Perusahaan herba di rumah

Romli Hussain menunjukkan tumbuhan herba Mahkota Dewa di ladang berdekatan kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kuang, Gurun. (Gambar kecil) beberapa jenis herba yang digunakan dalam penghasilan produk ubatan. – Utusan/Kamal Basir


GURUN 19 Jan. – Bermula dengan minat yang mendalam terhadap tumbuhan herba seorang pesara guru kini menjadikan produk-produk herba sebagai pendapatan utama bagi keluarganya.

Romli Hussain, 57, dari Kampung Bukit Kuang di sini begitu obses dengan herba dan di rumahnya sahaja ada lebih daripada 100 jenis herba pelbagai jenis yang kaya dengan pelbagai khasiat disimpan bagi tujuan perubatan.

Tanyalah apa sahaja jenis tumbuhan herba dan khasiat yang tersembunyi di dalamnya kepada Romli, pasti ada penerangan diperoleh daripadanya mengenai tumbuhan tersebut.

Antara tumbuhan herba yang ditanam dan disimpan di rumahnya ialah mahkota dewa, cekur, pokok tunjuk langit, pokok tutup bumi, kunyit putih, kunyit hitam, halia bara dan sebagainya.

Romli memberitahu, minatnya terhadap tumbuhan herba telah wujud sejak berusia belasan tahun lagi.

Tambahan pula katanya, neneknya adalah seorang bidan kampung dan oleh kerana sering melihat tumbuhan-tumbuhan herba digunakan membuatkan dia berminat untuk mengkomersialkan tumbuhan herba itu.

“Saya bermula dengan menghasilkan produk-produk herba daripada pokok mahkota dewa dan kini saya mahu mempelbagaikan produk herba dengan tumbuhan-tumbuhan herba lain.

“Kini saya mahu fokus kepada penghasilan krim langsing yang diasaskan daripada cekur dan campuran ekstrak mahkota dewa,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Menurut Romli, selain membeli tumbuhan-tumbuhan herba itu melalui seorang rakan di Kuala Lumpur, dia menanam tumbuhan seperti mahkota dewa, cekur dan sebagainya di kawasan rumah dan tapak semaian tumbuhan herba miliknya di Guar Chempedak.

Selain itu, katanya, dia berusaha menggalakkan penduduk kampung untuk menanam tumbuhan herba bagi menambahkan pendapatan keluarga.

“Pokok mahkota dewa ditanam oleh penduduk kampung di Pergi, Yan dan saya akan beli buahnya daripada mereka.

“Ada juga tumbuhan herba seperti pokok tunjuk langit dan pokok tutup bumi tumbuh secara meliar di kebun-kebun getah milik penduduk kampung dan saya akan beli pokok-pokok tersebut daripada mereka untuk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Ujarnya, setelah memperoleh kesemua tumbuhan herba yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk herba, dia akan mengeringkan tumbuhan-tumbuhan tersebut terlebih dahulu sebelum dihantar ke Kedah Bio Resources Corporation Sdn. Bhd. (KBio Corp) di Kulim untuk diekstrak dan diadun bagi dijadikan kapsul.

“Setiap satu penyakit ada tumbuhan herba khusus untuk merawat penyakit tersebut dan kita perlu mengadun bahan ekstrak herba ini mengikut sukatan yang tertentu.

“Setiap ekstrak herba ini telah diuji dan selamat untuk kegunaan manusia,” dakwanya.

Jelasnya, produk berasaskan herba itu berpotensi luas di pasaran dan kini dia hanya menumpukan perhatian untuk menjalankan proses pengeluaran bahan-bahan herba dari rumah.

“Ramai rakan saya akan datang mengambil bahan-bahan herba yang siap diproses untuk dijual sendiri di bawah label syarikat mereka. Saya cukup berpuas hati dengan hasil yang diperoleh dengan menghasilkan produk-produk herba ini dan mahu lebih ramai orang memberanikan diri untuk menjalankan perniagaan berasaskan herba,” katanya.

Bagi yang ingin mencuba herba tradisional Romli boleh menghubungi beliau di talian 012-4774415.

Perak bakal pengeluar utama tembikai wangi

Usahawan muda, Huzaidi Mohamed menunjukkan buah tembikai wangi di Tapak Projek Fertigasi PPK Gerik, Perak, semalam. – bERNAMA


GERIK 19 Jan. – Perak meletakkan sasaran untuk muncul sebagai pengeluar utama buah tembikai wangi atau rock melon di negara ini melalui projek tanaman secara fertigasi yang akan dikembangkan di daerah ini.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe berkata, peruntukan sebanyak RM100,000 juga telah disalurkan bagi membantu usahawan yang berminat menceburkan diri dalam projek ini.

Menurut beliau, walaupun tembikai wangi masih baru diperkenalkan di Perak, namun ia mendapat permintaan yang menggalakkan.

Justeru, katanya, projek tanaman buah tersebut akan dikembangkan di kampung-kampung dengan konsep ‘satu kampung satu tembikai wangi’.

“Tembikai wangi sebenarnya adalah antara buah eksotik dan mula diperkenalkan di sini (Gerik) pada 2009. Walaupun ia antara produk baru di kawasan ini, namun permintaannya amat menggalakkan.

“Memandangkan pertanian adalah salah satu bidang utama negara kini, saya harap tembikai wangi dapat menjadi salah satu hasil pertanian negara yang dapat dipasarkan di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Menuai Tembikai Wangi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik hari ini.

Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sasaran kini adalah untuk memasarkan tembikai wangi ke negara luar terutamanya Singapura.

Pada masa yang sama, katanya, Gerik juga akan dijadikan sebagai pusat sehenti kepada tanaman yang dikategorikan sebagai eksotik.

Kedudukan Gerik yang strategik antara laluan timur dan barat, katanya, akan membantu menaikkan prestasinya sebagai kawasan pertanian fertigasi.

“Sebelum ini tanaman roselle adalah antara produk utama di kawasan ini. Pokok ini berasal dari Sudan, Afrika dan boleh ditanam di sini.

“Tembikai wangi pula berasal dari Belanda dan juga boleh didapati di negara kita. Jika kita mampu menjadi antara pengeluar utamanya, mengapa kita tidak rebut peluang itu kerana buah ini adalah buah yang berprestij tinggi,” katanya.