Belut sumber pendapatan Ariffin

wt_02.1

Mohd. Ariffin Daud menunjukkan dua buah tukil yang selalu digunakan untuk menahan belut di kawasan bendang di Kampung Paman, Kemaman.


Demi sesuap nasi Mohd. Ariffin Daud, 40, dari Kampung Paman di sini tetap tabah melakukan pekerjaan menangkap belut meskipun kadang-kala ia sering dianggap jijik oleh sesetengah orang.

Beliau melakukannya kerana menyedari ia adalah pekerjaan halal selain mampu menambah pendapatan sekeluarga.

Menyedari hakikat itulah, setiap petang pukul 6.30 Mohd. Ariffin dengan beberapa batang tukil (sejenis alat tangkapan belut) meredah rumput ditepi bendang yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya untuk menahan belut.

Pada kebiasaannya beliau akan menahan sehingga 40-50 tukil di beberapa petak bendang dan juga tali air.

”Ini dilakukan kerana pada kebiasaannya belut keluar pada waktu malam untuk mencari makan.

”Tukil yang ditahan akan dilumur dengan ikan yang dibakar dan cara sedemikian mampu memikat belut berkenaan masuk ke dalam tukil yang ditahan.

”Tukil diperbuat daripada paip PVC yang berukuran lilitan 3 inci serta panjangnya 3 kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paman di sini baru-baru ini.

Untuk menangkap belut, Mohd. Ariffin yang lebih dikenali ‘Pak Pin’ di kalangan penduduk setempat berkata, tukil akan diletak pada petak sawah dengan mencondong tukil berkenaan.

Pada bahagian bawah tukil pula akan ditutup dengan plastik manakala bahagian lain akan ditebuk lubang kecil bagi membolehkan belut memasuki tukil.

”Belut kemudian akan meloloskan diri lantaran badannya yang licin apabila terhidu aroma ikan bakar didalam tukil berkenaan,” katanya.

Mohd. Ariffin berkata, tukil yang ditahan pada pukul 6.30 petang akan diangkat pada keesokan harinya mulai pukul 7.00 pagi.

Adalah menjadi perkara biasa setiap kali tukil diangkat beliau akan memperolehi belut seberat antara 10 dan 15 kilogram, adakalanya menjangkau hingga 25 kilogram.

”Pada kebiasaannya belut lebih suka bermain ditanah berpaya atau tali air yang berlumpur yang mengandungi rumput kering di dasarnya.

”Kawasan itu juga menjadi tempat permainan ikan kecil dan besar dan sekali gus menjadi makanan belut,” katanya.

Mohd. Ariffin menambah, selepas ditangkap beliau akan menjual belut di beberapa restoran dan kedai makan berhampiran.

”Setiap kilo belut saya jual dengan harga RM15.00. Setakat ini mereka berpuas hati dengan harga yang ditawarkan,” katanya.

Katanya, bagi menampung tempahan pelanggan yang semakin meningkat saya terpaksa bekerja lebih serta menambah lebih 50 buah tukir lagi.

”Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini kerana dengan keadaan bendang yang begitu luas ini, spesies belut masih banyak di kawasan ini,” tambahnya.

Mohd. Ariffin menambah jika terdapat permintaan meningkat, pekerjaan menangkap belut dibantu oleh anak-anaknya.

Katanya, pembabitan anak-anak diperlukan kerana menyedari ia tidak mampu dilakukan secara keseorangan.

” Saya sebenarnya sering melatih serta menunjuk tempat tempat yang menjadi tempat belut bermain kepada anak-anak,” katanya.

Menurut Mohd. Ariffin kini anak-anaknya sudah mahir dengan tempat belut apatah lagi belut suka bermain dibendang dan tanah paya.

Mengenai khasiat belut, beliau berkata, ia boleh dijadikan sup, dagingnya manis serta berkhasiat.

Selain itu belut juga boleh membantu melancarkan perjalanan darah, mati pucuk dan juga mereka yang dihinggapi penyakit angin ahmar.

”Sesetengah penduduk di negeri ini melumatkan daging belut untuk dicampur dengan kuah laksa Terengganu.

”Ini kerana ianya begitu sesuai berbanding dengan ikan kerana kemanisannya,” katanya.

Bapa kepada 9 orang anak yang berusia antara 4 bulan hingga 20 tahun ini begitu yakin menahan tukir di bendang lebih baik daripada memelihara belut di kolam.

Ini kerana dia tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk membeli makanan belut sekiranya belut dijadikan ternakan.

”Ada ketikanya selepas memperolehi belut pelanggan akan sampai untuk mengambil tempahan mereka atau atau membelinya,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau mempelajari cara menangkap belut daripada rakan rakannya ketika sama-sama tinggal di Kelantan.

Katanya, ia terjadi berikutan di negeri tersebut ramai penggemar belut manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai pekerjaan dalam kehidupan seharian.

Asal-usul keropok Losong

wt_01.1

Keropok yang siap direbus sedia dijual kepada pembeli yang menunggu di Kedai Adik-Beradik Enterprise di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.


Setiap nama pasti ada sejarah dan asal usulnya.

Tidak kira nama tempat, orang, produk ataupun nama sesetengah makanan yang turut menjadi perkara biasa dikaitkan dengan sejarah permulaan penghasilannya.

Contohnya, mi udang Sungai Dua, laksa Kuala Perlis dan bubur lambuk Kampung Baru hanyalah antara beberapa nama yang pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi sekiranya anda mengunjungi negeri tersebut.

Sebut sahaja menu tersebut pastinya lokasi yang sama juga akan diberitahu oleh teman-teman anda yang pastinya pernah mengunjungi lokasi makanan itu yang dikatakan amat popular dengan kelazatan makanan yang dihidangkan.

Turut popular ialah keropok lekor Losong yang menjadi buah mulut sesiapa sahaja sekiranya singgah di negeri yang dikenali sebagai negeri warisan pesisir pantai itu.

Bagi yang tidak mengetahui, keropok lekor atau lebih dikenali sebagai ‘kepok gote’ di kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu dan diadun menjadi satu adunan lembut lembut yang kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

Seperti menu-menu popular yang disebutkan sebelum ini, keropok lekor amat sinonim dengan Losong.

Namun tahukah anda bagaimana asal panggilan tersebut bermula sehingga begitu terkenal kini?

Wartawan Utusan Malaysia sempat menjengah ke lokasi pembuatan keropok lekor popular itu baru-baru ini untuk melihat sendiri bagaimana penghasilan juadah tersebut dibuat selain mengetahui asal-usul makanan itu.

Tidak sukar untuk mencari lokasi popular tempat penghasilan makanan itu memandangkan setiap sudut mempunyai papan arah ke lokasi tersebut.

Mana tidaknya, sebut sahaja Losong pastinya ramai yang boleh menunjukkan arah memandangkan ia hanya 10 minit dari bandar raya Kuala Terengganu.

Kampong Losong atau nama asal kampung tersebut ialah Kampung Losong Haji Su yang diambil sempena nama seorang penduduk asal di kampung tersebut.

Malangnya penulis tidak dapat menemuinya kerana dia telah lama meninggal dan tiada saudara-maranya yang boleh ditemui.

Namun, dengan menemubual beberapa penduduk asal yang turut mengusahakan produk keropok lekor tersebut, asal usul keropok lekor Losong itu berjaya disingkap.

Menurut seorang pembuat keropok lekor yang telah bergiat aktif selama 40 tahun lalu mewarisi perniagaan keluarganya, Fatimah Salmah Long, 60, berkata keropok lekor Losong pada asalnya telah mula dihasilkan di sini dan dia bersama keluarganya adalah orang pertama yang memulakan perniagaan tersebut.

Katanya, keropok lekor lebih dikenali di Losong memandangkan rasanya yang enak serta lebih lembut berbeza daripada tempat lain.

Jelasnya, ia juga hanya dijual dengan harga 20 sen untuk satu batang (saiz kecil) dan RM1 sebatang( saiz besar) sejak dahulu sehingga kini.

”Pada peringkat awal hanya beberapa keluarga yang menjalankan perniagaan ini dan ia diwarisi turun-temurun dan rasanya masih tetap sama seperti dulu.

”Namun kini telah banyak gerai yang turut menjual keropok lekor dan ia mudah didapati di mana-mana namun saya tidak pasti rasanya masih sama atau tidak,” katanya ketika ditemui di gerainya, Adik-beradik Enterprise, Kampung Losong Haji Su.

Bagi pengusaha keropok lekor Losong sejak 40 tahun lalu, Mariam Ngah Awang, 65, memberitahu gelaran keropok lekor Losong diperoleh bukan sekadar dari nama kampung tempat penghasilan makanan tersebut.

Jelasnya, bentuknya yang kecil serta panjang seperti bentuk sosej menyebabkan ia popular satu masa dahulu.’

”Pada waktu dahulu di Losong, pengusaha-pengusaha keropok lekor menghasilkan keropok lekor bersaiz kecik iaitu hanya sepanjang lima hingga enam inci sahaja yang rasanya juga lebih enak daripada keropok lekor di tempat lain yang saiznya lebih besar dan kurang enak.

”Justeru itu, apabila penggemar makanan ini ingin mendapatkan keropok jenis ini, mereka sering memberitahu bahawa hanya di Kampung Losong sahaja boleh diperolehi, jadi begitulah asal nama keropok lekor Losong ini terjadi,” ujarnya.

Begitulah asal-usul nama keropok lekor Losong yang sering menjadi sebut-sebutan itu.

Sama ada ia benar-benar enak ataupun sekadar obses dan mentaliti orang kita terhadap sesuatu yang telah popular, hanya penggemar makanan itu sahaja yang boleh menjawabnya.

Bagi penulis, singgah ke Kampung Losong Haji Su bagai satu kemestian jika ke Negeri Terengganu.

Ternak ketam dalam 'peti surat'

wj_01.1

Ismail Osman menunjukkan ketam nipah yang dipelihara dengan menggunakan sistem ternak ketam padat di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.


Pertama kali melihat sistem ternak ketam padat yang terletak di hadapan rumah Ismail Osman di Kampung Melayu Majidee di sini, pasti ada yang tertanya kenapa banyak sangat peti surat.

Sebenarnya ‘peti surat’ sebanyak 252 kotak atau tempat bagi sistem ternak ketam padat itu boleh digunakan untuk menambah pendapatan.

Ismail, 45, memberitahu, sistem tersebut adalah hasil rekaan abangnya, Musa, 46, untuk memudahkan orang ramai menternak ketam secara komersial.

Beliau yang mula menternak ketam menerusi sistem itu sejak tiga minggu lalu mendakwa, ketam nipah yang diternak dengan cara moden itu lebih manis dan berlemak rasanya.

”Kaedah ternakan cara ini dijamin bersih dan halal kerana ketam-ketam peliharaan itu diberi makan kek ikan yang dipotong dalam bentuk dadu sekali setiap hari.

”Ketam-ketam ini tidak tercemar kerana air masin yang digunakan mengikut piawaian tertentu. Saya hanya menggunakan air paip yang dicampur dengan kandungan garam mengikut sukatan tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang melabur sebanyak RM7,000 untuk set sistem ternakan tersebut berkata, setiap ketam akan ditempatkan dalam satu kotak berbeza.

Menurutnya, ketam-ketam tersebut boleh dipelihara dengan air laut tetapi disebabkan air laut di sini tercemar, maka dia lebih senang menggunakan air biasa.

”Kalau ketam-ketam tersebut ada masalah sekalipun, ia tidak mengganggu yang lain. Pemeliharaan cara ini lebih sistematik dan kemas,” katanya yang membeli benih ketam nipah dari Perlis.

Ismail berkata, dalam tempoh tiga bulan ternakan tersebut dapat dituai dan boleh dijual dengan harga RM30 sekilogram terutamanya kepada pengusaha restoran.

Memandangkan pemeliharaan ketam dengan kaedah itu tidak memerlukan kos tinggi dan penyelenggaraan rapi, Ismail bersedia berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat.

“Bagi yang berminat boleh membuat tempahan set daripada abang saya.

”Selain menyediakan set, abang saya juga ada menganjurkan kursus menternak ketam,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menternak ketam menggunakan kaedah itu boleh menghubungi Ismail (013-7344629) atau Musa (017-6877096).

Ternak ketam dalam ‘peti surat’

wj_01.1

Ismail Osman menunjukkan ketam nipah yang dipelihara dengan menggunakan sistem ternak ketam padat di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.


Pertama kali melihat sistem ternak ketam padat yang terletak di hadapan rumah Ismail Osman di Kampung Melayu Majidee di sini, pasti ada yang tertanya kenapa banyak sangat peti surat.

Sebenarnya ‘peti surat’ sebanyak 252 kotak atau tempat bagi sistem ternak ketam padat itu boleh digunakan untuk menambah pendapatan.

Ismail, 45, memberitahu, sistem tersebut adalah hasil rekaan abangnya, Musa, 46, untuk memudahkan orang ramai menternak ketam secara komersial.

Beliau yang mula menternak ketam menerusi sistem itu sejak tiga minggu lalu mendakwa, ketam nipah yang diternak dengan cara moden itu lebih manis dan berlemak rasanya.

”Kaedah ternakan cara ini dijamin bersih dan halal kerana ketam-ketam peliharaan itu diberi makan kek ikan yang dipotong dalam bentuk dadu sekali setiap hari.

”Ketam-ketam ini tidak tercemar kerana air masin yang digunakan mengikut piawaian tertentu. Saya hanya menggunakan air paip yang dicampur dengan kandungan garam mengikut sukatan tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang melabur sebanyak RM7,000 untuk set sistem ternakan tersebut berkata, setiap ketam akan ditempatkan dalam satu kotak berbeza.

Menurutnya, ketam-ketam tersebut boleh dipelihara dengan air laut tetapi disebabkan air laut di sini tercemar, maka dia lebih senang menggunakan air biasa.

”Kalau ketam-ketam tersebut ada masalah sekalipun, ia tidak mengganggu yang lain. Pemeliharaan cara ini lebih sistematik dan kemas,” katanya yang membeli benih ketam nipah dari Perlis.

Ismail berkata, dalam tempoh tiga bulan ternakan tersebut dapat dituai dan boleh dijual dengan harga RM30 sekilogram terutamanya kepada pengusaha restoran.

Memandangkan pemeliharaan ketam dengan kaedah itu tidak memerlukan kos tinggi dan penyelenggaraan rapi, Ismail bersedia berkongsi pengalaman dengan sesiapa yang berminat.

“Bagi yang berminat boleh membuat tempahan set daripada abang saya.

”Selain menyediakan set, abang saya juga ada menganjurkan kursus menternak ketam,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menternak ketam menggunakan kaedah itu boleh menghubungi Ismail (013-7344629) atau Musa (017-6877096).

Eco Tilapia bantu tingkat bekalan ikan

GERIK 7 Ogos – Sebuah syarikat bertaraf bumiputera, Eco Tilapia Sdn. Bhd. (ETSB) melabur sebanyak RM4.1 juta bagi mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Temenggor di sini.

Pengarah Urusan ETSB, Mohd. Yussof Kassim, berkata, buat masa ini, syarikat mempunyai 600 sangkar bersaiz 96 meter padu setiap satu yang mampu mengeluarkan kira-kira 1,200 tan ikan tilapia merah dalam satu musim.

Beliau berkata, syarikat juga menghasilkan dua tan ikan tilapia setiap hari untuk dihantar kepada pelanggan tetap sekitar Gerik, Lenggong dan Ipoh.

”Kami juga turut menghantar bekalan ikan segar ke pasaran Singapura menerusi pembekal yang dilantik,” katanya ketika ditemui di kawasan ternakan ikan milik Eco Tilapia di Tasik Temengor, Banding, di sini semalam.

Mohd. Yussof berkata, ladang ternakan ikan dalam sangkar berkenaan beroperasi sejak 1 Ogos 1988 dengan 20 unit sangkar terbiar milik Jabatan Perikanan Perak.

Menurutnya, hasil tunjuk ajar pihak Jabatan Perikanan, beliau mula belajar menternak ikan tilapia merah dan berjaya mengeluarkan hasil dalam masa tiga bulan.

“Semuanya bermula sekadar suka-suka dan tambahan produk kepada pelancong yang datang ke chalet yang saya usahakan di Pulau Tikus, Tasik Temengor.

“Berikutan kejayaan projek ekopelancongan itu, saya berazam untuk memperluaskan lagi ternakan dalam sangkar.

”Pada masa itu, saya merupakan pengusaha pertama projek ternakan ikan tilapia merah dalam sangkar,” katanya.

Menurut Mohd. Yusoff, selain membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran sumber bekalan makanan negara, projek berkenaan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, sehingga kini, seramai 12 penduduk di sekitar Gerik dan Tasik Temengor diambil bekerja di syarikat berkenaan bagi memastikan pengeluaran produk berada dalam keadaan baik dan mampu memenuhi permintaan.

Peruncit Melayu pupus?

PETALING JAYA 12 Ogos – Kedai- kedai perniagaan runcit milik peniaga Melayu diancam kepupusan sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menyelamatkan mereka.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kira-kira 12,000 peniaga Melayu kini dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ untuk meneruskan perniagaan tersebut, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas.

Malah, tambah beliau, dianggarkan kira-kira 480 buah kedai runcit milik golongan berkenaan kini dalam proses dilelong.

Syed Ali berkata, peniaga runcit khususnya golongan Melayu tidak mampu lagi meneruskan kelangsungan operasinya setelah lebih 40 peratus jualan dalam pasaran dikuasai oleh pasar-pasar raya besar.

”Keadaan ini mungkin tidak berlaku sekiranya kerajaan mengawal penubuhan pasar-pasar raya besar di negara ini khususnya di bandar-bandar.

”Sekarang, yang menanggung akibatnya adalah peniaga kecil Melayu yang hanya mampu meraih pendapatan tidak lebih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

”Sedangkan, pasar-pasar raya besar mampu meraih jualan sebanyak RM1 juta sehari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan peniaga runcit itu terpaksa bergantung kepada pasar-pasar raya berkenaan untuk mendapatkan bekalan barang kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai borong.

”Kita ambil contoh, kalau peniaga membeli barang A dengan harga RM1 di pasar raya, sudah tentu dia akan menjual semula pada harga RM1.10.

”Jadi, macam mana peniaga hendak menjual barangan mereka kalau harga di pasar raya jauh lebih murah daripada kedai runcit?,” tambah beliau.

Syed Ali berkata, disebabkan masalah ini, perniagaan tersebut bukan lagi menjadi gelanggang perniagaan di kalangan kaum Cina, yang kini beralih kepada pasar-pasar mini.

Beliau berkata, dalam usaha menangani permasalahan itu DPMM telahpun mengusulkan cadangan dalam bentuk kertas kerja kepada kerajaan.

Katanya, kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop empat bulan lalu.

Antara cadangan DPMM termasuk mahukan kerajaan memberi inovasi dan kreativiti baru kepada perniagaan tersebut dengan mengambil kira teras model ekonomi baru yang memberi fokus meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil.

Ini termasuk mewujudkan pusat borong bersepadu, gudang dan sistem pengurusan inventori untuk golongan berkenaan.

”Kita masih menunggu jawapan daripadanya. Jika langkah ini tidak dilaksanakan, peniaga runcit akan lenyap,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan agar kerajaan menghalusi cadangan itu bagi menyegerakan usaha membantu masalah perniagaan runcit Melayu yang semakin tenat.

Presiden DPMM itu juga melahirkan rasa kecewa kerana para pelabur asing diberi hak untuk memonopoli perniagaan peruncitan di negara ini dalam segala aspek.

Beliau mempersoalkan kewajaran pemilik-pemilik pasar-pasar raya besar di negara ini yang dibenarkan menyewa premis dan kiosk di dalam pasar raya pada kadar yang tinggi kepada peniaga tempatan.

Syed Ali berkata, di luar negara pun, pasar-pasar raya tidak dibenarkan beroperasi di bandar besar tetapi di Malaysia hampir setiap bandar dan pekan ada pasar raya.

Sambil tanam bela ikan

ws_01.1

Nur Afiqah Ahmad menunjukkan salah satu tanaman hidroponik yang terdapat di gerai Kazzponic di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini. -UTUSAN/ NAS NORZIELA NASBAH


MELAKA 12 Ogos – Pelbagai cara digunakan untuk menghasilkan sayuran segar sama ada secara tradisional atau tanaman hidroponik.

Bagaimanapun, cara penanaman hidroponik adalah yang paling mudah dijalankan kerana ia tidak memerlukan sistem tanaman yang rumit dan tanah.

Namun, antara sedar atau tidak, tanaman hidroponik yang dahulunya popular sejak 11 tahun lalu itu kini telah dilupakan begitu sahaja dan kurang mendapat sambutan.

Menyedari tanaman tanpa tanah yang kurang mendapat sambutan itu, syarikat pembekal utama bagi produk hidroponik, Kazzponic Sdn. Bhd. telah bergiat aktif dalam usaha menarik kembali minat rakyat untuk menanam tanaman segar secara hidroponik, tetapi telah diubahsuai secara unik.

Ia dilakukan dalam takungan yang terdapat ikan yang boleh dibela dengan menggunakan air baja yang selamat kepada manusia.

Pegawai Pemasaran syarikat itu, Nur Afiqah Ahmad, 18, berkata, cara itu merupakan sesuatu yang baru dan bertujuan untuk mengelakkan jentik-jentik hidup di dalam air baja.

”Ikan yang dibela dapat membantu menghapuskan jentik-jentik dan ini sekali gus dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti denggi.

”Selain itu, hasil tanaman juga bertambah segar dengan adanya bantuan hidupan akuakultur di dalam takungan air yang menggunakan baja yang baik”, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau juga turut mengulas mengenai kebaikan yang diperoleh melalui tanaman hidroponik itu.

Katanya lagi, berbanding tanaman menggunakan tanah, kaedah hidroponik 300 peratus lebih cepat dan mesra pengguna.

Jelas beliau, tanaman menggunakan kaedah hidroponik itu boleh dikendalikan oleh sesiapa sahaja kerana ia tidak perlu menggunakan cangkul.

Beliau juga memberitahu, kaedah hidroponik bukan sahaja sesuai untuk semua jenis sayur-sayuran dan herba, malah juga pokok buah seperti pisang, tembikai dan lobak.

“Tanaman sayuran seperti kangkung cuma mengambil masa tiga minggu sebelum boleh dimakan berbanding ditanam di tanah yang mengambil masa lebih sebulan,” katanya.

Katanya lagi, ikan yang dibela juga dapat bertahan lama malah ia boleh dijadikan sebagai hiasan.

Selain itu, menurutnya, air baja yang disembur dua hari sekali itu akan memastikan tumbuhan akan lebih segar dan ikan tidak mati.

Asam gelugur Mak Timah jadi pilihan

wt_02.1

Fatimah Mat Hassan menunjukkan sebahagian asam gelugur yang dijemur berhampiran rumahnya di Kampung Masin, Pasir Akar, Besut.


BESUT 12 Ogos – Bak kata pepatah orang tua-tua dahulu ‘ikan di laut, asam di darat akhirnya bertemu juga di dalam periuk’.

Ternyata antara ikan dengan asam iaitu asam gelugur sejenis perencah masakan tradisonal yang paling digemari oleh suri rumah sejak dari dulu lagi sememangnya tidak dapat ‘dipisahkan.’

Sungguhpun begitu, asam gelugur yang sangat diperlukan untuk pelbagai jenis masakan seperti ikan singgang dan gulai kini dikatakan sukar diperoleh di kampung-kampung.

Ini kerana kekurangan orang ramai untuk mengusahakannya disebabkan pendapatan dari hasil buah itu tidak begitu lumayan.

Dalam hal ini, seorang warga emas, Fatimah Mat Hassan, 65, yang lebih dikenali ‘Mak Timah Asam Gelugur’ dari Kampung Masin, Pasir Akar di sini gigih memanfaatkan buah gelugur yang senang diperoleh di hutan kampungnya.

Buah gelugur yang gugur dari pokoknya selepas ia masak sudah tentu akan terbiar begitu sahaja jika tidak diambil untuk dibuat asam gelugur.

Fatimah berkata, walaupun pendapatan tidak lumayan, tetapi pekerjaan yang dilakukan secara sampingan amat menggembirakan.

Menurutnya, permintaan kaum suri rumah terhadap asam gelugur begitu menggalakkan mungkin disebabkan kepingan asam itu semakin berkurangan sekarang.

Beliau berkata, biarpun perisa makanan tradisi itu sukar diperoleh, tetapi ia tetap menjadi pilihan kaum ibu kerana asam tersebut lebih menyelerakan dalam masakan tertentu jika dibandingkan dengan perisa lain.

”Buah-buah gelugur yang masak itu dipotong secara kecil-kecilan atau dihiris secara kepingan untuk dibuat asam gelugur.

”Sebelum dijemur, kepingan gelugur itu dicelup dengan air garam supaya ia tahan lama dan biasanya asam gelugur ini dijemur antara dua atau tiga hari,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Warga emas itu menambah, buah gelugur itu seperti juga buah durian, rambutan dan duku yang diperoleh mengikut musim.

”Buah ini tidak ada sepanjang masa menyebabkan orang lain tidak berminat untuk mengusahakan asam gelugur selain ia sukar didapati di kampung kecuali di hutan,” ujarnya.

Pekasam Wanita Utara ke luar negara

wu_01.1

JOHARABI Muhamad menunjukkan bungkusan ikan pekasam keluaran syarikatnya.


LENGGONG 16 Ogos – Apabila disebut ikan pekasam, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran kita ialah ikan air tawar yang mempunyai rasa masam-masam masin dan begitu enak jika dimakan dengan nasi panas.

Jika dahulu ikan pekasam hanya popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung, kini ia semakin mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.

Di Perak, terdapat beberapa pengusaha Melayu yang terlibat dalam menghasilkan produk istimewa ini dan antaranya ialah Joharabi Muhamad, 35.

Menurut Joharabi, idea untuk mengkomersialkan ikan pekasam adalah atas dorongan ibunya, Zairom Che Wok, 60.

Pada mulanya kata ibu muda ini, dia belajar membuat ikan pekasam dan menjualnya secara kecil-kecilan tetapi sambutan menggalakkan yang diterima membuatkannya nekad untuk membesarkan perniagaan tersebut.

“Idea untuk menjual ikan pekasam timbul selepas saya meluahkan rasa bosan tinggal di rumah kepada ibu. Selepas berkahwin, saya berhenti kerja di kilang dan menjadi suri rumah.

“Idea daripada ibu yang memang pandai membuat ikan pekasam akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada saya sekeluarga kini. Alhamdulillah, ikan pekasam yang dibungkus di bawah label ‘Pekasam Wanita Utara’ kini sudah menembusi pasaran China, Brunei dan Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak di sini baru-baru ini.

Jelas Joharabi, selain digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas, menu makanan menggunakan ikan pekasam juga boleh dipelbagaikan seperti dimakan dengan pulut dan ubi kayu rebus.

Malah katanya, ikan pekasam juga boleh dimasak gulai lemak atau dijadikan serunding yang pastinya enak dimakan bersama ketupat.

“Pekasam sebenarnya boleh dijadikan rendang seperti juga ayam dan daging. Hanya buang tulang belakang ikan dan campurkan dengan rempah ratus serunding, rasanya sangat enak,” katanya.

Usaha Joharabi bertambah mudah apabila dibantu oleh suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 41.

Mereka memerlukan 300 kilogram ikan air tawar seperti ikan loma, sepat, lampam, puyu dan tilapia setiap hari untuk membuat pekasam.

Untuk menghasilkan ikan pekasam yang bermutu katanya, proses pertama yang perlu dilakukan ialah ikan disiang dan perutnya dibuang sebelum diletak garam dan diperam selama dua minggu.

Kemudiannya, ikan itu dibersihkan dan digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan dimasukkan ke dalam tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan selama dua minggu lagi sebelum dibungkus.

“Sebenarnya, lagi lama ikan diperam, rasanya akan lebih enak. Ikan pekasam boleh disimpan lama kerana ia sudah diawet,” katanya.

Menurut Meor Shahili pula, untuk memastikan ikan pekasam yang dibuat ‘menjadi’ dan mempunyai rasa yang sedap, hanya ikan-ikan segar yang dibekalkan oleh pemborong akan digunakan.

“Saya sangat menitikberatkan kebersihan dalam proses menghasilkan ikan pekasam bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berkualiti.

“Ramai yang mengatakan ikan pekasam berbau busuk kerana diperam. Saya mahu mengubah persepsi ini. Jika kita menggunakan ikan segar dan menjaga kebersihan tempat menyediakannya, ia tidak akan berbau busuk,” katanya

Pekasam Wanita Utara dijual pada harga RM3.50 untuk 200 gram dan sekiranya pelanggan membeli secara pukal, mereka boleh mendapatkannya pada harga borong RM2.80 untuk 200 gram.

Sukarnya memburu kelah

wt_01.1

Pemburu ikan kelah terpaksa berkhemah untuk menangkap ikan air tawar di lubuk Sungai Pengau, Hulu Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 21 Ogos – Menangkap ikan air tawar sebenarnya tidak semudah yang disangkakan apatah lagi ia merupakan spesies liar yang hanya terdapat di tengah- tengah hutan rimba.

Bagi penduduk daerah ini, kegiatan menangkap ikan air tawar sering dilakukan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kerana kedua-dua sungai tersebut kaya dengan spesies bernilai tinggi.

Memandangkan sebahagian Sungai Tembeling dan Sungai Pahang termasuk di dalam hutan Taman Negara yang merupakan kawasan larangan menangkap ikan, kegiatan itu tertumpu di anak-anak sungai yang terdapat di hutan Hulu Tembeling dekat sini.

Dalam kebanyakan ikan air tawar, kelah menjadi spesies paling popular berbanding ikan air tawar lain kerana keenakan rasanya dalam masakan.

Kelah biasanya diburu di lubuk dan air terjun berbatu yang terletak jauh di dalam hutan dan hanya ‘pemburu’ yang benar-benar kental mampu menghadapi segala cabaran yang sedia menanti.

Salah sebuah tempat yang menarik dan menjadi habitat ikan kelah di pedalaman Hulu Tembeling ialah di hulu Sungai Pengau.

Di hulu sungai berkenaan terdapat dua habitat ikan kelah, keli dan baung yang berkumpul di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang terletak sejauh lima jam perjalanan dari Hutan Lipur Sungai Pengau.

Kebiasaannya penduduk Hulu Tembeling memburu ikan kelah di anak sungai sebagai kegiatan masa lapang pada hujung minggu selain bersantai menikmati keindahan hutan sambil mencari buah-buahan hutan seperti taban, perah, bangkong dan berangan.

Pada musim kemarau, ikan kelah dan beberapa spesies lain keluar dari lubuk untuk mencari makanan yang terdiri daripada buah-buahan hutan seperti neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai.

Ketika itu, beribu-ribu kelah pelbagai saiz berkeliaran di lubuk Sungai Pengau yang menambat hati penggemar ikan air tawar.

wt_01.2

Seorang penduduk menunjukkan spesies ikan kelah seberat 10 kilogram yang diperoleh di Sungai Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.


Tidak hairanlah penggemar ikan air tawar begitu teruja dan sanggup meredah hutan berhari-hari lamanya semata-mata untuk menangkap seberapa banyak spesies berkenaan yang cukup enak dimasak gulai asam tempoyak dan pais ikan.

Meskipun kelah amat enak, namun untuk menangkapnya bukan kerja mudah.

Aktiviti memburu ikan kelah perlu dilakukan bermula pada awal pagi dengan menyusur arus berbatu Sungai Pengau yang dingin airnya.

Pemburu kelah akan membawa joran, jala, anak panah dan penutup muka sebagai peralatan asas menangkap ikan berkenaan.

Perjalanan selama lima jam ke hulu sungai memang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi.

Mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak batu tajam dan terserempak dengan binatang buas yang keluar mencari makan merupakan perkara lumrah kepada pemburu kelah.

Tidak cukup dengan berjalan kaki, pemburu kelah terpaksa membuat rakit untuk menyusur di kawasan arus dalam dan memunggah peralatan makanan serta khemah untuk persiapan bermalam di hulu sungai di Hutan Lipur Pengau.

Menurut seorang pencari ikan, Baba Ibrahim, 56, kebiasaan pemburu kelah akan bergerak secara berkumpulan antara lima hingga sepuluh orang bagi tujuan keselamatan.

”Kita membawa makanan secukupnya untuk berkhemah antara dua hingga tiga malam bagi mencari kelah yang banyak di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang memang cukup dikenali di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pengau baru-baru ini.

Menurut Baba, kaedah menangkap kelah mempunyai pelbagai cara seperti menyelam bergilir-gilir ke dasar lubuk dan celah batu untuk menembak haiwan itu dengan panah besi.

”Kaedah lain adalah dengan memancing dan menjala di kawasan tersebut,” katanya.

Seorang remaja, Zamrizal Zulkefli, 19, memberitahu, dia biasanya memburu kelah pada hujung minggu bersama rakan-rakan sekampungnya di Sungai Tembeling.

”Kepenatan kami menjelajah hulu Sungai Pengau dan berkhemah berbaloi apabila ada di kalangan kami mendapat kelah,” katanya.

Bagaimanapun, Zamrizal menjelaskan, atas dasar memahami peraturan pihak berkuasa, mereka melepaskan semula anak kelah ke lubuk sungai demi pemuliharaan jangka panjang dan mengekalkan ekosistem hutan berkenaan.

Rakannya, Shahradin A. Karim, 43, berkata, kelah, keli dan baung yang ditangkap dijadikan lauk-pauk untuk makanan pada waktu malam sambil bersantai menikmati suasana hutan rimba berkenaan.

”Kegiatan menangkap ikan juga dilakukan pada waktu malam kerana kelah dan beberapa spesies lain kerap keluar mencari makanan di Lubuk Kayu Ara pada waktu itu.

”Biasanya, kami menggunakan lampu suluh dan mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang terserempak dengan ular,” katanya.

Shahradin menjelaskan, kelah yang ditangkap akan disalai serta diagihkan di kalangan rakan untuk dibawa pulang ke rumah bagi hidangan sekeluarga.

Bagi seorang penduduk Kampung Pengau, Ahmad Omar, 42, ekspedisi memburu kelah di hulu Sungai Pengau walaupun bertujuan berseronok dan bersantai tetapi ia perlu dirancang lebih awal untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, menangkap ikan air tawar memerlukan kecekalan, kesabaran dan kemahiran kerana pelbagai cabaran dan halangan yang bakal dilalui di tengah-tengah hutan rimba itu.