Pilihan tanah sempurna

mainpix1
TANAH untuk semaian perlu bebas patogen dan bahan toksik.

Miliki tekstur gembur, peroi, berongga dan cukup nutrien

SEBELUM memulakan kerja perkebunan atau aktiviti bercucuk tanam, perkara paling penting yang diberikan perhatian ialah campuran tanah.

Disebabkan bekas atau ruang yang terhad, kandungan tanah juga terhad. Oleh itu penting bagi tanah sempurna dicari untuk membolehkan pokok terus hidup dan membesar.
Bagi mendapatkan tanah yang sempurna, ia haruslah mempunyai ciri-ciri seperti tekstur tanah perlu gembur, peroi dan berongga kerana ia membolehkan pengaliran udara atau pengudaraan yang elok, saliran air yang baik dan memudahkan akar menjalar untuk mencari nutrien dan makanan.

Tanah juga perlu mempunyai nutrien yang mencukupi dan seimbang bagi semua peringkat perkembangan pokok. Selain itu, tanah perlu bebas daripada patogen atau serangan perosak dan bahan toksik.

Justeru, elakkan menggunakan najis haiwan seperti tahi ayam, kambing dan lembu dalam campuran tanah, sebaliknya cari bahan yang senang dan mudah didapati menggantikannya.

mainpix2
Tanah gambut elemen penting bahan organik.

Sebelum tanah dicampurkan, komponen utama yang perlu ada ialah tanah loam (tanah atas 0.5 meter di atas permukaan tanah dengan pH5.5 hingga 6.5), bahan organik, pasir dan baja asas.

Seelok-eloknya bahan organik menggunakan tanah gambut sama ada yang diimport atau tanah gambut proses produk tempatan dikenali Peatgro. Penggunaan bahan organik penting bagi membantu menyerap air, selain menggemburkan tanah dan menggalakkan lagi perkembangan mikro organisme.

Pasir pula diperlukan kerana ia membantu pengudaraan dan saliran air. Seeloknya gunakan pasir yang kasar seperti pasir sungai.

Baja asas pula baja yang dicampurkan sebelum penanaman yang terdiri daripada baja organik atau N:P:K 5:5:5, ‘Triple Super Phosphate’( TSP) untuk perkembangan sel terutama akarnya, kapur pertanian (GML) untuk kawal pH, selain memberikan unsur nutrien tumbuhan.

Langkah Mencampurkan Tanah

  • Sediakan bekas seperti baldi, dulang (pertanian) dan kereta sorong.Tiga bahagian tanah, dua bahagian bahan organik dan satu bahagian pasir.
  • Sediakan baja asasBaja organik 1.2 kilogram (kg)TSP 1.2 kg

    GML 600 gram (g)

  • Ukuran bagi isi padu setiap sukatan 1 meter padu (1m3)
  • Bagi bekas yang kecil penggunaan ialah 150g – 200 gram setiap satu (untuk baja asas)
  • Gunakan sudip pertanian. Buat secara manual (Lokasi A)a. Lapisan pertama dengan tanahb. Bahan organik pada lapisan kedua

    c. Pasir

  • Jangan digaul dulu. Taburkan secara rata pada keseluruhan lapisan atas dengan bahan baja asas.
  • Kemudian gunakan sudip pertanian dan pindahkan kesemua lapisan di lokasi A ke lokasi B. Gaul hingga sebati.
  • Selepas selesai kerja mencampur, cara untuk menguji tanah yang dicampurkan sama ada sebati atau tidak;a. Kepal tanah, genggam kemudian lepaskanb. Andai tanah yang dilepaskan itu berderai, bermakna tanah itu campuran yang sangat bagus

    Anda boleh gunakan pH meter (jika mempunyai peralatan berkenaan)

    Tip

  • Pada masa kini sukar mendapatkan tanah loam (tanah bahagian atas) yang bagus sekiranya keadaan tanah liat atau berpasir. Justeru, gunakan Peatgro yang boleh disesuaikan dengan sebarang jenis tanah.
  • Jika tanah liat sangat padat, tinggikan nisbah Peatgro (bahan organik) dan pasir. Jika tanah berpasir atau terlalu peroi, tinggikan nisbah bahan organan (Peatgro) serta sedikit tanah loam.Info

    Pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai landskap dan perkebunan boleh menghantar soalan kepada pakar, Abdul Rahim Rashid di e-mel bminggu@bharian.com.my atau menghantar surat kepada Ruangan Hias, Berita Minggu di Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

  • Teknik Arborsculputure


    mainpix1

    Seni kraf laman bentuk batang, dahan dan akar pokok

    PERNAHKAH anda mendengar arca pokok atau ‘arborsculpture’? Ia adalah teknik yang sudah lama wujud, namun masih baru dalam seni hias laman di negara ini.

    Arca pokok ialah teknik menanam pokok dan membentuk pokok menjadi bentuk dikehendaki sebagai tarikan kepada laman atau taman. Ia adalah satu teknik seni atau kraf untuk membesarkan sambil membentuk batang, dahan, dan akar pokok.
    Kaedah yang digunakan termasuklah cantuman (graf­­ting), bengkokan dan pe­­mangkasan batang, dahan dan cabang seakan-akan kaedah topiari, espalier, bonsai dan pleaching.

    Perkataan arborsculpture terhasil daripada perkataan arbor (pokok dalam bahasa Latin) dan sculpture (arca). Perkataan ini mula diketahui hasil penulisan Reames dan Delbol dalam buku How to Grow a Chair- The Art of Tree Trunk Topiary 1995.

    Reames menggunakan perkataan berkenaan sebagai percubaannya menyeragam­­kan cara pembentukan batang yang banyak dilakukan pencinta seni kraf berke­­naan. Sejak itu, perkataan itu sering digunakan dalam media walaupun wu­­jud kontroversi mengenainya.

    mainpix2
    Arca pokok unik untuk laman kediaman.

    Istilah ‘arborsculpture’ kian diterima dan mendapat liputan meluas. Anehnya, perkataan berkenaan masih belum dijumpai dalam mana-mana kamus Inggeris.

    Apakah kaedah yang digunakan untuk membentuk arca pokok? Kaedah yang digunakan bergantung kepada keupayaan pokok itu dibentuk atau disatukan melalui cara cantuman serta kemampuan mengekalkan bentuk yang baru ketika pembentukan lapisan kayu baru bagi membendung bentuk yang diinginkan.

    Bagaimana cantuman di­­ha­­silkan. Ia dilakukan dengan memotong dua atau lebih bahagian pokok dengan membuang kulit kayu mele­­pasi lapisan kambium (lapisan tisu yang juga dipanggil ‘me­­ristem’ yang menjadi sumber sekunder untuk pertumbuhan sel), kemudian mengikat bahagian yang luka bersama agar melekat dengan baik sehingga bahagian pokok yang dicantum membesar bersama. Ia seakan kaedah dilakukan untuk proses ‘tut’ pokok.

    Selain percantuman pokok, kaedah pemangkasan dilakukan bagi membuang dahan yang tidak dikehendaki bagi membentuk arca yang diinginkan.

    mainpix3
    Bonsai menjadikan pokok bersaiz mini.

    Pemangkasan juga dilakukan bagi tujuan pertumbuhan batang dan dahan baru, manakala pemotongan di atas tangkai daun boleh mengawal arah pertumbuhan pokok. Jika daun menghala ke kanan, potongan di atas tangkai daun itu akan menghasilkan pertumbuhan baru menghala ke kanan, begitu juga sebaliknya.

    Dengan kata lain, membentuk arca pokok ini dapat dilakukan dengan memani­­pulasi tisu pokok untuk mengi­­kut bentuk yang dikehendaki sama ada bentuk kerusi, meja atau orang.

    Peralatan yang digunakan membuat arca pokok ini yang biasa digunakan untuk berkebun dan penyelenggaraan tanaman hias dan pokok teduhan seperti alat pemangkasan tangan (handpruners/secatuer) dan gergaji pemangkas (pruning saw).

    Selain itu, gunting kebun (shears atau pruning shears) dan perapi pagar renek (hedge trimmer) juga boleh digunakan seperti dalam kaedah membentuk topiari dan pagar renek.

    Bagi menghasilkan arca pokok yang cantik, apa saja barang untuk membentuk pokok seperti papan kayu, paip, tali, dawai, pita boleh digunakan. Malah, objek seperti bangku logam boleh dijadikan acuan.

    Masa yang diambil bagi membentuk arca pokok bukannya singkat, bergantung kepada pertumbuhan pokok dan arca yang ingin dibentuk. Bagi bentuk yang mudah dan pokok yang cepat membesar, tempohnya mungkin lebih singkat berbanding arca pokok yang lain.

    Dengan kata lain, jangka waktu untuk pertumbuhan dan pembinaan projek arca pokok berbeza bergantung kepada saiz pokok, kadar pertumbuhan pokok, kadar pemupukan, ketinggian reka bentuk dan kaedah yang digunakan.

    Apa pun, bagi yang sukakan kelainan dan seni perkebunan, arca pokok perlu dicuba kerana satu yang baru dan menarik untuk laman anda.

    Perbezaan arca pokok dengan topiari

    Topiari bukan hanya memanipulasi batang pokok, tetapi ia adalah seni dan kemahiran menghasilkan bentuk de­­ngan menggunakan dedaun pokok. Secara kontras, pada arca pokok, keutamaannya ialah dengan memanipulasikan batang pokok dan menggabungkan pokok dengan kaedah cantuman. Arca pokok boleh mencakupi sebahagian daripada seni topiari, tetapi topiari bukanlah ciri dan pertimbangan utama secara keseluruhannya.

    Cantuman boleh jadi digu­­nakan untuk topiari, tetapi penggunaannya sangat terhad dan jarang sekali digunakan. Arca pokok lebih kepada membentuk pokok menjadi seperti perabot dan barangan yang dibina secara eksklusif mengguna­­kan tumbesaran pokok dan cantuman tisu tumbuhan. Bentuk berkenaan dipisahkan dari akarnya atau dialih dari tanah; bukan lagi menjadi organisme yang hidup manakala topiari hampir-hampir terbatas kepada organisme hidup (tumbuhan) yang berdaun. Topiari hampir keseluruhannya membabitkan pemotongan dan pembentukan dedaun, sedangkan projek arca pokok boleh dibuat dengan mudah tanpa pemotongan dedaun.

    Perbezaan dengan espalier

    Espalier ialah satu teknik hortikultur melatih pokok melalui teknik pemangkasan dan cantuman bagi membentuk dahan pokok menjadi pola ‘dua-dimensi’ rasmi atau satu permukaan. Namun, projek arca pokok tidak terbatas kepada satu permukaan yang leper (dinding tembok) atau berpola. Kedua-dua teknik boleh menggunakan pokok yang berbuah, tetapi pokok dilatih secara espalier tidak pernah diketahui dibentuk menjadi bangku, bingkai cermin, meja atau orang.

    Teknik espalier popular pada Zaman Pertengahan di Eropah bagi menghasilkan buah yang mana pokok ditanam pada sebelah dalam dinding laman istana tanpa mengganggu kawasan terbuka, selain menghias dinding. Bukti menunjukkan kaedah ini sudah lama digunakan mungkin seawal zaman purba Mesir

    Espalier lebih bertujuan menghias laman serta se­­suai digunakan untuk taman ruangnya terhad. Ia juga boleh ditanam bersebelahan dinding yang akan memantulkan lebih sinar matahari dan membendung haba pada malamnya. Buah pada pokok sebegini matang dengan lebih cepat. Jenis pokok yang sesuai untuk teknik ini adalah zaitun, buah tin (fig), epal dan pear. Peach, plum, aprikot dan ceri juga boleh ditanam meleper pada dinding.

    Perbezaan dengan teknik menjalin dahan pokok (pleaching)

    Pleaching ialah seni melatih pokok menjadi pagar renek (hedge) yang ditinggikan atau untuk membentuk quincunx (corak susunan lima unit yang terdapat pada lima titik pada buah dadu, daun terup, atau domino). Biasanya pokok-pokok berdaun luruh ditanam berbaris, kemudian dibuat untuk membentuk permukaan yang leper di atas aras tanah. Dahan-dahan pokok dijalinkan, kulit kayu ditoreh pada tempat bertembung dan diikat bersama. Ia akan membesar bersama, proses yang sama dengan cantuman.

    Perbezaan dengan bonsai

    Bonsai ialah seni menanam pokok di dalam pasu dan bekas, menggunakan teknik pemangkasan untuk menge­­kalkan pokok dalam saiz mini menggunakan kawat tembaga bagi membentuk membentuk dahan dan cabang. Kaedah bonsai biasanya dengan membengkok dahan menyamai bentuk ter­­tentu. Projek bonsai dirancang untuk tampil seolah-olah ia tidak dibentuk manusia, ia sepatutnya me­­lambangkan pokok yang kecil berbentuk asli, yang boleh dijumpai tumbuh meliar.

    Arca pokok adalah konsep yang bertentangan kerana ia dalam bentuk yang sebenarnya.

    Buah herba


    mainpix1
    Sweet berry sesuai ditanam di laman kediaman.

    Rasa manis buah ajaib melekat pada lidah untuk tempoh sehingga tiga jam

    SEJAK kebelakangan ini, ramai yang beralih mengambil makanan tambahan daripada herba kerana dijamin selamat dan tidak memberikan kesan sampingan. Pelbagai herba baru muncul di pasaran walaupun tumbuhan berkenaan sebenarnya sudah lama wujud dan dijadikan ramuan sebagai makanan kesihatan.

    Sweet berry yang digelar buah ajaib atau “miracles berry” yang berasal dari Afrika Selatan adalah antara herba yang semakin mendapat tempat.

    Mendapat nama daripada keunikan rasa buahnya yang manis serta bertahan selama dua hingga tiga jam selepas memakannya. Sebarang makanan atau minuman yang masam, jika dimakan dalam tempoh dua hingga tiga jam akan berasa manis kerana rasa manis “sweet berry” ini melekat pada lidah.

    Pokok yang dikategorikan sebagai tumbuhan liar ini mempunyai daun yang lebar, lonjong dan berwarna hijau tua. Buahnya bersaiz kecil seperti biji kopi, namun sedikit lonjong, dan biasanya bertukar warna merah apabila matang.

    Tinggi pokok boleh mencecah sehingga 6.1 meter dan ia ditemui hidup meliar di kawasan hutan di benua Afrika iaitu di Ghana dan Nigeria.

    mainpix2
    Buah Sweet berry kecil seperti biji kopi.

    Pokok ini mula didokumenkan pengkaji Chevalier des Marchais yang melakukan kajian mengenai tumbuhan di barat benua Afrika. Dalam kajiannya itu, Marchais mendapati masyarakat setempat selalu mengunyah buah ajaib sebelum makan hidangan mereka.

    Selepas diselidiki, beliau mendapati buah berkenaan meninggalkan rasa manis dan ia kekal sehingga tiga empat jam walaupun selepas memakan makanan masam.

    Buah ajaib mempunyai rasa yang manis namun kandungan gulanya tidak memudaratkan kesihatan. Gulanya mengandungi protein miraculin yang merangsang deria rasa manis pada lidah, ia dapat mengubah rasa masam walaupun rasa cuka sekalipun.

    Pokok ini mudah untuk ditanam dan sesuai dengan cuaca di negara ini. Buah ajaib memerlukan air dan matahari yang banyak sepanjang tahun.

    Kadar pH tanah yang sesuai bagi penanaman pokok ini ialah 4.5 hingga 5.8, dan pokok sukakan tanah yang sedikit lembap dan biasanya akan berbuah selepas setahun ditanam.

    Pokok ‘sweet berry’ mempunyai khasiat yang banyak untuk kesihatan. Contohnya daunnya digunakan untuk mengubati sakit gigi, manakala untuk penghidap kencing manis, mereka perlu memakan tiga helai daunnya setiap hari dan dipercayai boleh mengurangkan kadar gula yang tinggi dalam darah.

    Selain itu, dikatakan daun buah ajaib sesuai dimakan apabila tidak sedap badan seperti hendak demam. Rasa daunnya agak pahit dan sedikit pedas.

    Selain mujarab dan mempunyai banyak khasiat, pokok ini sesuai dijadikan bonsai dan pokok pagaran bagi menghias kediaman.

    Oleh kerana ia mempunyai khasiat yang banyak, harga pokok sweet berry yang sedang berbuah lebat mencecah RM500, manakala anak pokok biasanya dijual pada harga RM20 hingga RM80 bergantung kepada saiz.

    Fakta:

  • Nama: Miracle Berry, Miracle Fruit, Sweet Berry
  • Nama Saintifik: Synsepalum dulcificum
  • Buah ini menjadi isu hangat dalam industri makanan di Amerika Syarikat pada 1970 apabila ada usaha mahu menjadikannya bahan gula gantian, malah sehingga kini Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat hanya melabelkan sweet berry sebagai makanan tambahan bukannya gula.
  • Di Jepun buah ini popular di kalangan pesakit diabetis dan mereka yang mengikut program penurunan berat badan.
  • Selain dimakan, buah ini boleh didapati dalam bentuk yang dikeringkan dan diproses menjadi pil yang lebih mudah disimpan. Buah ajaib kering sangat popular untuk jualan melalui internet. //
  • PowerNest perkenalkan produk sarang burung layang-layang

    ne_13.1

    SAIFUL NIZAM bersama produk keluarannya, PowerNest yang menggunakan ekstrak sarang burung layang-layang di Ipoh baru-baru ini.


    IPOH – Sain Group Corporation Sdn. Bhd. (Sain Group), pengeluar minuman kesihatan berasaskan ekstrak sarang burung layang-layang PowerNest, yakin produk keluarannya itu akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat khususnya kaum Melayu di negara ini.

    Pengurus Besarnya, Saiful Nizam Ahmad Nadzri berkata, misi itu mampu dicapainya memandangkan syarikat tersebut telah berjaya menjual produk yang berada di pasaran sejak tahun lalu sebanyak 10,000 kotak dan kini mengunjurkan ia mencecah sehingga 20,000 kotak dalam tempoh tiga bulan akan datang.

    Antara faktor kejayaan produk tersebut ialah penerimaan masyarakat Melayu yang telah mengetahui mengenai keberkesanan serta khasiat sarang burung layang-layang.

    “PowerNest merupakan cara terbaik untuk orang ramai menikmatinya kerana kami mengeluarkan produk yang telah dicampurkan dengan ginseng bagi memudahkan orang ramai mendapat khasiat daripadanya.

    “Kami mengakui bahawa sarang burung layang-layang sangat terkenal dan sebelum ini ia hanya diminati di kalangan masyarakat Tionghua, tambahan pula kesukaran mendapatkan sarang terbaik selain proses penyediaannya yang rumit menyebabkan ramai yang tidak berpeluang merasainya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

    Burung kakak tua bawa keuntungan lumayan

    ne_11.1

    SHEK NIZAM (kanan) bersama bapanya yang juga pemilik Parrot Farm, Shek Mamad menunjukkan burung kakak tua peliharaan mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    KUALA LUMPUR – Parrot Farm Enterprise (Parrot Farm) bercadang untuk mendirikan sebuah ladang ternakan dan pembiakan burung kakak tua di negara ini kerana memiliki prospek pelaburan yang baik.

    Menurut Pengarah Operasinya, Shek Nizam Shek Mamad, ladang tersebut yang dijangka membabitkan kos hampir RM1 juta itu mampu membawa keuntu- ngan kira-kira RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

    Katanya, ladang ternakan dan pembia- kan tersebut perlu dibangunkan secara komersial kerana permintaan daripada peminat haiwan peliharaan itu bertambah setiap tahun.

    “Kami akan memfokuskan kepada pembiakan burung kakak tua daripada spesies African Gray kerana memiliki permintaan yang tinggi yang mana bagi setiap burung jenis itu akan dicari oleh 20 orang peminatnya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

    Menurut beliau, burung ini semakin popular kerana ia merupakan spesies haiwan peliharaan yang bijak, kekerapan membiak dengan bertelur sebanyak tiga kali setahun dan lebih menarik lagi ia tidak memerlukan sebarang permit atau lesen daripada mana-mana pihak berkuasa.

    “Sepasang African Gray boleh menghasilkan antara dua hingga tiga biji telur setiap kali bertelur dan seekor anak burung itu boleh dijual pada harga mini- mum RM2,000 seekor.

    “Apabila anak burung itu dewasa, nilainya semakin bertambah sehingga mencecah kira-kira RM4,000 sehingga RM6,000 sepasang bergantung kepada nilai harga yang ditawarkan oleh penjual.

    Khasiat setanding susu awal lembu

    Minyak kelapa dara merupakan satu pilihan makanan terbaik dalam membantu meningkatkan kesihatan badan kerana ia mempunyai khasiat dan kualiti yang hampir sama dengan susu awal lembu.

    Pemilik Mega Alif Manufacturer, Mohd. Tamrin Mohammad, 45, mendakwa, minyak kelapa dara merupakan pilihan yang bernutrisi tinggi serta kaya dengan asid laurik dan sesuai untuk dijadikan makanan tambahan.

    Beliau berkata, memakan produk yang dihasilkan daripada minyak kelapa dara harus dijadikan amalan kerana ia bukan sahaja dapat membantu menjadikan badan lebih bertenaga, malah meningkatkan imunisasi badan melawan penyakit.

    ”Minyak kelapa dara juga dapat membantu seseorang itu untuk mengawal kandungan lemak dalam badan di samping mengurangkan pembiakan virus berbahaya dalam badan bagi meningkatkan daya tahan melawan penyakit.

    ”Mungkin kedengaran pelik, tetapi hakikatnya minyak kelapa dara adalah berbeza dengan minyak yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

    Pada masa ini, Mega Alif Manufacturer berjaya menghasilkan beberapa produk kesihatan daripada minyak kelapa dara termasuk makanan tambahan, minyak urut dan gula merah.

    Mohd. Tamrin berkata, antara keunikan minyak kelapa dara ia tidak mempunyai rasa minyak, sebaliknya seperti rasa air tetapi berlemak seperti air kelapa.

    ”Kami juga telah menghasilkan minyak kelapa dara perisa oren bagi menggalakkan orang ramai untuk menikmati khasiatnya dalam rasa yang lebih sedap,” katanya.

    Pihaknya juga sedang menggiatkan usaha mempelbagaikan produk keluaran Mega Alif bagi menarik masyarakat menjadikan minyak kelapa dara sebagai sebahagian daripada kegunaan harian mereka.

    ”Mungkin perkara ini masih lagi baru dalam pasaran dan kegunaannya masih belum meluas, tetapi saya yakin pada masa akan datang ia mampu menjadi antara produk penting dalam kehidupan seharian,” katanya.

    Mereka yang berminat mengenai produk kelapa dara ini boleh menghubungi Mohd. Tamrin di talian 012-7576343 dan 019-7576343.