Agropolitan ubah Pulau Banggi

wb_01.1

SHAFEI Apdal (kiri) menangkap ikan ketika melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Timbang Dayang, Pulau Banggi, Kudat, Sabah, baru-baru ini.


KUDAT 29 Sept. – Satu masa dahulu tiada apa yang boleh diperkatakan dan dibanggakan apabila ke Pulau Banggi di sini selain melihat kemunduran dan kemiskinan di kawasan pulau di Teluk Marudu itu.

Meskipun berpotensi dan mempunyai pelbagai sumber semula jadi yang tidak ternilai, kehidupan penduduk di pulau itu masih diselubungi kemiskinan malah jauh sekali untuk mengecapi nikmat kemodenan dan kemajuan negara.

Namun projek agropolitan iaitu idea terbaru kerajaan yang diperkenalkan pada 2007 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengubah keseluruhan landskap pulau itu serta kehidupan penduduk di situ.

Tujuan projek itu adalah bagi membandarkan sektor luar bandar menjadi sebuah kota pertanian yang lengkap dengan aktiviti perladangan berskala besar, kompleks perumahan serba moden dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap.

Selepas hampir tiga tahun dirasmikan semua komponen pembangunan utama projek tersebut berjaya dilaksanakan dengan rancak dan terus memberikan kesan awal langsung kepada penduduk di situ.

Projek di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu dilihat telah memberi perubahan besar, khususnya dalam aspek peningkatan kegiatan ekonomi, peningkatan pendapatan dan peningkatan kualiti hidup penduduk di pulau itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di pulau berkenaan baru-baru ini mendapati pulau itu kini sedang membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah bekalan air dan sebagainya.

Penduduk di pulau terbesar di negara ini itu juga kini boleh menarik nafas lega dengan wujudnya banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini berkata, pelaksanaan program di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) itu amat bererti kerana telah membawa banyak perubahan di pulau tersebut khususnya kepada penduduk pulau.

“Konsep agropolitan ialah membangunkan kawasan terpinggir, mundur dan terpencil secara bersepadu sebagai kota pertanian yang berkembang melalui perkembangan kegiatan pertanian, pemprosesan dan perniagaan yang berasaskan pertanian.

“Jadi sejak program itu dilaksanakan, ia telah memberi satu lembaran baru dan perubahan kepada penduduk pulau. Ia telah dapat membawa banyak nikmat kemajuan ke pulau ini selain memberi banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program yang melibatkan lima komponen utama itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan membantu masyarakat luar bandar kerana melibatkan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM167.36 juta.

“Melalui program itu sebanyak RM78.6 juta dikhaskan kepada komponen prasarana utiliti dan medan infodesa, modal insan (RM1.5 juta), ternakan ikan sangkar (RM11 juta), ladang (RM65.9 juta) dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (RM10.36 juta).

Jelasnya, sejak dilancarkan tiga tahun dulu ia telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Katanya, antara kemajuan pelaksanaan projek itu ialah pembinaan jalan antara Kampung Limbuak ke Kampung Padang sejauh 1.4 kilometer serta dari Kampung Padang ke Kampung Damaran sejauh 1.6 kilometer yang telah siap sepenuhnya.

Selain itu katanya, program jalan luar bandar dari Karakit ke Limbuak sejauh 15 kilometer juga kini telah siap 80 peratus.

Katanya, dalam usaha meningkatkan projek bekalan air di pulau itu pula, sebanyak 36 kilometer paip agihan yang melalui lapan buah kampung termasuk pekan Karakit telah siap dan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air.

Beliau berkata, projek bernilai RM30 juta itu mampu menyediakan air bersih kepada sebahagian besar penduduk di pulau itu.

“Projek bekalan elektrik luar bandar pula telah siap 98 peratus. Projek bernilai RM21 juta yang menggunakan tenaga solar itu akan dapat membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk di pekan Karakit, Kampung Perpaduan, Batu Putih, Singgahmata, Lok Tojo, Batu Layar dan PPMS Batu Layar.

Dalam pada itu katanya, dalam usaha menyediakan kediaman selesa kepada penduduk miskin tegar, sebanyak 100 buah rumah di bawah program PPMS telah siap dan diserahkan kepada peserta.

Bagi Pembangunan estet getah pula katanya, pada masa ini sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.

Rohayu usahawan roselle

ke_01.1

Rohayu Ayub (kiri) menjamu tetamu dengan juadah berasaskan roselle.


SAMBUTAN Aidilfitri kali ini bukan sahaja dirayakan dengan penuh kegembiraan kerana menyambut kemenangan mengharungi Ramadan, malah bagi Rohayu Ayub, beliau mahu mengambil kesempatan memajukan lagi perniagaannya.

Rohayu, 38, Pengarah Sabdariffa Enterprise, memberitahu, syarikatnya antara syarikat tempatan berasaskan roselle yang jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Namun usahanya menceburi bidang tersebut sejak 2005 semakin menampakkan kejayaan.

Beliau pada mulanya merupakan seorang tukang jahit. Kerana minatnya itu, dia hampir terlupa untuk meneroka bidang-bidang lain sehinggalah diperkenalkan dengan tanaman tersebut oleh seorang rakan.

“Saya terpikat dengan khasiat roselle,” katanya mengukir senyum apabila ditemui di kilangnya di Desa Melor, Serendah, Selangor, baru-baru ini.

Beliau ketika itu sedang sibuk melayani tetamu yang bertandang dan menghidangkan makanan serta minuman berasaskan roselle.

Menghimbau semula liku-liku penglibatannya dalam industri tersebut, Rohayu menceritakan, beliau membuat pinjaman Mara sebanyak RM10,000 untuk memulakan perusahaannya serta mengikuti kursus asas keusahawanan.

Beliau memulakannya dengan menghasilkan produk pada Ogos 2005 selepas menjalankan kajian sendiri selama tiga bulan.

Rohayu bertuah kerana nasib sentiasa menyebelahinya meskipun cabaran datang menguji kesabaran.

Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) banyak membantu beliau.

Beliau bekerjasama dengan FAMA untuk program perladangan kontrak yang mana penanam roselle akan menjual hasil tanaman kepada agensi tersebut yang kemudian dibeli oleh beliau.

Syarikatnya memerlukan antara satu dan 1.3 tan bahan mentah sebulan untuk menghasilkan pelbagai produk.

Bersama MARDI, Rohayu menggunakan teknologi makanan yang dibangunkan agensi tersebut terutama hal berkaitan penghasilan makanan yang menggunakan bahan pengawet.

Beliau pada mulanya hanya menghasilkan produk roselle dengan membuat halwa yang dipelajari daripada ibu mertuanya sebelum menghasilkan banyak produk lain antaranya kategori minuman seperti pati roselle, jus sedia diminum.

Bagi kategori makanan, Rohayu berjaya menghasilkan halwa yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam ramuan membuat kek, muffin dan biskut manis (cookies).

Selain itu, beliau juga menghasilkan roselle kering untuk dijadikan serbuk.

Beliau juga merancang mengeluarkan produk baru iaitu kordial dalam bentuk paket. Dengan tiga kakitangan, Rohayu boleh berbangga dengan pencapaiannya ketika ini tetapi beliau mengucapkan penghargaan kepada agensi kerajaan yang membantunya.

“Satu ketika apabila krisis bekalan gula melanda, saya tidak dapat mengeluarkan produk dan terpaksa menghentikan operasi,” katanya berkongsi pengalaman pahit satu ketika dulu.

Ketika masalah sama berulang baru-baru ini, beliau mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang membantunya supaya bekalan gula tidak terputus.

“Saya meminta mana-mana usahawan supaya tidak selalu mempercayai dakwaan kononnya agensi atau jabatan kerajaan sukar menghulurkan bantuan,” ujarnya.

Sebagai contoh, selain agensi-agensi terbabit, Rohayu mendapat bimbingan daripada FAMA, SMI Corp (dulu Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana -SMIDEC), Majlis Pembangunan Ekonomi Belia dan menerima pinjaman peralatan kilang berjumlah RM20,000.

Beliau pada masa sama mendapat bantuan hasil usaha seorang pelangannya Shuhaila Saidon yang memperkenalkan konsep hamper barangan berasaskan roselle untuk ditempah.

Hamper tersebut mengandungi halwa, teh, cookies, kordial dan pelbagai biskut mengunakan roselle seperti suji, almond london, biskut kelapa dan biskut irfan dan tart .

Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi 019-6964038 atau 012-2661812 pada harga antara RM18 dan RM150 bergantung kepada kuantiti dan jenis barangan.

Mengenai harapannya pada masa akan datang, Rohayu memberitahu beliau bercita-cita untuk mengeksport produk yang dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang tetapi buat masa ini masih banyak perlu dilakukan ke arah itu.

Ketika ini beliau sedang mempromosi Planet Roselle sebagai jenama produk keluaran syarikatnya.

Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 019-622 4566 atau 012-3157930 atau e-mel : sabdariffa2005@yahoo.com.my

Penanam roselle intai kejayaan

ag_02.1

Abdul Kadir Abdul Halim menunjukkan cara-cara memetik buah roselle (kiri) dan anak pokok sebelum dipindahkan ke tapak penanaman (kanan) di ladangnya di Kundang, Selangor.


MUNGKIN terlalu awal untuk menjangka keputusannya untuk menceburkan diri dalam pertanian, khususnya penanaman roselle menjanjikan kejayaan.

Namun bagi anak muda berasal dari Kuala Perlis ini, sejumlah 2, 000 pokok roselle yang ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar bagaikan menjanjikan harapan baru kepadanya.

Abdul Kadir Abdul Halim, 38, menerusi syarikatnya Impian Serasi mahu membuktikan bahawa tapak penanaman roselle di Kundang, Serendah, Selangor itu bakal sebagai titik tolak kepada usahanya mencebur bidang pertanian.

Menurut Abdul Kadir, Jabatan Pertanian pada mulanya memberikan dia pilihan sama ada mahu menanam roselle, bunga kantan, limau nipis atau ulam tetapi roselle dipilih.

Berbekalkan modal sebanyak RM30,000 dan tanah yang disewa itu, menuntut beliau memerah keringat dan memaksa tulang empat keratnya dikerah bagi membuktikan minatnya boleh membawa keuntungan berbaloi.

Abdul Kadir memilih kawasan tersebut kerana ia sesuai dengan tanaman roselle yang memerlukan tanah berpasir.

”Saya menjangka lapan tan buah roselle dapat dihasilkan daripada 2,000 pokok yang ditanam ini,” katanya semasa ditemui di ladangnya yang baru berusia setahun jagung itu.

Beliau menganggarkan satu pokok mampu menghasilkan empat kilogram (kg) buah roselle yang boleh dipetik selepas tiga bulan ditanam.

Empat pekerja membantunya melakukan kerja-kerja termasuk menyiram dan memetik hasil.

”Bagi roselle, air amat penting,” ujarnya sambil menambah kawasan di tepi tasik itu banyak membantunya.

Pokok roselle, katanya, mampu mengeluarkan hasil tanpa putus selama enam bulan selepas ditanam dan rosak selepas dua tahun.

Ketika ini, beliau mampu mengeluarkan 100 kilogram buah roselle yang dijual kepada Sabdariffa Enterprise, salah sebuah syarikat yang mengeluarkan banyak produk roselle.

Syarikat terbabit membeli antara 50 dan 100 kg buah telah diproses atau dibuang biji pada harga RM3.50.

Dengan sokongan kerajaan, Abdul Kadir bernasib baik kerana tanaman roselle disenaraikan dalam Kumpulan Produk baru dan Industri Masa Hadapan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

Penyelidikan majukan tanaman roselle

ag_01.1

Penyelidik UKM menunjukkan varieti baru roselle UKMR-1 yang berjaya dihasilkan.


SUASANA Aidilfitri khususnya warga kota masih dirasai kerana inilah masa mereka menganjurkan rumah terbuka untuk rakan-rakan dan pelanggan. Juadah tradisional biasanya tidak akan dilupakan untuk menjamu tetamu kerana inilah suasana sebenar menyambut Aidilfitri.

Biasanya pengunjung akan dijamu pelbagai minuman sama ada air sirap, air bandung ataupun jus buah-buahan.

Apa salahnya pada rumah terbuka kali ini, tetamu dihidangkan dengan jus roselle. Selain warna merahnya yang menarik, roselle juga merupakan minuman berkhasiat.

Sebilangan besar daripada kita mungkin belum mengenali pokok ini yang tergolong dalam keluarga bunga raya.

Penanaman roselle sebenarnya mula diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Terengganu pada 1993 dan kemudiannya usaha memperkenalkan tanaman tersebut dipergiatkan lagi dengan bantuan agensi lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pada masa sama, usahawan yang mula berjinak-jinak dengan tanaman ini juga membantu mempopularkan buah roselle sebagai industri baru.

Pada masa ini terdapat dua varieti roselle yang popular ditanam iaitu varieti Terengganu dan juga Arab. Varieti Terengganu diperkenalkan oleh Universiti Malaya (UM) dan diberi nama UMKL-1.

Pada 1990-an, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan UM mula menjalankan penyelidikan mengenai roselle khususnya dalam pembiakbakaan bagi mencari varieti baru yang lebih sesuai.

Usaha-usaha tersebut perlu dijalankan memandangkan banyak manfaat diperoleh daripada hasil kajian tersebut antaranya buah roselle mengandungi vitamin C dan pelbagai vitamin lain termasuk B juga antosianin iaitu sejenis antioksidan.

Kejayaan tersebut juga telah memberi sinar baru kepada pengusaha-pengusaha makanan dan minuman berasaskan roselle menerusi penghasilan jus, halwa dan pelbagai makanan lagi termasuk kek.

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus sabdariffa L. yang dikatakan berasal dari Sudan, Afrika ini merupakan tumbuhan dalam keluarga bunga raya tetapi masih ramai yang belum benar-benar mengetahui khasiatnya.

Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohamad Osman dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menemui khasiat kandungan kimia dalam buah roselle yang dinamakan hydroxycitric acid (HCA), sejenis bahan yang boleh membantu mengurangkan berat badan.

Bahan pelangsing badan ini merupakan satu produk yang diidami oleh pengguna terutama wanita yang mementingkan penampilan diri.

Kajian beliau sebelum ini yang bertujuan meningkatkan khasiat roselle sejak 1999 mendapati bahawa ia mempunyai khasiat antosianin dan juga vitamin C sahaja.

Kajian tersebut dijalankan dengan teknik mutasi aruhan iaitu mengubah genetik roselle menggunakan sinaran gama akhirnya berjaya menghasilkan pelbagai varieti pokok roselle.

Kajian pembiakbakaan itu penting bagi membolehkan pengusaha roselle mempunyai alternatif dan sumber lain untuk menghasilkan produk yang lebih bermutu.

“Roselle secara semula jadi melakukan pendebungaan sendiri semasa peringkat putik sebelum kelopak bunga muncul dan mengembang.

“Tabiat semula jadi itu menjadi halangan untuk memperoleh variasi genetik, sama ada melalui kacukan sendiri atau buatan. Justeru, kaedah yang boleh dijalankan ialah mutasi aruhan,” katanya.

Menurut Mohamad, program pembiakbakaan melalui mutasi aruhan dijalankan sejak 2006 ke atas varieti Arab menggunakan kemudahan Gammacell di UKM.

Menerusi pembiakan mutasi aruhan itu, bijih benih varieti Arab didedahkan sinar gama dengan kekuatan 80 Gy (ukuran ujian radiasi). Kajian pembiakbakaan itu berjaya menghasilkan tiga jenis roselle baru yang mempunyai keistimewaannya tersendiri dan mempunyai ciri-ciri morfo-agronomi dan fisiko kimia yang dikehendaki.

Ia dinamakan UKMR-1, UKMR-2 dan UKMR-3 yang kesemuanya menampilkan ciri-ciri saiz pokok sederhana besar, kutang tinggi, bentuk tegak dan matang lebih cepat.

Ia menghasilkan warna daun hijau kecuali UKMR-2 yang mempunyai daun lebar dan berwarna kemerahan.

Warna kaliks untuk ketiga-tiga jenis roselle itu masing-masing merah, merah hati dan hijau muda.

Ketiga-tiga variasi roselle ini telah pun dilancarkan di UKM April lalu.

Penyelidikan yang turut dibantu oleh pelajar Noor Baiti Abd Aziz, Nurul Rahaimah Che Mustapha, Halimaton Saadiah Othman, Zainal Mohamad dan Nur Samahah Mohd. Zainual itu memberi harapan baru kepada pengusaha kerana ia boleh dimanfaatkan untuk penghasilan produk lain. Sebagai contoh,UKMR-1 boleh dijadikan produk uncang. Turut dihasilkan ialah kapsul, ekstrak sejuk kering dan semburan kering.