Menjadi usahawan tani

wb_01.1

Institut Pertanian Sabah di Timbang Menggaris, Kota Belud.


KOTA KINABALU 26 Ogos – Daripada hanya seorang anak petani biasa, Majiah Mulak, 23, sudah boleh berbangga kerana dia kini selangkah untuk bergelar usahawan dalam sektor pertanian.

Sebaik menamatkan kursus dan latihan di Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris, Kota Belud, beliawanis dari daerah Pitas itu merancang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan tanah milik keluarganya di Kampung Timboi Dagang, Kanibongan dalam daerah Pitas.

Katanya, tanaman getah dan kelapa sawit merupakan tanaman pertanian hiliran yang sangat sesuai diusahakan apatah lagi dia sendiri mempunyai latar belakang keluarga petani sejak turun-temurun.

Jelas pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang IPS sesi 2008/2009 itu lagi, perancangan tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana dia memiliki kemahiran asas pertanian merangkumi kejuruteraan pertanian, pengurusan tanaman, asas sains makanan, pengurusan ternakan dan komputer.

‘‘Saya mahu mengaplikasi semua ilmu dan kemahiran yang saya pelajari selama lebih setahun di IPS. Lagipun, sektor pertanian bukan asing bagi saya.

‘‘Ibu bapa saya sehingga kini masih menoreh getah bagi menyara keluarga sejak sekian lama. Justeru, saya mahu terbabit sama membantu mereka memajukan ladang getah di kampung.

wb_01.2

Projek penternakan lembu merupakan sebahagian kursus perladangan dan penternakan yang ditawarkan di Institut Pertanian Sabah.


‘‘Pada masa kini industri getah semakin meningkat kerana permintaan dunia yang banyak. Harga getah pula mencecah sehingga RM4.50 sekilogram bagi getah yang telah diasap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis konvokesyen IPS ke-37 di sini baru-baru ini.

Kecemerlangan Majiah sepanjang pengajian di IPS membolehkan dia dipilih Pelajar Terbaik Kemahiran, Akademik dan Keseluruhan sesi 2008/2009. Anak keenam daripada enam beradik ini mula mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kanibongan, Pitas dari 1993 sehingga 1998.

Majiah kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas dari 1999 sehingga 2005 dan menamatkan pelajaran dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Minat dan latar belakang keluarga petani membuatkan Majiah memilih IPS sebagai tempat menuntut ilmu dalam bidang pertanian dengan mengambil pengurusan estet sebagai subjek pengkhususannya.

Menurutnya, ketika di IPS, para pelajar didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian terutama bagi subjek Kejuruteraan Pertanian, Perlindungan Tanaman dan Pengembangan Pertanian.

Institut berkenaan katanya, dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pertanian seperti jentera pembajak ladang, lori pengangkut hasil ladang, jentera pemotong rumput, mesin-mesin tani dan kemudahan alatan pertanian lain.

Jelasnya, lebih banyak pendedahan praktikal berbanding teori kepada pelajar memberi kelebihan kepada IPS untuk melahirkan graduan pertanian negara ini, khususnya di Sabah.

wb_01.3

Institut Pertanian Sabah mempraktikkan tanaman fertigasi dengan membuat rumah lindungan hujan bagi melindungi tanaman dan mengawal serangga perosak.


‘‘Contohnya, kami berpeluang menoreh getah, menuai hasil kelapa sawit dan menggunakan peralatan pertanian itu jentera pembajak ladang.

‘‘Kami juga diberi tunjuk ajar berkaitan sistem hidroponik dan fertigasi tanaman seperti tomato, cili, sayur pahit dan sayur bunga.

‘‘Latihan kerja ini dijalankan oleh para penuntut IPS sebagai salah satu projek amali kami,” ujarnya.

Majiah berkata, setakat ini keluasan ladang yang telah dimajukan oleh para pelajar di IPS iaitu kira-kira 230.93 hektar.

Katanya, tujuan mewujudkan ladang adalah untuk menyediakan kawasan latihan amali yang terkandung dalam subjek kemahiran dan pengkhususan yang meliputi bidang pengurusan tanaman, hortikultur, ternakan, kejuruteraan pertanian dan projek pengkhususan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti ladang adalah merangkumi penanaman dan pengurusan tanaman, pengeluaran dan pemasaran hasil tanaman; pengeluaran dan pengurusan ternakan, memaju dan mengurus rumput-rumput pastura, mekanisasi ladang dan projek-projek pengkhususan bercorak komersial.

‘‘Saya sangat bertuah dapat menuntut ilmu di IPS. Saya berharap lebih ramai belia terutama anak-anak petani luar bandar di negeri ini merebut peluang menimba pengetahuan di IPS.

‘‘Pertanian merupakan satu aktiviti perniagaan yang menguntungkan jika diusahakan bersungguh-sungguh. Menceburi bidang pertanian bukan hanya mendatangkan kepuasan tetapi juga membantu mengurangkan kadar pengganguran di kalangan belia,” jelasnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s