Nikmat ceburi pertanian

ag_03.1

Azmi Morad memberi makanan ikan mengikut jadualnya dengan menggunakan makanan jenis palet.


KAWASAN ladang tersebut boleh dianggap sempit dengan keluasan kira-kira tiga ekar atau 12 hektar sahaja dan kebetulannya terletaknya di tepi Sungai Langat, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, ia merupakan kawasan yang agak kering dan dan menganjur di sepanjang sungai serta berstatus tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Namun itu semua tidak menghalang Azmi Morad, 46, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melayan rasa seronok menceburi bidang pertanian.

Graduan sains kepujian dalam bidang botani dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas tutor di universiti tersebut pada mulanya ingin mencuba.

Namun rasa seronok itu membawanya lebih serius untuk mengusahakan projek pertanian.

Tambahan pula pengalaman dalam kerja-kerja awam seperti dan kontraktor kecil banyak membantunya bergerak lebih mudah dan memahami bagaimana memulakan projek.

”Memang saya mulanya ingin berseronok-seronok tetapi pengalaman dalam kerja-kerja awam banyak membantu,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Bangi, baru-baru ini.

Projek tersebut katanya dimulakan tahun lepas dengan modal permulaan RM200, 000 tanpa meminjam daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau mendakwa antara masalah utama beliau sukar mendapat pinjaman kerana proses permohonan yang rumit yang memerlukan dokumen seperti geran.

Azmi memberitahu dia terlibat dalam projek nurseri bunga-bungaan di kawasan tersebut yang terletak di Seksyen 4 /10F Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

Beliau juga menternak kira-kira 1,000 ekor ayam kampung di kawasan tersebut yang bakanya dibeli daripada pihak swasta.

Namun, projek utamanya yang kian berkembang ialah penternakan ikan keli yang menggunakan sistem dan formula daripada sebuah syarikat bumiputera.

Ternakan kelinya diletakkan dalam tangki konkrit yang membiarkan keladi bunting tumbuh manakala pelet diberi sebagai makanan rumusan khas.

Dia bermula dengan empat buah kolam dengan kapasiti 10,000 ekor dan menggerakkan usaha tersebut secara cuba jaya.

Air sungai pula dipam sebagai sumber utama projek tersebut tetapi penentu kejayaan ialah menggunakan rumusan pelet sebagai makanan ternakan ikan keli.

”Perkara paling penting dalam ternakan ikan keli ialah makanannya mesti bagus,” ujarnya.

Pelet yang digunakan sesuai kerana ia organik atau tanpa bahan kimia, tekstur daging lebih bagus dan tidak busuk.

Justeru katanya, amalan memberi makan ikan keli dengan perut ayam sebagai contoh bukan sesuatu yang elok untuk ternakan dan ini boleh disahkan dengan memeriksa perut ikan yang berwarna kekuningan.

Katanya, pada masa ini, beliau mempunyai pelbagai jenis tangki konkrit mengikut saiz berbeza iaitu 10 kaki x lapan kaki yang dengan kapasiti 10,000 ekor keli, 10 kaki x 16 kaki (15,000 ekor) dan lapan kali 20 kaki (100,00 ekor dan jumlah tangki kini meningkat kepada 50 buah dan jumlah ternakan mencecah 400,000 ekor.

Ikan keli dapat dituai untuk jualan selepas kira-kira dua bulan setengah pada harga RM4.50 sekilogram yang kebanyakannya dibeli orang individu selain dijual di pasar malam atau pasar borong.

Meskipun demikian, beliau masih mampu menjual antara 10 dan 15 kilogram sehari.

Selain keli sebagai ternakan utama, Azmi juga menternak beberapa spesies ikan lain termasuk tilapia.

Dia juga menternak kira-kira 200 ekor biri-biri sebagai satu produk sampingan selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Tidak cukup dengan itu, Azmi juga bercadang meluaskan projek pertaniannya dengan mengeluarkan ikan keli salai di kawasan sekarang.

Beliau kini sedang menyiapkan kertas cadangan projek tersebut, manakala projek ternakan kelinya sering dilawati pegawai dari Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ikan keli salai mempunyai pasaran yang luas, selain mempelbagaikan produk syarikatnya selain yang segar.

Azmi juga bercadang memohon tanah di kawasan lain untuk memajukan projek pertanian berasaskan pelancongan bagi memudahkan pengunjung menikmati persekitaran sebenar projek pertanian.

Untuk jangka masa panjang, beliau akan menganjurkan kursus pembenihan ikan dan usaha tersebut akan dimasukkan dalam agenda penting syarikat.

Seramai 18 pekerja membantu beliau menggerakkan projek pertanian tersebut termasuk beberapa orang kepercayaannya yang dihantar berkursus di Pusat Komuniti Selayang bagi mendalami ilmu berkaitan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun mengusahakan bidang ini pelbagai cabaran ditempuhinya dengan sabar sehingga dapat menyempurnakan infrastruktur ladang ini. Beliau boleh dihubungi di talian 03-89262481

Rezeki baulu Mahanum

ag_04.1

mahanum berjaya menyekolahkan anaknya sehingga ke peringkat tinggi dengan rezeki baulu.


SEBUAH motosikal berhenti di bengkel menghasilkan baulu dan mengambil beberapa bungkus baulu dan wang beralih tangan.Penulis terpegun seketika melihat kaedah pemasaran tanpa perlu menjaja di gerai atau menghantar produk ke kedai.

“Biasanya lebih ramai yang suka datang sendiri untuk membeli baulu di sini.

“Cara ini lebih mudah dan saya tidak perlu mengeluarkan belanja menyewa tapak jualan,” kata Mahanum Mhd Shah, 48, semasa ditemui di bengkel baulu di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Segalanya bermula kerana pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan beliau tidak hanya leka dengan tujuh orang anaknya yang mula meningkat remaja tetapi mula terfikir untuk membantu bagi meringankan beban suami.

Memikirkan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tambahan, Mahanum terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau mula dengan menjual nasi lemak dan burger di depan rumah kerana Mahanum masih boleh menjaga ibu yang sakit dan beliau kemudian beralih membuat baulu semasa musim perayaan.

Bermodalkan RM200 hingga RM300, Mahanum membeli peralatan asas seperti acuan baulu dan dapur serta bahan mentah seperti tepung, gula dan telur.

“Pada mulanya saya usahakan membuat baulu menggunakan dapur arang dan secara kecil-kecilan untuk di jual pada jiran-jiran sekitar sini,” katanya.

Ibu kepada tujuh orang anak yang gigih mengusahakan baulu di dapur rumah di kemudiannya beralih ke beranda rumahnya apabila permintaan terhadap baulunya semakin menggalakkan.

Tidak pernah mengenal erti putus asa, Mahanum meneruskan usahanya tanpa bantuan sesiapa sehinggalah seorang rakannya Zainon Ariffin membawanya ke Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat.

“Di sana saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian di Kalumpang selama empat hari mengenai baulu dan kek secara moden,” katanya.

Semasa kursus di Jabatan Pertanian, beliau mempelajari cara mempelbagai produk baulunya seperti baulu ikan emas emas bersaiz besar dan sederhana.

Selain itu, Mahanum juga menghasilkan baulu dengan menambah perisa seperti kapucino, pandan, coklat rice, oren dan strawberi serta muffin, kek gula hangus dan baulu kemboja

Melihatkan usaha dan semangatnya menghasilkan pelbagai produk serta pasaran yang amat menggalakkan semasa musim perayaan Jabatan Pertanian memberikan bantuan dalam bentuk ketuhar dan pembinaan bengkelnya.

Buat masa ini dengan bantuan Jabatan Pertanian, Mahanum dapat menghasilkan 4,000 biji baulu biasa sehari.

Apa yang uniknya Mahanum tidak perlu mencari pasaran sebaliknya pelanggan yang datang mencarinya, malah baulunya telah dibawa hingga Jepun dan Jordan oleh anak jiran yang belajar dan bekerja di sana.

Baulu yang dihasilkan memang menarik kerana lebih garing daripada biasa dan tahan lebih lama.

Sebagai perniagaan keluarga, Mahanum dibantu oleh anak-anaknya terutama semasa cuti sekolah.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mahanum tidak mengabaikan pelajaran anak-anak memandangkan tiga orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala empat lagi masih bersekolah.

Mereka yang berminat mendapatkan baulu hasil tangan Mahanum boleh datang sendiri ke premisnya di Lot A Bakery Enterprise di Kampung Sungai Masin atau hubungi beliau di 013-2263423 atau e-mel: anum6212@yahoo.com