![]() |
Pada musim tengkujuh, hasil tangkapan di laut tidak memberangsangkan.
|
PANGKALAN nelayan Hentian Mahkota Parit Simin, Batu Pahat merupakan salah satu tempat bagi kira-kira 40 warga nelayan di kawasan sekitarnya mencari rezeki untuk menampung kehidupan seharian mereka.
Setiap hari, mereka meredah laut Selat Melaka untuk mencari rezeki demi keluarga tercinta tetapi ada ketikanya terpaksa akur dengan keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan mereka tidak dapat turun ke laut.
Semua itu satu cabaran yang terpaksa di hadapi sebagai nelayan dan harus mereka tangani dengan penuh ketabahan walaupun ia bermakna rezeki mereka pada hari itu tidak ada.
Justeru, mereka harus berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing dengan bijak bagi memenuhi keperluan seisi keluarga agar musim tengkujuh yang sering datang pada penghujung tahun tidak menyekat mereka meraih rezeki yang halal.
Untuk itu, dengan kata sepakat dan muafakat yang dicapai mereka telah menubuhkan Komuniti Pengeluaran Sumber Perikanan (KPSP) yang menjadi anak angkat kepada Jabatan Perikanan Malaysia dalam Program Usahawan Bimbingan.
Semuanya dilakukan apabila menyedari pendapatan sebagai nelayan tidak menentu terutama pada musim tengkujuh yang menyebabkan ramai tidak dapat turun ke laut.
Dengan tertubuhnya KPSP, warga nelayan Kampung Parit Simin mengusahakan bidang pemakanan berasaskan perikanan bagi mencari rezeki tambahan pada musim tengkujuh.
Pengerusinya, Norazman Anis, 44, berkata, walaupun KPSP baru ditubuhkan tetapi warga nelayan di Hentian Mahkota Parit Simin itu sudah lama mengusahakan produk berasaskan perikanan terutama ikan kering.
Tambahnya, selain membuat ikan kering mereka kini sedang mengusahakan nugget ikan juga bengkel membaiki sampan gentian kaca dengan bantuan peralatan daripada Jabatan Perikanan.
Norazman yang juga mengusahakan ikan kering bersama isterinya Norhayati Mohamed Ali, 38, berkata, ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga apabila tidak dapat ke laut bila keadaan laut tidak mengizinkan.
Menurut Norhayati, sejak lima tahun lalu dia telah mengusahakan membuat ikan kering di rumahnya di tepi pangkalan jeti nelayan Hentian Mahkota Parit Simin dan dari sehari ke sehari ikan keringnya mula mendapat sambutan.
Katanya lagi, ia merupakan sumber pendapatan sampingan selain hasil tangkapan laut dan kini ia mengusahakannya sepenuh masa.
Norazman menambah, hasil tangkapan laut seperti anak ikan gelama, tenggiri, selar kuning, timah, beliak mata, ikan bulu ayam, duri yang masih segar akan terus dibersihkan dan direndam semalaman sebelum dijemur untuk dijadikan ikan kering dan dijual dengan harga RM1 untuk 200 gram.
Dengan bantuan yang diterima iaitu tong air batu untuk menyimpan ikan juga meja untuk membersihkan ikan, beliau yakin dapat menghasilkan ikan kering dengan kuantiti yang lebih banyak sekali gus dapat meningkatkan lagi pendapatannya.
Ketika dikunjungi di rumahnya baru-baru ini, penulis mendapati ikan-ikan segar yang kecil dan tidak sesuai akan dipilih untuk dibuat ikan kering.
Istimewanya ikan kering yang dihasilkan tidak terlalu masin.
”Apabila musim hujan dan tidak ke laut, pendapatan daripada ikan kering dan bengkel membaiki sampan menjadi punca rezeki kami sekeluarga,” jelasnya.
Ada ketikanya menurut Norhayati, orang ramai yang telah mengetahui akan ikan kering yang diusahakan akan datang ke rumah untuk membeli ikan kering selain dihantar ke kedai runcit di kawasan sekitarnya.
Tambahnya, membuat ikan kering di rumah memudahkannya kerana sambil bekerja dia mampu menjaga dan menguruskan anak-anak yang masih bersekolah sekiranya suami ke laut.
Sedikit sebanyak, katanya, ia dapat mengubah dan meningkatkan ekonomi keluarga mereka.
Norazman yang juga mengusahakan bengkel membaiki sampan berkata, setiap sampan yang dibaiki bermula daripada membuang teritip yang melekat di bawah sampan, mengecat dan membaiki kerosakan upah yang diperolehi ialah RM30 hingga RM100 sebuah.
Bengkel membaiki sampan itu katanya diusahakan bersama beberapa rakan warga nelayan dengan bantuan peralatan yang diterima daripada Jabatan Perikanan Malaysia di bawah skim Program Usahawan Bimbingan.
Katanya, setakat ini rata-rata warga nelayan yang kebanyakannya mengusahakan ikan kering menerima bantuan berkenaan dan ia membantu mereka meningkatkan taraf hidup juga ekonomi keluarga masing-masing.