Vitato varieti baru keledek

Vitato varieti keledek yang bermutu ciptaan MARDI.


Ubi keledek bukanlah asing kepada kita. Ia sering menjadi menu dalam hidangan seharian. Cuma mungkin ramai yang tidak sedar akan khasiat dan nilai pemakanannya. Bergantung kepada jenisnya, ada yang kaya dengan bahan antioksida seperti b-karoten (memberi warna oren pada ubi) yang ditukar menjadi vitamin A apabila di dalam badan. Ada pula yang mengandungi vitamin C, vitamin E dan antosianin (memberi warna ungu).

Dalam semua jenis ubi keledek terdapat kandungan serabut diet dan zat galian kalium agak tinggi. Serabut diet ini berkesan menentang diabetis, sembelit dan kanser usus besar. Kalium pula berguna untuk mengatasi tekanan darah tinggi dan baik untuk jantung. Bagi menunjukkan kepelbagaian baka keledek, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti Vitato. Ubi keledek ini mempunyai banyak berkhasiat dan boleh dimakan segar atau diproses untuk jadikan tepung atau bahan masakan.

Sara hidup dengan mi siput

Tukimon Watim berniaga mi siput di Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 14 Jan. – Berbekalkan hasrat untuk menambah pendapatan keluarga, pasangan suami isteri warga emas, Tukimon Watim, 63, dan Marhamah Marhani, 59, mencuba nasib berniaga mi siput secara kecil-kecilan kira-kira enam tahun lalu.

Bermodalkan RM500, pasangan yang menetap di T/L 147 Kampung Sungai Nibong, Semerah dekat sini memulakan perniagaan itu dengan membeli bahan-bahan untuk membuat mi tersebut.

Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, mereka hanya mampu menghasilkan 20 hingga 25 kilogram mi siput sehari untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, semakin hari, permintaan terhadap mi siput bertambah dan mereka kemudian membeli sebuah mesin menguli tepung berharga RM1,500 bagi meningkatkan pengeluaran.

Tukimon memberitahu, dengan adanya mesin penguli itu kerja-kerja membuat mi siput lebih mudah dan jumlah yang dihasilkan meningkat.

Kegigihan pasangan itu turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan mereka diberi bantuan mesin pemotong berharga RM3,000 supaya mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram mi siput sehari.

Produk yang dilabelkan dengan jenama Mee Siput Usahasama T & M Enterprise kini semakin digemari kerana ia merupakan salah satu makanan ringan yang rangup dan sedap dimakan bersama sambal kicap pedas.

Kegigihan mereka terus mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan sekali lagi mereka diberi bantuan membina bangunan bernilai RM28,000 untuk meneruskan perusahaan kecil dan sederhana itu dengan lebih sistematik.

Jika dahulu mereka melakukan kerja-kerja di luar rumah tetapi kini, pasangan itu mempunyai ‘kilang mini’ yang didirikan di sebelah rumah.

“Sekarang apabila hujan kami tidak lagi bimbang kerana sudah mempunyai tempat pemanas untuk mengeringkan mi siput yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari,” kata Tukimon ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sekiranya mi siput tidak cukup kering ia akan dijangkiti kulat dan terpaksa dibuang, katanya, sambil memberitahu mereka mempelajari cara-cara membuat mi itu daripada ‘pengusaha’ yang berpengalaman dan berjaya.

Kini, pasangan itu turut dibantu oleh anak mereka, Mohd. Azri Yim, 30, yang bertanggungjawab memasarkan produk itu di sekitar negeri ini.

Katanya, mi siput dijual pada harga RM5 sekilogram atau RM4 bagi 700 gram yang telah siap dibungkus.

Tukimon memberitahu, kini mereka dibantu lima pekerja tetap dan sedia menerima pelatih yang ingin mempelajari pembuatan makanan tersebut seperti yang dilakukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) baru-baru ini.

Zakaria gigih ke laut sara keluarga walaupun tanpa kaki

ZAKARIA Uda dari Kampung Kempadang, Kuantan yang kehilangan kedua belah kaki akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 15 tahun lalu tetap bersemangat turun ke laut.


KUANTAN 16 Jan. – Bagi sesetengah orang kurang upaya (OKU), kekurangan yang dimiliki mungkin menjadi penghalang untuk melaksanakan tugas atau tanggungjawab.

Namun, bagi seorang nelayan dari Kampung Kempadang dekat sini, ketiadaan kedua-dua belah kaki bukan alasan untuk dia ‘bersara’ daripada terus menangkap ikan di laut.

Zakaria Uda, 62, menganggap kehilangan kaki kanan dan kirinya selepas dipotong akibat penyakit kencing manis seolah-olah tidak ada bezanya ketika dia memiliki anggota tersebut 15 tahun lalu.

Sambil berseloroh, kata bapa kepada lapan anak itu, meskipun kehilangan kaki, dia masih mempunyai kedua-dua belah tangan untuk kerjanya sebagai nelayan.

”Kesukaran yang dialami mungkin ketika menaiki bot sahaja, tetapi saya menggunakan kereta sorong dengan dibantu oleh isteri setiap hari,” katanya.

Warga emas itu ditemui pada majlis penyampaian bantuan elaun sara hidup nelayan, bayaran ganti rugi minyak tercemar dan bantuan kepada ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

Zakaria merupakan antara 901 nelayan yang hadir bagi menerima bantuan tersebut daripada Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Menurut Zakaria yang lebih dikenali sebagai Pak Ya Kudung oleh penduduk kampung, pengalaman selama lebih 30 tahun menjadi nelayan menjadi kekuatan kepada dirinya untuk terus turun ke laut walaupun ketiadaan kedua-dua belah kaki.

Malah, jelasnya, ombak kuat yang sekali-sekala melanda ketika di tengah laut dianggap perkara biasa bagi dirinya.

Mengenai pendapatan hasil tangkapan ikan setiap hari, ujarnya, ia bergantung pada keadaan cuaca.

”Jika cuaca elok, saya boleh meraih pendapatan kasar sehingga RM1,000 sehari, tetapi jika cuaca tidak menentu, saya hanya boleh dapat antara RM50 hingga RM100 sehari.

”Kadang-kadang tidak ada duit langsung kerana tidak pergi ke laut akibat cuaca buruk,” jelasnya.

Zakaria bagaimanapun bersyukur kerana isterinya, Basariah Mohd. Nor, 61, banyak membantunya dan kadangkala turut sama pergi ke laut untuk menangkap ikan.

”Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang banyak memberi bantuan sehingga saya masih boleh meneruskan kehidupan walaupun dalam serba kekurangan,” katanya.

Menurutnya, elaun sara hidup sebanyak RM200 yang disalurkan kerajaan dapat meringankan bebannya berikutan kesukaran untuk turun ke laut sejak akhir-akhir ini akibat cuaca tidak menentu.

Dalam pada itu, Zakaria memohon kepada kerajaan supaya menggantikan botnya yang berusia lebih 20 tahun bagi memudahkannya untuk turun ke laut.