![]() |
kajian organisme marin antara kekuatan UMS.
|
Universiti Malaysia Sabah (UMS), merupakan antara institusi pengajian tinggi yang memberi keutamaan dalam bidang penyelidikan sains marin kerana keupayaan serta kedudukannya di tepi laut.
Justeru, tumpuan telah diberi terhadap penyelidikan yang mana UMS mempunyai kekuatan dan kepakaran iaitu berkaitan dengan marin dan akuakultur.
Tanpa menafikan kepentingan bidang-bidang sains, UMS akan memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan marin, seperti pembiakbakaan dan pemuliharaan spesies marin, fenomena alga beracun dan yang berkaitan.
Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon, dalam penyelidikan pembiakbakaan, UMS setakat ini berjaya menghasilkan ikan kerapu hibrid yang sesuai untuk dibiakkan secara komersial.
”Kami berjaya menghasilkan kerapu hibrid ini yang kini di peringkat penstabilan hibrid dan mengalu-alukan usahawan muda untuk mengkomersialkannya,” kata beliau ketika ditemui di kampus induk UMS di Kota Kinabalu baru-baru ini .
Selain itu , UMS juga sedang mengkaji mengenai fenomena alga beracun (alga bloom) yang sering melanda pantai barat Sabah dan mencemarkan persekitaran marin di situ.
Penyelidikan-penyelidikan tersebut kata beliau, membuktikan UMS bukan sahaja menjadi universiti pengajaran sebagai fungsi asasnya tetapi sedang mengorak langkah ke arah universiti penyelidikan.
”Kita menyasarkan untuk mencapai universiti penyelidikan menjelang 2015,” katanya lagi.
Dengan isu perikanan seperti kekurangan benih dan sumber laut yang diancam kepupusan, penyelidikan pembiakbakaan dapat memberi alternatif kepada sumber protein daripada laut.
Malah katanya, penyelidik UMS sedang mengkaji bagaimana meramal fenomena alga beracun bagi mencari langkah berjaga-jaga menghadapinya pada masa akan datang.
Penyelidikan tersebut yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Marin Borneo, yang menjadi antara tunjang kekuatan UMS, pastinya menjadikan universiti tersebut terus bersaing dalam konteks universiti penyelidikan.
Pada masa akan datang, kajian pembiakbakaan mengenai spesies marin pula akan melibatkan udang laut.
Mengenai pembiayaan projek penyelidikan, Kamaruzaman berkata, UMS telah menerima sejumlah RM50 juta sejak lima tahun kebelakangan melibatkan dana daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pada masa sama, peruntukan dana penyelidikan dalaman untuk penyelidik muda yang kini berjumlah RM 1juta akan ditingkatkan kepada RM 2 juta pada masa akan datang sebagai rangsangan untuk mereka terus menjalan kajian.
Dana penyelidikan itu bernilai antara RM10,000 dan RM50,000 bergantung kepada bidang penyelidikan yang dijalankan.
Bagaimanapun kata beliau, sasaran untuk menjadi universiti penyelidikan daripada empat universiti sedia ada masa jauh daripada jangkauan memandangkan peruntukan mengenainya masih terlalu kecil.
Untuk itu, UMS akan terus memperhebatkan usaha menjalankan lebih banyak penyelidikan terutama melibatkan tiga institut kecemerlangannya iaitu Institut Penyelidikan Marin Borneo , Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan serta Institut Penyelidikan Bioteknologi.
Ketiga-tiga institut terbabit akan saling menyokong fungsi dan peranan sesama sendiri bagi merealisasikan matlamat UMS sebagai universiti penyelidikan.
Pada masa sama, kekuatan tenaga pengajar akan terus ditambah dengan meningkatkan jumlah tenaga pengajar yang kini memiliki 33 profesor, 93 profesor madya manakala 26 peratus daripada 788 pensyarah UMS memiliki ijazah doktor falsafah (PhD).
Mengenai aspek pengkomersialan, beliau berkata, antara yang sedang dalam usaha ke arah itu ialah kerapu hibrid dan juga penghasilan batu bata daripada siswa sawit yang dihasilkan oleh Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
Batu bata yang dihasilkan adalah jenis ringan tetapi kuat dan kini dalam perancangan untuk digunakan membina rumah murah.
Mengenai benih ikan kerapu, Kamaruzaman berkata, pihaknya bercadang untuk menyerahkannya kepada politeknik untuk dikomersialkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan.
UMS juga kata beliau bercadang untuk memulakan penyelidikan mengenai benih padi memandangkan negeri Sabah masih kekurangan sumber beras untuk kegunaan sendiri.
Sekolah Pertanian Lestari yang dibina di Sandakan akan diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan tersebut manakala Sekolah Perubatan yang dibina di kampus induk dijangka siap pada tahun depan.
Beliau juga menegaskan konsep 1Malaysia telah lama diterapkan di kampus tersebut yang berkonsepkan Kampus Ceria kerana mencampurkan pelbagai etnik dan agama dalam satu asrama, malah sebilik bagi memupuk perasaan muhibah dan bertoleransi.
Ketika ini, 55 peratus pelajar UMS merupakan mereka yang berasal dari Semenanjung Malaysia (45 peratus Sabah) dan bakinya dari negeri lain.
Penyelidikan marin tumpuan UMS.
Penyelidikan di UMS. Pendapat saya…harus juga mendapat kerjasama dari pelbagai pihak samada sektor awam atau swasta. Gandingan sebuah penyelidikan yang mantap akan dapat membantu sesuatu projek memberi manfaat kepada rakyat. Kalau penyelidikan syok sendiri dan masing-masing tidak mau berkongsi ilmu….Sabah tetap mundur sampai bila-bila. Cuma kerjasama sesama jabatan adalah amat lemah di kalangan para penyelidik di Malaysia termasuklah Sabah juga……
Kenapa pelajar UMS 55% ialah Orang Semenanjung? Bukankah sepatutnya memberi peluang lebih untuk Pelajar tempatan?
Bagus. At least UMS ada pusat kajian mereka tersendiri. Syabas UMS!
With this marine research, they can find some solution to solve the marine extinction. But this kind of research needs big funds to do. I hope some corporate companies and the Govt themselves are willing to give funds to let this research continues. 🙂
Hebatlah UMS… Tak mustahil UMS dapat mencapai sasaran sebagai universiti penyelidikan menjelang 2015 🙂
Good Luck 🙂
Alamak…sayangnya saya bukan ambil penyelidikan marin…hebatlah UMS sekarang.
Keep up the good work everyone. You do us all proud.
dengan penyelidikan marin, kita dpat mengenali hidupan hidupan laut di sabah. kedudukan UMS yang berdekatan laut memudahkan peyelidikan ini. projek penyelidikan ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat sabah terutamanya dalam industri perikanan negeri Sabah.
penyelidikan marin yang dijalankan UMS dapat membangunkan industri perikanan di Sabah. semua pihak harus memberikan kerjasama agar penyelidikan ini berjaya.
I’m proud that Sabah has a great university as UMS. but, I was worried to study at UMS due to it will take a long time to complete the study, especially for borneo marine research institut. I got inform that many master students who have take time more 4 year. It’s too long time for master study prgram.