Pengusaha biskut tanpa telur

ke_01.1

biskut air tangan Fatimah Kamaluddin sentiasa mendapat permintaan ramai kerana kelazatan dan keunikan rasanya.


DARI luar rumah lagi sudah terhidu aroma biskut yang sedang dibakar. Tusukan bau wangi yang memasuki rongga hidung itu seolah-olah menggamit jiwa untuk melihat dan merasainya. Tentu enak dan bakal membuat air liur kecur jika tidak merasainya.

Salam dijawab dan muncul seorang wanita yang separuh umur menyambut kedatangan penulis. Dari raut wajahnya yang sedikit kepenatan kerana dari pagi telah mengadun dan membakar biskut-biskut yang ditempah, namun tidak sedikitpun mengurangkan kemesraan melayan penulis.

Sempat juga penulis meninjau ke dapur melihat deretan dulang-dulang biskut yang telah diterap, sedia untuk dibakar. Manakala di oven-oven, aroma biskut bermain-main di ruang tersebut sehingga membuatkan penulis begitu teruja untuk mengetahui rahsia pembuatan biskut daripada pemilik Selaseh Home Cookies, Fatimah Kamaluddin, 54.

Menjenguk di ruang sebelah dapur pula tersusun bekas-bekas yang siap diisi dengan pelbagai jenis biskut untuk diedar kepada pengedar.

Tanpa membuang masa, perbualan dengan pemiliknya bermula. Menurut Fatimah yang lebih dikenali sebagai Mak Teh, perniagaan biskut ini bermula sejak tahun 1990 apabila ramai rakan-rakan menyarankan beliau untuk menjual hasil tangannya yang memenuhi selera mereka.

”Pada awal perniagaan sebanyak tujuh jenis biskut rekaan sendiri yang mempunyai keunikan dari segi rasa, bentuk dan bahannya iaitu London Almond, Drop Cookies, Hat Pearls, Diamond Toasted, Chocolate Almond, Strawberry Daisy dan Green Princess dijual.

”Kini, ia telah bertambah ke 15 jenis. Antaranya ialah Sugee Cookies, Capucino Chocolate, Cashewnut Oat Meal, Irish Cookies, Perdana Nut dan Snow Almond. Saya suka bereksperimen dengan bahan-bahan biskut dan dari itu lahirlah biskut-biskut yang rasanya sememangnya agak lain daripada yang ada di pasaran.

“Sehubungan itulah menyebabkan biskut-biskut saya mendapat tempat di hati pelanggan malah sebelum puasa pun ada yang telah menempahnya,” katanya yang menjadi tonggak dalam keluarganya membuat kuih raya sejak remaja lagi.

Wanita yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini memberitahu, satu lagi ciri yang istimewa Selaseh Home Cookies ialah kebanyakannya tidak menggunakan telur. Ia sesuai bagi golongan yang ingin menjaga kesihatan dan mengurangkan kolestrol.

”Selaseh Home Cookies juga tidak terlalu manis, sesuai yang mempunyai penyakit kencing manis. Bahkan, bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam biskut bukan sekadar satu atau dua kekacang, tetapi pelbagai, sebab itulah rasanya cukup istimewa dan lain antara satu biskut dengan biskut yang lain,” kata ibu kepada empat orang anak lelaki yang sentiasa membantunya di dapur dan memasukkan biskut-biskut ke dalam bekas.

Ujarnya, untuk tempahan hari raya sahaja, sebanyak 80,000 hingga 100,000 biji biskut, maksimum 2,000 biji sehari akan dibuat bagi memenuhi tempahan daripada rakan-rakan, pelanggan setia dan pengedar-pengedar.

”Tempahan itu tidak membebankan kerana saya mempunyai pembantu seramai lima orang yang bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Bahkan anak-anak lelaki saya yang seramai empat orang dan suami ringan tulang membantu selepas mereka habis bersekolah dan bekerja.

”Selalunya sebulan sebelum puasa, saya telah pun mula membuat biskut. Ini khusus bagi pengedar-pengedar dan agen-agen hamper yang inginkan biskut lebih awal sebagai contoh.

”Walaupun tanpa tempahan, saya tetap membuatnya kerana telah mempunyai pelanggan tetap, jadi apabila biskut telah siap, maka senanglah pelanggan akan terus mengambilnya tanpa tunggu lama,” katanya.

Tambahnya, beliau berhenti membuat biskut seminggu sebelum raya bagi memberi laluan untuk membuat kek pula iaitu kek prun, kek pandan dan kek mentega.

Bagi merasai kelazatan biskut Mak Teh atau ingin menjadi pengedar, boleh hubungi 03-61889977.

Ingin bantu penternak keli

ag_01.1

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan memberikan makanan kepada ikan keli semasa majlis perasmianThe Rights Bio Keli Industries Berhad di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.


RAMAI penternak keli telah menyedari kehadiran dan mengenali secara umumnya satu produk atau rumusan pemakanan istimewa yang dibangunkan berteraskan bioteknologi keluaran Perintis Agrotech Centre (PAC), sebuah syarikat 100 peratus milik bumiputera yang menjalankan aktiviti pembangunan bioteknologi dalam sektor perikanan, pertanian dan penternakan.

PAC yang ditubuhkan pada 2006 ini, mengorak langkah lebih jauh dalam bidang pertanian, bukan semata-mata terlibat dalam aktiviti huluan tetapi dalam usia yang masih muda tampil dengan teknik ternakan keli kaedah Pro-Asli iaitu satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan pergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Teknik tersebut sejajar dengan dua matlamat utama Pro-Asli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak.

Kaedah ini menawarkan tiga bahan utama iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protin tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio Mineral berfungsi untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio Mineral perlu diaktifkan di dalam kolam ternakan lima hari sebelum benih keli dimasukkan ke dalam kolam manakala Bio Vita perlu dicampur dengan pelet berprotein tinggi berfungsi untuk membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Ia juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya. Pelet yang telah dicampur dengan Bio Vita hanya diberi makan kepada ikan empat kali seminggu sahaja.

Bio Aqua berfungsi untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan serta rawatan penyakit bagi ikan. Kaedah rawatan Bio Aqua ini perlu diulangi setiap dua minggu sehingga tuaian.

Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 – RM1.50 berbanding RM4 hingga RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet dan tempoh tumbesaran antara tiga dan empat bulan bergantung kepada kualiti benih yang dimasukkan.

Satu set Pro Asli sesuai untuk 3,000 ekor ternakan dan hanya menggunakan empat beg pelet berprotein tinggi sehingga tuaian.

Apa yang menariknya, kesemua produk yang dihasilkan oleh PAC ini menggunakan ekstrak cacing dan mikrob hidup sebagai bahan asas utama dalam pembuatan dan melalui proses fermentasi yang masih mengekalkan protein yang tinggi dalam adunan tersebut.

Perintis juga menawarkan pakej ternakan keli kaedah Pro Asli kepada para penternak dengan jaminan belian balik selama tiga tahun.

Pakej berharga RM5,000 itu menawarkan tiga set kolam kanvas, 9,000 ekor anak benih, pelet berprotein tinggi dan tiga set Pro Asli untuk penggunaan sehingga waktu tuaian.

Pakej Jaminan Belian Balik ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di Perak, Lembah Klang dan Selangor sahaja. Bagi mereka yang berada di luar kawasan tersebut, hasil tuaian perlulah dihantar sendiri ke pusat pengumpulan keli milik Perintis di Chemor, Perak atau di Rawang, Selangor.

Ikan-ikan tersebut akan digunakan dalam penghasilan Jus Keli Omega 3 yang akan dikeluarkan oleh Perintis secara komersial pada penghujung September ini dan penghasilan keli berempah melalui anak syarikat PAC, Perintis Food Industries di Bandar Sungai Buaya, Selangor.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah ini, satu bengkel ternakan keli Pro Asli akan diadakan di Ipoh, Perak pada 12 September dan di Kuala Lumpur pada 10 Oktober. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 sahaja.

Bengkel tersebut juga akan mengenengahkan wakil dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak yang akan membentangkan kertas kerja “Pengendalian dan Pemasaran Ikan Keli.”

Seorang penternak ikan keli yang berjaya, Mohd. Edzrie Tajuddin turut berkongsi ilmu dengan para peserta tentang rahsia kejayaan beliau dalam bidang penternakan ini.

Beliau merupakan pembekal ikan keli segar kepada FAMA Negeri Perak.

Bengkel tersebut diharap dapat membuka peluang dan ruang kepada penternak ikan keli untuk meneruskan semula ternakan mereka dan memberikan garis panduan kepada para penternak tentang pemasaran ikan segar ke saluran yang lebih tepat.

Fokus kepada pembenihan keli

ag_02.1

Mansur Arifin tetap meletakkan harapan untuk berjaya dalam projek pembenihan keli di Kampung Limau Manis, Banting, Selangor.


KETIKA ini, industri akuakultur bagaikan di serang demam keli kerana semakin ramai ingin menceburkan diri. Ramai pengusaha mula berjinak-jinak melibatkan diri sama ada berstatus kecil atau sederhana khususnya mereka yang berada di luar bandar.

Meskipun ada ura-ura dan keluh kesah di sana sini bahawa aktiviti penternakan keli sudah tepu dan ramai yang berpendapat tidak menguntungkan, tetapi semakin ramai yang bertanya di manakah benih keli dapat diperoleh.

Pengusaha ini mungkin penternak induk iaitu untuk tumbesaran, membekalkan benih sahaja, makanan rumusan untuk ternakan atau juga produk hiliran seperti keli salai dan sebagainya.

Inilah kesan daripada usaha kerajaan memberi nafas baru kepada bidang pertanian, yang mendapat sambutan rakyat.

Tidak dinafikan, sebilangan besar pengusaha ini sudah berjaya dan sebahagiannya pula gagal dan kecewa lalu menyalahkan bidang pertanian yang dikatakan tidak mempunyai masa depan, sedangkan petua paling penting untuk berjaya ialah sabar setelah ‘tersungkur’ beberapa kali.

Percaya atau tidak, belum ada pengusaha pertanian tulen yang boleh dikatakan berjaya tanpa melalui onak dan duri, mencabar kematangan, bergolok bergadai sedangkan hasilnya lambat untuk dituai.

Mungkin ini yang cuba dibuktikan oleh seorang penyelia di syarikat swasta yang menetap di pinggir bandar Putrajaya.

Mansur Arifin, 46, yang meminati bidang penternakan ikan keli mula menanam azam untuk kembali bersaing setelah pernah gagal dan mengharungi pelbagai masalah antaranya persekitaran, penyakit dan juga kurang berkemahiran dalam bidang penternakan itu.

Mansur boleh dikatakan mencuba bidang ini sejak beberapa tahun lepas, selepas berkenalan dengan seorang pengusaha yang ingin membantunya.

Bagaimanapun hasrat murninya terbantut kerana menghadapi masalah .

Jabatan Perikanan Daerah Banting tampil memberi sokongan dan dorongan supaya beliau mencuba semua bidang tersebut dengan enam kolam sebagai permulaan.

Persekitaran sesuai

Tapak kolam di Kampung Limau Manis, Banting, Selangor itu secara kebetulannya menawarkan persekitaran sesuai kerana berhampiran punca air. Dia menternak pelbagai spesies ikan seperti keli, puyu dan haruan.

”Saya hanya suka-suka sahaja kerana dari kecil memang suka bermain dengan ikan.Kawasan ini pun dipunyai oleh adik-beradik yang menyerahkan kepada saya untuk mengusahakannya secara serius ,” katanya.

Berbekalkan modal RM3,000 untuk membina enam buah kolam, dia berjaya menternak keli sehingga 2,000 ekor dan puyuh sebanyak 3,000 ekor yang boleh dijadikan induk serta induk tilapia.

Bagaimanapun masalah timbul selepas dia bekerjasama dengan seorang pengusaha lain yang tidak begitu membantunya secara bersungguh-sungguh.

Pada masa sama, isu penggunaan sisa ternakan khinzir sebagai makanan ternakan keli yang didedahkan media massa tidak lama dulu bagaikan mala petaka kepadanya kerana pasaran keli terjejas.

Masalah-masalah tersebut menjejaskan usahanya untuk terbabit secara serius tetapi semangat tidak pernah luntur kerana baginya, sekali berusaha perlu terus berusaha.

Barangkali rahmat menyebelahinya apabila mendapat tunjuk daripada Johari Daud yang mendapat jolokan sifu keli.

Masalah ikan mati yang dihadapinya sebelum ini mendapat tunjuk ajar daripada Johari yang mengesyorkannya supaya mendapatkan benih Jabatan Perikanan di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Twar (PPAT) Perlok, Pahang.

Kini, beliau telah membangunkan kawasan tersebut dengan kolam kepada 20 buah termasuk 14 buah kolam induk, serta kolam benih dan kolam Moina, sejenis zooplankton untuk makanan anak ikan tetapi jalur perjuangannya untuk terus kekal dalam bidang penternakan keli diperluaskan kepada projek pembenihan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan, beliau memfokuskan kepada usaha pembenihan, satu cabang dalam ternakan ikan yang mempunyai potensi luas untuk dikembangkan. Pertemuannya dengan Mohd. Razif Hamzah juga meyakinkannya untuk memfokuskan kepada usaha tersebut kerana rakan barunya itu mempunyai pengalaman yang sama dengannya.

Bagi membuktikan kesungguhannya Mansur telah membina tempat khas untuk menjalankan aktiviti pembenihan menggunakan teknik aruhan.

Kini , dia mampu menghasilkan 200,000 anak benih sebulan dan menyasarkan pengeluaran kepada 1.5 juta hingga 2 juta sebulan dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut Mohd. Razif, beberapa pihak sudah menyatakan minat untuk membuat tempahan dan kini mencecah dua juta.

”Kami juga mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk memfokuskan kepada aktiviti pembenihan,” katanya.

Beliau bagaimanapun menumpukan kepada permintaan yang datang daripada pengusaha atau penternak tulen dan bukan orang tengah bagi mengelakkan sebarang masalah timbul kemudian hari.

Beliau menawarkan harga lima sen bagi anak benih bersaiz dua inci, dan tujuh sen bagi saiz yang sama jika tempahan itu memerlukan pihaknya menghantar kepada pemohon. Ini bagi permohonan berjumlah lebih 1000,000 ekor.

Bagi tempahan kurang 100,000 ekor harga yang ditawarkan ialah lapan sen untuk anak benih bersaiz tiga inci.

Mereka yang berminat membuat tempahan boelh menghubungi Mohd Razif di talian 019-3587113.

Limau melomas beri pendapatan lumayan

wu_02.1

Ramli Ngah Karim menunjukkan buah limau melomas di dusunnya di Kampong Lalang, Kuala Kangsar, Perak. –


KUALA KANGSAR 31 Ogos – Seorang warga emas, Ramli Ngah Karim, 67, yang sebelum ini kerap merantau mencari rezeki di tempat orang kini boleh tersenyum puas.

Setelah berpuluh tahun merantau dan kini kembali ke kampung halamannya di Kampung Lalang, Padang Rengas dekat sini, mengusahakan projek ladang limau melomas yang sudah mula memberikan hasil.

Projek pertanian tersebut di kawasan seluas 4.5 hektar merupakan projek perintis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perak bagi membantu golongan petani meningkatkan hasil pendapatan dengan tanaman baru.

Ramli memberitahu, aktiviti di dalam sektor pertanian merupakan sesuatu yang amat diminatinya sejak muda lagi.

Katanya, sewaktu zaman mudanya dahulu, dia pernah mengusahakan tanaman tembakau di Gerik serta pernah juga membangunkan ladang ubi kayu dan nanas di Kuala Ketil, Kedah.

”Selepas berpuluh tahun merantau, saya pulang ke kampung halaman pada tahun 2000 dan menerima tawaran daripada MARDI untuk mengusahakan tanaman baru iaitu limau melomas.

”Saya tidak fikir panjang dan terus menyewa tanah seluas 4.5 hektar untuk projek ini dan semuanya berjalan lancar kerana banyak urusan dan kerja dibantu oleh MARDI.

”Ini termasuk membersihkan kawasan, membajak tanah dan mengorek lubang selain memberi benih anak pokok melomas dan baja secara percuma,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ramli berkata, projek yang dilaksanakan oleh MARDI itu melibatkan seramai kira-kira 80 peserta yang kebanyakannya penduduk kampung berpendapatan rendah.

Namun, katanya, hasil usaha keras, dia merupakan salah seorang pengusaha limau melomas yang berjaya kerana memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM24,000 semusim atau setiap enam bulan.

Katanya, secara purata, ladang yang diusahakannya itu mampu mengeluarkan sehingga 12 tan metrik semusim dan dijual pada harga serendah RM2 sekilogram.

”Saya sangat yakin harga limau melomas akan meningkat dari semasa ke semasa. Pendapatan kami sebenarnya dengan mudah boleh meningkat sekurang-kurangnya sehingga RM40,000 semusim.

”Setiap musim mengambil masa selama enam bulan maknanya dalam setahun para peserta seperti saya boleh dapat hasil sehingga RM80,000.

”Itu saya kira minimum, mengikut jangkaan buah ini boleh cecah RM10 sekilogram,” katanya.

Jelas Ramli, limau melomas kini mula mendapat pasaran menggalakkan kerana ia agak istimewa berbanding limau jenis lain.

Katanya, limau melomas mempunyai rasa yang sangat lazat dan lebih manis, malah sebiji buah tersebut boleh mencecah berat sehingga tiga kilogram.

”Kehebatan rupa dan rasa limau melomas ini memang menarik perhatian banyak pihak, malah ladang ini kerap dilawati rombongan dari negara Afrika, Amerika Syarikat, Laos, lndonesia, Turki, negara-negara Arab dan Belanda,” katanya.