![]() |
keropok Dunia bukan saja mendapat sambutan tempatan tetapi juga di luar negara seperti China dan Brunei.
|
Zaman gawat sekitar tahun 1997 bukan penamat tetapi permulaan kepada sinar kehidupan yang baru dalam hidup Nordin Hashim, 45.
Bekerja di sebuah syarikat swasta dan perlu menyara keluarga yang besar, Nordin mengorak langkah dengan menjual keropok lekor di gerai bawah pokok berhampiran rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Bagi memulakan usahanya, Nordin membuat pinjaman sebanyak RM395 bagi membeli payung, meja dan bahan mentah.
Ketika itu beliau mendapatkan bekalan dari Terengganu tetapi apabila beliau mula memperolehi tapak jualan di pasar malam, permintaan semakin tinggi.
“Ketika itu pembekal dari Terengganu tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
“Biasanya kalau saya memesan 6,000 batang keropok lekor, saya hanya mendapat 2,000 hingga 4,000 batang saja,” katanya semasa ditemui di premis kilangnya Industri Keropok Dunia di Seksyen U5, Mah Sing Integrated, Shah Alam Selangor.
Menyedari pasaran yang luas dalam industri keropok lekor yang menggunakan jenama Noba, Nordin mengikuti kursus menghasilkan keropok lekor dan bebola ikan di Jabatan Perikanan Terengganu.
“Mendapat nasihat dan galakan daripada Jabatan Perikanan, saya kini menjadi salah satu daripada program anak angkat jabatan berkenaan,” katanya yang sehingga ini menggunakan modalnya sendiri.
Pada peringkat permulaan, Nordin sebagai Pengarah Urusan Industri Keropok Dunia, mengusahakan keropok lekor di rumahnya di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimanapun apabila permintaan semakin bertambah, perusahaan di rumah tidak dapat memenuhi kapasiti yang diperlukan.
Justeru Nordin menyewa kilang bersaiz 11 meter x 33 meter di premis sekarang daripada Mara pada tahun 2005.
Mula dengan menyewa sebuah kilang, Nordin menyewa sebuah lagi kilang di sebelahnya sebagai stor tempat penyimpanan bahan mentah dan tempat pembungkusan.
Apabila perniagaan semakin berkembang Nordin mula mendapat pelbagai khidmat nasihat seperti formulasi dan mekanisasi yang sesuai daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Kini Keropok Dunia merupakan anak angkat MARDI dan menggunakan mesin keropok lekor yang dihasilkan oleh penyelidik institut berkenaan.
Dengan mesin yang ada sekarang dan pekerja seramai 35 orang, Keropok Dunia kilang dapat menghasilkan satu tan keropok sehari.
“Kini kami sedang merancang membina sebuah kilang yang lebih besar lengkap dengan peralatan canggih di Rawang, Selangor dalam masa terdekat.
“Di kilang baru itu nanti, kami akan mempelbagaikan produk berasaskan isi ikan seperti popia otak-otak, sata, otak-otak daun nipah, keropok rangup, bebola goreng, bebola ikan, kek ikan dan sos pencicah,” katanya yang banyak dibantu oleh anak ketiganya Mohd. Sadri mengenai operasi kilang.
Mohd. Sadri, 19, semasa ditemui berkata, bermula dengan membantu ayahnya di pasar malam, kini beliau sering mengikuti pelbagai kursus dan lawatan berkaitan dengan makanan berasaskan ikan anjuran agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan.
“Saya tidak pernah menyesal bergiat dalam industri makanan kerana masa depannya terbentang luas,” katanya penuh semangat.
Sementara itu Nordin berkata, kepelbagaian produk hanya boleh dilakukan apabila kilang baru siap didirikan memandangkan kilang sekarang tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan barang.
Bekalan
Bercerita mengenai bahan mentah, Nordin mendapat semuanya daripada pembekal yang dipercayainya.
Pada permulaan beliau sukar mendapat bekalan bahan mentah seperti isi ikan dan tepung tetapi kini berkat kesabaran, beliau dapat menghadapi semua cabaran.
Misalnya bagi pembekal isi ikan, Nordin memastikan pembekal menyiang dan membersihkan semua ikan seperti yang dikehendaki.
“Saya akan pergi melawat ke tempat pembekal bagi memastikan isi ikan yang diperolehi benar-benar bersih,” katanya yang memastikan semua pembekal bahan mentahnya mempunyai sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Mendapat pelbagai anugerah seperti Anugerah Peladang Jaya Lelaki Daerah Petaling Jaya 2006, Anugerah Pemprosesan Jaya Negeri Selangor 2006 dan nama Nordin juga tercatat dalam buku Kisah Kejayaan 50 Usahawan Bimbingan MARDI (Industri Makanan).
Percaya dengan strategi memasarkan produk sendiri tanpa orang tengah, Nordin memasarkan produknya sendiri di premisnya, pasar malam di Bangi, Puchong, Kampung Medan, Pantai Dalam, Putra Perdana dan Kerinchi manakala pasar tani di Shah Alam, Kelana Jaya, Pusat Bandar Damansara dan Kapar Indah.
Buat masa ini tiga anaknya membantu dalam industri keropok, seorang di kilang dan dua lagi di pasar malam dan pasar tani.
Biarpun pasaran produknya tidak meluas ke seluruh negara tetapi produknya telah mendapat tempat di Brunei dan China.
Bagi pasaran China, terdapat syarikat yang membeli dan membungkus semula keropok segera sebanyak lima tan sebulan bagi jualan di sana.
“Walaupun kami memasarkan sendiri tetapi permintaan semakin bertambah dan saya bercadang untuk membina kiosk di tempat strategik di Lembah Kelang.
“Saya akan menerapkan konsep makanan segera dengan menghidangkan keropok lekor dan produk hasil ikan segar dan panas untuk pelanggan,” katanya.
Kini Nordin sedang merancang untuk memasarkan produknya ke pasar raya seluruh negara serta negara jiran Singapura.
wow…cukup memberangsangkan, dengan modal pinjaman RM395 en.nordin kini dah mampu hidup senang
saya amat teruja dan mahu mengikut jejak langkah en.nordin maju dlm perniagaan
syabas en.nordin syabas
harap dapat berita terkini perkembangan perniagaan en.nordin
pada masa akan datang
ikhlas dari Brunei
wow..saya dr Perlis, saya sgt kagum dengan pencapaian Encik. tahniah.
Saya bangga punya anak Melayu begini. Minggu lepas saya pergi LKIM Kuala Kedah, bertanya untuk kursus keropok lekor. Malangnya tak dapat sebab saya bukan ahli nelayan..cikgu.. Cikgu pun ada semangat nak jadi usahawan.. Nak pergi kursus berbayar, dah tak mampu. Kena cari alternatif lain.. Lepas ni cuba ketuk pintu MARA, MARDI dll. Saya tanya pegawai LKIM, berapa peratus nelayan berkursus yg buka perusahaan k.lekor..dia cakap tak sampai 10%.. Dia puji usaha saya nak jadi usahawan..tapi tak boleh tolong krn terikat dgn dasar..saya faham.. InsyaAllah saya terus berusaha..
Alhamdulillah saya bangga dengan pencapaian Encik Nordin!
saya harap suatu hari nanti saya dapat bekerjasama dengan Encik Nordin. Saya mengedar dan menjual keropok lekor bawah jenama Keropok Lekor Putra. Kami beroperasi di area Putrajaya, Bangi dan Kajang.
Saya doakan agar Encik Nordin terus maju kaya dan berjaya dunia dan akhirat