Petua ibu lahirkan usahawan mas cotek

masri Ismail (kanan) meleraikan daun mas cotek sebelum dibersih, ditos dan dikeringkan dalam ketuhar.


SAYA sangat tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan begini,” kata Pengasas Sri Ain, pengusaha minuman mascotek, Masri Ismail.

Beliau memulakan usaha menanam herba mas cotek secara kecil-kecilan selepas mengamalkan petua ibunya yang mengambil herba berkenaan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah.

Masri yang berminat dengan herba berkenaan mula mencari pelbagai maklumat mengenai khasiat mas cotek daripada Internet serta orang tua-tua.

Berminat dengan khasiat mas cotek, Masri mula menanam herba berkenaan secara meluas di tanah miliknya seluas satu hektar di Kampung Jenjarum, Banting, Selangor.

Bagi meningkatkan produktiviti tanaman mas cotek, Masri sering mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada Pegawai Pertanian Kuala Langat, Mohd. Fairuz Affendy Mohd Isa.

Memulakan tanaman mas cotek pada Jun 2007, Masri juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Seminggu saya mengikuti kursus di UTM mengenai cara menghasilkan dan menggunakan mikrob berguna (EM) dalam racun serangga dan baja.

“Ini sebagai satu cara penanaman bebas kimia yang saya amalkan sejak sekian lama,” katanya semasa ditemui di ladangnya di Banting, Selangor.

Beliau juga banyak menerima khidmat nasihat dan input pertanian dalam bentuk baja dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Masri menanam 13 jenis mas cotek dan menggunakan ramuan pelbagai jenis bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

Beliau menghasilkan produk pertama pada Ogos 2008 dengan pasaran hampir di seluruh negara.

Pada bulan Mei tahun depan, Sri Inai menambahkan lagi dua produk keluarannya iaitu mas cotek halia dan Sri Cotek Cafe bagi penggemar kopi.

Masri juga mendapatkan khidmat nasihat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi ujian mikrob dan logam berat.

Bagi mendapatkan ekstrak bagi Sri Cotek Cafe, Masri menghantar bahan mentah ke Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Masri berkata, proses menghasilkan minuman botanikal mas cotek bermula dengan tuaian daun dan dileraikan.

“Daun berkenaan kemudian ditimbang dan dibasuh menggunakan air suling sebelum ditoskan di atas dulang selama beberapa hari.

“Selepas itu daun akan dimasukkan ke dalam ketuhar pada suhu 40 hingga 45 darjah Celcius (C) selama tiga hari,” katanya.

Apa yang menarik, Masri membina sendiri ketuhar untuk mengeringkan daun dan boleh mengisi sehingga 150 kilogram daun pada satu-satu masa.

Daun yang telah dikeringkan kemudiannya dibawa ke kilang di Sungai Manggis untuk diproses dan dijadikan minuman botanikal dan mas cotek halia.

Kilangnya yang dilengkapi dengan sebuah makmal kecil, bilik pengisar, bilik pengeluaran dan stor boleh menghasilkan sehingga 10,000 uncang sehari atau kira-kira 4,000 kotak sebulan.

“Di kilang ini, kami menjalankan ujian rasa dan kelembapan bagi memastikan kualitinya sentiasa terjamin,” katanya.

Masri menjelaskan, perkara berkenaan penting kerana pernah daun yang dikeringkan di dalam ketuhar terasa seperti hangus dan terpaksa dibuang.

“Kami di sini memastikan pelanggan akan mendapatkan minuman mas cotek yang benar-benar menepati cita rasa,” katanya.

Beliau menambah, mas cotek Sri Inai telah mendapat Sijil Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada masa akan datang, Masri bercadang untuk menghasilkan mas cotek dalam bentuk tablet, minuman dan kordial.

“Ujian bagi produk berkenaan sedang dijalankan di TPM dan saya berharap akan dapat mengeluarkannya menjelang tahun depan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk mas cotek keluaran Sri Ain boleh layari laman sesawang http://www.sriain.com.my

JPV terajui industri burung walet negara

PUTRAJAYA 7 Dis. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menerajui industri burung walet negara menyasarkan lebih ramai pengusaha menceburi perniagaan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kekurangan bekalan menyebabkan Malaysia hanya mampu memenuhi 10 peratus nilai eksport sarang burung walet ke China iaitu RM1 bilion.

”China, Hong Kong dan Taiwan lebih berminat dengan sarang burung walet dari Malaysia berbanding Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam kerana negara ini telah disahkan bebas dari wabak selesema burung.

”Hanya sekitar 50,000 rumah dijadikan tempat perusahaan sarang burung walet di seluruh negara dan kita memerlukan lebih ramai pengusaha untuk memenuhi permintaan dari China,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ketika ini Malaysia hanya mampu menyumbang 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).

Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan sehari daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.

Menurutnya, JPV juga bekerjasama rapat dengan Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia untuk mengendalikan kursus-kursus penternakan burung walet.

JPV juga berjaya menangani isu-isu berkaitan perladangan walet seperti di bangunan warisan, berdekatan lapangan terbang dan premis tertutup di kawasan bandar.

”Kos termurah untuk memulakan perusahaan ini ialah RM10,000 dan sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan dan RM7,000 jika sudah dibersihkan.

Jelas beliau, masih ramai yang tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang walaupun fizikalnya hampir sama.

Burung layang-layang membuat sarang daripada bahan seperti rumput atau daun tetapi burung walet membuat sarangnya daripada air liur.

Sarang yang dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ sebaliknya untuk bertelur dan anaknya membesar sahaja.

Abdul Aziz menambah, JPV telah mewujudkan laman web burungwalit.com.my untuk pendaftaran premis burung walet sebagai langkah pemantauan, pengawalseliaan dan pendaftaran.