Atimas popularkan produk berasaskan ikan

Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger ikan sehari selain lima produk lain dengan tenaga lima orang pekerja.


BERMULA dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin menghadapi pelbagai jenis masalah.

“Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

“Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger daripada ikan keli.

“Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini,” kata Siti Hanim semasa ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

“Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan,” katanya.

Justeru pasangan ini berfikir untuk mengubah bahan asas burger daripada ikan keli kepada ikan laut.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan, Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

“Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan,” katanya.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, beliau membesarkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi analisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50 ribu.

Buat masa ini, jelas Siti Hanim, beliau berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi bagi memenuhi pesanan pelanggan dari China dan Afrika bagi produk burger ikan.

Bagi memenuhi pasaran China yang memerlukan lebih 9,000 karton atau empat kontena burger menjelang awal tahun depan, Ami Ludin perlu memastikan bekalan mencukupi.

Justeru beliau akan membesarkan operasi kilangnya dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan dari Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran.

Selain itu kehadiran agen-agen di sekitar Lembah Kelang menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

“Kami mempunyai agen-agen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

“Selain menggunakan agen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus daripada premis kami,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim berkata, beliau bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk yang bakal dihasilkan adalah sosej ikan, nuget ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut.

Beliau juga akan menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Bagi mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http://atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di 016-229 2592

Tukun tiruan lipat ganda pendapatan nelayan

Yunus Rahmat (kiri) memotong reben akuarium mini tukun tiruan sebagai pelancaran tukun tiruan dasar lembut di Pusat Ikan Hiasan Marin di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SELARAS dengan objektif kerajaan melalui Jabatan Perikanan untuk merealisasikan sasaran pengeluaran ikan negara kepada dua juta tan metrik setahun, usaha menanam tukun tiruan terus dijalankan di perairan seluruh negara.

Tidak dapat dinafikan, pembangunan tukun tiruan adalah salah satu kaedah untuk meningkatkan sumber perikanan terutama di kawasan persisiran pantai.

Sehingga kini, kebanyakan negara di dunia telah mempraktikkan teknologi tukun tiruan ini untuk pelbagai kegunaan industri perikanan, pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan sehingga ke lokasi rekreasi.

Di Malaysia, pelaksanaan projek tukun tiruan secara rasmi oleh jabatan terbabit bermula sejak 1974 dengan tapak tukun pertama terletak di perairan Pulau Telur, Yan, Kedah.

Projek tukun tiruan terbaru memilih kawasan perairan Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai lokasi yang memberi berita gembira buat lebih 450 nelayan di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Operasi), Suhaili Lee memberitahu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM400,000 untuk merealisasikan projek tukun tiruan jenis dasar lembut itu.

Suhaili menambah, hasil kajian mendapati pendaratan ikan di kawasan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa dalam tempoh tiga bulan selepas tukun tiruan ditanam di kawasan itu.

”Di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Jabatan Perikanan telah memperuntukkan sebanyak RM9.4 juta bagi melaksanakan projek tukun tiruan ini di seluruh negara.

“Manakala di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua yang diumumkan kerajaan, peruntukan untuk pelaksanaan tukun tiruan adalah RM15 juta untuk 2009 dan 2010,” katanya.

Hasilnya, sebanyak 28 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Teluk Kemang baru-baru ini sebagai tambahan kepada 14 tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan sama tahun lepas. Projek pertama dilaksanakan dengan peruntukan lebih RM200,000.

Pelancaran penanaman tukun tiruan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat.

Menurut Yunus, penanaman tukun tersebut dijangka mampu menambahkan lagi hasil tangkapan nelayan tempatan.

“Kajian mendapati sumber perikanan bertambah selepas 14 tukun tiruan dilabuhkan di perairan ini tahun lepas. Begitu juga dengan pendapatan nelayan di sini yang bertambah sehingga empat kali ganda,” katanya.

Selain dilihat mampu menjana pendapatan nelayan dengan penambahan stok ikan di kawasan itu, projek itu juga mampu menjadi penghalang kepada tindakan pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan nelayan tradisi.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, pihaknya sering menerima laporan mengenai pencerobohan bot pukat tunda termasuk dari negeri jiran ke kawasan perairan Port Dickson.

“Walaupun belum ada tangkapan dibuat namun perkara ini dilihat mampu mengancam sektor perikanan di negeri ini. Bagaimanapun kewujudan tukun tiruan dijangka menamatkan pemasalahan tersebut.

“Ini terbukti melalui pemantauan yang dijalankan oleh pihak jabatan yang mendapati satu kawasan perlindungan yang baik dan selamat kepada pelbagai spesies marin di sekitar kawasan tukun,” katanya.

Wan Muhammad berkata, tukun tiruan yang ditanam kira-kira satu batu nautika dari kawasan pantai akan menghalang pendaratan bot-bot besar seperti bot tunda itu.

Usaha penanaman tukun tiruan ini juga bukan saja untuk menambah dan memelihara hidupan laut di perairan itu, tetapi dengan terbentuknya habitat dasar laut yang menarik, ia akan menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara yang minat menyelam untuk melihat hidupan laut.

Nelayan secara langsung turut mendapat faedah daripada aktiviti perikanan rekreasi ini dengan menjadi pemandu pelancong termasuk membawa pengunjung termasuk pemancing ke sekitar kawasan tukun itu.

Kata Wan Muhammad, pihak jabatan akan meminta kerjasama daripada nelayan setempat untuk sama-sama mengurus dan menyelenggara tukun ini dengan baik demi kepentingan semua nelayan terbabit.

Among pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah

KAMBING Boer yang kian popular di kalangan penternak kambing turut diternak oleh Azizuzanadi Zainuddin. – Gambar hiasan


KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.

“Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri,” kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.

Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, baka kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.

“Kambing Australia ini baru saya dapat, mungkin ternakan ini tak biasa lagi dengan kandang ini, sebab itu diam sahaja,” kata Among berseloroh.

Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac tahun lalu. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).

Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan. Di lantai bawah itu juga. dia membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk. Tinja kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.

Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

Pendidikan tinggi

Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.

Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.

Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, dia memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.

Tamat belajar di sekolah pondok, dia kembali ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.

Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

Semua boleh

Tamat belajar di UiTM, dia melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tamat pengajian peringkat ijazah, dia tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman bekerja di negara asing.

Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management. Azizuzanadi mengikuti pengajian ketiga-tiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.

Tamat pengajian ijazah sarjana, beliau tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.

“Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya iTU. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan,” keluh Among.

Usahawan tani

Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.

“Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya,” jelasnya.

Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.

“Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.

“Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya,” jelas Among.

Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan.

Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.

“Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar.

“Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambing-kambing ini,” kata Among dengan menambah kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.

Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.

Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biri-biri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.

Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pak ciknya.

Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.

Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.

“Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.

Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.

Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Ternakannya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.

Di antara kesibukan di kandang kambing, dia juga menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kira-kira 200 meter dari kandang kambingnya.

“Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, hari raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.

“Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.

“Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti hands-on, kita mesti tahu selok-belok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh,” katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.

Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.

Pelan lima tahun

Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai sebagai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.

Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.

Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.

“Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.

“Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.

“Kita juga boleh buat jualan secara online (Internet) bagi mereka yang tidak boleh datang ke Pelangai. Pelan saya ini mungkin dapat dibuat dalam masa lima tahun ini tetapi kalau ada pembantu dan komitmen daripada penternak lain, ia mungkin boleh dibuat lebih cepat lagi,” kata Among.

CMT Agro labur RM1 juta

IPOH 25 Dis. – CMT Agro Resourses Sdn. Bhd., (CMT Agro) akan melabur sebanyak RM1 juta bagi membuka kilang memproses baja organik berasaskan cacing di kawasan Perindustrian Silibin dekat sini, tahun depan.

Pengarah Urusannya, Hisyam Jamaludin berkata, kilang tersebut dibuka bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap baja itu di kalangan para pelanggan.

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya sedang mengubah suai sebuah kilang dengan kos hampir RM300,000 bagi tujuan itu.

”Kami juga bercadang akan membuka kilang di Sungai Petani (Kedah), Kuantan (Pahang), Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang tahun depan.

“Buat masa ini kami mengeluarkan kira-kira 30 tan metrik baja dalam sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syarikat yang dulunya dikenali sebagai CMT Agro Resources itu kini mengorak langkah dalam dunia pertanian dengan pembukaan kilang dan ladang yang berasaskan baja organik cacing yang bermutu tinggi dan halal.

Tambah Hisyam, dengan adanya kilang itu, pihaknya menjangkakan anggaran pengeluaran baja bagi syarikatnya mampu mencecah kepada 50 tan metrik sebulan.

Malah kata beliau, dalam tempoh tiga bulan, purata pengeluaran baja organik daripada ladang penternakan cacingnya boleh mencapai 100 tan metrik sebulan.

“Syarikat CMT Agro juga dalam mengenal pasti dan penstrukturan semula pengedaran baja organik supaya lebih efisyen dan menguntungkan,” katanya.

Hisyam berkata, buat masa ini, terdapat sebanyak lima kedai bagi pengedaran baja organik tersebut di sekitar Perak.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi pejabat CMT Agro di talian 05-5276546 atau mana-mana cawangan berdekatan.