![]() |
biskut air tangan Fatimah Kamaluddin sentiasa mendapat permintaan ramai kerana kelazatan dan keunikan rasanya.
|
DARI luar rumah lagi sudah terhidu aroma biskut yang sedang dibakar. Tusukan bau wangi yang memasuki rongga hidung itu seolah-olah menggamit jiwa untuk melihat dan merasainya. Tentu enak dan bakal membuat air liur kecur jika tidak merasainya.
Salam dijawab dan muncul seorang wanita yang separuh umur menyambut kedatangan penulis. Dari raut wajahnya yang sedikit kepenatan kerana dari pagi telah mengadun dan membakar biskut-biskut yang ditempah, namun tidak sedikitpun mengurangkan kemesraan melayan penulis.
Sempat juga penulis meninjau ke dapur melihat deretan dulang-dulang biskut yang telah diterap, sedia untuk dibakar. Manakala di oven-oven, aroma biskut bermain-main di ruang tersebut sehingga membuatkan penulis begitu teruja untuk mengetahui rahsia pembuatan biskut daripada pemilik Selaseh Home Cookies, Fatimah Kamaluddin, 54.
Menjenguk di ruang sebelah dapur pula tersusun bekas-bekas yang siap diisi dengan pelbagai jenis biskut untuk diedar kepada pengedar.
Tanpa membuang masa, perbualan dengan pemiliknya bermula. Menurut Fatimah yang lebih dikenali sebagai Mak Teh, perniagaan biskut ini bermula sejak tahun 1990 apabila ramai rakan-rakan menyarankan beliau untuk menjual hasil tangannya yang memenuhi selera mereka.
”Pada awal perniagaan sebanyak tujuh jenis biskut rekaan sendiri yang mempunyai keunikan dari segi rasa, bentuk dan bahannya iaitu London Almond, Drop Cookies, Hat Pearls, Diamond Toasted, Chocolate Almond, Strawberry Daisy dan Green Princess dijual.
”Kini, ia telah bertambah ke 15 jenis. Antaranya ialah Sugee Cookies, Capucino Chocolate, Cashewnut Oat Meal, Irish Cookies, Perdana Nut dan Snow Almond. Saya suka bereksperimen dengan bahan-bahan biskut dan dari itu lahirlah biskut-biskut yang rasanya sememangnya agak lain daripada yang ada di pasaran.
“Sehubungan itulah menyebabkan biskut-biskut saya mendapat tempat di hati pelanggan malah sebelum puasa pun ada yang telah menempahnya,” katanya yang menjadi tonggak dalam keluarganya membuat kuih raya sejak remaja lagi.
Wanita yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini memberitahu, satu lagi ciri yang istimewa Selaseh Home Cookies ialah kebanyakannya tidak menggunakan telur. Ia sesuai bagi golongan yang ingin menjaga kesihatan dan mengurangkan kolestrol.
”Selaseh Home Cookies juga tidak terlalu manis, sesuai yang mempunyai penyakit kencing manis. Bahkan, bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam biskut bukan sekadar satu atau dua kekacang, tetapi pelbagai, sebab itulah rasanya cukup istimewa dan lain antara satu biskut dengan biskut yang lain,” kata ibu kepada empat orang anak lelaki yang sentiasa membantunya di dapur dan memasukkan biskut-biskut ke dalam bekas.
Ujarnya, untuk tempahan hari raya sahaja, sebanyak 80,000 hingga 100,000 biji biskut, maksimum 2,000 biji sehari akan dibuat bagi memenuhi tempahan daripada rakan-rakan, pelanggan setia dan pengedar-pengedar.
”Tempahan itu tidak membebankan kerana saya mempunyai pembantu seramai lima orang yang bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Bahkan anak-anak lelaki saya yang seramai empat orang dan suami ringan tulang membantu selepas mereka habis bersekolah dan bekerja.
”Selalunya sebulan sebelum puasa, saya telah pun mula membuat biskut. Ini khusus bagi pengedar-pengedar dan agen-agen hamper yang inginkan biskut lebih awal sebagai contoh.
”Walaupun tanpa tempahan, saya tetap membuatnya kerana telah mempunyai pelanggan tetap, jadi apabila biskut telah siap, maka senanglah pelanggan akan terus mengambilnya tanpa tunggu lama,” katanya.
Tambahnya, beliau berhenti membuat biskut seminggu sebelum raya bagi memberi laluan untuk membuat kek pula iaitu kek prun, kek pandan dan kek mentega.
Bagi merasai kelazatan biskut Mak Teh atau ingin menjadi pengedar, boleh hubungi 03-61889977.