Potensi alga sebagai sumber tenaga hijau

PARA peserta yang menyertai Sidang Kemuncak Alga Asia 2009 di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, baru-baru ini.


SANA sini orang memperkatakan tentang fenomena pemanasan global yang semakin meruncing dan memberi banyak kesan negatif kepada seluruh penduduk dunia.

Tidak cukup dengan suhu panas yang dirasai, bumi kini ditimpa pula dengan pelbagai bencana alam yang menyebabkan banyak kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.

Mencari jalan terbaik mengurangkan permasalahan itu, pelbagai inisiatif dan langkah menanganinya telah mula diperkenalkan.

Malah, di peringkat antarabangsa juga, banyak negara telah bergabung menjalankan pelbagai bentuk kerjasama sebagai menyokong aktiviti pemulihan itu.

Antara yang diberi perhatian utama adalah usaha mengurangkan pencemaran serta kerosakan yang berpunca daripada sumber tenaga.

Untuk tujuan tersebut, penggunaan beberapa sumber tenaga yang lebih bersifat mesra alam dan boleh diperbaharui seperti angin, solar dan hidro kini semakin diperkasakan.

Tidak ketinggalan, sumber tenaga daripada aktiviti pereputan bahan organik biomas yang dikenali sebagai biofuel juga semakin mendapat perhatian meluas.

Secara asasnya, biomas terdiri daripada bahan semula jadi seperti tumbuhan kayu, bahan buangan pertanian, sisa ternakan dan sebagainya.

Memperkembangkan lagi sumber itu, kini mikroorganisme alga juga telah digunakan sebagai asas kepada penghasilan produk biofuel.

Melihat kepada potensi sumber itu untuk diperluaskan, Taman Teknologi Malaysia (TPM) dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan, Algaetech Group of Companies telah menganjurkan Sidang Kemuncak Alga Asia 2009, baru-baru ini.

Dengan tema Alga Untuk Tenaga, ia menghimpunkan pakar-pakar alga dari seluruh dunia seperti United Kingdom, Thailand, China, Afrika Selatan dan juga Australia.

Matlamatnya adalah untuk memberi fokus kepada perkembangan industri alga di Asia di samping melihat prospek dan hala tuju pembanguan industri tersebut sebagai sumber tenaga alternatif di Malaysia.

Objektif itu secara tidak langsung menyokong usaha TPM yang merupakan organisasi peneraju teknologi tempatan untuk terus memacu pertumbuhan aplikasi sains, inovasi, bioteknologi serta kejuruteraan.

Selain memberi kesan positif dari sudut pasaran dan ekonomi global, perluasan teknologi tersebut juga dilihat mampu menaiktaraf infrastruktur serta perkhidmatan untuk kemudahan rakyat.

Menurut Setiausaha Bahagian, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Badriyah Abd. Malik, pihaknya sentiasa menyokong usaha kajian teknologi berkaitan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Pihak kementerian sentiasa memberi galakan kepada agensi kerajaan, sektor swasta serta universiti untuk menganjurkan program dan aktiviti berkaitan tenaga boleh diperbaharui demi manfaat kepada negara.

“Justeru, dana bernilai RM1.5 bilion yang diperuntukkan di bawah bajet 2010 akan digunakan untuk tujuan pembangunan produk teknologi hijau dan industri alga perlu mengambil peluang ini,” katanya.

Bagi tujuan memperkukuhkan industri tersebut, beliau memberitahu, pihak kementerian berharap agar setiap kajian berkaitan teknologi hijau diperluaskan secara komersial.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Algaetech, Datuk Abdul Rahman Daud, berkata, sidang kemuncak itu merupakan platform terbaik untuk pakar-pakar berkongsi idea dan kemahiran sekali gus membantu perkembangan industri alga tempatan.

“Adalah diharapkan, program ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti penanaman dan pembiakan alga pada masa depan,” jelasnya

Penghasilan alga untuk tujuan biofuel sebenarnya tidak memerlukan piawaian ketat dan kos yang tinggi sebagaimana untuk menghasilkan makanan.

Justeru, jika kelebihan itu digerakkan seiring dengan strategi dan perancangan berkesan, industri alga pasti akan membawa keuntungan serta memenuhi keperluan sumber tenaga mesra alam dan bersih.

2 thoughts on “Potensi alga sebagai sumber tenaga hijau

  1. Ingin dapatkan info yang lebih lanjut. Berhasrat untuk menanam dan membiakkan algae di masa hadapan. Sekarang ini syarikat terlibatr penternakan lintah dan puyoh. Harap dapat berikan no tel untuk dihubungi.

    zaidah
    019-7129961/ 07-6906155

  2. Puan Zaidah,

    Jika ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan program pembiakan alga, boleh ke laman web http://www.algaetech.com.my. syarikat bumiputera ini sedang bergiat aktif dalam bidang penyelidakan dan pembangunan pelbagai spisis alga.

    atau boleh terus contact mereka di talian 03-2144 0140 .

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s