PENGELUAR dan pembekal kurma serta makanan import terkemuka, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob), menjangkakan pertumbuhan jualan 20 peratus setiap tahun menerusi kompleks kilang barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, yang beroperasi sejak Januari tahun ini.
Pemilik dan pengasasnya, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata dengan memiliki kilang serba canggih di tapak seluas dua hektar itu membabitkan pelaburan RM25 juta, syarikatnya boleh menyimpan jumlah stok makanan sejuk beku lebih tinggi bila-bila masa menggunakan teknologi moden.
Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mengurangkan kos operasi syarikat yang selama ini terpaksa menyewa gudang bagi menempatkan stok dan bekalan dalam kuantiti besar.
“Kilang ini mampu menempatkan 7,000 tan atau 400 kontena stok makanan sejuk dan kering pada satu-satu masa, yang diimport dan diproses semula dengan jenama Yu Ta singkatan nama Yusuf Taiyoob.
“Ia menjadikan kilang ini sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan bahan makanan basah dan kering terbesar di utara Semenanjung sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.
Yusuf berkata, pihaknya merancang membina kilang baru bersebelahan kilang sedia ada di Bukit Minyak yang mampu menampung lebih 15,000 tan stok makanan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pembinaan kilang itu akan membabitkan kos pelaburan kira-kira RM20 juta di tanah seluas 2.8 hektar sekali gus. Ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Mengenai persiapan syarikat memenuhi permintaan bekalan kurma dan produk makanan lain pada Ramadan dan Aidilfitri ini, Yusuf berkata, sebanyak 3,000 tan pelbagai jenis kurma diimport untuk pasaran negara ini.
Ia tidak termasuk produk makanan lain seperti bahan mentah untuk membuat kuih dan masakan seperti rempah-ratus dan kacang serta makanan kering yang diimport dan diedar secara borong kepada lebih 3,000 pengedar di seluruh negara.
“Syarikat mencatatkan pertumbuhan jualan 20 peratus setiap tahun dan didorong faktor pelanggan kami yang mengetahui kualiti produk kami yang bermutu dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.
Bagi menambah nilai produknya, beliau berkata, syarikat membuka kedai konsep dikenali sebagai Souq Al-Arabia di Lebuh Pantai, Pulau Pinang baru-baru ini yang menjual semua jenis barangan keluaran Yusuf Taiyoob secara eksklusif.
Sekurang-kurangnya empat lagi cawangan kedai seumpama itu akan dibuka di Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun akan datang.
Katanya, pembukaan kedai konsep itu membabitkan kos pelaburan kira-kira RM300,000 dan bergantung kepada lokasi selain perlu memiliki stor simpanan sejuk bagi menyimpan stok bekalan.