Atimas popularkan produk berasaskan ikan

Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger ikan sehari selain lima produk lain dengan tenaga lima orang pekerja.


BERMULA dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin menghadapi pelbagai jenis masalah.

“Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

“Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger daripada ikan keli.

“Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini,” kata Siti Hanim semasa ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

“Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan,” katanya.

Justeru pasangan ini berfikir untuk mengubah bahan asas burger daripada ikan keli kepada ikan laut.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan, Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

“Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan,” katanya.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, beliau membesarkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi analisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50 ribu.

Buat masa ini, jelas Siti Hanim, beliau berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi bagi memenuhi pesanan pelanggan dari China dan Afrika bagi produk burger ikan.

Bagi memenuhi pasaran China yang memerlukan lebih 9,000 karton atau empat kontena burger menjelang awal tahun depan, Ami Ludin perlu memastikan bekalan mencukupi.

Justeru beliau akan membesarkan operasi kilangnya dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan dari Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran.

Selain itu kehadiran agen-agen di sekitar Lembah Kelang menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

“Kami mempunyai agen-agen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain menggunakan agen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus daripada premis kami,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim berkata, beliau bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk yang bakal dihasilkan adalah sosej ikan, nuget ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut.

Beliau juga akan menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http://atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di 016-229 2592

2 thoughts on “Atimas popularkan produk berasaskan ikan

  1. Assalamualaikum wr brt,

    Saya Mohammad bin Abdullah Konsultan Yayasan Usahawan Bumiputera di Kota Baharu, Kelantan ingin memohon membuat Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Burger Ikan keluaran syarikat tuan.

    Kami bercadang memberi khidmat nasihat kepada Pengurusan Koperasi Tani Jelawat Berhad, untuk membina kilang burger Cendawan.
    Terima kasih. Wassalam
    MOHAMMAD BIN ABDULLAH
    Konsultan Yayasan Usahawan Bumiputera
    014-5097635 / 013-9431518

  2. saya jua ingin belajar memproses ikan laut mjadi produk sperti burger, fishball, dan sbagainya..

    Sebab d daerah saya selalunya harga pasaran ikan begitu murah.. Sangat murah b’banding tempat2 lain..

    Sila beri tunjuk ajar..

    Dari,
    Lahad datu, sabah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s