Menanam sayur di kawasan sekolah

wt_02.1

SEBAHAGIAN daripada landskap Harmony Edible Garden yang diusahakan oleh Cikgu Wahidah dan anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Langgar, Kota Bharu.


KOTA BHARU 19 Ogos – Wahidah Hassan Hilmi, 48, minat menanam sayur-sayuran dan juga hiasan landskap yang dianggapnya menyeronokkan apabila melihat ia membesar dalam suasana segar, indah dan mendamaikan.

Namun laman rumahnya yang sempit membataskan usaha untuk menterjemahkan impiannya, justeru guru Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar itu tidak keberatan menjadi Guru Penasihat Kelab Kemahiran Hidup.

Dengan adanya kawasan di sekolah khusus untuk dijadikan taman tanaman makanan (edible garden), dia berkongsi kecintaan guru-guru lain dan murid-muridnya.

”Di rumah saya hanya menanam sayur dalam pasu. Dengan adanya taman di sekolah saya dapat juga merasa mencangkul dan membuat batas bersama anak murid saya,” kata Wahidah yang juga seorang Guru Cemerlang.

Dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu pada waktu petang untuk menguruskan taman yang dinamakan Harmony Edible Garden itu.

Selain landskap yang membantu menjadi persekitaran sekolah lebih ceria dan kondusif, hasilnya boleh dikecapi bersama dan usaha kelab ini ternyata membanggakan warga sekolah.

Taman Harmony Edible Garden SK Langgar menjadi juara keseluruhan pertandingan Kitchen Garden /Edible Landscape 2009 peringkat negeri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sekolah yang menjadi johan tiga tahun berturut-turut bagi kategori sekolah rendah peringkat negeri itu juga diumumkan sebagai naib juara peringkat kebangsaan pada satu majlis di sini baru-baru ini.

Wahidah yang mengetuai sekumpulan tujuh guru dan 10 murid yang bertanggungjawab mengendalikan taman seluas 30 meter persegi itu berkata, pihak sekolah mula menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2007.

Dengan bantuan pekerja sekolah, plot kosong di tepi kantin ditukar menjadi tempat rehat yang begitu indah lengkap dengan jambatan kecil, air terjun ‘mini’ dan batu pemijak taman.

Jelasnya, mereka hanya mengeluarkan kos sebanyak RM1,700 pada peringkat awal membeli bahan seperti cat dan simen bagi menghasilkan sendiri hiasan sampingan selain kelengkapan wajib untuk berkebun.

Menurut Wahidah, pihak jawatankuasa pertandingan menetapkan empat jenis tanaman sebagai syarat iaitu sayur-sayuran jenis berbuah dan berdaun, buah-buahan, ulam-ulaman dan herba serta penternakan ikan air tawar dalam kawasan taman.

Katanya, ada antara benih dibekalkan secara percuma oleh Jabatan Pertanian dan ada yang dibeli sendiri pihak sekolah. Setiap tanaman diletakkan papan nama bagi memudahkan warga sekolah mengenalinya.

”Pada tahun ini kami menanam 43 jenis tanaman antaranya sayuran berdaun seperti sawi kangkung dan kobis; sayuran berbuah seperti cili, tomato dan bendi; ulam-ulaman seperti pegaga, kesom dan cekur manis.

”Kami menanam pokok herba seperti tongkat ali, misai kucing dan rumput Cina, juga menternak ikan sepat dan keli dalam kolam,” katanya.

Wahidah berbangga kerana murid-murid dan guru lain yang terlibat dalam projek ini begitu bersungguh dalam kerja mereka sehingga sanggup meluangkan masa lapang selepas waktu sekolah menjaga taman berkenaan walaupun pertandingan sudah berlalu.

”Sebelum hakim datang mengadili dulu, pernah juga sampai tiga jam sehari kami meluangkan masa. Tapi kami tetap mengambil pendekatan sama mengurus kebun ini sebaik-baiknya sehingga hari ini.

”Hasilnya dikongsi bersama dengan pelajar dan juga guru-guru,” katanya yang amat berterima kasih dengan guru besar, Zunaidah Mamat yang memberi sokongan padu.

Jelasnya biarpun ‘berkebun’ dilihat seperti kegiatan kokurikulum yang tidak gah, pihak sekolah tidak mengkhususkan projek ini untuk murid yang ‘lemah’ akademik sebaliknya minat yang menjadi kriteria utama.

Tambahnya kegiatan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk mereka mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas malah juga mendidik mereka bekerjasama, menghargai tanah dan tumbuh-tumbuhan.

Muhd. Faiz Mohd. Ghani, 11, yang menjadi ketua kepada kumpulan 10 pelajar dan bertanggungjawab ke atas taman SK Langgar, berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat membawa kejayaan kepada sekolah.

Murid yang sering menduduki tempat pertama dalam kelasnya ini berkata, walaupun terpaksa ‘bergelumang’ dengan tanah dan menyumbangkan tenaga, kumpulan pelajar yang terdiri daripada 4 lelaki dan 6 perempuan itu dicemburui oleh rakan-rakan yang lain.

”Ramai yang mahu jadi ahli jawatankuasa, tapi cikgu kami pilih yang betul-betul berminat sahaja. Saya sangat suka berkebun dan ‘bermain’ dengan tanah dan melihat tumbuhan yang ditanam hidup subur di depan mata,” jelasnya.

Penolongnya, Zafirah Mohd. Noor, 11, berkata, mereka bergilir-gilir membuat kerja mengikut jadual yang disediakan setiap hari antara pukul 5 hingga 6 petang termasuk hari Jumaat.

Katanya, antara tugas wajib yang perlu dilakukan adalah mencangkul, mencabut rumput, membaja dan menyiram pokok setiap hari.

”Jika dibandingkan dengan rakan yang lain, saya tinggal agak jauh sedikit iaitu di Wakaf Che Yeh kira-kira lima kilometer dari sekolah.

”Tetapi ia tidak menghalang saya turut serta kerana biasanya saya juga terlibat dengan program kokurikulum lain sebelum itu,” kata olahragawati sekolah itu.

Seorang lagi ahli jawatankuasa, Nur Aisha Abdul Malik Ngo, 11, pula gembira kerana dapat mengenal lebih banyak jenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat.

”Kalau dekat rumah boleh kenal ubi keledek saja. Tapi di sekolah saya boleh belajar cara menanam dan menjaga tumbuhan seperti temu lawak dan rumput Cina,” katanya sambil memberitahu rumput Cina boleh digunakan sebagai ubat untuk melawaskan kencing.

One thought on “Menanam sayur di kawasan sekolah

  1. Tahniah! kerana sekolah puan berjaya menjadi juara di dalam pertandinagan kitchen garden. Bolehkan puan sertakan gambar yang jelas tentang landskap di sekolah puan?.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s