![]() |
SHAFEI Apdal (kiri) menangkap ikan ketika melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Timbang Dayang, Pulau Banggi, Kudat, Sabah, baru-baru ini.
|
KUDAT 29 Sept. – Satu masa dahulu tiada apa yang boleh diperkatakan dan dibanggakan apabila ke Pulau Banggi di sini selain melihat kemunduran dan kemiskinan di kawasan pulau di Teluk Marudu itu.
Meskipun berpotensi dan mempunyai pelbagai sumber semula jadi yang tidak ternilai, kehidupan penduduk di pulau itu masih diselubungi kemiskinan malah jauh sekali untuk mengecapi nikmat kemodenan dan kemajuan negara.
Namun projek agropolitan iaitu idea terbaru kerajaan yang diperkenalkan pada 2007 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengubah keseluruhan landskap pulau itu serta kehidupan penduduk di situ.
Tujuan projek itu adalah bagi membandarkan sektor luar bandar menjadi sebuah kota pertanian yang lengkap dengan aktiviti perladangan berskala besar, kompleks perumahan serba moden dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap.
Selepas hampir tiga tahun dirasmikan semua komponen pembangunan utama projek tersebut berjaya dilaksanakan dengan rancak dan terus memberikan kesan awal langsung kepada penduduk di situ.
Projek di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah itu dilihat telah memberi perubahan besar, khususnya dalam aspek peningkatan kegiatan ekonomi, peningkatan pendapatan dan peningkatan kualiti hidup penduduk di pulau itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di pulau berkenaan baru-baru ini mendapati pulau itu kini sedang membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah bekalan air dan sebagainya.
Penduduk di pulau terbesar di negara ini itu juga kini boleh menarik nafas lega dengan wujudnya banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini berkata, pelaksanaan program di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) itu amat bererti kerana telah membawa banyak perubahan di pulau tersebut khususnya kepada penduduk pulau.
“Konsep agropolitan ialah membangunkan kawasan terpinggir, mundur dan terpencil secara bersepadu sebagai kota pertanian yang berkembang melalui perkembangan kegiatan pertanian, pemprosesan dan perniagaan yang berasaskan pertanian.
“Jadi sejak program itu dilaksanakan, ia telah memberi satu lembaran baru dan perubahan kepada penduduk pulau. Ia telah dapat membawa banyak nikmat kemajuan ke pulau ini selain memberi banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, program yang melibatkan lima komponen utama itu membuktikan komitmen tinggi kerajaan membantu masyarakat luar bandar kerana melibatkan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM167.36 juta.
“Melalui program itu sebanyak RM78.6 juta dikhaskan kepada komponen prasarana utiliti dan medan infodesa, modal insan (RM1.5 juta), ternakan ikan sangkar (RM11 juta), ladang (RM65.9 juta) dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (RM10.36 juta).
Jelasnya, sejak dilancarkan tiga tahun dulu ia telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Katanya, antara kemajuan pelaksanaan projek itu ialah pembinaan jalan antara Kampung Limbuak ke Kampung Padang sejauh 1.4 kilometer serta dari Kampung Padang ke Kampung Damaran sejauh 1.6 kilometer yang telah siap sepenuhnya.
Selain itu katanya, program jalan luar bandar dari Karakit ke Limbuak sejauh 15 kilometer juga kini telah siap 80 peratus.
Katanya, dalam usaha meningkatkan projek bekalan air di pulau itu pula, sebanyak 36 kilometer paip agihan yang melalui lapan buah kampung termasuk pekan Karakit telah siap dan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air.
Beliau berkata, projek bernilai RM30 juta itu mampu menyediakan air bersih kepada sebahagian besar penduduk di pulau itu.
“Projek bekalan elektrik luar bandar pula telah siap 98 peratus. Projek bernilai RM21 juta yang menggunakan tenaga solar itu akan dapat membekalkan elektrik 24 jam kepada penduduk di pekan Karakit, Kampung Perpaduan, Batu Putih, Singgahmata, Lok Tojo, Batu Layar dan PPMS Batu Layar.
Dalam pada itu katanya, dalam usaha menyediakan kediaman selesa kepada penduduk miskin tegar, sebanyak 100 buah rumah di bawah program PPMS telah siap dan diserahkan kepada peserta.
Bagi Pembangunan estet getah pula katanya, pada masa ini sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.