![]() |
Yahya Hussin (tengah) diiringi Dr.Ting Ing Chiew (kiri) tertarik melihat keindahan bunga orkid semasa merasmikan Pameran Orkid di Star City, Kota Kinabalu, kelmarin.
|
KOTA KINABALU 29 Okt. – Peniaga bunga orkid di Sabah diminta mengurangkan import tanaman tersebut dari luar negara, sebaliknya menggunakan orkid tempatan yang harganya lebih murah dan berkualiti.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, penjualan orkid tempatan secara meluas tidak akan membantu menjana pendapatan pengusaha tanaman orkid di negeri ini.
”Sabah mempunyai lebih 1,000 spesies orkid yang dikenal pasti berpotensi dipasaran. Ironinya, peniaga dan pihak hotel-hotel di negeri ini menggunakan hiasan orkid yang diimport.
”Kita agak kesal dengan perkara ini dan berharap pihak peniaga dan pengusaha hotel mengubah penggunaan orkid luar kepada orkid tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Orkid yang diadakan di Kompleks Star City North di sini semalam.
Pameran selama empat hari itu yang bermula semalam, adalah anjuran bersama Kompleks A.C. Management Sdn. Bhd. (CACM) dan A-Think Biotechnology Co.Ltd, Taiwan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Asia City Property Development (ACPD), Datuk Dr. Ting Ing Chiew; Setiausaha Politik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, Mahlan Zinin dan Pengurus Besar Star City North, Victor Ng.
Objektif pameran tersebut bertujuan mempromosi orkid dari Taiwan di samping mendedahkan teknologi pengeluaran dan ‘floral art’ kepada peminat orkid negeri ini.
Pelbagai spesies orkid dari negara Taiwan dipamerkan dan juga untuk jualan kepada orang ramai.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, pameran itu memberi peluang peminat orkid tempatan untuk bertukar pengetahuan dan kepakaran daripada pengusaha dari Taiwan.
”Orang ramai terutama pengusaha dan peminat orkid di negeri ini perlu merebut peluang keemasan ini kerana pameran seperti ini bukan selalu diadakan.
”Di samping, melihat kecantikan bunga ini, mereka juga dapat mempelajari cara peniaga orkid Taiwan memasarkan hasil tanaman mereka ke luar negara,” katanya.