Mesin mengasing biji durian

ag_01.1

Menggunakan mesin membolehkan kerja-kerja mengasingkan biji durian dilakukan dengan lebih mudah dan bersih.


RAJA buah, durian (Durio zibethinus L). adalah salah satu buah yang sangat digemari di kalangan rakyat negara ini. Aromanya yang menggoda, menjadikan buah ini menjadi popular dimakan segar.

Selain itu, isi durian diproses untuk menghasilkan bermacam-macam jenis makanan seperti dodol wajik, coklat, gula-gula, sos dan bahan perisa.

Bagaimanapun, apabila tiba musimnya buah menjadi terlalu banyak dijual di tepi-tepi jalan dan harganya akan merudum.

Pada masa sama, industri durian lebih tertumpu kepada penjualan buah mentah dan tidak ada mesin khas atau alat khas untuk pemprosesan secara besar-besaran.

Pemprosesan besar-besaran merujuk kepada bagaimana mengasingkan biji durian dengan isinya yang selama ini dilakukan secara manual.

Kerja-kerja ini memerlukan tenaga yang ramai dan mengambil masa yang lama dan rumit.

Di samping itu, pes durian yang diperoleh cara ini juga kurang bersih dn sudah tentu tidak menepati piawaian kebersihan makanan yang ditetapkan.

Oleh itu, selaku, peneraju dalam teknologi dan mekanisasi pertanian dan teknologi makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan satu inovasi mesin yang dikenali sebagai Mesin Pengasing Biji Durian.

Ciri-ciri mesin

Mesin dibangunkan untuk memekanisasikan proses pengasingan biji durian. Durian telah digunakan dalam penghasilan pelbagai produk makanan yang berperisa durian seperti dodol durian, ais krim, kuih dan sebagainya.

*Bahagian utama mesin ialah mekanisme drum yang diperbuat daripada jaringan rod keluli tahan karat. Drum yang berputar ini menggunakan prinsip daya emparan untuk melepaskan biji daripada isi tersebut.

*Sistem penyembur angin berkelajuan tinggi digunakan untuk membersihkan isu durian yang melekat pada rod-rod tersebut.

*Mesin ini hanya memerlukan seorang pengendali dan tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikannya.

*Mesin ini digerakkan oleh motor dengan kelajuan boleh laras.

*Bahagian-bahagian mesin mudah dipasang dan dileraikan serta mudah dicuci dan diselenggara.

*Pemprosesan boleh dilakukan secara berterusan untuk pengeluaran pes yang maksimum.

*Boleh memproses sehingga 150 kilogram (kg) isi (ulas) dalam masa sejam.

Penggunaan

*Pengendali memasukkan lebih kurang lima kg ulas durian ke dalam bekas (hopper) pengisian.

*Kemudian, mesin dihidupkan dengan kelajuan yang dimasukkan sederhana tadi akan berguling di dalam drum yang berputar

*Selepas lebih kurang lima minit, sebahagian daripada biji durian akan terkeluar dengan sendirinya daripada mesin ini bekas (hopper) outlet biji.

*Isi durian atau pes dikumpulkan dalam hopper outlet.

*Biji-biji durian yang tertinggal boleh dikeluarkan secara manual dan proses ini diulangi untuk ulas-ulas seterusnya.

Keistimewaan

*Mesin ini direka khas untuk pemprosesan is durian kerana kebanyakan mesin pengasing biji yang terdapat di pasaran di reka untuk pelbagai jenis buah, tetapi jika digunakan untuk durian, hasilnya tidak begitu memuaskan.

*Pes durian yang hasilkan tidak mengandungi serpihan biji-biji durian.

*Pes durian yang dihasilkan lebih bersih. Mesin inj mengelakkan berlakunya pencemaran pada pes, dengan meminimumkan pengendalian secara terus.

*Kadar perolehannya lebih tinggi berbanding penggunaan mesin pengasingan serbaguna yang terdapat di pasaran.

*Lebih kurang 60 peratus biji durian dapat dikeluarkan daripada mesin dengan sendirinya.

Potensi komersial

Mesin ini sesuai digunakan oleh usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang juga berperanan sebagai sebagai peraih/penjual buah durian mentah.

Pemprosesan buah durian kini boleh dijalankan untuk dibekalkan kepada industri pemprosesan hasilan durian di pasaran.

Kos pengeluaran boleh dikurangkan kerana mesin ini sangat mudah digunakan.

Vermikompos tingkat kesuburan tanah

Sumber : Jabatan Pertanian
ag_02.1

Vermikompos kaya dengan nutrien yang sesuai untuk tanaman.


VERMIKOMPOS merupakan baja kompos yang terbentuk hasil daripada pemeliharaan cacing dalam kompos. Vermikompos mengandungi najis cacing yang bercampur dengan bahan-bahan organik yang mereput seperti jerami padi, rumput, dan lain-lain sisa bahan tanaman.

Vermikompos mengandungi pelbagai unsur nutrien yang sangat sesuai untuk tanaman.

Selain itu, ia juga membantu menguraikan sebatian kompleks kepada unsur yang boleh diambil oleh tanaman.

Cara membuat vermikompos

a. Bahan-bahan

i. Jerami padi atau sisa bahan pertanian yang telah reput atau separuh reput.

ii. Najis haiwan (tahi lembut) atau tahi ayam)

iii. Cacing merah (cacing kompos)

b. Cara membuat

i. Sediakan tapak kompos dan bangsal untuk membuat vermikompos bagi melindungi daripada hujan dan panas.

ii. Masukkan 300 kilogram (kg) jerami dan 100 kg tahi lembu ke dalam tapak kompos dan gaulkan.

iii. Masukkan empat kg cacing merah (lebih kurang 10,000 ekor) ke dalam campuran jerami dan tutup dengan jerami atau guni

iv. Lakukan penyiraman setiap dua hari sekali supaya campuran sentiasa dalam keadaan lembap.

v. Pemantauan dan pengurusan yang sempurna hendaklah dilakukan bagi memastikan cacing berada dalam keadaan selesa dan tidak diganggu oleh musuh-musuh seperti tikus, semut dan burung.

vi. Hasil vermikompos boleh diambil dalam masa sebulan.

Pengutipan hasil

Vermikompos boleh dituai selepas tiga atau mepat bulan. Vermikompos yang terhasil diasingkan dengan mengumpulkannya dalam satu bahagian dan bahan sisa tanaman bari ditempatkan di sebelahnya.

Cacing-cacing akan berpindah dengan sendirinya ke bahan sisa tanaman baru. Vermikompos yang telah diasingkan ditapis sebelum dibungkus dan dijual atau digunakan.

Kebaikan vermikompos

i. Memperbaiki struktur tanah

ii. Memperbaiki kandungan biologi tanah dengan penambahbaikan mikrorganisma, hormon dan juga enzim.

iii. Membekalkan unsur-unsur yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok.

vi. Mengandungi humus yang berguna untuk meningkatkan kesuburan tanah.

Hais Kelantan Delights

wt_01.1

Tan Boon Hai di hadapan kedainya di Pasir Pekan, Kelantan. – utusan/Rosni Masri.


KOTA BHARU 2 Okt. – Kewujudan premis Hais Kelantan Delights di Jalan Pasir Pekan, tidak jauh dari pusat bandar ini mudah mencuri perhatian mereka yang lalu-lalang di jalan utama itu.

Melihat nama kedainya, mungkin ramai yang menyangka ia rangkaian sebuah restoran terkenal milik anak negeri di ibu negara yang menjual makanan eksotik Kelantan.

Ada yang bertanyakan pemiliknya, Tan Boon Hai, 50, berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat untuk mendapatkan penjelasan, namun persamaan itu hanyalah kebetulan.

Apa yang mungkin sama adalah kedua-duanya anak Kelantan dan tekad untuk memasarkan sesuatu yang mempunyai kaitan begitu dekat dengan masyarakat negeri ini.

Premis itu yang baru dibuka beberapa hari lalu memasarkan produk-produk makanan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dari seluruh negeri ini dengan konsep dan suasana persekitaran lebih moden dan selesa.

Kedai yang lengkap berhawa dingin dan beroperasi 24 jam mempunyai keluasan, menjangkau 280 meter persegi dan menyediakan kemudahan tempat meletak kereta.

“Saya guna nama ini sejak dari 2005 lagi apabila membuka kedai di ruang bawah gedung beli-belah KB Mall di pusat bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya kelmarin.

Di sinilah budu dijual dalam premis berhawa dingin bersama dengan beratus produk termasuk kerepek pisang, kerepek ubi, keropok, serunding dan ‘tahi musang’ iaitu sejenis asam.

“Inilah kedai baru saya yang beroperasi 24 jam demi memudahkan anak-anak Kelantan yang merantau serta pelancong membeli barangan sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang,” katanya.

Usaha Boon Hai sekali gus menaikkan taraf produk makanan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini dengan menjualnya di tempat yang lebih selesa, bukan sekadar di kaki lima pasar.

Beliau berurusan sendiri dengan orang kampung di seluruh daerah termasuk Kota Bharu, Ketereh, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh tanpa membabitkan orang tengah.

“Orang kampung ini buat produk pun di dapur rumah sendiri. Kalau ada orang tengah, habis penat lelah mereka.

‘‘Rugi jika pasaran untuk produk tradisional Kelantan yang lebih baik dan berkhasiat daripada makanan ringan buatan kilang besar tidak dipasarkan dengan luas,’’ katanya.

Beliau pernah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti menjual kereta dan insurans sebelum berhenti akibat kegawatan ekonomi pada 1997 dan kemudian meneruskan usaha ibunya yang sudah puluhan tahun menjual makanan kering di Pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

“Semua orang boleh tengok ramai yang berniaga deretan makanan kering buatan Kelantan ini dekat pasar dan tepi jalan. Saya fikir mengapa kita tidak cuba menjualnya di tempat yang lebih moden dan selesa seperti pasar raya.

‘‘Jadi, pada 2005, saya memberanikan diri buka kedai di KB Mall,” katanya yang menganggap tapak gerai di kaki lima Pasar MPKB yang masih diusahakannya sebagai ‘ibu pejabat’ utama,” katanya.

Menurut Boon Hai, tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak melainkan simpanan sendiri, dia menjadi ‘tauke dan kuli’ di kedainya sendiri.

“Nak upah orang pun mana boleh lagi. Kitalah yang kena bersusah payah dahulu,” ujarnya.

Beliau mencari dan mencuba produk yang terbaik dan menjualnya di kedai sendiri dan juga secara bergerak dengan van dan lori di serata Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Bermula dengan menjual bahan yang dihasilkan sepuluh pengusaha kecil, Boon Hai kini berupaya memasarkan hasil daripada lebih 100 pengusaha seluruh Kelantan melibatkan kira-kira 200 jenis produk.

“Saya beli secara tunai daripada mereka. Tidak ada ‘hutang-hutang’. Kalau dengan peniaga kecil, kita nak ambil barang mereka dengan berhutang, macam mana mereka nak hidup dan berkembang?” ujarnya.

Boon Hai seterusnya berkata, ramai yang mungkin merasakan apa yang dijual di kedainya lebih mahal daripada yang terdapat di pasar atau kedai biasa.

“Orang ingat bila kita jual dalam suasana macam di ‘pasar raya’, ada hawa dingin, maka harganya lebih mahal. Saya tidak buat begitu. Barangan makanan yang dibuat secara kecil-kecilan orang kampung ini mana boleh kita jual mahal-mahal.

‘‘Nanti hilang pasaran. Saya jual sama dengan harga di pasar, malah ada antaranya yang lebih murah lagi,” katanya.

Katanya lagi, makanan tradisional Kelantan sedap dan dengan kesedaran yang semakin menggemari makanan yang mereka tahu asal usulnya, macam kerepek pisang yang dijual sehingga 4,000 bungkus setiap bulan.

Kini, selain di Pasar MPKB, KB Mall dan Pasir Pekan, Boon Hai juga akan membuka premis baru di Pusat Dagangan Kota Bharu (KBTC) bulan ini dalam memenuhi impiannya agar Hais Kelantan Delights menjadi cermin perniagaan anak negeri.

Boon Hai bangga kerana akhirnya premis di Pasir Pekan itu buat pertama kali mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai pusat pengumpulan produk IKS.

“Setakat ini, saya dibantu 15 pekerja termasuk tiga anak saya. Saya bersyukur kerana selain mencari keuntungan untuk diri sendiri, saya dapat membantu pengeluar produk kecil-kecilan dan membuka peluang pekerjaan untuk anak-anak muda,” katanya.