akuakultur di Malaysia dan juga menjadikan UMT sebagai pusat rujukan ke atas kajian ikan kelah.

Beliau yang menjalankan penyelidikan tersebut dengan dibantu oleh seorang pegawai sains dan dua penolong pegawai sains selain tiga pelajar sarjana berkata, spesies kelah yang terlibat dalam projek tersebut ialah Tor tambroides dan Tor dourenensis .

Lebih penting katanya, penyelidikan itu diharap dapat membantu penternak tempatan memelihara ikan kelah dengan menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul.

Pihaknya juga mahu supaya penyelidikan seumpama itu dapat membantu pengurusan ikan kelah di santuari kelah dari pelbagai aspek seperti pengurusan induk, pengurusan makanan, dan pengurusan kesihatan ikan kelah di Tasik Kenyir.

Setakat ini penyelidikan tersebut masih belum menerima sebarang pembiayaan dan sedang memohon bantuan kewangan melalui dana e-science dan juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Untuk jangka panjang projek pembiakbakaan itu diharapkan dapat menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul dari pelbagai aspek. Ini bermula daripada pengurusan induk, sistem ternakan, pemakanan, kesihatan ikan dan sebagainya bagi memudahkan penternak memahami dan mempelajari penternakan ikan kelah.

Menurut Abol Munafi, AKUATROP juga juga menjalankan kajian ke atas spesies lain dalam mempelbagaikan penyelidikan dan memperluaskan bidang kajian bagi memenuhi kehendak semasa.

Sebelum ini beliau terlibat dalam penyelidikan membiakbaka ikan ketutu.

Industri tani penjana kekayaan

Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.


Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

“Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

“Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam,” katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

“Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau,” katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

“Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing,” katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

“Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor,” katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Kultur tisu atasi masalah anak benih

Melaka antara negeri yang memartabatkan bidang bioteknologi.


KAEDAH moden pembiakan anak benih pokok pisang secara tisu kultur dilihat mampu menjana pembiakan berganda dan sekali gus menyelesaikan masalah kepada peladang yang ingin mengusahakan tanaman pisang secara skala besar dan komersial.

Kalau selama ini peladang sering dihantui bagaimana untuk mendapatkan anak benih dalam jumlah yang besar di samping mampu mengeluarkan hasil berkualiti dan tahan serangan penyakit kini dengan adanya teknologi baru ini masalah itu dijangka dapat diatasi.

Perbadanan Bioteknologi Melaka, melalui anak syarikatnya Invitrotech Sdn. Bhd. kini bergiat aktif meneroka kaedah itu dan semakin menampakkan hasil dalam membantu peladang mendapatkan anak benih pisang dalam jumlah yang banyak, berkualiti dan tahan terhadap serangan penyakit.

Syarikat tersebut, yang ditubuhkan pada 2005 dan mula mengkomersialkan pengeluarannya pada 2007 melalui sebuah makmal di Kawasan Perindustrian MIEL, Masjid Tanah, telah menghasilkan lebih 300,000 anak benih pisang.

Setakat ini, ia memberi tumpuan kepada pengeluaran pisang jenis berangan, tanduk, cavendish, rastali dan nipah.

Kelebihan kaedah tisu kultur

Pengarah Urusan syarikat itu, Sukri Ibrahim berkata di samping benih anak pisang, syarikat itu juga mengeluarkan anak benih tanaman lain seperti herba, yang kini mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata terdapat banyak kelebihan tanaman melalui kaedah tisu kultur antaranya.

* Penghasilan bahan tanaman bermutu tinggi, sihat, bebas penyakit dan seragam dalam jumlah yang besar.

* Spesies tanaman herba yang dibiakkan secara in-vitro didapati kurang variasi di dalam kandungan secondary metabolites berbanding pembiakan biasa.

* Sesuai untuk spesies tanaman yang sukar dibiakkan dan spesies yang hampir pupus.

* Bahan tanaman yang bebas patogen serta disimpan di dalam keadaan in-vitro membolehkan pertukaran sumber genetik organisme yang selamat di antara negara.

Proses tisu kultur

Sukri berkata, proses pertama tisu kultur ialah mengenal pasti pokok induk dan kemudian mengambil tisu pada bahagian tertentu pokok induk itu bagi melalui proses nyah kuman bagi memastikan ia benar-benar bersih untuk diklonkan.

“Daripada satu tisu pokok induk itu, kami akan dapat hasilkan lebih kurang 2,000 pokok anak benih yang sama dengan pokok induk, sebab itulah pemilihan pokok induk itu paling diutamakan,” katanya.

Selepas itu, keratan tisu tadi dimasukkan ke dalam medium seperti agar-agar yang mempunyai nutrien dan hormon tertentu bagi memastikan ia mampu membiak dengan lebih banyak.

Daripada medium berkenaan, keratan tadi akan membiak dan menghasilkan lebih banyak pucuk pokok sebelum dikerat dan dipindahkan ke dalam medium pengakaran bagi mengeluarkan akar daripada setiap pucuk terbabit, katanya.

Apabila setiap pokok itu sudah mengeluarkan akar, ia akan dipindahkan ke pasu kecil yang ditempatkan di dalam kawasan kecil dengan suhu yang sama seperti di makmal tisu-kultur iaitu sekitar 25 darjah Celsius bagi memastikan ia tidak menerima kejutan apabila beralih ke tanah.

Pokok yang telah kuat kemudian akan dipindahkan ke ladang dan proses ini biasanya mengambil masa empat hingga enam bulan.

Beliau berkata pihaknya membekalkan anak benih kepada pelanggan dalam bentuk polibeg dengan saiz pokoknya antara 10 dan 12 inci dengan daun yang berfungsi.

Permintaan tinggi

Bagi tumbuhan herba, Sukri berkata prosesnya sama cuma bahagian mana yang akan dipilih bergantung kepada protokol (cara) untuk membuat proses tisu kultur, misalnya pokok misai kucing (Orthosiphon stamineus) boleh menggunakan keratan pucuk.

Sukri berkata kini tahap pengeluaran syarikatnya adalah antara 70,000 dan 80,000 anak benih sebulan manakala bermula Januari depan pengeluaran akan ditingkatkan lagi kepada 100,000 hingga 150,000 anak benih sebulan.

“Pertengahan tahun depan pula pengeluaran akan ditingkat kepada 200,000 hingga 250,000 sebulan. Sekarang ini kemudahan makmal kami mampu buat sehingga 300,000 pokok sebulan,” katanya.

Beliau berkata anak benih keluaran syarikatnya mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Melaka malah negeri lain seperti Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Melaka, Datuk Abu Pit mengakui kaedah tisu kultur telah berjaya mengatasi masalah peladang untuk mendapatkan benih anak pisang dalam kuantiti yang banyak.

Beliau berkata, daripada pemerhatiannya terhadap ladang pisang yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau yang menggunakan anak benih pisang yang dikeluarkan Invitrotech Sdn. Bhd., berupaya memberi hasil yang baik.

PPK Merlimau mengusahakan ladang seluas 2 hektar di Merlimau dan masing-masing 4 hektar di Kampung Tasik dan Paya Buluh dekat sini, dengan memberi tumpuan kepada pisang Berangan, Tanduk, Lang, Nipah dan Kapas

Bekas graduan kini tauke tempe

Noraini Ahmad (kanan) meninjau perusahaan tempe keluaran Perniagaan D’Sinar sambil diiringi Norhedayah Mesiran di kilangnya di Batu Pahat,baru-baru ini.


TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.

Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.

Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.

Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.

Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D’Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.

Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.

”Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran,” jelasnya.

Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.

Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.

Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.

Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.

”Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas,” jelasnya.

Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.

Justeru, dia bercita-cita

mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.

Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.

Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.

”Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.

Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.

Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.

Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.

Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.

Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka

Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain

”Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial,” jelasnya.

Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.

Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

”Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa,” jelasnya.

Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D’Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka.

Daun Gula

Tumbuhan stevia 200 kali lebih manis berbanding gula tebu

KENAIKAN harga gula mulai 1 Januari lalu, disambut rungutan orang ramai yang sudah menganggapnya sebahagian bahan keperluan utama kehidupan. Seperti dijangkakan, berlakulah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran selain pembelian panik oleh pengguna yang selama ini sudah sebati dengan bahan pemanis itu.

Berikutan itu, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengatasinya dan pada masa sama menyarankan orang ramai mengurangkan jumlah pengambilan gula berikutan peningkatan jumlah pesakit diabetes dan darah tinggi setiap tahun.

Namun, di celah kesibukan kempen mengurangkan manis (gula) dalam makanan dan menambahkan manis dalam senyuman, timbul pula keghairahan beberapa pihak mengetengahkan bahan pengganti seperti madu, gula tiruan dan stevia. Madu dan gula tiruan sememangnya biasa didengari, tetapi stevia?

Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.

Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat penyakit berkaitan kencing manis, obesiti, menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar. Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis yang sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara ini.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.

“Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya.

“Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.

“Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula,” katanya

Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis. Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.

“Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan.

“Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula,” katanya.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu. Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Potensi stevia di Malaysia

APAKAH potensi stevia sebagai tanaman komersial di negara ini? Bolehkan ia dijadikan industri bahan pengganti gulai?

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Mardi, Mansor Puteh, berkata Mardi banyak menerima permintaan dan pertanyaan mengenai stevia, khususnya selepas pengumuman kenaikan harga gula.

Namun, baginya herba itu tidak sesuai dijadikan tanaman komersial pengganti gula kerana kurang nilai ekonomi akibat harganya yang rendah, selain kualitinya yang tidak sebaik tumbuhan sama yang dikeluarkan di negara empat musim.

“Untuk mendapatkan sekilogram stevia kering, sekurang-kurangnya lima kilogram daun basah diperlukan iaitu kira-kira RM1.40 sekilogram, manakala kos pengeluarannya mungkin melebihi harga RM7 sekilogram tanaman.

“Mengikut kajian, stevia yang ditanam di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal. Di Malaysia juga, ia biasanya boleh membesar dengan ketinggian satu meter berbanding di negara empat musim yang ketinggiannya mencecah tiga meter. “Justeru, jika ada mana-mana syarikat yang ada niat mahu mengusahakannya secara komersial untuk menjadi bahan penggantian gula, saya suka nasihatkan supaya melupakan saja hasrat itu,” katanya.

Mansor berkata, lebih baik jika tanaman berkenaan diusahakan untuk tujuan pemasaran bahan herba atau makanan tambahan dalam makanan dan minuman kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

“Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat membangunkan tanaman ini dalam industri herba dan makanan tambahan. Malah, bersedia memberi khidmat nasihat, bantuan serta tunjuk ajar di samping terus menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti serta hasil penuaian stevia di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian pula berkata, ada beberapa bahan lain yang dikaji untuk menggantikan gula, namun semuanya didapati tidak sesuai untuk dikomersialkan kerana kos pengeluarannya besar selain masalah mendapatkan bahan mentah.

Antara tumbuhan itu ialah ‘Thamaucoccus’, pokok hutan seperti Kacip Fatimah tetapi ia sukar diusahakan kerana pokok ini amat sedikit mengeluarkan buahnya yang mengandungi bahan pemanis.

Selain itu, madu juga sukar diusahakan secara besar-besaran kerana Malaysia tidak mempunyai kawasan penanaman buah-buahan yang besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat untuk membolehkan lebah menyedut nektar daripada bunga pokok buahan berkenaan.

Bagaimanapun, tegas Dr Tan, hanya empat daripada 100 jenis stevia saja yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran di negara ini.

Beliau berkata, stevia boleh ditanam dan diusahakan di negara ini tetapi ada beberapa masalah yang perlu diambil risiko pengusahanya kerana tanaman berkenaan boleh mengeluarkan hasil yang baik jika lama terdedah kepada matahari.

“Di negara ini, waktu siang hanya 12 jam, bermakna daun yang dihasilkan kurang terdedah kepada matahari. Namun, Malaysia boleh menuai sebanyak sembilan kali hasil kerana kita panas sepanjang tahun.

“Berbanding negara empat musim, waktu panasnya kira-kira 16 jam dan tuai boleh dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh musim panas kira-kira tiga bulan setengah. Oleh kerana kadar kepanasan dan pendedahan terhadap matahari tinggi, maka hasil stevia lebih berkualiti kerana kandungan steviosid dan rebaudiosid A tumbuhan itu lebih tinggi.

“Di negara ini, kita boleh melakukan sistem pemanasan menggunakan lampu seperti dilakukan untuk tumbuhan seperti kekwa atau Chrysanthemum, namun ini tidak dapat dilakukan untuk stevia kerana harganya terlalu rendah, sedangkan penggunaan lampu memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.