Projek membawa sinar kepada peserta

ag_02.1

sEBAHAGIAN PESERTA oRANG ASLI YANG BAKAL MENJADI NADI PEMBANGUNAN PROJEK AGROPOLITAN PEKAN.


Ada nada kegembiraan, harapan dan dan keyakinan yang diluahkan oleh peserta terpilih menyertai projek Agropolitan Pekan, Pahang.

Projek agropolitan itu dilaksanakan dengan matlamat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mencapai taraf hidup setanding dengan lain-lain kawasan di negara ini.

Keluarga miskin yang menyertai program penempatan semula menikmati banyak faedah dan nikmati terutamanya bekalan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Selain itu, kawasan penempatan semula juga akan disediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti dewan masyarakat, masjid, perpustakaan, taman permainan dan pusat perniagaan.

Pada masa sama, setiap peneroka akan disediakan rumah dan tanah untuk tujuan pengkomersialan seperti penternakan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

Projek tersebut melibatkan dua golongan termasuk 750 peserta Orang Asli yang mana projek dilaksanakan berdasarkan konsep in-situ atau di kawasan realiti kampung mereka.

ag_02.2

RUMAH UNTUK PENEMPATAN SEMULA PESERTA KALANGAN BUKAN oRANG ASLI.


Mereka tidak perlu meninggalkan kawasan kampung untuk menyertai projek yang dianjurkan, manakala baki golongan miskin tegar kedua melibatkan orang Melayu di Pusat Penempatan Tanjung Batu di Batu 8 yang bakal menghuni perumahan baru.

Rumah tiga bilik tersebut dibina dengan nilai RM35, 000 dan kini 100 unit sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar yang akan turut menempatkan kemudahan lain seperti pusat latihan , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain.

Menurut Ketua Bahagian Pertanian dan Sosial, KLL Projects Sdn. Bhd., Rosemadi Hussain, pihaknya sebagai pembangun prasarana projek sedang bertungkus lumus menyiapkan semua yang dirancangkan termasuk kandang atau APU dan rumah penempatan di Batu 8 melibatkan kos RM6.8 juta.

“Setiap kandang biri-biri sebagai contoh, berkeluasan 9 meter x 18 meter daripada besi tahan karat dan direka bentuk untuk memuatkan maksimum 150 ekor kambing biri-biri,” katanya.

Kemudahan lain termasuk sistem tangki air mengikut keperluan ternakan dan prasarana asas kawasan APU.

1,450 keluarga miskin bakal dapat faedah

ag_01.1

Konsep APU yang mempunyai kapasiti 100 ekor biri-biri menjadi nadi pembangunan projek Agropolitan di Pekan, Pahang.


TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan bagi 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga Orang Asli di Pekan, Pahang dengan pembangunan projek Agropolitan di kawasan itu yang bakal dilancarkan 4 Ogos ini.

Projek mega itu bakal memberi sinar kehidupan baru kepada mereka, dengan objektif utama meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 sebulan sekarang kepada RM1,500 apabila projek tersebut sempurna kelak.

Projek Agropolitan Pekan merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dilaksanakan melalui langkah pembangunan serantau bersepadu untuk membantu keluarga miskin tegar yang ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar.

Yang menariknya, projek tersebut yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan mengubah wajah pembangunan kawasan sekitar dengan projek berdaya maju dan dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan baru.

Ia juga menandakan salah satu pencapaian Pelan Induk ECER, dan menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

ag_01.2

kELUARGA oRANG aSLI YANG BAKAL MENIKMATI PEMBANGUNAN YANG DIJANA MENERUSI PROJEK aGROPOLITAN.


Pada masa yang sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, ia menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di ECER, seiring dengan hasrat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Pada satu taklimat media yang diadakan di kawasan tersebut baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Zulkifli Yaacob berkata, satu keunikan projek Agropolitan ECER ini adalah pelaksanaan aktiviti-aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para peserta.

”Satu lagi ciri-ciri projek ini adalah pendapatan dijana bukan untuk ketua keluarga sahaja, malah semua ahli keluarga mendapat manfaat daripada aktiviti sekunder dan sokongan,” katanya.

Katanya, aktiviti utama ialah perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri, manakala aktiviti sekunder melibatkan aktiviti tambahan kepada aktiviti utama seperti penternakan ayam, sarang industri sarang burung, tanaman herba, inap desa, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Aktiviti sokongan pula melibatkan bengkel latihan kemahiran, pembinaan pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CMC) bidaan serta pusat penyembelihan dan pemprosesan daging.

Menyentuh mengenai penternakan biri-biri sebagai satu daripada projek utama, beliau berkata, kaedah pelaksanaannya ialah menerusi pengenalan konsep unit ternakan haiwan (APU).

Sebanyak 250 APU akan dibina menempatkan 100 ekor biri-biri baka Dorper dan padang ragut seluas 44.2 hektar.

Menerusinya, seramai 50 peserta dipilih menjayakan projek perintis ternakan biri-biri di kawasan tersebut.

Projek tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap menjelang tahun depan yang mana fasa pertama melibatkan pembangunan perladangan dan penternakan sebanyak 1,000 ekor ternakan.

Fasa kedua pula melibatkan peningkatan aktiviti ternakan kepada 8,000 ekor manakala fasa ketiga melibatkan 25,000 ekor.

Pusat pengeluar

Dengan pewujudan projek tersebut, Pekan bakal menjadi pusat pengeluar biri-biri Dorper pada masa akan datang.

ag_01.3

Sebahagian peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang bakal menerima faedah di bawah projek ECER.


Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa, Droper merupakan baka kacukan Afrika Selatan, Dorset Horn dan Black Persian dan merupakan tahan baka lasa dan sukar meragut rumput.

”MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak 2006 bagi dan ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan,” katanya.

Di bawah sistem APU, setiap unit akan dijaga oleh tiga peserta Orang Asli secara syif setiap empat jam dengan dibayar gaji. Bagi peserta lain, dua orang diberi tanggungjawab menjaga seunit APU.

Di bawah projek utama kedua iaitu perladangan sawit, ia melibatkan kawasan seluas 1,352 hektar dan bantuan Felda.

Menurut Pengurus dan Ketua Kilang Makanan, Felda Farm Products Sdn. Bhd., Khairudin Minhaj, pihaknya berperanan dalam menguruskan ladang di kawasan projek.

FELDA yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek tersebut dan aktiviti-aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.

Sementara itu, Zulkifli menambah, peserta di pilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu program pembasmian kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat dalam projek.

Beliau berkata, mereka mendapat faedah daripada gaji yang diterima bekerja dalam aktiviti utama selain insentif dan juga kepentingan (share) dalam projek tersebut.

Dari kelab golf ke kolam keli

ag_01.1

Benih keli dilepaskan ke dalam kolam.


SEMUANYA bermula dari bual-bual kosong dengan seorang pemain golf bukan Melayu yang kerap berkunjung ke kelab tempat beliau bertugas empat tahun lalu.

Cerita tentang pengalaman berjaya dalam industri ternakan ikan air tawar dengan hanya menjadi usahawan menjual benih ikan keli itu, sekali gus mencetus minat Nur Azizi Rafie, 29, untuk serius menceburi bidang ini.

”Terus terang saya rasa tercabar, kawan kita ini mampu hidup bersantai dan senang lenang dengan hanya memiliki beberapa buah kolam ikan dan sebuah pusat menjual benih ikan air tawar” jelas beliau.

Sebelum melepaskan jawatan sebagai Eksekutif Perakaunan di sebuah kelab golf terkenal di Rawang, Selangor, Nur Azizi pernah menghadiri beberapa siri kursus penternakan ikan air tawar dan bengkel teknik pembenihan ikan anjuran Jabatan Perikanan dan Perintis Agrotech Centre (PAC).

Menurut Nur Azizi, daripada tinjauan awal, kos anak benih keli berukuran tiga inci di Lembah Klang dijual dengan harga antara 10 hingga 15 sen seekor.

Memandangkan tidak ramai penternak yang arif membuat pembenihan sendiri, mereka terpaksa membelinya daripada pembekal dan pusat-pusat pembenihan.

Bagaimanapun pembekal benih keli di Lembah Klang ketika ini cukup terhad dan menjadi punca kebanyakan projek ternakan keli tertangguh. Selain kekurangan bekalan induk keli untuk dibenihkan secara aruhan, faktor asuhan benih yang agak merumitkan menjadi punca kurangnya penglibatan yang serius dalam bidang pembenihan keli ini.

Atas kesedaran inilah dengan berbekalkan ilmu dan semangat, Nur Azizi mengambil keputusan nekad dan berpakat dengan seorang rakan sekerja Mohamad Suria Sufian, 29, meninggalkan kelab golf dan menyewa sekeping tanah di kawasan hutan rekreasi Rawang, Selangor.

Dengan menubuhkan syarikat Prestasi Agro Farm (PAF) kedua-dia usahawan muda ini mengorak langkah awal dengan memulakan projek ternakan keli dalam kanvas dan tangki poli dengan modal bersama.

Keli yang diternak dalam 15 tangki poli dan 10 kolam kanvas tersebut adalah hasil pembenihan keli yang mereka lakukan sendiri. Kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi dalam proses pembenihan keli ini, sedikit pun tidak mematahkan semangat penternak muda ini.

Akhirnya dengan bimbingan dari pakar pembenihan di Jabatan Perikanan dan beberapa usahawan benih keli berjaya, mereka berhasil menyelami teknik sebenar proses pembenihan keli tersebut.

Sejak itu, setiap bulan paling kurang tiga kali pembenihan akan dilakukan melibatkan lebih 50 pasang induk.

Menurut beliau lagi, sesiapa sahaja yang ingin membuat pembenihan secara komersial harus mempunyai bekalan ikan induk yang mencukupi dan berterusan.

Di samping menternak induk sendiri, bekalan ikan induk juga diperolehi daripada pemancing atau penternak yang menggunakan kolam tanah.

Pemilihan induk yang kurang tepat akan mengurangkan kualiti dan kuantiti benih.

Sebelum proses pembenihan dibuat, induk yang dipilih dirawat terlebih dulu selama seminggu bagi menjamin kualiti telur yang bakal dihasilkan. Umur induk biasanya sekitar tujuh bulan hingga dua tahun.

Induk yang terlalu tua akan mengurangkan kuantiti dan kualiti benih.

Saiz yang sesuai adalah sekitar 26 sentimeter (300 gram) hingga 75 sentimeter (satu kilogram). Saiz induk betina biasanya lebih kecil daripada saiz induk jantan.

Seekor induk betina bersaiz 30 sentimeter mampu mengeluarkan telur antara 10,000 biji dan mencapai 200,000 biji telur apabila mencapai saiz 90 sentimeter.

Menurut Nur Azizi, masa yang paling sesuai untuk menjalankan pembiakan dipengaruhi kehadiran musim hujan iaitu antara bulan April hingga Disember dengan puncaknya berada antara bulan Julai dan September.

”Bekalan induk jantan paling kritikal kerana dalam proses pembenihan aruhan, induk jantan terpaksa dikorbankan bagi mengeluarkan kantung benihnya,” jelas beliau lagi.

Setelah lebih dua tahun beroperasi, PAF kini mampu memasarkan lebih 500,000 ekor anak benih keli setiap bulan.

Memandangkan permintaan yang semakin bertambah, Azizi serta rakan menambah empat lagi kolam tanah bagi mempercepatkan proses pembesaran anak benih.

Menurutnya, anak benih yang berusia empat hari, lebih cepat membesar sekiranya diasuh dalam kolam tanah.

”Tiga minggu dalam kolam tanah sudah sedia untuk dijual terus kepada penternak,” ujarnya.

Tegas beliau, biasanya penternak akan membeli anak benih yang berukuran tiga inci kerana risiko kematian adalah rendah.

Permintaan terhadap benih ikan keli memuncak ketika menjelang bulan puasa dan cuti sekolah kerana para penternak akan membuat persediaan awal bagi memenuhi permintaan ikan keli segar yang kebiasaanya mendapat pesanan berlipat kali ganda bagi hidangan berbuka dan majlis kenduri kahwin.

”Penternak biasanya akan memesan sebulan lebih awal sebelum ikan di kolam mereka dituai. Setakat ini permintaan paling banyak kami terima dari Lembah Klang, Selangor, Kawasan Utara dan Johor” ujarnya.

Setiap kali pembenihan dijalankan, PAF juga membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta mempelajari teknik pembenihan secara intensif.

Bengkel satu hari ini mendedahkan peserta tentang kaedah pemilihan induk, teknik pembenihan, asuhan benih dan penyediaan makanan alternatif.

Bagi mengurangkan kos makanan ternakan keli yang semakin meningkat, PAF mengamalkan penternakan teknik Pro Asli bagi meminimumkan kebergantungan kepada pelet.

Ini membuktikan bermula daripada bual-bual kosong di padang golf, mampu membawa keuntungan ribuan ringgit.

Bagi penternak yang ingin mempelajari teknik pembenihan ikan keli atau mendapatkan bekalan anak benih atau peralatan pembenihan, bolehlah menghubungi beliau di 019-3310855 atau 016-3094950.

Keli Fillet Chips di pasaran

ws_01.1

ABD. Manan Aziz menunjukkan Keli Fillet Chips pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.


MELAKA 16 Ogos – Ternakan ikan keli bukanlah asing dalam bidang akuakultur yang terbukti dapat memberikan hasil lumayan. Selain digunakan sebagai masakan, sebuah syarikat milik bumiputera, Amz Gemilang Sdn. Bhd.

(AMZ Gemilang) berjaya membuktikan ikan keli bukanlah boleh dijadikan lauk semata-mata.

Pengurus Jualan AMZ Gemilang, Abd. Manan Aziz berkata, hasil penyelidikan, syarikat itu berjaya memasarkan produk makanan ringan yang dikenali Keli Fillet Chips yang baru sebulan berada di pasaran.

Menurutnya, makanan yang berkhasiat tinggi itu diperbuat daripada 100 peratus isi ikan keli organik yang diternak menggunakan kaedah sistematik yang dikawal pemakanannya.

“Ikan keli organik mempunyai kandungan asid lemak Omega 3 yang tinggi sebab itulah Keli Fillet Chips menjadi makanan ringan berkhasiat yang patut dicuba,” katanya.

Abd. Manan berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai promosi makanan itu sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Menurutnya, khasiat yang terdapat pada ikan keli adalah mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung, meningkatkan tahap penglihatan dan membantu mengurangkan risiko artherioskleriosis.

Tambahnya, Keli Fillet Chips dihasilkan menggunakan isi ikan keli yang disalai sebelum ditaburkan sos sebelum disalai sekali lagi.

“Buat permulaan kita cuma mengeluarkan perisa pedas yang dijual di dalam bekas botol 500 gram berharga RM15 dan paket 250 gram pada harga RM2.50.

“Akan datang, Keli Fillet Chips berperisa barbeku, ayam, asli dan tomato akan berada di pasaran,” katanya sambil menambah memerlukan pengedar untuk memasarkan produk syarikat yang terletak di Shah Alam itu.

Mereka yang berminat menjadi pengedar boleh menghubungi Abd. Manan di talian 012-3884665 atau Shaharul Azuar Idris (013-3424344).

Pendapatan Jamil, Peladang Jaya RM52,000 sebulan

dn_09.1

MOHD. Shahrul Daud (kiri) bersama pemenang Anugerah Nelayan Muda Jaya Peringkat Kebangsaan 2009, Mohd. Zolquanain Ismail di Melaka, semalam.


MELAKA 13 Ogos – Para penerima anugerah sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini membuktikan slogan pertanian adalah perniagaan sememangnya tepat.

Melalui bidang pertanian, mereka bukan sahaja dapat menikmati kehidupan yang lebih baik malah pendapatan bulanan juga mencecah lima angka.

Penerima Anugerah Peladang Jaya Lelaki Peringkat Kebangsaan 2009, Jamil Saimon, 45, dari Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili, Kota Tinggi berkata, dia tidak pernah menyangka penglibatannya dalam bidang pertanian selama ini akan mendapat pengiktirafan.

Pengusaha tanaman kelapa sawit, keladi putih, pisang dan lengkuas yang turut menceburi ternakan lembu dan ikan itu berkata, segalanya bermula secara kecil-kecilan untuk membuktikan pertanian adalah satu perniagaan.

“Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini,” katanya yang belajar setakat tingkatan tiga.

Melihat peluang yang besar dalam bidang itu, bapa enam orang anak itu berkata, dia mula mengembangkan sayap perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan lori, jentera, traktor, bot, alatan ladang dan pemprosesan kulit lembu.

Menurutnya, hasil penat lelah selama ini berbaloi apabila dia kini menikmati pendapatan bersih kira-kira RM52,000 sebulan.

“Untuk berjaya saya berpegang pada tiga prinsip dalam perniagaan iaitu jangan menyusahkan orang, jangan boros dan jangan kedekut,” katanya.

Jamil berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 di MITC di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Para pemenang anugerah menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM15,000.

Sementara itu penerima Anugerah Peladang Jaya Wanita Peringkat Kebangsaan 2009, Siti Noraini Markom, 47, dari Tanjung Sepat, Selangor berkata, walaupun gembira, dia sedih kerana arwah ibu bapanya yang menjadi pendorong utama tidak sempat melihat kejayaannya itu.

“Namun saya tetap bertuah kerana dapat berkongsi perasaan ini bersama dengan suami, Mohd. Nor Sukimi, 48, dan empat orang anak.

“Sesungguhnya pengorbanan masa mereka tidak ternilai sehinggakan mereka juga berminat mewarisi perniagaan ini,” katanya yang mengusahakan tanaman ubi kayu, keledek dan pisang.

Malah produk keluarannya kini berjaya menembusi pasaran luar negara antaranya Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

Usahawan tersebut yang memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM38,000 sebulan, berkata, dia kini memperluaskan lagi projek pertaniannya dengan tanaman kelapa sawit pula.

Bagi Peladang Muda Jaya Peringkat Kebangsaan 2009, Mohd. Shahrul Daud, 26, dari Kulim, anugerah tersebut memberi semangat kepadanya untuk membesarkan lagi perusahaan lembu daging, lembu tenusu, kelapa sawit, nanas, cili dan ternakan keli agar lebih berdaya saing pada masa hadapan.

“Pengiktirafan ini akan memberi motivasi kepada saya untuk menceburi bidang baru yang dirasakan sesuai dengan permintaan semasa.

“Wang RM15,000 yang saya menangi hari ini akan digunakan sebagai modal pelaburan dalam perusahaan baru yang dapat melonjakkan nama ke peringkat global,” katanya yang memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM14,000 sebulan.

Kenaf sumber industri baru

ag_01.1

mat daham menunjukkan bahagian tumbuhan kenaf yang boleh digunakan untuk industri.


SELEPAS lapan tahun menjalankan kajian mengenai kenaf, kini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan pakej teknologi bermula dengan penanaman sehingga kepada produk akhir biokomposit.

Kajian yang dijalankan mendapati kenaf sesuai ditanam di kebanyakan kawasan di negara ini dan beberapa langkah telah diambil bagi mengkomersialkannya di pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Penyelidik Kenaf dan Pengawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri MARDI, Mat Daham Mohd. Daud berkata, projek di Kelantan termasuk penanaman dan pengeluaran Kenaf Polymer Composite (PKC) iaitu hasil teknologi yang dijana MARDI.

“Buat masa ini projek berkenaan dilaksanakan secara kerjasama dengan Projek D’Raja Kelantan (PDRK),” katanya.

Mat Daham berkata, PKC dihasilkan daripada adunan serbuk kenaf, resin plastik dan bahan tambahan bagi menggantikan produk kayu dan mempunyai banyak kegunaan di dalam industri pembinaan dan automotif.

Permintaan produk komposit dari bahan asli amat memberangsangkan terutama di negara maju dan produk kenaf amat di kehendaki.

“Buat masa ini pasaran produk kenaf telah pun wujud dan petani tidak mempunyai masalah memasarkan tanaman kenaf apabila kilang PKC beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.

Ladang

Kata Mat Daham, teknologi pengeluaran kenaf untuk dijadikan bahan komposit bermula dari ladang.

Beliau yang ditemui di pejabatnya berkata, teknologi yang diperkenalkan oleh MARDI membolehkan semua bahagian pokok kenaf digunakan secara optimum tanpa banyak pembaziran.

“Teknologi ini tidak memerlukan petani memproses kenaf untuk dijadikan serat seperti operasi pengeluaran kenaf biasa yang melibatkan proses reting yang memakan masa dan melibatkan kos tinggi,” katanya.

Kaedah ini hanya melibatkan kenaf dipotong dan dicincang dalam satu operasi ladang menggunakan mesin khas dan boleh dibawa terus ke kilang untuk diproses.

“Semua proses di peringkat ladang menggunakan mesin sepenuhnya.

“Ini membolehkan petani melakukan aktiviti-aktiviti sampingan lain yang boleh meningkatkan pendapatan sampingan,” katanya.

Proses menghasilkan PKC profil atau palet melibatkan beberapa aktiviti.

Kenaf yang sudah dicincang dari ladang dibawa ke pusat pengumpulan untuk dijadikan bahan mentah yang sesuai bagi menghasilkan bahan komposit.

Di pusat berkenaan, proses pertama adalah untuk mengeringkan bahan kenaf ke tahap kelembapan tidak lebih 10 peratus.

Pada peringkat pertama pengeringan boleh dilakukan menggunakan tenaga suria bagi mengurangkan kos sebelum menggunakan ketuhar khas di peringkat kedua.

Kemudian bahan kenaf yang telah dikeringkan dikisar menggunakan penyiat khas ke tahap kehalusan tertentu.

Serbuk kenaf yang dihasilkan diadun dengan bahan resin polimer seperti Polyethylene (PE), Polypropylene (PP) atau Polyvinyl Chloride (PVC) bergantung kepada kegunaan KPC.

Bagi memastikan bahan polimer bercantum dengan kuat dengan bahan kenaf beberapa jenis coupling agent (agen pengikat) ditambah.

Jenis bahan tambah yang digunakan bergantung kepada kegunaan serta kekuatan yang diperlukan produk akhir.

“Misalnya jika KPC digunakan di tempat terdedah dengan cahaya matahari, bahan pencegah sinar ultra ungu (uv) perlu dicampur untuk ketahanan produk.

“Bahan anti kulat juga boleh ditambah mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan.

“Komponen kenaf di dalam KPC boleh mencapai sehingga 70 peratus dan selainnya bahan resin dan campuran,” katanya.

Adunan kenaf, resin dan coupling agent dimasukkan ke dalam acuan seperti semperit pada suhu antara 170 hingga 190 darjah Celsius untuk menghasilkan profil KPC.

Profil yang keluar daripada acuan semperit disejukkan dengan air sebelum dipotong secara automatik mengikut panjang profil yang ditetapkan.

Bentuk profil yang dikeluarkan, kata Mat Daham, bergantung kepada kegunaan dan warna yang ditetapkan sewaktu pemprosesan dan kekal sehingga dijadikan barangan dan tidak perlu dicat.

Katanya, teknologi KPC sedang dalam proses pengkomersialan dengan kerjasama PDRK dan sebuah syarikat swasta.

“Dalam projek ini, MARDI bertindak sebagai pakar rujuk dan pakar runding dalam pemindahan teknologi dari ladang hingga ke pemprosesan di kilang.

“Buat masa ini, kilang KPC sedang dalam pembinaan di Kelantan dan mesin telah dipasang mengikut spesifikasi MARDI,” katanya.

Kata Mat Daham, proses pengeluaran KPC di luar bandar bakal mewujudkan industri nilai tambah hasil pertanian hasil usaha petani seperti saranan kerajaan.

Justeru sebagai salah satu cara menggantikan tanaman tembakau, petani telah mendapatkan pasaran bagi tanaman yang diusahakan.

“Ini merupakan projek pertama di negara ini dan boleh dijadikan model untuk mengembangkan lagi tanaman kenaf dan penggunaan KPC dalam industri.

“Buat masa ini kenaf dikenal pasti bagi menggantikan tanaman tembakau di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Pasaran bagi kenaf buat masa ini, kata Mat Daham, tertumpu kepada pasaran seberang laut di mana produk komposit daripada serat asli semakin popular dan kebanyakan pasaran tertumpu ke Australia, Jepun, Asia Barat dan Eropah.

Manakala promosi di pasaran tempatan sedang digiatkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Mat Daham menambah, industri penanaman kenaf berpotensi menjana kegiatan ekonomi berasaskan pertanian di kawasan luar bandar dan menggalakkan penambahan nilai produk petani yang dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Projek pengeluaran kenaf dan KPC merupakan hasil penyelidikan MARDI dalam pengkomersialan teknologi bagi membangunkan ekonomi negara.

Industri kenaf boleh berdaya maju jika terdapat teknologi hiliran yang sesuai untuk dibangunkan bagi mengeluarkan produk nilai tambah di pasaran global.

Produk kenaf dikategorikan mesra alam dan boleh diperbaharui memandangkan kitaran hidup kenaf hanya tiga hingga enam bulan.

Mat Daham menegaskan ini merupakan peluang yang perlu diambil bagi memajukan tanaman kenaf di negara kerana ia mempunyai kelebihan dari segi cuaca yang sesuai dan boleh ditanam sepanjang tahun.