Strawberi segar di Ba'kelalan

 

wb_01.1

Pak Tagal dan pembantunya, Erina memetik buah strawberi berhampiran Apple Lodge di Buduk Nur, Ba’kelalan, Miri, Sarawak.


 

MIRI 19 Okt. – Lazimnya kalau menyebut strawberi, sudah tentu terlintas dalam fikiran kita mengenai dua lokasi tanah tinggi di negara ini seperti Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang di Sabah yang popular dengan tanaman tersebut.

Namun, tidak pernah terbayang, Sarawak juga mempunyai tanaman strawberinya sendiri kerana difahamkan buah itu hanya dapat tumbuh di kawasan beriklim sejuk.

Bagaimanapun tinjauan Utusan Malaysia di Buduk Nur, Ba’kelalan mendapati, strawberi bakal menjadi ikon baru pelancongan di Sarawak selain kisah tanaman epalnya yang begitu terkenal merentasi Laut China Selatan dan seluruh bumi Kenyalang.

Terletak di utara Miri dalam bahagian Lawas, tanah tinggi Ba’kelalan sememangnya bumi bertuah. Dengan suhu siang hari 25°C hingga 32°C manakala malam 15°C dan terletak pada kedudukan 2,900 kaki dari aras laut, cuaca Ba’kelalan sejuk dan sesuai untuk tanaman seperti epal, oren, ‘avocado’, markisa dan strawberi.

Menyedari kelebihan Ba’kelalan yang tidak dimiliki tempat lain di Sarawak, Tagal Paran, 75, atau lebih mesra dipanggil Pak Tagal telah mengorak langkah untuk memulakan tanaman strawberi.

Walaupun mempunyai ladang epal seluas 10 hektar, namun itu bukan penoktah bagi beliau membangunkan Ba’kelalan sebagai pusat pertanian tanaman beriklim sejuk.

”Semangat mencuba sesuatu yang baru sentiasa berkobar-kobar dalam jiwa saya. Saya jenis yang tidak senang duduk diam, sebaliknya sentiasa berfikir untuk mencuba sesuatu yang baru.

”Tanaman strawberi ini merupakan sebahagian daripada perancangan saya untuk melihat apa potensi yang di Ba’kelalan selain tanaman epal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga pengerusi Rata Farm Sdn. Bhd. berkata, usaha membangunkan Ba’kelalan sebagai pusat pengeluaran buah strawberi yang pertama di negeri ini dilaksanakan pada awal tahun 2007.

Sebagai permulaan sebanyak 1,000 pokok strawberi yang dibeli dari Cameron Highlands ditanam berhampiran Apple Lodge, Buduk Nur.

Seperti di Cameron Highlands, beliau menggunakan bumbung struktur kalis hujan sebagai pelindung bagi mengelakkan pokok rosak.

Selain menggunakan sistem fertigasi iaitu air dan baja dicampurkan dan dibekalkan kepada tanaman pada yang kadar yang ditetapkan.

Tagal menambah, pokok strawberi itu ditanam dalam polibeg yang diisi tanaman campuran hampas sabut kelapa dan bahan perlite yang disusun di atas rak.

Projek yang menelan kos RM20,000 itu bagaimanapun menemui kegagalan. Kesemua anak pokok yang dibeli mati selepas beberapa bulan ditanam dan tidak sempat mengeluarkan hasil. Namun ia tidak melumpuhkan semangat warga emas ini.

”Selepas kegagalan pertama, pada tahun lepas saya mencuba lagi mendapatkan anak pokok strawberi. Saya membeli sebanyak 170 pokok yang kemudian dibiakkan sehingga jumlah sekarang 417 pokok dan semuanya berbuah,” katanya yang banyak bertanyakan kepada mereka yang berpengalaman mengenai tip dan cara-cara penjagaan tanaman strawberi.

Menurut Pak Tagal, berdasarkan pemerhatian, apa yang penting strawberi memerlukan penjagaan yang cukup setiap hari.

Berbanding epal, strawberi perlu disembur air setiap hari selain buah masak yang perlu dikutip setiap pagi.

”Bagi saya menanam strawberi sama susah seperti menanam epal. Namun jika kita sudah tahu caranya, mahir dalam memberi racun dan baja yang sesuai, tidaklah terlalu sukar,” katanya yang mendapat bekalan racun dan baja dari Miri.

Berkat kesungguhan, strawberi Pak Tagal mula mengeluarkan hasil yang pertama iaitu pada Jun pada tahun ini. Setiap hari beliau dengan bantuan dua orang pekerja akan menyembur dan memetik buah strawberi.

”Setakat ini kita sudah menuai hampir 10 kilogram buah strawberi. Walaupun tidak banyak, namun saya gembira kerana percubaan kali ini menemui kejayaan,” katanya sambil menambah buah strawberi yang harganya mencecah RM16 sekilogram mempunyai pasaran luas di Kota Kinabalu, Brunei selain Sarawak.

Menurut Pak Tagal, beliau kini sedang berusaha mencari pembekal yang dapat membantu memasarkan buah strawberi dan sebagai permulaan beliau memilih Miri.

Dia turut bercadang menghasilkan jem strawberi Ba’kelalan dan memasarkan bersama produk lain yang sudah terkenal seperti beras Adan atau beras Bario, garam gunung dan epal.

Bagi meningkatkan keluaran, Pak Tagal tahun ini bercadang untuk membeli 400 lagi anak strawberi dari Kundasang dan 2,000 anak pokok epal spesies baru dari Batu Malang, Indonesia.

”Tanaman strawberi merupakan projek kedua Rata Farm Sdn Bhd selepas berjaya mengusahakan ladang epal. Selepas ini saya merancang untuk menanam buah anggur pula,” katanya yang sedang mengintai peluang untuk membeli anak pokok anggur.

Ba’kelalan boleh dikunjungi menggunakan penerbangan terus dari Miri pesawat kecil Twin Otter yang mengambil masa kurang 50 minit.

Manakala dari Lawas, memandu ke Ba Kelalan sebaiknya menggunakan pacuan empat roda dan mengambil masa sekitar lima jam bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain ladang epal dan beras Bario, Ba’kelalan yang terletak di tengah-tengah lembah gunung-ganang menjanjikan suasana yang amat menarik untuk para pelancong.

Keindahan alam semula jadi, udara segar dan keunikan budaya suku kaum Lun Bawang sudah pasti memanggil anda kembali ke sana.

Jika teringin menikmati atau memetik strawberi, lupakan seketika Cameron Highlands atau Kundasang kerana Ba’kelalan sedia menanti kedatangan anda.

2 thoughts on “Strawberi segar di Ba'kelalan

  1. Sy sgt berminat dgn penanaman strwbri ni, tp adakah potensi penanaman tumbuhan ini di Johor. Klu ble sy ingin mencuba penanaman di laman rumah dahulu, tp mcmana nk dpatkan panduan penanaman dan benih pokok..harap dibantu.

  2. ble kah stwbri tumbuh melalui biji2 dr buah segar yg dibli di pasar2aya tempatan.
    bagaimana iklim/cuaca yg diperlukan utk penanaman tumbhn ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s