![]() |
Para pekerja menyediakan adunan kek lapis Sarawak. Gambar kanan Zaharah Wasli membuat pelbagai jenis kek lapis sepanjang bulan Ramadan bagi memenuhi permintaan pelanggan di Kampung Gersik, Kuching, Sarawak.
|
KUCHING 25 Sept. – Oleh kerana minatnya dalam bidang pembuatan kuih, Zaharah Wasli, 56, akhirnya nekad untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya iaitu membuat kek lapis Sarawak bermula sembilan tahun lalu.
Menyedari akan perniagaannya sebelum ini iaitu menjual kuih tradisional Sarawak seperti kuih bongkol, celorot, pulut panggang dan sebagainya bersama suaminya, Mohd. Salleh Yusop, 65, tidak mendatangkan keuntungan seberapa, Zaharah mula memikirkan sesuatu.
Ditambah pula dengan tanggungjawabnya untuk membesarkan 11 orang anaknya ketika itu, Zaharah akhirnya nekad untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidupnya iaitu membuat kek lapis Sarawak.
Secara kebetulan, Jabatan Pertanian Sarawak pada ketika itu ada menganjurkan kursus kepada wanita dari daerah Kuching untuk belajar mengenai cara membuat kek lapis Sarawak di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini.
Menyedari peluang keemasan itu tidak datang selalu, Zaharah tanpa berfikir panjang terus menghadiri kursus membuat kek lapis itu yang telah mengajarnya cara untuk membuat kek lapis dengan cara yang betul.
Setelah itu, bermulalah kisahnya untuk membuat kek lapis Sarawak secara kecil-kecilan di rumahnya di 149, Lorong 11, Kampung Gersik di sini.
Zaharah berkata, dengan modal sendiri, dia membuat kek lapis secara gotong-royong bersama 11 anaknya di rumah dengan menggunakan jenama Kek Lapis Zaharah.
Katanya, kek lapis buatannya pada mulanya hanya mendapat perhatian dari penduduk Kuching dan Samarahan sebelum hotel terkenal di bandar ini mula tertarik dengan keenakan rasa kek lapis buatannya.
Katanya lagi, pihak hotel berkenaan secara tidak langsung telah mempromosikan keknya kepada para pelancong dan membuatkan perniagaannya semakin baik.
‘‘Alhamdulillah, semakin hari, perniagaan saya semakin maju hingga saya terpaksa mengupah tiga pekerja tetap untuk membuat kek lapis di rumahnya untuk dihantar kepada pelanggan yang kebanyakan dari Semenanjung, Brunei, Singapura dan Wilayah Persekutuan Labuan.
‘‘Malah, dua tahun lepas, oleh kerana sambutan yang menggalakkan, saya mula memberanikan diri membuka kedai kecil di hadapan rumah bagi menerima tempahan dan urusan membuat kek lapis.
‘‘Hinggakan kini, perniagaan kek lapis ini telah menjadi pendapatan utama bagi kami sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
![]() |
|
Zaharah memberitahu, buat masa ini, dia membuat 44 jenis kek lapis yang dijual bagi setiap acuan pada harga RM40 dan RM50.
Zaharah menjelaskan, dua minggu sebelum menjelang hari raya baru-baru ini, dia terpaksa menghentikan tempahan dari pelanggannya kerana terpaksa memenuhi sebanyak 1,000 tempahan dari pelanggan tetapnya.
Katanya, dia juga terpaksa mengupah tiga orang pekerja sementara bagi membantunya menyiapkan tempahan tersebut.
Dalam pada itu, Zaharah memberitahu, keistimewaan kek lapis bagi sesetengah peniaga itu dibezakan kepada penggunaan salah satu bahan utama kek lapis iaitu mentega.
Katanya, dia menggunakan mentega dengan jenama Golden Churn bagi mengenakkan adunan kek lapis yang turut diadun dengan telur, gula, kaya, pewarna, susu pekat, coklat cadburry dan milo atau horlick.
Keenakan kek lapisnya itu jelasnya kini telah menarik perhatian pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan guru yang kebanyakannya berasal dari Semenanjung.
‘‘Apa yang membanggakan kami, rumah kami telah mendapat kunjungan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semasa berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Bangunan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
‘‘Namun saya sekeluarga agak sedih kerana tidak berkesempatan untuk bergambar kenang-kenangan dengan Baginda,” katanya.
Sementara itu, Zaharah berkata, sebagai perancangan masa depannya, dia bercadang untuk memindahkan operasi pembuatan kek lapisnya ke sebuah lokasi yang lebih selesa.
Jelasnya, dengan pemindahan itu, ia dapat membantunya menjadikan perniagaannya lebih maju.
hai..boleh saya tnye kalau di kl di mana saya boleh dapatkn kek lapis sarawak ni???//
bolehkan kalau ingin belajar membuat kek inidi tempat anda?
sekiranya ada sebarang pertanyaan tentang kek lapis zaharah anda bOleh hubungi di number ini 0138486514 @ e-mail di fafau9178@yahoo.com
sekiranya ada sbrg pertanyaan tentang zaharah kek lapis..sila hubungi 0138486514