Keenakan belangkas

va_01.1


BUKAN manusia sahaja yang yang mengutamakan kebersihan, tetapi juga belangkas. Faktor kebersihan inilah menjadikan Tanjung Buai yang terletak di antara Sungai Johor dan Sungai Lebam dalam daerah Kota Tinggi, Johor menjadi lokasi pilihan belangkas untuk mendarat setiap kali air pasang kerana airnya yang masih belum tercemar.

Belangkas yang seringkali dikaitkan dengan manusia melalui pepatah ‘seperti belangkas’ merupakan sejenis haiwan yang hidup di laut dan paya air tawar. Ia agak mudah ditangkap.

Haiwan yang panjang ekornya boleh mencapai sehingga 51 sentimeter itu biasanya mendarat ketika air pasang dan menjadi sumber rezeki kepada para pencarinya.

Kehadiran haiwan yang badannya mirip topi besi tentera itu ternyata membawa rezeki ‘terpijak’ kepada penduduk Tanjung Buai.

va_01.2

MENU belangkas masak asam pedas kering sering mendapat sambutan.


Hanya belangkas betina yang ditangkap dan dijual kepada peniaga restoran pada harga di antara RM2 hingga RM5 seekor, bergantung kepada saiz.

Menurut pemilik sebuah restoran, Ibrahim Baharum, 61, dia menjadikan belangkas sebagai menu utama di restorannya yang terletak di persimpangan jalan ke Teluk Sengat.

“Setiap hari, saya akan ke Kampung Tanjung Buai untuk membeli belangkas daripada penduduk kampung.

“Kemudian, saya akan menyimpannya di rumah rakit untuk memastikan stok belangkas saya mencukupi,” katanya.

va_01.3

MEMASAK belangkas mudah tetapi untuk menyiangnya, kita perlu berhati-hati.


Ujar Ibrahim, belangkas cukup enak jika dimasak asam pedas kering.

“Ada juga pelanggan yang meminta belangkas untuk dimasak sup.

“Biasanya, menu belangkas akan habis setiap hari,” ujarnya kepada Kosmo!.

Tambahnya, memasak belangkas memang mudah tetapi untuk menyiangnya, seseorang perlu berhati-hati.

Ini kerana, katanya, sejenis toksin yang boleh membuatkan sesiapa yang memakannya mabuk perlu dibuang.

“Kalau kita termakan toksin itu, kita mungkin akan berasa pening kepala dan cara untuk menghilangkannya adalah dengan meminum air kelapa,” ujarnya.

Menurutnya, isi belangkas lebih sedap daripada isi ketam dan orang kampung percaya, ia boleh dijadikan makanan tambahan untuk menguatkan tenaga.

“Saya masak sehingga 40 ekor belangkas setiap hari,” tambahnya.

va_01.4

RESTORAN-RESTORAN di Kota Tinggi yang menyajikan hidangan belangkas mendapat sambutan baik pengunjung.


Restoran Ibrahim yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang itu sering menjadi tumpuan penduduk di sekitar Bandar Penawar, Desaru, Bandar Emas serta beberapa kawasan Felda di sekitar Kota Tinggi. Ia juga mendapat perhatian para pelancong dari luar daerah termasuk Singapura.

Sebuah lagi restoran yang menyajikan menu belangkas adalah Restoran Belangkas Mahkota di Kota Tinggi.

Restoran yang terletak di Jalan Kota Tinggi- Mersing sejak 10 tahun lalu itu sering menjadi lokasi persinggahan penggemar masakan belangkas dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina.

Seperti sajian di restoran Ibrahim, menu istimewa dan sering mendapat permintaan tinggi adalah belangkas masak asam pedas kering.

Ia dijual pada harga RM5 bagi satu hidangan.

Zamzuree bangkit selepas kecundang

ag_02.1

Seorang pekerja memasukkan telur masin yang siap diproses ke dalam plastik.


MEMANG ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

”Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh,” katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

”Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali.

”Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula.

“Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan,” katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

”Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna,” katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Seorang pembeli dari Cheras, Selangor, Mokhtar Ahmad, 35, ketika ditemui di ladang berkenaan berkata beliau sering berurusan dengan syarikat berkenaan disebabkan bekalan lembunya lebih segar.

“Kedatangan saya hari ini untuk membeli lapan ekor lembu bagi bekalan bulan Ramadan,” katanya

Jatuh bangun seorang penternak udang

ag_03.1

Najee Muddin Ibrahim BANGGA MENUNJUKKAN UDANG HASIL KOLAMNYA DI bATU pAHAT, jOHOR.


MENGALAMI kerugian pada tahun pertama pembabitannya dalam bidang penternakan air tawar atau akuakultur tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa menoleh ke belakang.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu mengaku kalah, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat untuk terus maju.

Dengan sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan rapat menjadikan dia seorang yang gigih dalam setiap apa yang diusahakannya.

”Saya memulakan projek ternakan udang harimau ini sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 tanpa pinjaman atau bantuan daripada mana-mana institusi kewangan,” jelasnya.

Pada awal pembabitannya, Najee Muddin berkongsi bersama seorang rakan tetapi selepas mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, dia tidak pernah putus asa dan yakin dalam setiap apa yang diusahakannya.

Kegagalan lalu dijadikan sebagai penguat semangat dan sokongan daripada keluarga yang tidak putus-putus menjadikannya begitu tabah meski jauh di sudut hati dia berasa agak kecewa.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang, Batu Pahat, Johor kira-kira tujuh tahun lalu.

Najee Muddin memulakan ternakan udang dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu.

Kini dia mempunyai enam buah kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Menurutnya, benih anak udang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu.

Setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan pada awal pembabitannya dulu.

”Dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil.

Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai,” katanya ketika ditemui kolam ternakan udangnya baru-baru ini.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya terutama dari segi harga udang yang ada turun naiknya.

udang harimau

Tetapi pada tahun ini, apabila harga udang harimau agak tinggi beliau turut menternak udang putih yang mendapat permintaan di pasaran dengan harga pasaran yang lebih rendah tetapi permintaannya tinggi.

Dia yang mulanya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Bermula dari situ, kemahiran dalam menternak udang dapat diketahui dari semasa ke semasa.

Ini menjadikan Najee Muddin yakin dan bersemangat dalam apa yang diusahakan agar kerugian dan pengalaman pahit yang dilaluinya di awal pembabitan dalam ternakan udang dapat ditebus sekali gus menjadikan dirinya seorang yang tidak mudah mengalah.

Tambahnya lagi, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, Najee Muddin dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor pada tahun lalu juga mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini Najee Muddin telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd. dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Tambahnya, dia telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Tanjung Manis Halal Park Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang harimau, udang putih dan ikan kerapu.

”Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh pajakan selama 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 billion,” jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau juga akan mengusahakan makanan frozen berasaskan udang dan ikan dan akan di eksport ke luar negara khusus untuk mereka yang beragama Islam.

Katanya lagi, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci telah pun dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini katanya, sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur memandangkan produk halal Malaysia yang akan dihasilkannya adalah dari Zon Halal Park.

Justeru katanya, dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang serta halal, ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan yang halal tanpa rasa ragu.

Bagi Najee Muddin ia merupakan cabaran baru baginya dalam melebarkan sayap syarikat untuk menjadi penternak udang dan ikan yang terbesar serta mengeksport makanan sejuk beku yang halal ke luar negara dengan kualiti yang terjamin.

Seminar biomas untuk pengeluaran biofuel

MALAYSIA mempunyai potensi yang tinggi untuk memainkan peranan yang penting dalam pengeluaran biofuel dan produk-produk lain seperti bio komposit, kertas dan pulpa serta baja bio daripada sisa-sisa buangan pertanian.

Ini termasuk 17 juta tan (tandan kelapa sawit kosong); 4.5 juta tan (batang kelapa sawit) dan 1.35 juta tan (jerami padi) yang dihasilkan setiap tahun.

Pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memajukan teknologi inovatif pengeluaran produk-produk biomas telah dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pusat-pusat penyelidikan lain dijangka akan dipertingkatkan lagi di masa hadapan.

Untuk mengetahui penemuan-penemuan penyelidikan berkaitan pengunaan biomas serta mengkaji potensi pengunaan bahan mentah ini, sertailah Seminar Biomas Untuk Biofuel Produk Nilai Tambah yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di The Saujana Kuala Lumpur, Jalan Lapangan Terbang Subang.

Menurut Pegawai Media FRIM, Toh An Nee, seminar bertema Ke Arah Penggunaan Biomas Yang Lebih Efisien itu dianjurkan bersama oleh FRIM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang potensi pengunaan biomas, menyediakan forum untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan serta berkongsi penemuan-penemuan penyelidikan terkini dengan sektor swasta, pihak industri, penggubal polisi serta para penyelidik.

Selain itu, satu pameran juga akan diadakan untuk mempamerkan produk-produk, teknologi terbaru serta perkhidmatan yang berkaitan.

Untuk pertanyaan atau pendaftaran, sila hubungi Dr. Wan Asma Ibrahim atau Rafidah Jalil (03-62797311 / 7367 / 7280); e-mel: sbbvap09@frim.gov.my atau layari laman: www.frim.gov.my.

Margenta ganti tembakau

dn_24.1

Rohani Abdul Karim (dua dari kanan) menuai kacang margenta sebagai tanda perasmian pelancaran jenis baru kacang tanah di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong, Bachok, kelmarin.


BACHOK 17 Ogos – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan kacang tanah jenis baru kepada masyarakat tani yang dinamakan sebagai Margenta di Stesen Penyelidikan MARDI Telong di sini semalam.

Margenta yang dibawa masuk ke negara ini dari Malawi telah melalui rantaian kajian pengesahan kesesuaian sejak 2004 dan terbukti berpotensi untuk dijana sebagai industri kelak.

Dengan tempoh matang yang lebih pendek, daya ketahanan penyakit lebih tinggi, saiz lebih besar, hasil dan kualiti lebih baik berbanding jenis tempatan, ia bersesuaian dengan cita rasa pelanggan dan kehendak pengilang.

Tumpuan penyelidikan oleh MARDI diterajui dua penyelidik utamanya, Zaharah Ariffin dan Yahaya Hussain bermula daripada tekanan untuk mendapatkan tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di tanah beris terutama di negeri ini.

Pelancaran jenis baru itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Kadir. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman.

Pada majlis itu, Rohani turut meninjau penggunaan mesin bagi menyemai, menuai dan menanggalkan kacang bagi memudahkan penanaman secara ladang.

Sempena pelancaran itu juga, MARDI mengatur seminar pemindahan teknologi tanaman itu kepada 100 peserta yang mewakili pertubuhan dan kumpulan masyarakat tani di negeri ini di samping membekalkan benih kepada mereka.

Berucap pada majlis itu Rohani berkata, kacang tanah masih merupakan tanaman kontan yang diusahakan secara kecil-kecilan di negara ini dengan keluasan merosot kepada 260 hektar pada tahun lalu.

“Namun permintaan terhadap kacang tanah adalah tinggi sebagai contoh pada tahun 2002, pengeluaran dalam negara cuma 1,637 tan metrik manakala permintaan pula sebanyak 31,933 tan metrik.

“Bagi memenuhi keperluan, negara terpaksa mengimportnya dengan nilai lebih RM48 juta,” ujarnya.

Katanya, hasil kajian menunjukkan tanaman di tanah beris menghasilkan purata lebih tinggi iaitu 3.87 tan metrik sehektar berbanding tanah lanar sungai iaitu 2.62 tan metrik.

Beliau mengambil contoh, di jajahan ini lebih 6,000 daripada 13,037 hektar sudah tidak lagi ditanam tembakau dan dengan prasarana ladang sedia ada, ia boleh dijadikan ladang kacang tanah terbesar.

Katanya, dengan jangkaan impak positif yang tinggi disandarkan kepada jenis baru ini, kemungkinan kedudukan tanaman ini yang tidak layak menerima insentif akan dikaji semula oleh kementerian.

“Keluasan tanaman dan bilangan petani yang terlibat kini adalah kecil, jadi ia tidak tersenarai sebagai tanaman singkat masa yang layak menerima insentif,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan MARDI supaya tidak bertindak sebagai penjana teknologi pertanian sahaja tetapi perlu membantu meningkatkan pengetahuan petani agar menggunakan teknologi berkenaan.

“Pencapaian MARDI bukan sahaja diukur dengan bilangan teknologi yang dihasilkan.

“Kejayaan wajar diukur melalui berapa banyak teknologi itu diterima pakai dan menyumbang kepada perkembangan industri pertanian negara,” ujarnya.

Menanam sayur di kawasan sekolah

wt_02.1

SEBAHAGIAN daripada landskap Harmony Edible Garden yang diusahakan oleh Cikgu Wahidah dan anak muridnya di Sekolah Kebangsaan Langgar, Kota Bharu.


KOTA BHARU 19 Ogos – Wahidah Hassan Hilmi, 48, minat menanam sayur-sayuran dan juga hiasan landskap yang dianggapnya menyeronokkan apabila melihat ia membesar dalam suasana segar, indah dan mendamaikan.

Namun laman rumahnya yang sempit membataskan usaha untuk menterjemahkan impiannya, justeru guru Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar itu tidak keberatan menjadi Guru Penasihat Kelab Kemahiran Hidup.

Dengan adanya kawasan di sekolah khusus untuk dijadikan taman tanaman makanan (edible garden), dia berkongsi kecintaan guru-guru lain dan murid-muridnya.

”Di rumah saya hanya menanam sayur dalam pasu. Dengan adanya taman di sekolah saya dapat juga merasa mencangkul dan membuat batas bersama anak murid saya,” kata Wahidah yang juga seorang Guru Cemerlang.

Dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga kali seminggu pada waktu petang untuk menguruskan taman yang dinamakan Harmony Edible Garden itu.

Selain landskap yang membantu menjadi persekitaran sekolah lebih ceria dan kondusif, hasilnya boleh dikecapi bersama dan usaha kelab ini ternyata membanggakan warga sekolah.

Taman Harmony Edible Garden SK Langgar menjadi juara keseluruhan pertandingan Kitchen Garden /Edible Landscape 2009 peringkat negeri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sekolah yang menjadi johan tiga tahun berturut-turut bagi kategori sekolah rendah peringkat negeri itu juga diumumkan sebagai naib juara peringkat kebangsaan pada satu majlis di sini baru-baru ini.

Wahidah yang mengetuai sekumpulan tujuh guru dan 10 murid yang bertanggungjawab mengendalikan taman seluas 30 meter persegi itu berkata, pihak sekolah mula menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2007.

Dengan bantuan pekerja sekolah, plot kosong di tepi kantin ditukar menjadi tempat rehat yang begitu indah lengkap dengan jambatan kecil, air terjun ‘mini’ dan batu pemijak taman.

Jelasnya, mereka hanya mengeluarkan kos sebanyak RM1,700 pada peringkat awal membeli bahan seperti cat dan simen bagi menghasilkan sendiri hiasan sampingan selain kelengkapan wajib untuk berkebun.

Menurut Wahidah, pihak jawatankuasa pertandingan menetapkan empat jenis tanaman sebagai syarat iaitu sayur-sayuran jenis berbuah dan berdaun, buah-buahan, ulam-ulaman dan herba serta penternakan ikan air tawar dalam kawasan taman.

Katanya, ada antara benih dibekalkan secara percuma oleh Jabatan Pertanian dan ada yang dibeli sendiri pihak sekolah. Setiap tanaman diletakkan papan nama bagi memudahkan warga sekolah mengenalinya.

”Pada tahun ini kami menanam 43 jenis tanaman antaranya sayuran berdaun seperti sawi kangkung dan kobis; sayuran berbuah seperti cili, tomato dan bendi; ulam-ulaman seperti pegaga, kesom dan cekur manis.

”Kami menanam pokok herba seperti tongkat ali, misai kucing dan rumput Cina, juga menternak ikan sepat dan keli dalam kolam,” katanya.

Wahidah berbangga kerana murid-murid dan guru lain yang terlibat dalam projek ini begitu bersungguh dalam kerja mereka sehingga sanggup meluangkan masa lapang selepas waktu sekolah menjaga taman berkenaan walaupun pertandingan sudah berlalu.

”Sebelum hakim datang mengadili dulu, pernah juga sampai tiga jam sehari kami meluangkan masa. Tapi kami tetap mengambil pendekatan sama mengurus kebun ini sebaik-baiknya sehingga hari ini.

”Hasilnya dikongsi bersama dengan pelajar dan juga guru-guru,” katanya yang amat berterima kasih dengan guru besar, Zunaidah Mamat yang memberi sokongan padu.

Jelasnya biarpun ‘berkebun’ dilihat seperti kegiatan kokurikulum yang tidak gah, pihak sekolah tidak mengkhususkan projek ini untuk murid yang ‘lemah’ akademik sebaliknya minat yang menjadi kriteria utama.

Tambahnya kegiatan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk mereka mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas malah juga mendidik mereka bekerjasama, menghargai tanah dan tumbuh-tumbuhan.

Muhd. Faiz Mohd. Ghani, 11, yang menjadi ketua kepada kumpulan 10 pelajar dan bertanggungjawab ke atas taman SK Langgar, berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat membawa kejayaan kepada sekolah.

Murid yang sering menduduki tempat pertama dalam kelasnya ini berkata, walaupun terpaksa ‘bergelumang’ dengan tanah dan menyumbangkan tenaga, kumpulan pelajar yang terdiri daripada 4 lelaki dan 6 perempuan itu dicemburui oleh rakan-rakan yang lain.

”Ramai yang mahu jadi ahli jawatankuasa, tapi cikgu kami pilih yang betul-betul berminat sahaja. Saya sangat suka berkebun dan ‘bermain’ dengan tanah dan melihat tumbuhan yang ditanam hidup subur di depan mata,” jelasnya.

Penolongnya, Zafirah Mohd. Noor, 11, berkata, mereka bergilir-gilir membuat kerja mengikut jadual yang disediakan setiap hari antara pukul 5 hingga 6 petang termasuk hari Jumaat.

Katanya, antara tugas wajib yang perlu dilakukan adalah mencangkul, mencabut rumput, membaja dan menyiram pokok setiap hari.

”Jika dibandingkan dengan rakan yang lain, saya tinggal agak jauh sedikit iaitu di Wakaf Che Yeh kira-kira lima kilometer dari sekolah.

”Tetapi ia tidak menghalang saya turut serta kerana biasanya saya juga terlibat dengan program kokurikulum lain sebelum itu,” kata olahragawati sekolah itu.

Seorang lagi ahli jawatankuasa, Nur Aisha Abdul Malik Ngo, 11, pula gembira kerana dapat mengenal lebih banyak jenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat.

”Kalau dekat rumah boleh kenal ubi keledek saja. Tapi di sekolah saya boleh belajar cara menanam dan menjaga tumbuhan seperti temu lawak dan rumput Cina,” katanya sambil memberitahu rumput Cina boleh digunakan sebagai ubat untuk melawaskan kencing.

Ternak cacing melalui koperasi

ag_01.1

bekas plastik tempat menternak cacing.

KEADAAN ekonomi yang tidak menentu ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan kepada setiap individu terutama mereka yang bekerja makan gaji.

Kewujudan masalah tersebut telah mendorong ramai ahli masyarakat melibatkan diri dalam perniagaan secara sampingan bagi menambah pendapatan bulanan mereka.

Ini kerana, trend tersebut dilihat mampu memberi pulangan hasil yang lumayan bagi menampung keperluan kewangan sesebuah keluarga.

Salah satu saluran perniagaan yang semakin mendapat sambutan menggalakkan adalah penghasilan baja kompos daripada penternakan cacing.

Bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat menjalankan aktiviti tersebut, syarikat Kulim Worm Agrotech (KWA) bersama Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) menyediakan beberapa saluran perniagaan.

Ia merangkumi pakej penternakan cacing, kursus dan khidmat nasihat, perladangan kontrak, penjualan baja organik dan industri hiliran.

Menurut Pengurus Pemasaran KWA, Raja Anita Kamariah Raja Hussin, kerjasama dengan KKPMB itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai penternak cacing tempatan dalam meningkatkan pengeluaran baja organik sekaligus memenuhi keperluan Dasar Pertanian Negara.

”Ini kerana menjelang tahun 2010, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan penggunaan baja kimia untuk memberi lebih tumpuan kepada baja organik.

”Tambahan pula, di beberapa buah negara seperti Indonesia dan Filipina, cacing telah dijadikan sebagai produk farmaseutikal dan kosmetik selain dibuat makanan seperti jus dan coklat kerana ia mengandungi lebih 80 peratus kandungan protein serta nutrien berguna,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KWA yang ditubuhkan pada 13 Jun lalu merupakan pengusaha, pengeluar, pengedar dan pemborong baja organik vermikompos.

Selain Kuala Lumpur, syarikat tersebut juga mempunyai beberapa cawangan ladang di Kedah dan juga Pulau Pinang.

Bagi kursus penghasilan baja, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan penerangan secara teori dan praktikal tentang cara-cara menternak cacing, menghasilkan baja organik dan juga bagaimana mencipta peluang perniagaan.

Setelah tamat kursus, para peserta yang berminat memulakan perniagaan tersebut hanya perlu menyediakan modal serendah RM1,250 bagi bekalan cacing, peralatan dan medium makanan serta tempat tinggal.

Melihat kepada fungsi cacing sebagai agen penyubur tanah, keupayaan haiwan tersebut yang boleh menembusi tanah memberi kelebihan menghasilkan ruang pengudaraan yang baik di samping hasil kotorannya boleh membantu menyuburkan tanah.

Di seluruh dunia, terdapat lebih kurang 2,700 spesies cacing, namun terdapat hanya empat jenis yang sesuai untuk dikomersial dan diternak di Malaysia.

Ia termasuk cacing merah (Red Worm), cacing harimau (Tiger Worm), cacing malam (African Night Crawler) dan cacing biru (Blue Worm).

Kesemua jenis tersebut akan dibekalkan kepada para peserta sebagai bahan mentah untuk memulakan penternakan.

”Cacing Merah merupakan jenis yang paling sesuai dan mudah diternak kerana ia membiak secara produktif dan mudah untuk diselenggara,” jelasnya.

Untuk makanan dan tempat tinggal cacing pula, para peserta akan dibekalkan dengan medium yang terdiri daripada adunan 70 peratus serbuk kayu, 30 peratus tahi kambing dan lima peratus sabut kelapa.

Habuk kayu berfungsi untuk mengekalkan kelembapan, tahi kambing untuk menjaga suhu kepanasan sementara sabut kelapa sebagai pelindung kepada cacing.

Mengikut formula penjagaan cacing, setiap bekas dapat memuatkan sebanyak satu kilogram cacing (kg) dengan 10 kg medium dan bakal menghasilkan 10 kg baja dalam masa 10 hari.

Ini bermakna, sebanyak 30 kg baja akan dihasilkan dalam masa sebulan untuk dijual semula kepada KWA dengan harga RM2.00 sekilogram.

Oleh kerana kos pembelian medium adalah RM1.20 sekilogram, maka para peserta akan menerima keuntungan sebanyak 80 sen untuk setiap kilogram baja.

Menarik mengenai pakej tersebut, para peserta diberi kelonggaran untuk menjual baja tersebut kepada pembeli lain dan tidak semestinya kepada KWA.

Untuk memastikan medium sentiasa berada dalam keadaan lembap, ia perlu disiram setiap dua hari sekali.

Jika penternakan dilakukan di kawasan luar pula, tempat tersebut mestilah berbumbung untuk mengelakkan serangan burung di samping perlu dilengkapkan dengan pencahayaan sepanjang masa.

Ia bertujuan supaya cacing tidak keluar daripada bekas kerana haiwan tersebut amat sensitif kepada cahaya.

Bagi mengelakkan serangan semut pula, bahagian penyokong bekas berisi cacing itu perlu dibalut dengan kain yang telah direndam bersama minyak pelincir.

Setelah cukup tempoh sepuluh hari pembiakan, medium akan diayak sama ada secara manual atau menggunakan mesin bagi mengasingkan cacing, telur cacing dan juga baja.

Cacing yang telah diasingkan tadi akan ditimbang dan dimasukkan ke dalam bekas baru bersama medium baru untuk pembiakan selama sepuluh hari berikutnya.

Pakej penternakan tersebut sebenarnya mengaplikasikan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis hidupan seni yang membantu mempercepatkan proses pereputan medium supaya senang dimakan oleh cacing dan seterusnya mempercepatkan penghasilan baja.

Teknologi berkenaan juga mempunyai kelebihan meneutralkan bau busuk dan membunuh hama pada medium.

Untuk baja organik kompos yang dihasilkan, ia mempunyai kadar nutrien yang sangat tinggi dan sesuai untuk menambah kesuburan serta memperbaiki struktur tanah dan meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman.

Ia boleh digunakan pada jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, getah, kopi, teh, jagung, padi dan juga tanaman di dalam pasu.

Bagi individu yang mempunyai masalah modal pula, pihak KWA ada menyediakan pinjaman daripada agensi-agensi berkaitan.

Rahsia pokok mahkota dewa

wu_01.1

Romli Hussain menunjukkan buah dan ekstak daripada tumbuhan Mahkota Dewa yang menjadi bahan asas dalam ubatan yang dihasilkannya di Kampung Bukit Kuang, Gurun. Gambar kanan, ubat yang telah diproses. – utusan / Kamal Basi


GURUN 25 Ogos – Pokok mahkota dewa atau nama saintifiknya phalenia macrocarpa tidak begitu dikenali jika dibandingkan dengan pokok tongkat ali.

Namun rahsia dan khasiat yang terkandung di sebalik pokok herba itu dikatakan setanding dengan tumbuhan-tumbuhan herba lain.

Malah, sewaktu perang di antara Belanda dengan Indonesia, pokok-pokok tersebut kononnya dimusnahkan oleh tentera Belanda kerana didakwa memberi kekuatan luar biasa kepada askar Indonesia.

Di Indonesia, pokok mahkota dewa digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, masalah buah pinggang, darah tinggi, angin ahmar, kencing manis, kolesterol tinggi dan pelbagai kegunaan yang lain.

Pokok itu mula ditanam pada 2002 oleh seorang bekas guru, Romli Hussain, 57, setelah memperoleh benih pokok tersebut daripada seorang rakannya yang berasal dari Indonesia.

“Pokok ini mengambil masa sembilan bulan untuk berbuah dan bermula dari akar, batang, daun, ranting dan buahnya mempunyai pelbagai khasiat.

“Ia amat mujarab untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat akibat demam dan saya mencipta satu formula dipanggil H5+5 untuk merawat demam serta batuk yang begitu mudah tersebar pada masa kini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuang di sini,

Jelasnya, penularan wabak influenza A (H1N1) amat membimbangkan dan anaknya yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga menghidap demam panas tiga minggu lalu.

Anaknya yang berumur 24 tahun itu terpaksa pulang ke kampung setelah pihak pentadbiran menutup kampus itu selama seminggu.

“Apabila anak saya balik, habis semua orang dalam rumah saya dijangkiti demam dan saya begitu khuatir apabila ubat yang diambil di hospital tidak berkesan untuk mengubati demam mereka.

“Dalam keadaan terdesak, saya yang risaukan keadaan anak saya mendapat ilham untuk mengadun ekstrak mahkota dewa bersama lima campuran herba yang lain bagi menghasilkan ubat H5+5 ini,” katanya.

Jelasnya, di antara herba yang diadun bersama ekstrak mahkota dewa adalah pokok hempedu bumi, mengkudu hutan, daun malberry dan mambu.

“Kesemua bahan itu dihantar ke Kedah Bio Resources Corporation Sdn. Bhd. (KBio Corp) di Kulim untuk diekstrak dan diadun bagi dijadikan kapsul.

“Setiap ekstrak herba ini telah diuji dan selamat untuk kegunaan manusia,” ujarnya.

Katanya, dia menggunakan modal sendiri untuk menjalankan perniagaan ubat-ubatan berasaskan herba dan sehingga kini sebanyak RM20,000 dilaburkan dalam bidang penyelidikan dengan KBio Corp.

“Saya turut mendapat ilmu dalam bidang herba melalui buku-buku herba tradisional India dan Cina.

“Selain itu nenek saya yang merupakan seorang bidan juga memainkan peranan penting untuk mendorong minat saya dalam bidang perubatan herba ini,” katanya.

Menurut Romli, dia mula bergiat aktif menghasilkan 13 produk berasaskan mahkota dewa sejak 2003 dengan menghasilkan produk seperti sabun, syampu, minyak urut serta minyak rambut.

Tambahnya, beliau pernah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Putrajaya pada 2008.

Bagi yang ingin mencuba herba tradisional Romli boleh menghubungi beliau di talian 012-4774415.

Menjadi usahawan tani

wb_01.1

Institut Pertanian Sabah di Timbang Menggaris, Kota Belud.


KOTA KINABALU 26 Ogos – Daripada hanya seorang anak petani biasa, Majiah Mulak, 23, sudah boleh berbangga kerana dia kini selangkah untuk bergelar usahawan dalam sektor pertanian.

Sebaik menamatkan kursus dan latihan di Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris, Kota Belud, beliawanis dari daerah Pitas itu merancang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan tanah milik keluarganya di Kampung Timboi Dagang, Kanibongan dalam daerah Pitas.

Katanya, tanaman getah dan kelapa sawit merupakan tanaman pertanian hiliran yang sangat sesuai diusahakan apatah lagi dia sendiri mempunyai latar belakang keluarga petani sejak turun-temurun.

Jelas pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang IPS sesi 2008/2009 itu lagi, perancangan tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana dia memiliki kemahiran asas pertanian merangkumi kejuruteraan pertanian, pengurusan tanaman, asas sains makanan, pengurusan ternakan dan komputer.

‘‘Saya mahu mengaplikasi semua ilmu dan kemahiran yang saya pelajari selama lebih setahun di IPS. Lagipun, sektor pertanian bukan asing bagi saya.

‘‘Ibu bapa saya sehingga kini masih menoreh getah bagi menyara keluarga sejak sekian lama. Justeru, saya mahu terbabit sama membantu mereka memajukan ladang getah di kampung.

wb_01.2

Projek penternakan lembu merupakan sebahagian kursus perladangan dan penternakan yang ditawarkan di Institut Pertanian Sabah.


‘‘Pada masa kini industri getah semakin meningkat kerana permintaan dunia yang banyak. Harga getah pula mencecah sehingga RM4.50 sekilogram bagi getah yang telah diasap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis konvokesyen IPS ke-37 di sini baru-baru ini.

Kecemerlangan Majiah sepanjang pengajian di IPS membolehkan dia dipilih Pelajar Terbaik Kemahiran, Akademik dan Keseluruhan sesi 2008/2009. Anak keenam daripada enam beradik ini mula mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kanibongan, Pitas dari 1993 sehingga 1998.

Majiah kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas dari 1999 sehingga 2005 dan menamatkan pelajaran dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Minat dan latar belakang keluarga petani membuatkan Majiah memilih IPS sebagai tempat menuntut ilmu dalam bidang pertanian dengan mengambil pengurusan estet sebagai subjek pengkhususannya.

Menurutnya, ketika di IPS, para pelajar didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian terutama bagi subjek Kejuruteraan Pertanian, Perlindungan Tanaman dan Pengembangan Pertanian.

Institut berkenaan katanya, dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pertanian seperti jentera pembajak ladang, lori pengangkut hasil ladang, jentera pemotong rumput, mesin-mesin tani dan kemudahan alatan pertanian lain.

Jelasnya, lebih banyak pendedahan praktikal berbanding teori kepada pelajar memberi kelebihan kepada IPS untuk melahirkan graduan pertanian negara ini, khususnya di Sabah.

wb_01.3

Institut Pertanian Sabah mempraktikkan tanaman fertigasi dengan membuat rumah lindungan hujan bagi melindungi tanaman dan mengawal serangga perosak.


‘‘Contohnya, kami berpeluang menoreh getah, menuai hasil kelapa sawit dan menggunakan peralatan pertanian itu jentera pembajak ladang.

‘‘Kami juga diberi tunjuk ajar berkaitan sistem hidroponik dan fertigasi tanaman seperti tomato, cili, sayur pahit dan sayur bunga.

‘‘Latihan kerja ini dijalankan oleh para penuntut IPS sebagai salah satu projek amali kami,” ujarnya.

Majiah berkata, setakat ini keluasan ladang yang telah dimajukan oleh para pelajar di IPS iaitu kira-kira 230.93 hektar.

Katanya, tujuan mewujudkan ladang adalah untuk menyediakan kawasan latihan amali yang terkandung dalam subjek kemahiran dan pengkhususan yang meliputi bidang pengurusan tanaman, hortikultur, ternakan, kejuruteraan pertanian dan projek pengkhususan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti ladang adalah merangkumi penanaman dan pengurusan tanaman, pengeluaran dan pemasaran hasil tanaman; pengeluaran dan pengurusan ternakan, memaju dan mengurus rumput-rumput pastura, mekanisasi ladang dan projek-projek pengkhususan bercorak komersial.

‘‘Saya sangat bertuah dapat menuntut ilmu di IPS. Saya berharap lebih ramai belia terutama anak-anak petani luar bandar di negeri ini merebut peluang menimba pengetahuan di IPS.

‘‘Pertanian merupakan satu aktiviti perniagaan yang menguntungkan jika diusahakan bersungguh-sungguh. Menceburi bidang pertanian bukan hanya mendatangkan kepuasan tetapi juga membantu mengurangkan kadar pengganguran di kalangan belia,” jelasnya.

Kacang tanah ‘Margenta’

wt_01.1

Pegawai khidmat pelanggan MARDI, Nuraainaa Hashim menunjukkan kacang tanah Margenta pada Pelancaran Varieti Baru Kacang Tanah di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong , Bachok baru baru ini. –UTUSAN/Rosni Masri


BACHOK 26 Ogos – Kacang tanah selalunya dikaitkan dengan tanaman sampingan kecil-kecilan yang dijual secara runcit dengan merebus atau menggorengnya dan juga dijadikan putu.

Gambaran perniagaan tradisional yang biasa dilihat di negeri ini ialah ibu-ibu yang menjualnya dalam bakul-bakul di pasar dan di gerai-gerai pinggir jalan.

Selain Kelantan, ia banyak diusahakan Terengganu di samping Kedah dan Perak, namun sejak lebih dua dekad lalu, keluasannya di seluruh negara terus mengecil dan dianggarkan kini sekitar 260 hingga 300 hektar sahaja mengusahakan tanaman itu.

Ia dikatakan berpunca semakin kurangnya kawasan yang sesuai setelah kawasan tradisi diambil alih oleh tanaman jagung manis dan tembikai yang memberikan pulangan lebih baik kepada petani.

Ternyata ia bukanlah tanaman ekonomi yang penting, ironinya permintaan terhadap pelbagai produk kacang tanah terus meningkat setiap tahun di negara ini.

Sebagai contoh pada tahun 2002, pengeluaran dalam negara cuma 1,637 tan, permintaan pula sebanyak 31,933 tan dan bagi memenuhi keperluan, negara terpaksa mengimport kacang tanah dengan nilai lebih RM48 juta.

Belum ditemui angka terbaru namun Malaysia kini dikatakan tergolong antara negara pengimport kacang tanah terbesar selepas Kesatuan Eropah, Kanada dan Indonesia.

Baru-baru ini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti baru kacang tanah kepada masyarakat tani yang dinamakan sebagai Margenta sempena warnanya.

Pengenalan Margenta di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong, di sini dilihat berpotensi memberi nafas baru bagi menghidupkan kembali tanaman ini dan dijana sebagai industri.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd Shukor Abd. Rahman.

Margenta dibawa masuk dari Malawi dan varieti baru ini dihasilkan oleh International Crop Research Institute for Semi-Arid Tropics, di India dengan nama kod CG7.

wt_01.2

Petugas MARDI menuai hasil kacang tanah Margenta di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong, Bachok.


MARDI telah menjalankan rantaian kajian pengesahan kesesuaian sejak 2004 hasil daripada tekanan untuk mendapatkan tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di tanah bris terutama di negeri ini.

Dengan tempoh matang yang lebih pendek, daya ketahanan penyakit lebih tinggi, saiz lebih besar hasil dan kualiti lebih baik berbanding varieti tempatan, ia bersesuaian dengan cita rasa pelanggan dan kehendak pengilang.

Margenta menghasilkan 80 peratus lenggai dua biji, 20 peratus lenggai satu biji dan tiada lenggai tiga biji.

Sifat lenggai yang seragam ini memudahkan proses pemilihan dan pengasingan mengikut gred dan kehendak pasaran. Lenggai dua biji lebih sesuai untuk menghasilkan kacang panggang jenis Mengelembu.

Kajian MARDI mendapati tanaman di tanah bris menunjukkan purata hasil lebih tinggi iaitu sehingga 3.87 tan sehektar berbanding tanah lanar sungai (2.62 tan), ia boleh dijadikan tanaman kontang utama menggantikan tembakau.

Di jajahan ini, lebih 6,000 daripada 13,037 hektar sudah tidak lagi ditanam dengan tembakau dan dengan prasarana ladang sedia ada ia boleh dijadikan ladang kacang tanah terbesar.

Dengan masih begitu banyak tanah bris yang belum diusahakan secara optimum, kacang tanah boleh dijadikan salah satu tanaman kontan yang dapat digilirkan dengan keledek dan jagung manis.

Penggiliran tanaman ini dalam jangka masa panjang dapat membantu mengekal dan meningkatkan kesuburan tanah serta mengelak daripada merebaknya serangan perosak dan penyakit.

Rohani berkata, dengan jangkaan impak positif yang tinggi disandarkan kepada varieti baru ini, kemungkinan kedudukan tanaman ini yang tidak layak menerima insentif akan dikaji semula oleh kementerian.

‘‘Keluasan tanaman dan bilangan petani yang terlibat kini adalah kecil, jadi ia tidak tersenarai sebagai tanaman singkat masa yang layak menerima insentif,” ujarnya.

Kacang tanah bukan sahaja digunakan sebagai makanan segar untuk kegunaan domestik tetapi boleh dieksport sebagai produk nilai tambah dalam bentuk produk terproses.

Sisa sampingan dengan pokok yang segar dan daun menghijau semasa tuaian membolehkannya dijadikan bahan makanan ternakan secara segar atau diproses sebagai silaj.

Model kejayaan pemindahan teknologi penanaman ubi keledek vitato oleh MARDI sebelum ini boleh diguna pakai bagi mempromosikan penanaman dan pengeluaran kacang tanah ini.

Ia melibatkan kerjasama semua agensi berasaskan pertanian dan dengan jaminan pasaran serta sumber pendapatan yang setimpal, ia tentunya dapat menarik penglibatan petani.